Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 dengan hanya bertanding 4 kerusi DUN di Selangor. Walaupun keputusan yang diperolehi PSM dalam PRN ini dapat dijangkakan, iaitu kalah di semua kerusi yang ditandingi, PSM masih mampu mengadakan kempen pilihan raya yang penuh bersemangat dengan penglibatan sukarelawan yang memberangsangkan demi memajukan usaha kita membina sebuah alternatif politik yang bersifat pembebasan dan progresif dalam jangka panjang.

PSM telah meletakkan 4 orang calon untuk bertanding dalam PRN 2023 di negeri Selangor, iaitu S. Arutchelvan di kawasan DUN N25 Kajang, Sivarajan Arumugam di kawasan DUN N39 Kota Damansara, Sivarajani Manickam di kawasan DUN N42 Meru dan Profesor Dr. Ong Chung Lee di kawasan DUN N55 Dengkil.

Keputusan penuh untuk kerusi yang ditandingi oleh PSM adalah seperti di bawah:

N25 Kajang

CalonPartiJumlah undi yang diperolehPeratusan undi
David Cheong Kian Young (PEMENANG)PH (PKR)54,79470.36%
Allan Liew Sin KimPN (BERSATU-Bersekutu)20,40026.20%
S. Arutchelvan @ ArulPSM2,6813.44%

N39 Kota Damansara

CalonPartiJumlah undi yang diperolehPeratusan undi
Muhamad Izuan Ahmad Kasim (PEMENANG)PH (PKR)34,62853.72%
Mohd Radzlan JalaludinPN (BERSATU)28,93444.89%
Sivarajan ArumugamPSM8951.39%

N42 Meru

CalonPartiJumlah undi yang diperolehPeratusan undi
Hasnizam AdhamPN (BERSATU)23,55845.80%
Sivaranjani ManickamPSM8991.75%
Mariam Abdul Rashid (PEMENANG)PH (AMANAH)26,98052.45%

N55 Dengkil

CalonPartiJumlah undi yang diperolehPeratusan undi
Prof. Darren OngPSM1,7822.58%
Noorazli SaidBN (UMNO)33,15447.93%
Mohd Daud Leong AbdullahPUR6680.97%
Jamil Salleh (PEMENANG)PN (BERSATU)33,56148.52%

Walaupun masih hilang deposit di semua kawasan yang ditandingi, keputusan pilihan raya kali ini untuk PSM menunjukkan sedikit penambahbaikan dari segi jumlah undi dan peratusan undi yang berjaya diraih. Setiap undi yang diperoleh PSM boleh dikatakan kombinasi hasil daripada kerja akar umbi yang pernah dilakukan selama ini, dasar yang diangkat untuk memperjuangkan nasib rakyat marhaen, gerak kerja kempen yang dilakukan oleh pasukan sukarelawan yang penuh berdedikasi dan juga keinginan sesetengah pengundi untuk menyokong alternatif kepada parti arus perdana.

Prestasi Arutchelvan di Kajang boleh dikatakan keputusan pilihan raya terbaik yang diperolehi PSM sejak tahun 2018. Jumlah undi 2,681 dan peratusan undi 3.44% adalah lebih tinggi berbanding undian yang diperolehi Arutchelvan semasa beliau bertanding untuk kerusi DUN Semenyih pada tahun 2018 (dengan mendapat 1,293 undi, bersamaan 2.80%). Ini merupakan kali pertama Arutchelvan bertanding di kawasan DUN Kajang. Kempen PSM terpaksa menghadapi naratif daripada penyokong PH yang menuduh bahawa PSM akan memecahkan undi untuk membolehkan PN menang sedangkan rekod pilihan raya yang lepas dan keputusan terkini menunjukkan perkara sebegini tidak mungkin wujud.

Di Kota Damansara, Sivarajan yang bertanding untuk kali kedua di kawasan DUN ini menunjukkan sedikit penambahbaikan dari segi jumlah undi dan peratusan undi yang diperoleh. Jumlah undi yang diperoleh Sivaranjan telah berlipat ganda berbanding 435 undi yang diperolehinya pada tahun 2018, dengan peningkatan 0.38 titik peratusan.

Di kawasan DUN Meru, Sivaranjani yang bertanding julung kali di situ mencatatkan satu keputusan yang sederhana bagi sebuah parti yang kecil. Jumlah undi dan peratusan undi yang diperolehi Sivaranjani adalah lebih tinggi berbanding Manikavasagam Sundaram, calon daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 di kawasan yang sama (346 undi, 1.02%) dan pernah menjadi Ahli Parlimen Kapar (kawasan DUN Meru di bawah kawasan Parlimen Kapar).

Sivaranjani dan pasukan kempen PSM di kawasan DUN Meru mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi yang sudi mengundi calon PSM. “Kami mula menubuhkan pusat perkhidmatan di Taman Emas pada tahun lepas dan waktu perkhidmatan kami tidak panjang. Jadi, dalam pertempuran tiga penjuru, kami hanya mendapat 1.75% undian, tetapi kami telah mencapai matlamat dengan memperkenalkan kami kepada komuniti di kawasan DUN Meru,” kata Sivaranjani. “Kami berasa bangga dengan keputusan ini, kami akan terus bekerja keras di kawasan Meru dan Kapar supaya meraih lebih banyak sokongan daripada pengundi dalam pilihan raya yang akan datang!”

Di kawasan DUN Dengkil pula, walaupun kalah, 1,782 undi yang diperolehi Darren Ong itu telah menafikan peluang calon BN untuk memenangi kerusi DUN tersebut. Kerusi DUN Dengkil yang dimenangi oleh PH dalam PRU 2018 telah diberikan kepada BN dalam PRN 2023. Namun, calon BN telah kalah di Dengkil dengan perbezaan undi 407 berbanding calon PN. Darren Ong menduduki tempat ketiga dalam persaingan 4-penjuru di kawasan DUN Dengkil.

“Terima kasih kepada semua yang memberi undi dan sumbangan dalam apa jua bentuk kepada kempen pilihan raya PSM di kawasan DUN Dengkil!” kata Darren Ong. “1782 undi ini menyerlahkan hasrat rakyat untuk politik baharu yang memihak kepada golongan miskin dan golongan pekerja. Kempen kali pertama ini akan jadi asas kepada perjuangan yang akan datang.”

Sistem pengundian tidak berpihak kepada kuasa ketiga

Dalam PRN 2023, PSM membuka satu lembaran sejarah baharu dalam usaha membina kuasa ketiga yang progresif dalam arena politik negara dengan menjalin kerjasama pilihan raya dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Dalam kerjasama pilihan raya PSM-MUDA berhadapan PRN 2023 ini, PSM dan MUDA bersetuju untuk mengelak daripada pertindihan kerusi yang ditandingi kedua-dua buah parti, di samping merangka 5 prinsip bersama yang menjadi asas kepada kerjasama ini, iaitu: menolak politik perkauman, mengangkat nasib rakyat terbanyak dan terpinggir, demokrasi tulen, pembangunan yang seimbang dan inklusif, dan perlindungan alam sekitar.

Semua calon PSM dan MUDA yang bertanding dalam PRN 2023 telah mengisytihar harta mereka, sesuatu yang tidak dilakukan oleh mana-mana gabungan parti utama, sama ada PH-BN ataupun PN. Semua calon PSM juga melafazkan ikrar anti-rasisme untuk menyatakan komitmen mereka dalam menentang politik perkauman.

Semua calon PSM dan MUDA telah kalah dalam PRN 2023, sesuatu yang memang dijangkakan selagi sistem pengundian “pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post, FPTP) masih digunakan dalam pilihan raya di negara kita. Sisten pengundian FPTP tidak memihak kepada parti-parti politik kecil yang bukan sebahagian daripada dua gabungan politik yang utama. Gabungan PH-BN dibentuk juga kerana pemimpin-pemimpin dalam PH dan BN tidak mahu undi mereka “dipecahkan” sehingga kalah dalam pilihan raya.

“Sistem FPTP terus menghantui kuasa ketiga,” begitu katanya S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM merangkap Pengarah Pilihan Raya PSM yang juga bertanding sebagai calon PSM untuk kerusi DUN Kajang. “Adalah terbukti bahawa dalam pilihan raya ini, pengundi-pengundi masih dipengaruhi oleh ketakutan untuk memilih alternatif ketiga (selain PH-BN dan PN).” PSM pernah mencadangkan kepada Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) untuk memperkenalkan sistem pengundian campuran yang mengandungi unsur perwakilan berkadar supaya mewujudkan sistem pilihan raya yang lebih adil, namun usaha pembaharuan.

PSM bertekad terus perjuangkan politik baharu

“Terima kasih kepada semua orang yang telah menyokong kami. Kami telah berjuang dengan gagahnya dalam melawan gabungan PH-BN yang terdiri daripada 18 buah parti dan PN yang terdiri daripada 3 buah parti besar,” kata Arutchelvan dalam kenyataannya yang dikeluarkan selepas pengumuman keputusan PRN 2023. “Kami berbangga kerana seluruh kempen kami dibina daripada jentera komuniti akar umbi yang benar-benar berjuang di luar sana. Kempen kami dibiayai sepenuhnya oleh pendanaan daripada orang ramai dan digerakkan oleh keringat kelas pekerja.”

“Kami adalah satu-satunya parti yang mengisytihar harta dan melakukan ikrar anti-rasisme, tetapi terbukti sekali lagi bahawa kebanyakan pengundi tidak begitu peduli tentang calon-calon yang baik,” ulas Arutchelvan. “Tidak bertanding untuk semua kerusi juga satu agi kelemahan alternatif ketiga yang perlu mengadakan penilaian dan penyusunan semula strategi.”

“Hati saya terharu dengan begitu ramai orang yang telah menyokong, mendoakan dan percaya pada meletakkan orang yang berprinsip dalam Dewan Undangan Negeri,” tambah Arutchelvan. “Mungkin ini bukan masanya lagi. Namun, masanya akan tiba apabila rasisme dikuburkan dan kebenaran mengatasi ketakutan!”

Walaupun hanya bertanding untuk 4 kerusi DUN di Selangor, PSM mempunyai manifesto pilihan raya peringkat negeri Selangor yang menggariskan 3 komitmen: memelihara alam sekitar, perumahan rakyat Selangor dan pemerkasaan demokrasi tempatan. Keempat-empat orang calon PSM juga mempunyai manifesto tempatan yang menangani isu rakyat di kawasan masing-masing. Walaupun tidak menang apa-apa kerusi, PSM akan terus memperjuangkan agenda yang digariskan dalam manifesto pilihan raya melalui kerja-kerja di luar Dewan Undangan Negeri seperti yang pernah dilakukan selama ini. PSM mengambil sikap yang serius dalam memperjuangkan sebuah masyarakat yang lebih adil, demokratik, progresif dan inklusif.

Dengan negara kita sedang semakin diancam oleh manipulasi politik yang mewujudkan polarisasi dalam kalangan rakyat dan krisis sosio-ekonomi yang menyusahkan rakyat biasa, PSM bersama-sama dengan semua golongan progresif mempunyai tanggungjawab politik yang besar dalam usaha membina alternatif yang benar-benar membebaskan rakyat biasa daripada segala belenggu politik perkauman dan ekonomi yang eksploitatif. PSM bertekad untuk terus memperjuangkan politik baharu yang menegakkan kesejahteraan bersama dan pembebasan sejati buat rakyat marhaen.

2 thoughts on “PSM dalam PRN 2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *