(foto: Guillaume Horcajuelo / EPA-EFE)

Lebih 1 juta orang berarak di bandar-bandar seluruh Perancis pada 19 Januari 2023 untuk menyuarakan bantahan terhadap rancangan Presiden Emmanuel Macron yang hendak meningkatkan umur persaraan di negara itu dari 62 tahun kepada 64 tahun. Pekerja-pekerja Perancis juga melancarkan mogok 24-jam di seluruh negara itu untuk membantah rancangan “pembaharuan pencen” yang anti-pekerja.

Mogok pekerja Perancis telah menghentikan perjalanan kereta api, menyekat operasi kilang penapisan minyak dan mengganggu penjanaan kuasa. Banyak sekolah rendah tutup untuk satu hari. Pihak berkuasa menganggarkan 40% guru sekolah rendah bermogok, sementara kesatuan sekerja menganggarkan penyertaan mogok yang lebih tinggi oleh guru sekolah rendah pada 70%. Siaran radio dan televisyen turut terganggu, sementara sesetengah teater dan muzium ditutup. Polis menangkap puluhan orang di Paris dengan alasan mereka melanggar undang-undang seperti membawa senjata haram.

(foto: Lewis Joly / AP Photo)

Kementerian Dalaman Perancis menganggarkan lebih 1 juta orang turun berprotes di jalanan di seluruh Perancis pada 19 Januari 2023, sementara anggaran daripada kesatuan pekerja adalah lebih tinggi, iaitu hampir 2 juta orang mengikut Konfederasi Umum Buruh (CGT). Sama ada anggaran daripada pihak kerajaan ataupun pihak kesatuan pekerja, jumlah orang yang turun berprotes pada kali ini adalah lebih banyak berbanding gelombang protes pertama yang tercetus apabila Macron cuba membawa “pembaharuan” pencen yang sama pada tahun 2019. Kerajaan pimpinan Macron menawarkan kompromi yang menangguhkan rancangan “pembaharuan” buat sementara untuk meredakan kemarahan rakyat pada masa itu. Rancangan meningkatkan umur persaraan tergendala semasa pandemik COVID-19 dan Macron cuba membawa semula rancangan ini selepas dia menang dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2022.

Gelombang mogok dan protes terbaru di Perancis ini merupakan cabaran terbesar kepada Macron yang berada dalam penggal kedua kepresidenannya. Macron mempertahankan “pembaharuan” pencennya dengan mengatakan bahawa rancangannya untuk meningkatkan umur persaraan adalah “adil dan bertanggungjawab”, dan adalah perlu untuk membantu dalam memperkukuhkan situasi kewangan kerajaan. Namun, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Perancis membantah rancangan tersebut.

Menurut anggaran Kementerian Buruh Perancis, meningkatkan umur persaraan 2 tahun akan menjana €17.7 bilion tambahan dalam caruman pencen tahunan dan membolehkan sistem pencen mencapai tahap pulang modal menjelang tahun 2027. Kesatuan-kesatuan pekerja di Perancis mempertikaikan pendekatan sebegini untuk menjana dana pencen, kerana adanya cara lain untuk menjana dana seperti mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas golongan maha kaya atau meningkatkan kadar caruman pihak majikan.

Kesatuan-kesatuan pekerja Perancis berkata dalam satu kenyataan bersama, “Setiap orang tahu bahawa peningkatan umur persaraan hanya menguntungkan majikan dan golongan kaya.” Tulisan dalam satu kain sepanduk yang dibawa oleh pekerja di bandar Tours membawa mesej, “Gaji dan bayaran pencen yang harus ditingkatkan, bukannya umur persaraan!”

(foto: Stephane Mahe / Reuters)

Dengan penyertaan dalam aksi mogok yang menggalakkan pada 19 Januari 2023, kesatuan-kesatuan pekerja utama di Perancis telah menyeru untuk mengadakan satu lagi aksi mogok pada 31 Januari 2023.

Rang undang-undang untuk meningkatkan umur persaraan akan dibahaskan di dalam Parlimen Perancis pada 29 Januari hingga 26 Mac 2023. Parti yang menyokong kerajaan Macron tidak menguasai majoriti dalam Parlimen, maka dia memerlukan sokongan daripada parti konservatif untuk meluluskan rancangannya. Sekiranya kerajaan pimpinan Macron berdegil untuk meneruskan rancangan “pembaharuan” pencen yang memangsakan pekerja, sudah pasti akan adanya lebih banyak aksi protes sepanjang tempoh perbahasan di Parlimen.

2 thoughts on “Perancis: Protes dan mogok pekerja bantah peningkatan umur persaraan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *