15 MAC 2023 – KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan satu memorandum yang disokong oleh 14 buah organisasi di Malaysia kepada Pejabat Perwakilan Kesatuan Eropah di Malaysia dan Kedutaan Besar Persekutuan Rusia di Kuala Lumpur pada hari ini, untuk menyatakan kebimbangan terhadap perang di Ukraine yang masih berterusan, dan menggesa untuk gencatan senjata serta rundingan damai demi menghentikan perang di Ukraine.

**********

Berikut ialah kandungan memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perwakilan Kesatuan Eropah di Malaysia dan Kedutaan Besar Persekutuan Rusia di Kuala Lumpur:

Kami, organisasi-organisasi yang menyokong memorandum ini, amat bimbang dengan perang yang berpanjangan di Ukraine.

Pencerobohan haram oleh Rusia ke atas Ukraine sejak 24 Feburari 2022, telah mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya ribuan orang, sementara jutaan orang menjadi pelarian. Perang di Ukraine telah mendatangkan kesan-kesan negative ke atas bekalan makanan sedunia dan memburukkan krisis tenaga di Eropah serta negara-negara di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, ia telah memanfaatkan dengan hebat industri persenjataan di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU). Perang ini berisiko memburuk lagi sehingga tercetusnya perang nuklear yang dahsyat sekiranya tiada tindakan diambil untuk mencari penyelesaian secara aman.

Perang bukannya sama sekali jawapan kepada persoalan geopolitik yang kompleks; sebaliknya, ia akan mencetuskan lebih banyak konflik. Dunia kita, yang sudah menghadapi pelbagai krisis, tidak mampu menghadapi satu lagi perang yang berpanjangan dan ancaman malapetaka nukelar. Peperangan ini harus dihentikan demi memelihara kemanusiaan.

Walaupun perang Rusia di Ukraine berada beribu-ribu batu dari Malaysia, sebagai rakyat dunia yang mencintai kedamaian, kami mengecam perang yang sudah membawa begitu banyak kematian, kesengsaraan dan kemusnahan sepenuh kepada sebuah negara berdaulat. Perang ini hanya memanfaatkan industri ketenteraan dan syarikat korporat multinasional yang berkaitan.

Oleh itu, kami, organisasi-organisasi dan warga Malaysia yang prihatin, menyeru semua kerajaan yang bertanggungjawab supaya mengambil tindakan yang diperlukan untuk menamatkan perang ini. Kami menyeru untuk gencatan senjata segera dan perundingan damai. Kami juga menyeru untuk penempatan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang terdiri daripada tentera dari negara-negara bukan NATO untuk menguatkuasakan gencatan senjata.

Kepada kerajaan Rusia, kami menggesa:

  • Gencatan senjata serta-merta dan hentikan semua serangan ketenteraan;
  • Libat diri dalam rundingan damai yang berasaskan semangat saling hormat-menghormati untuk menyelesaikan konflik;
  • Hormati kedaulatan Ukraine dan hak demokratik rakyat Ukraine untuk menentukan nasib sendiri.

Kepada Kesatuan Eropah, kami menggesa:

  • Mengakui bahawa terdapat pihak dalam Perikatan NATO yang hendak meneruskan perang ini untuk sebab-sebab geopolitik dan komersial, dan harus menolak pendirian sebegini;
  • Gunakan diplomasi dalam mendesak rundingan damai untuk menamatkan perang di Ukraine;
  • Elakkan tindakan agresif yang akan membawa kepada peningkatan konflik.

Kami juga menyatakan solidariti kami dengan rakyat Ukraine dan semua orang telah menderita kerana pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Memorandum ini disokong oleh:

  1. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  2. Aliran
  3. Alliance Of River Three
  4. Gabungan Marhaen
  5. Health Equity Initiatives
  6. In Between Cultura
  7. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)
  8. Malaysian Dravidian Association
  9. National Union of Workers in Hospital Support and Allied Services (NUWHSAS)
  10. Pemuda Sosialis PSM
  11. Persatuan Kebajikan Tamilaal Naam Sungai Siput
  12. People Like Us Support Ourselves (PLUsos)
  13. Pusat KOMAS
  14. Sustainable Development Network Malaysia (SUSDEN Malaysia)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *