(Rencana ini ditulis untuk buku yang bertajuk “100 Warkah, 1000 Impian, Anwar PM-10: Coretan Rakyat Malaysia (Jilid 2)” yang diterbitkan oleh Nuha Book Resources bersempena 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim pada bulan Mac 2023.)

oleh S. Arutchelvan

Pada 24 November 2022, saudara Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Berita itu umpamanya satu fairy tale (kisah dongeng) kerana untuk sekian lama wujudnya kesinisan bahawa Anwar akan selalu menjadi PM in waiting. Namun, sejarah terukir. Saya duduk di depan televisyen untuk menonton upacara saudara Anwar Ibrahim mengangkat sumpah kerana ia adalah satu pencapaian yang luar biasa dan luar dugaan. Saya selalu mengharapkan Anwar dapat menjadi Perdana Menteri kerana berpendapat bahawa kharisma beliau akan membawa beliau jauh, namun saya sendiri semakin putus asa dan hilang keyakinan bahawa beliau akan menjadi PM satu hari nanti.

Namun, Anwar membuktikan bahawa cita-cita seseorang itu dapat dicapai jika mereka fokus, tabah, sabar dan konsisten.

Sambutan rakyat terhadap Anwar menjadi Perdana Menteri adalah luar biasa. Anwar mempunyai sejarah yang panjang dan gemilang dalam kerjaya politiknya. Naik turunnya dalam politik tiada bandingan dengan pencabar lain seperti Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri mahupun Zahid Hamidi. Ramai orang mula kagum dengan Anwar semasa zaman mahasiswanya di Universiti Malaya pada tahun 1970-an. Namun, saya bukan antara mereka. Saya lebih sehaluan dengan sosok dalam Kelab Sosialis seperti Hishamuddin Rais, Kamarazaman Yaakob dan Yunus Ali berbanding pemimpin Persatuan Bahasa Melayu (PBMUM) seperti Noordin Razak, Sanusi Osman dan Anwar Ibrahim.

Saya adalah antara orang yang amat berhati-hati dan tidak terus memberi sokongan kepada Anwar semasa beliau dipecat oleh Mahathir yang seterusnya mencetuskan Reformasi. Walaupun saya aktif membela rakyat dalam isu hak asasi manusia, menentang penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan salah guna kuasa polis, tetapi saya amat berhati-hati dalam memberikan sokongan terus kepada Anwar Ibrahim pada masa itu. Saya melihat ini sebagai satu rebutan kuasa dalam UMNO antara Mahathir dan Anwar, bukannya satu perbezaan ideologi.

Saya pernah menulis satu rencana ringkas pada tahun 1999 – Hanya satu Persamaan-Korum, di mana antaranya tercatat, “Sedang kita asyik berseronok bercerita tentang dua orang individu, jangan lupa bahawa mereka berdua adalah pemimpim tertinggi UMNO dan BN. Ini merupakan sebab terpenting kita perlu menolak UMNO dan BN kerana BN dan UMNO dipenuhi oleh cerita penyelewengan wang dan kuasa.” Rencana ini tidak disenangi oleh Chandra Muzaffar yang merupakan Timbalan Presiden Parti KEADILAN pada masa itu.

Pada hari Anwar disingkirkan, ramai orang, termasuk Fadzil Noor dan Tian Chua, melawat Anwar Ibrahim. Saya tidak pergi kerana melihat ini sebagai tindakan oportunis dan sekadar mengambil kesempatan. Namun demikian, apabila Anwar dipenjarakan, diaibkan, dimatahitamkam, dibuli, difitnah, dan apabila beliau keluar dan seterusnya melawan UMNO dan institusi berkuasa, saya mula menyokongnya. Perkara paling berani yang dilakukan oleh Anwar ialah mencetuskan Reformasi dan membina parti pelbagai kaum, iaitu Parti KEADILAN. Beliau tidak membuka sebuah parti Melayu seperti Semangat 46, BERSATU atau PEJUANG. Oleh kerana ini, kita kena tabik kepada beliau kerana Anwar mencipta dirinya semula sebagai ikon untuk membawa politik perpaduan, membawa perubahan hak asasi manusia dan berpotensi membawa politik kelas dalam arus perdana politik negara.

Zahid Hamidi – Anwar Ibrahim – Hassan Karim

Kini dalam seratus hari pertama kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri, saya melihat dilemanya adalah Anwar nak mengemudi negara ke arah mana? Konflik ini saya ringkaskan sebagai Anwar di persimpangan dengan dua orang kawan baiknya, dua orang tokoh, iaitu Zahid Hamidi di sebelah kanan (Presiden UMNO), manakala  Hassan Karim (Pemimpin PKR, mantan Presiden PRM) di sebelah kiri. Mereka semua sezaman dan sekawan.

Namun hari ini, dilema sebenarnya bagi Anwar Ibrahim adalah sama ada pergi menuju ke sebelah kanan kepada Zahid Hamidi yang dilihat sebagai kluster mahkamah, rasuah dan salah guna kuasa atau menuju ke kiri bersama Hassan Karim yang pada ketika ini dilihat sebagai orang yang paling kiri, masih taat kepada semangat reformasi dan idealisme politik bersih. Anwar tanpa sokongan Zahid Hamidi, tak mungkin menjadi PM, tetapi jika tidak ada teguran daripada orang seperti Hassan karim, Anwar mungkin tidak lain daripada seorang oportunis politik!

Ini adalah dilema dan cabaran.

Konflik kuasa dan intergriti  

Does the end justify the means or the means justify the end? (Adakah matlamat mewajarkan kaeah atau kaedah mewajarkan matlamat?)

Penyokong Anwar menganggap ini sebagai realpolitik (politik sebenar) di mana survival politik lebih penting daripada segalanya, manakala penyokong idealis keadilan akan melihat ini sebagai sell-out (pengkhianatan) kepada perjuangan asas.

Perkara ini akan menghantui kepimpinan 100 hari pertama Anwar Ibrahim dan mungkin juga untuk masa yang lebih lama.

Bagi saya, Anwar adalah seorang aktivis dan seorang populis. Beliau tahu mengimbangi diri dalam seni berjalan atas dawai. Anwar mempunyai kelebihan berbanding dengan beberapa orang tokoh PM sebelum beliau dan saya rasa Anwar akan lebih lama berkuasa. Beliau mempunyai kefasihan dalam berpidato yang cukup hebat – seperti senjata yang dimiliki Sukarno. Selain itu, beliau berpengetahuan dalam Bahasa Arab dan kredibiliti agamanya boleh digunakan untuk melawan musuhnya yang paling ketat buat masa ini, iaitu PAS dan Perikatan Nasional.

Sebenarnya, ramai yang menyangka pada awalnya Anwar akan menyertai PAS. Sebagai Presiden ABIM, beliau lebih rapat dengan PAS berbanding UMNO, tetapi beliau memasuki UMNO. Anwar, saya rasa pada masa itu lagi, mengetahui bahawa lebih senang menjadi PM jika menyertai UMNO berbanding PAS. Maka beliau menyertai UMNO dan terus menjadi antara pemimpin yang paling cepat naik pangkat dalam usia mudanya.

Namun demikian, ramai orang beranggapan kegopohan beliau dan ketidaksabaran beliau hendak menjadi PM pada tahun 1998 menyebabkan beliau disingkirkan dengan kejam apabila Mahathir melihat Anwar sebagai ancaman kepada kepimpinannya. Selepas itu, beberapa peluang lagi wujud, tetapi setiap kali Anwar dilihat sebagai gopoh atau silap langkah sehingga hilang peluang.

Walau bagaimanapun, sejurus selepas PRU-15, Anwar mula menjadi seorang yang lebih berhati-hati, lebih matang dan berpengalaman. Melihat kepada ini semua, saya berpandangan bahawa Anwar, yang dianggap ramai rakyat akan menggoncang struktur politik negara, tidak akan berbuat sedemikian. Beliau tidak akan membuat perubahan secara mendadak.

Formula Anwar mengekalkan kuasa

Anwar mempunyai kelebihan kerana beliau dapat belajar tentang sebabnya Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa dalam masa 22 bulan. Ancaman yang diterima PH selama 22 bulan semasa memerintah adalah ancaman yang sama yang akan diwarisi Anwar.

Maka, kita melihat Anwar dengan penuh sedar menonjolkan dirinya dari hari pertama menjadi PM sebagai seorang pemimpin Melayu-Islam. Ini kita boleh lihat dari segi ucapannya dan juga cara berpakaiannya. Bagaimana komposisi kaum dalam kabinet dan lantikan kesemuanya menggambarkan bahawa Anwar mahukan pentadbirannya dilihat sebagai pentadbiran orang Melayu Islam. Beliau juga secara sedarnya memastikan DAP yang dilihat sebagai duri dalam daging dalam masyarakat Melayu tidak ditonjolkan sangat.

Yang kedua adalah, beliau menonjolkan dirinya sebagai pemimpim yang pro-aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak, iaitu satu lagi komponen utama dalam mengekalkan kuasa. Anwar sedar bahawa MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) adalah isu pokok dalam hubungan dengan Sabah dan Sarawak, dan dengan cepatnya beliau membentuk jawatankuasa untuk tangani isu ini dalam masa sebulan sahaja menjadi PM. Bagi menunjukkan beliau bukan sahaja beretorik, beliau terus memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di kawasan Sabah kepada Kerajaan Negeri berkenaan. Selain itu, Anwar juga tidak berkompromi apabila UMNO Sabah cuba membuat rampasan kuasa kerana Anwar mahu kestabilan dan beliau dengan cekapnya menangani isu ini.

Yang ketiga, Anwar dari hari pertama lagi memberi pesanan dan mesej bahawa beliau mahu dengar daripada kakitangan awam yang beliau cukup tahu dan sedar adalah satu kumpuan penting yang boleh mensabotaj pentadbirannya, Maka beliau cuba mendampingi mereka, dan bukan hanya mahu menjadi bos mereka tetapi juga mahu menjadi seorang majikan yang prihatin dan mahu dengar pandangan mereka. Menghargai kakitangan awam akan memberikan beliau kelebihan kerana mereka ialah pelaksana dasar.

Yang keempat adalah, Anwar mahu dilihat dirinya sebagai pro-rakyat biasa dan pro-marhaen. Hanya sepuluh hari selepas menjadi PM, Anwar membuat satu lagak ngeri politik yang amat popular. Beliau menegur Syed Mokhtar Al-Bukhary berhubung isu monopoli import beras BERNAS dan arahkan beliau untuk pindahkan RM60 juta kepada pesawah miskin. Bagi menunjukkan komitmennya, beliau juga membuat program meraikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2022, sebagai acara rasmi pertama beliau selaku Perdana Menteri. Selain itu, ucapan beliau baru-baru ini adalah beliau tidak mahu lagi fokus tentang bangunan pencakar langit dan projek besar-besar tetapi mahu juga melihat penambahbaikan kehidupan penjaja, peniaga kecil dan rakyat marhaen. Ini sebagai satu bandingan bahawa dirinya berbeza daripada Mahathir dan Najib Razak yang mahu legasi mereka dikenang dengan bangunan besar seperti Menara Berkembar atau Menara Merdeka.

Komponen kelima yang saya rasa cukup penting dalam politik negara adalah hubungan dengan Istana. Anwar dalam minggu pertama sahaja, berjumpa dengan hampir semua Sultan negeri yang berpengaruh. Anwar sedar bahawa beliau dilantik melalui kepercayaan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Jika Muhyiddin Yassin berselindung di belakang darurat COVID-19, Anwar pula berselindung di bawah Kerajaan Perpaduan yang beliau sentiasa mengulangi bahawa mendapat keabsahan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Inilah yang diulangi beliau setiap kali apabila dicabar oleh pencabar politiknya.

Akhirnya, untuk memperkukuhkan dirinya dan tidak membuat kesilapan seperti zaman pentadbiran PH-Mahathir selama 22 bulan sebelum ini, beliau memastikan retorik pencabar dan musuh politiknya cepat ditangani dan ditentang. Anwar sendiri dengan begitu cepat menyaman mereka di Mahkamah dan menggunakan SPRM untuk membuka fail-fail kes rasuah ke atas Perikatan Nasional. Maka polis, media dan institusi awam semuanya digunakan untuk memastikan kerajaan beliau akan kekal dan musuh politik beliau sentiasa dalam posisi bertahan daripada serangan. Kelemahan Kerajaan PH sebelum ini adalah banyak kali tidak bertindak apabila kerajaan PH dituduh sebagai anti-Melayu dan anti-Islam sehingga hilang keyakinan rakyat dan kalah dalam propaganda media.

Cabaran – walk the talk

Pada masa yang sama, satu kelemahan utama adalah, adakah Anwar berani mencetuskan perubahan drastik dan membuat perubahan struktural serta sistemik? Kita lihat dari hari pertama lagi, beliau kena berkompromi. Beliau menjadi Menteri Kewangan, beliau terpaksa melantik kluster mahkamah menjadi rakan seperjuangan, kabinet beliau pun boleh dikatakan besar juga walaupun tidak sebesar kabinet sebelumnya. Pelantikan Zafrul sebagai Menteri adalah kontroversi. Ini sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa Anwar tidak sekuat yang diharapkan. Kerajaan beliau hari ini amat bergantung kepada team UMNO yang korup. Ini akan sentiasa memberikan kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN). Di mata rakyat biasa pula, perlantikan Zahid menggambarkan politik itu tiadanya prinsip dan adalah murah. UMNO dan BN, dua musuh kepadanya sepanjang zaman, boleh menjadi rakan seperjuangan dalam sekelip mata.

Cabaran terbesar Anwar adalah beliau memerlukan Zahid untuk terus memimpin UMNO. Dua pihak yang boleh membantu Zahid, iaitu Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan mahkamah. Sudah pastinya ROS yang di bawah Saifuddin Nasution, anak buah Anwar, akan memastikan Zahid terus berkuasa. Namun demikian, cabaran maha besar adalah sama ada Anwar akan mencampur tangan dalam urusan mahkamah untuk memastikan Zahid terus berada di luar bukannya di dalam penjara? Ramai penyokong tegar Anwar berkata bahawa beliau akan mematuhi proses undang-undang dan tidak akan mencampur tangan. Saya tidak begitu yakin. Saya berpendirian bahawa, lama-kelamaan, survival politik, realpolitik dan matlamat akhir menjustifikasi kaedah (the ends justify the means) akan menjadi posisi Anwar.

Satu lagi cabaran besar Anwar adalah sama ada Anwar mempunyai taring dan keberanian seperti Hugo Chavez untuk melawan kapitalis-kapitalis dan tauke-tauke besar. Kita lihat pada pendirian kerajaan sekarang dalam isu perjanjian CPTPP di mana kerajaan tidak mahu menarik diri. Perjanjian ini menguntungkan kapitalis besar dan syarikat multinasional (MNC) berbanding peniaga kecil dan rakyat biasa. Banyak golongan termasuk peniaga Bumiputera akan terjejas tetapi setakat ini, Anwar bersama MNC dan kapitalis besar. Begitu juga dengan membenarkan 500 ribu orang pekerja asing memasuki negara dan pada masa yang sama menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 untuk syarikat yang menggaji kurang daripada 5 orang pekerja, adalah permintaan dan lobi daripada pertubuhan majikan – MEF. Kerajaan ini lebih mendengar pandangan majikan berbanding pandangan kesatuan sekerja ketika ini.

Isu seterusnya, adakah Anwar akan mempunyai keberanian untuk mencukai golognan yang paling kaya dan meningkatkan cukai korporat, memperkenalkan cukai kekayaan (wealth tax) atau cukai-cukai lain untuk mengurangkan jurang kekayaan, atau adakah kerajaan akan mengimplementasi cukai GST yang diura-ura akan kembali? Bagaimana pula dengan rundingan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN)? Adakah Anwar dan kerajaannya dapat meyakinkan rakyat bahawa kerajaan ini pro-rakyat bukannya pro-tauke besar? Adakah kerajaan ini bersih atau pro-perasuah? Inilah kontroversi-kontroversi dan kontradiksi-kontradiksi penting.

Anwar Ibrahim – Reformis atau kekal status quo

Adakah Anwar akan dilihat dalam sejarah sebagai orang yang membawa reformasi atau hanya sekadar mengekalkan status quo? Mungkin buat masa sekarang dan beberapa bulan lagi, rakyat masih akan memberikan peluang kepadanya kerana dikongkong oleh pemikiran bahawa realpolitik membolehkan kompromi dalam prinsip. Namun demikian, pada masa akan datang, Anwar perlu memastikan kekuatannya datang daripada kuasa rakyat dan bukan kerana persahabatan beliau dengan UMNO, Zahid atau tauke besar. Ini akan membelakangkan agenda Reformasi dan “Kerajaan Madani”. Yang bahayanya adalah  penyokong Anwar yang taksub sehingga mereka menjustifikasi semua tindakannya walaupun mungkin melanggar prinsip perjuangan. Kepentingan korporat dan kepentingan rakyat terbanyak tidak boleh seiring, dan ia akan saling bertelingkah. Anwar akan ke mana? Demi rakyat terbanyak, saya mahu melihat Anwar mengemudi lebih rapat kepada Hassan Karim berbanding Zahid Hamidi.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *