Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan satu memorandum kepada pihak PERKESO pada 25 Oktober 2023 untuk mengemukakan cadangan-cadangan reformasi terhadap sistem perlindungan sosial yang disediakan oleh PERKESO supaya semua pekerja yang mencarum pada PERKESO mendapat perlindungan tetap yang lebih baik.
Mereka hadir dalam penyerahan memorandum dan perbincangan dengan pegawai-pegawai kanan PERKESO termasuk S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM dan S. Tinagaran yang merupakan seorang aktivis PSM yang banyak mengendalikan isu berkaitan PERKESO. Memorandum daripada PSM ini telah diterima oleh John Riba Anak Marin selaku Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO.
Dalam memorandum yang ditujukan kepada Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato’ Aziz Mohammed selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Biro Pekerja PSM membentangkan 11 cadangan, iaitu:
- Perlindungan 24 jam kepada semua pencarum;
- Lencongan tidak harus digunakan sebagai alasan untuk menolak permohonan tuntutan pampasan bencana kerja;
- Hapuskan syarat kelayakan faedah pencen penakat berdasarkan jumlah caruman, dan naikkan umur kelayakan kepada 65 tahun;
- Kaji semula skim pencen ilat dan benarkan kelonggaran dalam beberapa perkara yang berkaitan dengannya;
- Naikkan faedah pengurusan mayat daripada RM2,000 kepada RM3,000;
- Naikkan faedah elaun layanan sentiasa dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup selepas pandemik COVID-19;
- Berikan elaun sementara kepada pencarum PERKESO yang menyertai program Return to Work (RTW);
- Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) harus dicarum oleh kerajaan, terutamanya bagi golongan B40;
- Gunakan sistem kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti majikan yang belum mencarum;
- Tubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh orang awam (pakar) untuk bertindak sebagai semak dan imbang bagi sebarang aduan daripada pihak pencarum;
- Gunakan peguam dalaman PERKESO untuk menjimatkan kos yang disebabkan oleh perkhidmatan peguam luar yang memakan kos tinggi dan membebankan kewangan PERKESO.
“Kami di PSM berharap pihak PERKESO akan mempertimbangkan segala cadangan yang kami ketengahkan,” kata Tinagaran semasa menyerahkan memorandum kepada wakil PERKESO. “Semua perkara yang dicadangkan dalamnya adalah hanya untuk kebaikan kepada warga pekerja dan pencarum PERKESO.”
“Tanpa sumbangan daripada titik peluh semua pencarum sejak tahun 1971, tidak mungkin aset PERKESO boleh mencapai RM31 bilion seperti yang ditunjukkan dalam Penyata Tahun 2021,” ulas Tinagarsn. “Daripada jumlah pungutan caruman PERKESO yang bernilai RM6 billion setiap tahun, dengan jumlah pencarum 7.3 juta orang setakat tahun 2021, faedah-faedah yang sedia ada haruslah dikaji semula dan dinaik taraf sejajar dengan kos sara hidup pada masa ini.”
“Kami mendapati bahawa rata-rata pekerja masih tidak begitu yakin terhadap PERKESO disebabkan begitu banyak kekangan untuk mendapatkan kelayakan dalam skim-skim tertentu,” tambah Tinagaran. “Oleh itu, semua perkara yang kami bawa di sini merupakan keluhan pencarum, dan jika pihak PERKESO dapat melaksanakan cadangan-cadangan kami, sudah pasti para pekerja akan mempunyai lebih keyakinan terhadap PERKESO.”
**********
Berikut ialah penerangan lanjut tentang 11 cadangan yang dikemukakan oleh Biro Pekerja PSM untuk mereformasikan PERKESO supaya semua pekerja yang mencarum PERKESO dapat menikmati perlindungan tetap yang lebih baik daripada PERKESO:
1. Perlindungan 24 jam kepada semua pencarum
Pekerja merupakan tonggak pembangunan negara. Adalah tidak adil jika seorang pekerja hanya menerima manfaat PERKESO apabila berlaku sebarang bencana sewaktu bekerja (kemalangan perusahaan), kemalangan semasa dalam perjalananan antara tempat kediaman dan tempat kerja, serta menghidapi penyakit khidmat.
Harus diingati bahawa hampir sebahagian besar pencarum PERKESO adalah terdiri daripada golongan B40 dan golongan ini hanya mempunyai satu-satunya perlindungan, iaitu PERKESO. Majoriti daripada pencarum ini tidak mampu untuk membeli perlindungan tambahan dengan pihak insurans lain. Jadi, golongan ini lebih terdedah kepada masalah tanpa perlindungan insurans, terutamanya perlindungan kemalangan di luar tempat kerja.
Apakah nasib bagi seorang pekerja jika mengalami sebarang bencana di luar waktu kerja? Apakah nasib dan situasi keluarganya selepas itu?
Oleh itu, adalah wajar untuk PERKESO menyediakan perlindungan kemalangan 24 jam kepada semua pencarum supaya mereka dilindungi jika berlaku sebarang bencana ke atas mereka di luar waktu kerja, sejajar dengan moto PERKESO, iaitu “PERKESO itu Prihatin, Prihatin itu PERKESO”.
Secara kasarnya, seorang pencarum mencarum sebanyak RM391.20 setahun berdasarkan gaji kasar sebanyak RM1,500, dan ini termasuk caruman daripada majikan. Jumlah caruman ini boleh dikatakan agak tinggi, maka pihak PERKESO seharusnya mampu memberi perlindungan 24 jam.
Pihak PERKESO perlu mengkaji dan mempertimbangkan skim faedah perlindungan 24 jam ini sebagai perlindungan tambahan untuk pekerja. Jika perlindungan 24 jam memerlukan caruman tambahan daripada pencarum, maka caruman juga harus dinaikkan untuk menanggung sebahagian daripada kos tersebut kerana perlindungan ini adalah keperluan sosial yang wajib.
2. Lencongan harus dibenarkan
Adalah tidak wajar untuk pihak PERKESO menetapkan satu syarat dalam Skim Bencana Pekerjaan yang menyatakan bahawa “kemalangan yang berlaku dalam masa apa-apa perhentian atau lencongan tidaklah disifatkan terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaanya”.
Pekerja bukan robot dan adalah tidak adil memaksa seorang pekerja dengan tidak membenarkannya membuat sesuatu aktiviti untuk dirinya ataupun keluarganya demi memenuhi kriteria pihak PERKESO.
Hampir 90% pekerja akan atau terpaksa membuat lencongan pada waktu sebelum perjalanan ke tempat kerja ataupun waktu pulang dari tempat kerja. Lencongan ini adalah mungkin untuk bersarapan sebelum kerja atau membeli barang keperluan diri ataupun untuk menghantar anak ke sekolah dan sebagainya.
PSM berharap pihak PERKESO supaya tidak mengambil kesempatan yang disebabkan “Tindakan Manusia yang Spontan” (Spontaneous Human Action) ataupun “Respon Manusia” (Human Response) terhadap tanggungjawab yang harus disempurnakan mereka.
Dalam kes Valarmathy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kes Sathiaseelan di Mahkamah Rayuan, mahkamah memberi keputusan bahawa “matlamat akhir adalah penting di mana seseorang pekerja hendak balik ke rumah ataupun ke tempat kerja. Mahkamah juga memutuskan kedua-dua kes ini tidak boleh dianggap sebagai lencongan yang tidak munasabah”. Oleh itu, undang-undang PERKESO harus dipinda untuk mengambil kira duluan ini dan keputusan mahkamah ini harus dijadikan landasan untuk rujukan PERKESO pada masa depan dan seterusnya menjimatkan masa pentadbiran dan mahkamah.
3. Pencen penakat tidak seharusnya mengenakan syarat kelayakan berdasarkan jumlah caruman, dan umur kelayakan harus ditingkatkan
Pencen penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsuran (OB) meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
Syarat kelayakan dan kadar bayaran semasa adalah seperti berikut:
- Meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman.
- Meninggal dunia semasa menerima pencen ilat tanpa mengira umurnya.
- Kelayakan penuh/dikurangkan adalah caruman sekurang-kurangnya 2/3 atau 1/3 bilangan bulan-bulan genap yang terkandung dalam tempoh antara tarikh mula caruman kena dibayar oleh pencarum di bawah Akta dengan tarikh kematian OB. Jumlah bilangan caruman bulanan yang dibayar dalam tempoh tersebut mestilah sekurang-kurangnya 24 bulan.
- Kadar bayaran pencen penakat bagi mereka yang memenuhi syarat tempoh kelayakan penuh adalah dari 50% hingga 65% daripada gaji bulanan purata anggapan tertakluk kepada pencen minimum sebanyak RM475 sebulan.
PSM berpendapat bahawa syarat-syarat seperti perkara (3) yang disebut di atas untuk layak menerima pencen penakat adalah tidak wajar, kerana seorang pencarum seharusnya layak untuk faedah skim pencen penakat dengan serta-merta selepas menjadi pencarum yang aktif.
Umur untuk kelayakaan pencen penakat harus dinaikkan sehingga 65 tahun kerana kebanyakan pencarum masih bekerja dan mencarum walaupun umur sudah mencecah lebih 60 tahun. Maka seseorang pencarum yang berumur sehingga 65 tahun harus dilayakkan dalam skim ini.
Kadar pencen penakat yang layak diterima bagi tempoh kelayakan penuh juga harus ditingkatkan dari lingkungan 50% hingga 65% kepada lingkungan 65% hingga 85% daripada jumlah gaji anggapan bulanan. Permintaan untuk kadar kenaikan ini adalah sejajar dengan kadar kos sara hidup semasa.
PSM berharap pihak PERKESO akan mengkaji perkara-perkara yang diketengahkan ini dan membenarkan faedah kepada setiap pencarum yang aktif tanpa syarat.
4. Kaji semula skim pencen ilat dan benarkan kelonggaran dalam beberapa perkara
Pihak PERKESO harus mempertimbangkan untuk tidak mengenakan syarat kepada mana-mana orang pencarum aktif kerana ada juga ahli yang aktif dalam caruman akan tetapi tidak memenuhi syarat caruman sehingga permohonan pencarum akan ditolak. PSM berpandangan bahawa ini tidak adil kepada pihak pencarum yang menghidapi keilatan dalam tempoh kelayakan caruman. Pihak PERKESO boleh merujuk pada laporan doktor bertauliah untuk mengenal pasti sama ada masalah kesihatan ini timbul sebelum mula pencaruman ataupun selepas mula pencaruman. Jika keilatan berlaku selepas pencaruman dimulakan, maka syarat kelayakan caruman tidak harus diguna pakai.
Kadar bayaran pencen ilat sekarang ialah maksimum 65% daripada jumlah gaji bulanan anggapan. PSM mencadangkan supaya ia dinaikkan kepada 80%.
Untuk pengiraan jumlah gaji bulanan anggapan purata bagi ahli yang lulus untuk pencen ilat disebabkan menghidapi masalah kesihatan berlarutan (prolonged illness), hanya gaji asal sahaja harus diambil kira untuk pengiraan gaji purata. Ini kerana adanya kes-kes di mana majikan hanya membayar setengah daripada gaji pokok mereka disebabkan oleh cuti sakit mengikut Akta Kerja. Jika jumlah gaji bulanan anggapan diambil ke atas gaji yang sudah pun dikurangkan oleh majikan, maka ahli akan rugi disebabkan pengiraan yang tidak adil.
Skim pencen ilat harus diperluaskan untuk melindungi semua pencarum secara automatik jika didiagnosis dengan salah satu daripada 45 penyakit kritikal TANPA pekerja berkenaan perlu membuktikan bahawa dia tidak mampu mencari nafkah 1/3 daripada keupayaan seseorang pekerja yang normal.
PSM mencadangkan supaya had umur untuk kelayakan dinaikkan dari 60 tahun kepada 65 tahun.
5. Naikkan faedah pengurusan mayat daripada RM2,000 kepada RM3,000
Faedah pengurusan mayat harus dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM3,000.00.
Faedah yang diberikan sekarang adalah HANYA sebanyak RM2,000 sahaja, di mana ia agak tidak munasabah pada masa kini.
Cadangan kenaikan ini adalah selaras dengan kenaikan gaji minimum, iaitu RM1,500 pada masa mini, serta kos perbelanjaan pengurusan mayat yang kini agak tinggi berbanding dengan sebelum ini.
Ppembayaran faedah pengurusan mayat semasa RM2,000 ini harus dikaji semula untuk menetapkan satu pemberian faedah yang munasabah mengikut keadaan beban ekonomi semasa.
Skim faedah pengurusan mayat juga harus diluluskan untuk semua ahli tanpa sebarang syarat kerana ia adalah bayaran akhir dan sekali seumur hidup bagi seseorang pencarum.
PERKESO harus sentiasa prihatin pada keperluan perlindungan sosial bagi pencarum generasi kini, maka adalah kewajipan Lembaga untuk mengkaji semula faedah ini di bawah garis panduan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Bahagian 1 No.106.
6. Kaji semula jumlah faedah elaun layanan sentiasa
Faedah elaun layanan sentiasa harus ditingkatkan dari RM500 kepada satu kadar yang berpatutan sejajar dengan kenaikan kos hidup.
PSM menghargai motif pihak PERKESO tetapi juga berpendapat bahawa jumlah faedah semasa sebanyak RM500 merupakan satu jumlah yang tidak berpatutan kepada orang ketiga yang menjaga Orang Berinsurans (OB).
Pihak PERKESO harus mengkaji keadaan semasa sesebuah keluarga yang menghadapi musibah seperti ini, kerana dalam kebanyakan kes, penerima faedah elaun ini terpaksa melepaskan kerja mereka untuk menjaga OB.
Adalah kewajipan pihak PERKESO untuk mempertimbangkan keperluan orang yang menjaga OB. Pihak PERKESO harus meningkatkan elaun layanan sentiasa kerana ini juga merupakan satu kerja serta mereka juga harus mempunyai hak mencarum PERKESO kerana majikan mereka adalah pihak PERKESO.
7. Berikan elaun sementara kepada pencarum PERKESO yang menyertai program Return to Work (RTW)
Pencarum yang layak menyertai program RTW kebanyakannya adalah datang daripada kalangan pencarum yang tidak mendapat kelayakan untuk pencen keilatan. Jemaah doktor yang merasakan bahawa pencarum ini boleh dirawat maka akan diberi peluang untuk menyertai program ini.
Jika mereka masih tidak dapat menjalani kehidupan mereka, maka barulah jemaah doktor akan mempertimbangkan semula untuk faedah pencen ilat, bagaimanapun ia masih tidak pasti.
Adalah jelas bahawa seseorang pencarum yang diberi peluang untuk menyertai program RTW adalah pekerja yang tidak dapat bekerja sehingga penimbangan jemaah doktor untuk meluluskan permohonan.
Adalah wajar untuk mereka ini diberikan elaun sara hidup sekurang-kurangnya 80% daripada gaji terakhir pencarum yang dikategorikan dalam Skim Faedah Hilang Upaya Sementara. Ini sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan dirinyandan pekerja ini tidak bergantung pada pihak ketiga.
Kebanyakaan pencarum menolak program ini kerana masalah ataupun kekangan kewangan mereka serta ahli keluarga mereka. Ini menjadi beban kepada pencarum, maka mereka menolak program ini, terutamanya pencarum yang ingin mendapatkan keilatan.
8. Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) harus dicarum oleh kerajaan, terutamanya bagi golongan B40
Skim SKSSR merupakan satu inisiatif yang sangat dialu-alukan di mana lebih kurang 3 juta orang suri rumah akan mendapat faedah melalui Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang mula berkuatkuasa pada 1 Disember 2022.
Akan tetapi, pada tangapan PSM, skim ini sudah pasti akan gagal untuk menarik para suri rumah untuk mencarum, terutamanya daripada golongan B40. Ini kerana bayaran caruman RM120 untuk setahun membebankan terutamanya golongan B40 kerana ia merupakan satu jumlah yang agak besar.
Bekas Menteri Sumber Manusia M. Saravanan pernah mengatakan bahawa kerajaan mengiktirafkan peranan suri rumah dalam ‘Ekonomi Jagaan’ (care economy) yang turut membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Adalah kewajiban pihak kerajaan untuk menanggung kos tersebut untuk suri rumah yang sekian lama menjadi faktor utama kepada pemangkin ekonomi negara tanpa sebarang balasan.
Oleh yang demikian, PSM menyeru bahawa kerajaan harus memikul tanggungjawab keselamatan sosial suri rumah, terutamanya golongan B40, dengan menjadikan mereka sebagai pencarum secara automatik dan caruman ini harus ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
9. Gunakan sistem kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti majikan yang belum mencarum
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, sebanyak 7.3 juta orang pekerja daripada pelbagai sektor, termasuk mereka yang ber bekerja sendiri, tidak dilindungi Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). (Sumber: Berita Harian, 27 Jan 2019).
PSM berpandangan bahawa ini adalah satu angka yang agak besar dan kemungkinan besar angka ini lebih tinggi sekarang berbanding dengan tahun 2019.
Adalah tidak wajar apabila pekerja hanya mengetahui bahawa majikan mereka tidak mencarum PERKESO selepas berlaku sebarang bencana.
PSM menerima banyak aduan tentang pihak majikan tidak mencarum hanya selepas pekerja ditimpa kemalangan ataupun menghidapi penyakit khidmat.
Jadi, adalah penting bagi pihak PERKESO mewujudkan satu platform di mana pencarum boleh mencari maklumat caruman mereka dan juga menjadikan platform tersebut untuk membuat laporan jika didapati majikan mereka gagal mencarum.
Perkara ini akan memudahkan pihak pencarum untuk mengadu tanpa perlu pergi ke pejabat PERKESO ataupun mendedahkan identiti mereka.
PSM menyarankan pihak PERKESO supaya menggunakan kaedah kecerdasan buatan (AI) dan mendapatkan maklumat daripada semua agensi, seperti KWSP, LHDN, SSM, ROC dan ROB untuk mengenal pasti semua majikan berdaftar di negara ini dan mengambil tindakan terhadap majikan yang masih ingkar mencarum bagi pekerja-pekerja mereka.
Pihak PERKESO harus memulakan tindakan menyediakan dan menghantar penyata tahunan caruman setiap akhir tahun kepada pencarum supaya ahli mengambil tahu dan bertanggungjawab untuk menyemak potongan caruman daripada gaji mereka.
10. Tubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh orang awam (pakar) untuk bertindak sebagai semak dan imbang bagi sebarang aduan daripada pihak pencarum
PSM mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas yang diwakili oleh orang awam dalam kalangan pakar bagi menangani aduan dan rasa tidak puas hati pencarum ke atas keputusan PERKESO yang melibatkan tuntutan pencarum dari segi faedah tuntutan, peratusan pampasan HUK, kadar bayaran, pengiraan pencen dan masa yang diambil untuk tuntutan diluluskan.
Jawatankuasa ini akan bertindak sebagai semak-dan-imbang kepada sebarang perubahan peraturan tuntutan yang ditetapkan oleh pentadbiran PERKESO dari semasa ke semasa.
Sistem mesra dan prihatin oleh semua pihak yang terlibat kepada pihak pencarum yang berhadapan dengan bencana kerja, keilatan dan kematian OB yang sangat memerlukan bantuan tuntutan yang layak ini haruslah diberitahu akan faedah dan tuntutan yang patut dinikmati mereka di bawah Skim Keselamatan Sosial PERKESO. Tanggungjawab dan keprihatinan setiap kakitangan PERKESO terhadap pencarum bagi tuntutan bencana kemalangan, penyakit khidmat, keilatan dan kematian OB akan dapat meringankan bebanan kewangan dan kekangan ekonomi pencarum.
Kadar minimum RM30 untuk MC/HUS masih belum diselaraskan dengan kadar gaji minimum semasa Malaysia, iaitu RM1,500.
PERKESO akan menjadi penanda aras bagi semua badan perlindungan keselamatan sosial di seluruh dunia apabila PERKESO dapat berfikir secara kreatif dan melangkah lebih jauh untuk pencarum-pencarum jika menggunakan sistem simpanan pengambilan data yang cekap. PERKESO harus mencari ahli keluarga pencarum yang layak mendapat skim faedah pengurusan mayat dan skim pencen penakat bagi pencarum yang telah meninggal dunia tetapi masih belum memohon faedah ini atas apa jua sebab terutamanya bagi ahli keluarga yang menetap di luar bandar atau di kawasan pendalaman yang tidak ada pengetahuan langsung mengenai kewujudan faedah dibbawah skim PERKESO.
11. Gunakan peguam dalaman PERKESO untuk menjimatkan kos yang disebabkan oleh perkhidmatan peguam luar yang memakan kos tinggi dan membebankan kewangan PERKESO
PSM mendapati bahawa peguam yang diambil oleh PERKESO adalah daripada syarikat guaman yang besar, dan ini akan meninggikan kos guaman apabila PERKESO mengambil kes mahkamah. Kebanyakan kes yang diambil oleh PERKESO adalah kes sivil dan PSM menyarankan PERKESO supaya mempunyai peguam sendiri (seperti DPP) dengan gaji bulanan tetap untuk mengurangkan kos guaman yang secara tidak langsung akan dibiayai oleh caruman pekerja.
One thought on “PSM sarankan reformasi PERKESO demi perlindungan tetap bagi semua pekerja”