20191206 - _110022605_france11

Walaupun momentum gerakan Jaket Kuning (Gilets jaunes) sudah merosot pada ketika ia menyambut ulangtahun pertamanya pada bulan lalu, tetapi negara Perancis sekarang dilanda pula dengan gelombang aksi mogok pekerja yang terbesar sejak tahun 2010.

Pekerja-pekerja Perancis yang marah pada rancangan kerajaan Presiden Emmanuel Macron untuk melaksanakan “pembaharuan” terhadap pencen yang bakal menghakis perlindungan hari tua mereka, melancarkan mogok besar-besaran pada 5 Disember 2019. Pekerja-pekerja keretapi, guru-guru, anggota-anggota bomba, pekerja-pekerja perubatan dan ramai lagi dari berbagai sektor pekerjaan telah mengambil bahagian dalam aksi mogok dan protes. Mogok pekerja-pekerja pengangkutan telah melumpuhkan hampir seluruh negara Perancis. Perkhidmatan keretapi, metro dan bas diganggu dengan hebatnya oleh mogok, banyak penerbangan terpaksa dibatalkan, manakala banyak sekolah ditutup, dan tempat tarikan pelancong seperti Menara Eiffel di Paris turut ditutup… Ini merupakan cabaran yang terbesar setakat ini terhadap kerajaan pimpinan Macron yang mengamalkan dasar neoliberal selepas tercetus gerakan Jaket Kuning pada tahun lalu.

20191206 - gettyimages-1186559807

Menurut salah satu gabungan kesatuan pekerja yang terbesar di Perancis, Konfederasi Umum Buruh (Confédération Générale du Travail, CGT), 1.5 juta orang mengambil bahagian dalam aksi protes pada 5 Disember 2019 di seluruh negara Perancis. Pihak polis pula memberikan angka lebih 800,000 orang berprotes di jalanan. CGT juga mengatakan bahawa pekerja-pekerja juga telah membuat sekatan di 7 daripada 8 buah loji penapisan minyak di negara itu, dengan potensi menyebabkan kekurangan bahan api jika mogok berterusan. Kerajaan Perancis pimpinan Macron masih tegas dengan pendiriannya untuk meneruskan rancangan “pembaharuan”nya terhadap sistem pencen, sementara beberapa kesatuan pekerja telah mengundi untuk meneruskan aksi mogok, termasuk kesatuan pekerja keretapi dan metro.

Macron mahu memperkenalkan satu sistem pencen baru yang bersepadu berasaskan “markah”, untuk menggantikan 42 jenis skim pencen yang berlainan di kedua-dua sektor awam dan swasta di negara itu dengan umur dan faedah persaraan yang berbeza. Pembentukan sistem pencen yang bersepadu ini akan menghapuskan pencen yang paling memanfaatkan pekerja dalam beberapa jenis pekerjaan. Walaupun Macron tidak (atau belum lagi) mencadangkan peningkatan umur persaraan daripada 62 tahun sekarang ini, tetapi mereka yang bersara sebelum umur 64 tahun akan mendapat bayaran pencen yang lebih rendah berasaskan “markah” yang diperoleh di bawah sistem pencen baru yang dicadangkan. Rancangan ini menyebabkan ramai pekerja terpaksa bekerja lebih lama untuk pencen yang lebih rendah. Misalnya untuk pekerja metro, hak mereka untuk bersara lebih awal, sesuatu yang telah dimenangi oleh kesatuan mereka sejak berdekad-dekad lalu sebagai pampasan untuk jam kerja panjang di bawah tanah, akan tergadai di bawah sistem pencen baru yang dicadangkan oleh kerajaan Macron.

Sejak berkuasa pada tahun 2017, Macron telah melakukan beberapa “pembaharuan” yang bersifat neoliberal, termasuk melonggarkan undang-undang buruh dan mengurangkan cukai untuk golongan peniaga kaya. “Pembaharuan” pencen terbaru ini hanya salah satu dasar neoliberal yang bertujuan untuk menyelamatkan sistem kapitalis dengan menghakis hak pekerja yang dimenangi oleh gerakan pekerja sejak dulu lagi. Kerajaan Macron masih adanya “pembaharuan” dalam rancangannya terhadap serangan terhadap faedah pengangguran yang belum dilancarkan lagi. Sudah pasti perjuangan melawan dasar neoliberal akan diteruskan dengan momentum yang lebih hebat.

20191206-_110021847_1b889f16-5200-4465-b438-32221992e931