CHEMOR, PERAK – 24 OKTOBER 2023: 3 orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang petani telah ditangkap polis pada hari ini semasa mereka cuba menghalang pengusiran paksa dan pemusnahan tanaman petani kecil di kawasan Kanthan, Chemor, Perak.

Mereka yang ditangkap pada kira-kira pukul 2 petang hari ini di Kanthan, ialah:

  • Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM)
  • Kartiges Rajamanickam (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM)
  • Kesavan Parvathy (aktivis Pemuda Sosiais Perak)
  • Ho Pon Tien (petani)

Keempat-empat orang yang ditangkap itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. Pihak berkuasa telah memasuki kebun yang diusahakan oleh petani-petani kecil di Kanthan dan memusnahkan tanaman di situ.

Sebelum ini, pada waktu pagi tadi, seorang lagi aktivis PSM, Chong Yee Shan, telah dikasari oleh seorang pegawai penguatkuasa tanah negeri Perak ketika dia bersolidariti dengan petani-petani kecil di tapak kebun.

6 orang petani yang telah mengusahakan aktiviti penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan penternakan ikan di kawasan Kanthan telah menerima notis pengusiran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Ipoh, pada 13 Oktober 2023. Dalam notis itu, mereka didakwa menduduki tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) tanpa kuasa yang sah.

Petani-petani kecil ini pernah mengadakan perbincangan dan surat-menyurat dengan pihak berkuasa negeri Perak sejak tahun 2010. Pada tahun 2012, PKNP menjanjikan bahawa petani-petani kecil ini akan diberi tawaran tanah gantian untuk dipajak supaya mereka dapat meneruskan aktiviti pertanian yang mengeluarkan makanan. Namun sehingga kini, petani-petani kecil ini masih belum menerima maklumat terperinci mengenai tawaran tanah gantian yang dimaksudkan itu, sebaliknya diusir secara paksa dan keras oleh pihak berkuasa.

PSM mengecam tindakan keras oleh Kerajaan Negeri Perak terhadap petani-petani kecil yang mengeluarkan makanan untuk rakyat. PSM menuntut pembebasan segera 4 orang yang ditangkap pada hari ini.

PSM juga menggesa campur tangan segera Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerana pengusiran paksa terhadap petani-petani kecil dan kekerasan yang digunakan terhadap mereka yang mempertahankan kebun petani kecil daripada dimusnahkan sewenang-wenangnya ini berlaku di kawasan Parlimennya sendiri (iaitu kawasan Parlimen Tambun). PSM menggesa kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini dengan baik dan memastikan petani-petani yang mengeluarkan makanan itu diberi perlindungan hak untuk bertani demi keterjaminan makanan negara kita.

*********

(Kemas kini 8 pm, 24 Oktober 2023) 4 orang yang ditangkap pada petang tadi telah dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas diambil keterangan oleh pihak polis.

6 thoughts on “4 orang ditahan kerana pertahankan tanah pertanian daripada dimusnahkan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *