(Tulisan ini ialah kertas yang dibentangkan dalam sesi perbincangan semasa Kongres Nasional PSM yang ke-25 pada 1 Oktober 2023.)

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Fenomena “Gelombang Hijau” telah menjadi ketara dalam PRU-15 pada 19 November 2022 apabila Perikatan Nasional telah menambahkan kerusi parlimen mereka dari 30 (PAS: 18, BERSATU: 12) kepada 74. Keputusan PRU-14 dan PRU-15 ditunjukkan dalam Jadual 1 di bawah.

Jadual 1: Pengagihan kerusi Parlimen PRU-14 dan PRU-15

  Gabungan/Parti  Kerusi Parlimen yg dimenangi dalam PRU-14  Kerusi Parlimen yang dimenangi dalam PRU-15  
  Barisan Nasional (BN)  79(nota a)  30
  Pakatan Harapan (PH)  113 (Bersatu = 12)(nota b)  82
  Perikatan Nasional (PN)  18 (PAS sahaja)  74 (PAS + BERSATU)
  Gerakan Rakyat Sabah (GRS)  (merupakan anggota BN)  6
  WARISAN  8  3
  Gabungan Parti Sarawak (GPS)  (merupakan anggota BN)  23
  Lain-lain  4  4
a. Kerusi GRS dan GPS adalah terkandung dalam angka ini. Dalam PRU-13, BN telah menang 133 kerusi.
b. 12 daripada sejumlah 113 kerusi yang dimenangi oleh PH dalam PRU-14 adalah daripada BERSATU. Dalam PRU-13, Pakatan Rakyat telah memenangi 89 kerusi.

Analisis

Kerusi BN: 79 (BN dalam PRU-14) – 59 (BN + GRS + GPS dalam PRU-15) = 20

Kerusi PH: 101(PH – Bersatu dalam PRU-14) – 82 (PH dalam PRU-15) = 19

Kerusi PN: 30 (PAS + Bersatu dalam PRU-14) – 74 (PN dalam PRU-15) = 44 kerusi

Ertinya, PN telah memenangi 20 kerusi daripada BN dan 19 kerusi daripada PH dalam PRU-15.

Ada pengulas dalam kalangan PH dan BN yang mendakwa bahawa penyumbang terbesar kepada kemenangan besar PN dalam PRU-15 adalah wang yang disuap kepada para pengundi. Tetapi gelombang ini berterusan dalam PRN 2023 walaupun banyak akaun PN telah dibekukan kerana kononnya terlibat dalam penyiasatan terhadap sangkaan salah guna kuasa oleh Menteri-menteri PN pada tempoh tahun 2020 hingga 2022. Tetapi dalam PRN 2023, jumlah kerusi DUN yang dimenang oleh PN di 6 buah negeri telah bertambah dari 89 kepada 146. (Jadual 2)

Jadual 2: Jumlah kerusi DUN yang dimenangi dalam PRN 2023 berbanding PRU-14

  Negeri  2018: BN + PH  2018 BERSATU  2018 PAS  2022: BN + PH  2022: PN
  Negeri Sembilan  36  0  0  31  5
  Selangor  49  6  1  34  22
  Pulau Pinang  37  2  1  29  11
  Kedah  16  5  15  3  33
  Kelantan  8  0`  37  2  43
  Terengganu  10  0  22  0  32
   156  13  76  99  146

Di kawasan-kawasan dengan majoriti Melayu, sokongan untuk UMNO, AMANAH dan PKR telah merosot dalam PRN 2023, dan ramai pengundi mengalih kepada PAS dan BERSATU. Peralihan pengundi Melayu kepada PN berterusan dalam Pilihan Raya Kecil kawasan Parlimen Pulai baru-baru ini, di mana sokongan Melayu untuk PH-BN dianggarkan antara 27% hingga 39%.

Untuk memahami fenomena Gelombang Hijau secara lebih mendalam, kita perlu mengambil kira tiga naratif utama yang wujud dalam kalangan masyarakat Melayu.

Tiga naratif utama dalam masyarakat Melayu

1. Naratif nasionalis Melayu yang menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan harus dikuasai oleh parti Melayu supaya hak dan kepentingan masyarakat Melayu dapat dilindungi dan dipelihara. Analisis golongan nasionalis adalah bahawa masyarakat Melayu telah diabaikan dalam zaman penjajahan dan oleh itu telah dipinggirkan dalam ekonomi moden. Oleh itu, masyarakat Melayu memerlukan bantuan khas untuk dapat membangunkan keupayaannya dan bersaing dalam dunia moden.  Statistik dalam Jadual 3 mempamirkan kedudukan kaum Melayu pada tahun 1973 yang menunjukkan bahawa kerisauan golongan nasionalis Melayu memang mempunyai asas. 

Jadual 3: Nisbah bilangan ahli profesional tertentu di Malaysia pada tahun 1973

  Bidang  Bilangan keseluruhannya  Peratusan Melayu
  Doktor perubatan  1,915  7.6%
  Jurutera  2,244  13.5%
  Doktor pergigian  379  8.4%
  Peguam  809  20.3%
  Akauntan  1,774  17.9%
  Jururawat terlatih  5,623  33.7%
Sumber: Rancangan Malaysia Ketiga 1976-1980. Jadual 8-11

Program-programdi bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membangunkan masyarakat Melayu melalui pendidikan, kuota kemasukan ke dalam Institusi Pengajian Tinggi Awam, biasiswa dan kuota pengambilan untuk jawatan kerajaan telah menambahkan nisbah individu Melayu dalam pekerjaan seperti doktor, peguam, jurutera, guru, pensyarah, jururawat, juruterbang dan kerja lain dalam ekonomi moden. Sebuah kelas menengah Melayu telah dicipta melalui bantuan khas (affirmative action) di bawah DEB dan pengwujudan kelas ini telah melegakan kerisauan masyarakat Melayu terhadap keadaan ekonomi kaum mereka. 

Tetapi walaupun adanya perkembangan positif dalam status ekonomi masyarakat Melayu sepanjang 67 tahun sejak kemerdekaan negara kita, kaum Melayu masih ketinggalan dalam ekonomi negara apabila dibandingkan dengan kaum bukan Bumiputera. Hakikat ini dipamerkan dalam dua jadual yang berikut.

Jadual 4: Simpanan KWSP Median bagi ahli berumur 55 tahun ke bawah

 Simpanan median pada April 2020Simpanan median pada Disember 2022
Melayu  RM16,938*  RM5,529
Cina  RM45,756  RM45,162
India  RM25,724  RM14,929
Bumiputera lain  RM10,591  RM3,302
* Bererti 50% daripada semua pencarum Melayu mempunyai simpanan berjumlah RM 16,938 ke bawah pada bulan April 2020 sebelum skim pengeluaran wang khas kerana COVID-19 dilaksanakan.

Sumber: Jawapan Menteri di Parlimen 2023

Jadual 5: Gaji median pekerja dalam sektor formal pada bulan Mac 2003   

 Gaji median (bulanan)
MelayuRM2200#
CinaRM4000
IndiaRM2500
# bererti 50% daripada pekerja Melayu dalam sektor swasta formal pada bulan Mac 2023 menerima gaji RM2,200 ke bawah.      

Sumber: Kenyataan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan pada 5 Ogos 2023 berdasaran analisis gaji 6.5 juta orang pekerja swasta dalam sektor formal

Kedua-dua set data ini menunjukkan bahawa dalam sektor formal (di mana caruman KWSP dibuat), gaji purata pekerja Melayu adalah sangat rendah berbanding gaji purata pekerja kaum Cina. Oleh itu, simpanan KWSP pekerja Melayu juga kecil berbanding simpanan KWSP pekerja Cina dan India. Jadual 4 juga menunjukkan bahawa pekerja Cina dalam sektor formal mempunyai aset kewangan yang mencukupi untuk bertahan pada zaman Perintah Kawalan Pergerarakan (PKP) dan majoriti antara mereka tidak terpaksa mengeluarkan wang simpanan pesaraan untuk menangani krisis pengecutan pendapatan pada zaman PKP.  

Data seperti ini menjadi alasan bagi golongan nasionalis mendesak untuk meneruskan dan memperkasakan program-program untuk meningkatkan ekonomi kaum Melayu. Dan mereka amat tidak setuju dengan syor-syoruntuk mengamalkan sistem “meritokrasi” dalam kemasukan pelajar ke kolej dan universiti kerana mereka risau pelajar Melayu masih tidak dapat bersaing. Untuk menjamin polisi-polisimembantu kaum Melayu, golongannasionalis mengutamakan kewujudan parti politik Melayu yang boleh menguasai kerajaan supaya dana kerajaan boleh digunakan untuk membantu komuniti mereka yang masih ketinggalan di belakang.

2. Naratif yang mengutamakan Islam

Naratif kedua dalam masyarakat Melayu adalah bahawa jalan keluar daripada zaman penjajahan, eksploitasi oleh negara-negara Barat dan kemiskinan ke arah sebuah masyarakat yang adil dan makmur adalah melalui menegakkan Islam dan meresapkan nilai-nilai atau/dan undang-undang Islam ke dalam sistem pentadbiran negara. Gerakan politik ini wujud bukan sahaja di Malaysia, tetapi merupakan satu aliran politik utama di banyak masyarakat beragama Islam dari Nigeria ke Senegal ke Tunisia ke Timur Tengah ke Iran, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh dan India ke Indonesia.

Ia merupakan sebahagian daripada arus anti-kolonial. Aliran politik Islam telah wujud di Malaya jauh sebelum parti PAS ditubuhkan pada tahun 1951. Pada bulan Mac 1947, persidangan Islam se-Malaya telah dianjurkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Helmi. Setahun selepas itu, pada bulan Mac 1948, Hizbul Muslimin telah ditubuhkan sebagai sebuah parti politik. Tetapi ia diharamkan oleh pihak penjajah British selepas beberapa bulan atas sangkaan ia mempunyai hubungan dengan Parti Komunis Malaya.

Aktivis progresif zaman ini harus menerima hakikat bahawa agama Islam adalah sebahagian penting dalam identiti dan jati diri penganut-penganutnya. Satu tinjauan yang dilakukan oleh Merdeka Center pada tahun 2022 di mana 1,216 orang anak muda beragama Islam yang berumur 15 hingga 25 tahun ditemu bual, mendapati bahawa lebih daripada 80% responden berkata bahawa agama adalah amat penting pada mereka.     

Aliran politik Islam adalah tidak seragam. Ada antara penganutnya yang mengutamakan pelaksanaan undang-undang Hudud, umpamanya di Nigeria, Mali, Afghanistan, Pakistan, Aceh dan negara lain. Dato’ Seri Tuan Guru Hadi Awang dan beberapa lagi orang pemimpin PAS boleh digolongkan dalam kumpulan ini. Ada juga golongan Islamis yang berpegang pada “Maqasid Syariah” di mana mereka mahu meresapkan nilai-nilai Islam, termasuk keadilan, inklusiviti, kebajikan kepada semua rakyat dan sikap mesra alam, ke dalam sistem pentadbiran negara. Pendekatan ini boleh dilihat dalam Parti Ennahda di Tunisia, Parti Amanah di Malaysia dan juga gerakan-gerakan seperti ABIM dan IKRAM. Malangnya gerakan progresif ini sangat lemah di peringkat akar umbi di Malaysia. PAS jauh lebih aktif.

Penglibatan CIA dan kumpulan perisikan Barat lain telah main peranan utama dalam memupuk dan menghasut puak-puak Islamis yang bercenderungan menggunakan keganasanuntuk mencapai matlamat mereka. Kumpulan-kumpulan sebegini biasanya diperalatkan oleh pihak-pihak Barat untuk sabotaj dan, jika boleh, menggulingkan regim-rejim yang berpendirian berkecuali ataupun pro-Kesatuan Soviet dalam Perang Dingin (1960 – 1990). Tetapi lama-kelamaan puak-puak ini membebaskan diri daripada tajaan Barat mereka dan kini merupakan satu komponen yang kuat dan berbahaya dalam gerakan Islamis di beberapa negara. Ada juga ahli falsafah seperti Ali Shariati di Iran yang menggunakan analisis Marxis sebagai alat untuk menganalisis masyarakat dan sebagai pedoman untuk melaksanakan prinsip-prinsip Islam.          

3. Naratif kelas

Masyarakat Melayu di Malaysia telah mengalami banyak perubahan sejak kemerdekaan negara kita. Pada tahun 1957, lebih kurang 90% daripada masyarakat Melayu berada di kawasan luar bandar dan bekerja sebagai pesawah, pekebun getah, nelayan dan “kerja kampung”. Sekarang ini, hampir 80% daripada populasi Melayu berada di bandar. Hanya lebih kurang 1 juta orang Melayu ataupun 10% daripada Melayu dalam pasaran kerja bekerja sebagai petani dan nelayan.

Pada ketika baru Merdeka, selain daripada kakitangan kerajaan, askar dan polis, tidak banyak orang Melayu yang bekerja untuk gaji di sektor formal. Sekarang ini, pekerja formal di sektor swasta merupakan golongan terbesar dalam masyarakat Melayu – lebih kurang 4 juta orang, ataupun 40% daripada tenaga kerja Melayu. Dan pekerja tidak formal adalah lebih kurang 1 juta orang dan peniaga kecil juga berjumah 1 juta ke atas. Kakitangan kerajaan pula berjumlah 1.6 juta ataupun 16% daripada tenaga kerja orang Melayu.

Gambah rajah di atas memberi satu gambaran kasar terhadap perubahan dalam pekerjaan orang Melayu dari tahun 1957 hingga ke sekarang. Kesimpulannnya adalah masyarakat Melayu telah berubah menjadi sebuah masyarakat di mana majoritinya duduk di bandar dan kebanyakan antara mereka adalah pekerja – di sektor swasta, di sektor bukan formal dan sebagai kakitangan kerajaan. Sebilangan besar (mungkin 10% daripada semua Melayu di pasaran kerja) adalah peniaga kecil.

Sebagai pekerja dan peniaga di bandar, mereka terdedah kepada kesan negatif polisi-polisi neoliberal di mana kos hidup melambung naik – makanan, penginapan, rawatan perubatan, pendidikan anak-anak – tetapi gaji mereka tetap di tahap yang amat rendah. Pada masa yang sama, mereka juga terdedah kepada kekayaan lapisan Melayu yang kaya raya – ahli politik, kaum profesional, pengurus dan CEO syarikat GLC, kontraktor-kontaktorbesar – dan mereka menyaksi dengan mata sendiri betapa mewah kehidupan kaum atasan Melayu ini. Golongan B40 and M40 Melayu di bandar juga sedar tentang amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan elit Melayu.

Kesemua ini telah menjana persepsi kelas di mana ramai pekerja Melayu dan peniaga kecil berrasa tidak puas dengan caranya segelintir kecil Melayu hidup dengan mewah tetapi orang ramai dicabar oleh harga barang yang sering naik, gaji yang tidak mencukupi dan hutang yang semakin membebankan. Inilah persepsi yang menarik ramai orang Melayu untuk menyertai gerakan Reformasi yang dicetuskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) pada tahun 1998.                                                                                                                                         

Punca cetusnya “Gelombang Hijau”

Daripada semua yang dihurai di atas, boleh disimpulkan bahawa ramai pengundi Melayu mengalih kepada PN sekarang kerana:

  • Mereka muak dengan paras rasuah dan salah guna kuasa oleh pemimpin UMNO. Ini adalah satu aspek positif dalam gelombang politik ini.
  • Mereka tidak lagi percaya bahawa PKR dan AMANAH boleh menjaga “kepentingan” masyarakat Melayu selepas pengalaman mereka dalam tempoh dari bulan Mei 2018 hingga Februari 2020 kerana beberapa langkah yang diambil oleh kerajaan PH pertama telah menjejas kepentingan masyarakat Melayu.
  • Mereka berasa lebih yakin terhadap Perikatan Nasional yang dianggotai oleh PAS dan BERSATU kerana ia merupakan sebuah gabungan parti-parti nasionalis dan Islam.

Implikasi Gelombang Hijau

  • Gelombang ini menunjukkan bahawa pentingnya “to get it right the first time”. Ramai dalam kalangan masyarakat Melayu (lebih kurang 25%) sedia meletakkan kepercayaan mereka atas PH pada tahun 2018. PH telah memenangi majoriti mudah pada masa itu – 113 kerusi parlimen dalam PRU-14. Tetapi kerajaan Mahathir-Guan Eng telah melakukan beberapa kesilapan yang mengecewakan dan menakutkan masyarakat Melayu, dan oleh itu, PH sekarang ditolak oleh pengundi Melayu.
  • Gelombang Hijau ini tidak sebegitu “hijau” walaupun wujudnya unsur-unsur Islamis dalamnya. Gambarannya sebagai “hijau” adalah sebahagian daripada strategi PH untuk menakutkan penyokongnya supaya mereka keluar mengundi.
  • Jikalau DSAI dan PH tidak mengambil langkah-langkah tegas untuk merespon pada naratif ketiga yang dihuraikan di atas, dan membukti secara jelas bahawa Kerajaan Perpaduan sanggup melaksanakan polisi dan program untuk membantu masyarakat B40 dan M40, PH-BN akan hilang lebih banyak kerusi kepada PN dalam PRU-16. Malangnya PH telah memegang kepada pendirian bahawa program-programuntuk membantu rakyat B40 terpaksa ditangguhkan sehingga defisit negara diturunkan kepada 3% KDNK.
  • Strategi bergantung pada UMNO untuk menarik balik pengundi Melayu tidak akan berhasil selagi Dato’ Seri Zaid Hamidi memegang jawatan Presiden UMNO. Dia dipandang sebagai orang yang telah melakukan rasuah dan kehadirannya akan terus mendorong pengundi Melayu untuk memilih PN.
  • Ada kemungkinannya PN akan menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas PRU-16.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *