Wartawan-wartawan India mengadakan perjumpaan tergempar pada 3 Oktober 2023 untuk membantah serangan terhadap media progresif di negara itu. (foto: Peoples Dispatch)

Kerajaan India melancarkan penyerbuan dan penahanan besar-besaran yang menyasarkan media progresif pada 3 Oktober 2023 untuk menyerang kebebasan media di negara itu. Adalah dilaporkan bahawa rumah lebih 100 orang wartawan, pengulas, pelawak, penyelidik, aktivis dan kakitangan organisasi yang dikaitkan dengan media progresif yang beribupejabat di New Delhi (NewsClick dan Peoples Dispatch) telah diserbu, dengan lebih kurang 50 orang telah ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.

Antara mereka yang ditangkap termasuk Prabir Purkayastha (ketua pengarang NewsClick) dan Amit Chakraborty (pentadbir NewsClick). Mereka telah ditangkap di bawah Akta Aktiviti-aktiviti Haram (Pencegahan) (UAPA), sebuah undang-undang zalim yang menyekat kebebasan demokratik di India. Pejabat NewsClick di New Delhi telah ditutup oleh polis selepas ia diserbu.

Mereka yang disoal siasat oleh pihak berkuasa telah ditanya dengan soalan-soalan seperti sama ada mereka telah membuat laporan mengenai protes petani di India, protes menentang Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang bersifat diskriminasi, kegagalan kerajaan India dalam menguruskan pandemik COVID-19 atau apa-apa yang dianggap sebagai “anti-kerajaan”. Dalam sesetengah kes, pihak berkuasa menggeledah rumah orang yang diserbu, di mana salah seorang mengatakan bahawa pihak penguatkuasa melemparkan buku-bukunya ke atas lantai dan merampas semua buku yang ditulis oleh Karl Marx. Kebanyakan orang yang diserbu rumah mereka dan ditahan telah dirampas telefon bimbit dan komputer mereka. Rumah kediaman Sitaram Yechury, Setiausaha Agung Parti Komunis India (Marxis), juga diserbu, kerana anaknya yang tinggal bersamanya bekerja dengan NewsClick.

Penyerbuan dan penahanan besar-besaran terhadap individu-individu yang berkaitan dengan media progresif ini merupakan serangan terbaru kerajaan India pimpinan Narendra Modi terhadap demokrasi di negara itu.

Golongan berhaluan kanan di India telah melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas media progresif di negara itu selepas New York Times menerbitkan berita pada bulan Ogos 2023 yang mendakwa bahawa NewsClick dan beberapa saluran berita progresif yang lain merupakan sebahagian daripada rangkaian progapanda pro-China yang didanai oleh seorang jutawan yang mempunyai hubungan rapat dengan Parti Komunis China. Pihak polis India membuka kes siasatan terhadap Newsclick di bawah UAPA sejak 17 Ogos 2023. Portal berita berhaluan kanan menerbitkan pelbagai laporan yang mendakwa tanpa bukti kukuh bahawa media progresif yang berkenaan sebagai penyebar propaganda China. Ahli-ahli Parlimen daripada parti pemerintah Parti Bharatiya Janata (BJP) yang pelampau kanan juga melemparkan tuduhan yang serupa.

Penyerbuan dan penindasan terhadap media progresif di India telah dikecam oleh pelbagai organisasi progresif, persatuan akhbar dan parti pembangkang di seluruh India, kerana tindakan pihak berkuasa ini amat jelas merupakan serangan yang teruk terhadap demokrasi, kebebasan sivil dan hak asasi manusia.

Biro Politik Parti Komunis India (Marxis) mengecam penyerbuan oleh pihak berkuasa ini dalam kenyataannya pada 3 Oktober 2023, “Ini adalah serangan kurang ajar terhadap media dan hak asasi untuk kebebasan bersuara. Dalam tempoh 9 tahun yang lalu, kerajaan Modi telah mengerahkan agensi penyiasatan utuk menindas, mengganggu dan menakut-takukan pelbagai badan media seperti BBC, Newslaundry, Dainik Bhaskar, Bharat Samachar, The Kashmir Walla, The Wire dan sebagainya, dan sekarang menyerbu semua orang yang berkaitan dengan NewsClick. Serangan autoritarian berskala begitu besar terhadap organisasi-organisasi media dan wartawan-wartawan yang bercakap benar kepada kekuasaan adalah tidak boleh diterima sekali.”

Jawatankuasa Pusat Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan berkata dalam kenyataannya, “Serbuan polis berleluasa terhadap pengarang, wartawan dan kakitangan portal media bebas NewsClick pada 3 Oktober adalah gambaran terbuka tentang kecemasan tidak terkawal yang sedang dihadapi oleh negara ini. Rejim Modi-BJP bertekad untuk menindas setiap suara yang tidak bersetuju dengannya, menyatakan perbezaan pendapat dan bercakap kebenaran kepada kekuasaan… Serbuan berterusan bersama-sama dengan kemerosotan mendadak negara ini dalam kebebasan akhbar semestinya membunyikan loceng penggera bagi setiap orang warganegara yang mencintai demokrasi di negara ini. Kemaraan fasisme rejim Modi-BJP ini harus diberhentikan.”

Perhimpunan Rakyat Antarabangsa (IPA) turut menyuarakan kecamannya terhadap tindakan anti-demokratik kerajaan India pimpinan Modi dalam kenyataannya, “Serbuan hari ini merupakan serangan berbahaya terhadap kebebasan akhbar di India, dan melibatkan semua rakyat yang demokratik dan progresif di seluruh dunia.”

Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga mengecam tindakan keras terhadap media progesif oleh kerajaan Modi di India, dalam satu hantaran X (twitter sebelum ini). PSM menuntut supaya semua orang yang ditahan itu dibebaskan serta-merta.

One thought on “India: Kerajaan Modi serang demokrasi dengan penindasan terhadap kebebasan media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *