Ibu pejabat Konfederasi Kesatuan Sekerja Korea (KCTU), salah sebuah organisasi kesatuan pekerja yang terbesar di Korea Selatan, telah diserbu oleh agensi perisikan dan polis pada 18 Januari 2023. Selain itu, pejabat Kesatuan Pekerja Kesihatan dan Perubatan yang bersekutu dengan KCTU turut diserbu. Serbuan pihak berkuasa ke atas pejabat kesatuan sekerja ini merupakan usaha terbaru rejim konservatif berhaluan kanan di negara itu untuk mematahkan gerakan pekerja yang progresif dan mengalihkan perhatian awam daripada kegagalan pentadbirannya.
Puluhan anggota Perkhidmatan Perisikan Negara (NIS) menjalankan operasi penyerbuan ke atas ibu pejabat KCTU di Seoul selama 10 jam pada 18 Januari 2023, dengan dakwaan bahawa adanya anggota KCTU yang mempunyai hubungan dengan Korea Utara. lebih 1,000 orang anggota polis yang berkelengkapan pelbagai senjata dan bomba telah dikerahkan untuk mengepung ibu pejabat KCTU. Jelasnya pengerahan anggota pasukan keselamatan dalam jumlah begitu besar dalam operasi tersebut hanya bertujuan untuk memburukkan imej KCTU dan menakut-takutkan orang ramai.
NIS mendakwa bahawa seorang kakitangan KCTU, 2 orang ahli KCTU dan seorang lagi aktivis yang tinggal di Pulau Jeju telah melanggari Akta Keselamatan Negara yang digubal pada tahun 1948 semasa zaman Perang Dingin. Korea Selatan masih kekal dalam keadaan berperang secara rasmi dengan Korea Utara selepas perjanjian gencatan sejata untuk Perang Korea tercapai pada tahun 1953, dan masih menggunakan Akta Keselamatan Negara yang digubal semasa zaman pemerintahan kediktatoran Syngman Rhee untuk menyekat kebebasan demokratik. Mereka yang dikatakan memiliki penerbitan atau bahan-bahan lain yang dikeluarkan di Korea Utara boleh dianggap sebagai melakukan kesalahan jenayah di bawah undang-undang keselamatan yang digubal untuk melindungi golongan berkuasa. Badan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah lama memberi saranan kepada kerajaan Korea Selatan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Negara yang mencabul hak asasi manusia itu.
Sejak kebelakangan ini, pihak berkuasa Korea Selatan telah melakukan siri serbuan ke atas rumah kediaman aktivis dengan tuduhan bahawa wujudnya “rangkaian pengintip” dalam kalangan kumpulan progresif di negara itu. Siri serbuan ini berlaku pada ketika kadar sokongan untuk Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, berada pada paras yang rendah dalam tinjauan pendapat di negara itu. Yoon Suk-yeol menjadi Presiden selepas dia menang dalam Pilihan Raya Presiden pada bulan Mac 2022 dengan meraih 48.56% undi. Yoon Suk-yeol telah dilanda pelbagai kontroversi, seperti amalan nepotisme dalam perlantikan jawatan, skandal korupsi yang melibatkan isterinya dan konflik dalaman parti pemerintah. Yoon Suk-yeol juga berdepan dengan sentimen anti-perang yang semakin meningkat, protes membantah kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan, dan gelombang mogok pekerja yang berleluasa, seperti mogok pemandu trak baru-baru ini.
Yang Kyeung-soo, Presiden KCTU, berkata dalam kenyataannya pada 19 Januari 2023, “Sungguh menyedihkan melihat demokrasi yang telah dibina untuk berdekad-dekad lamanya dipijak sepenuhnya oleh seorang individu, Presiden negara ini. Akta Keselamatan Negara, yang berakarkan Undang-undang Keselamatan Awam semasa zaman penjajahan Jepun dan sepatutnya telah lesap sebagai peninggalan masa lampau, bergiat semula pada hari ini. Ini menyedarkan kita tentang betapa besarnya mudarat yang boleh ditimbulkan oleh sejarah masa lampau yang belum dibersihkan.”
“Penggeledahan dan penyitaan di pejabat KCTU semalam ialah satu pertunjukan pentas yang diarahkan oleh NIS atas permintaan Presiden,” kata Yang Kyeung-soo. “Lebih kurang seribu orang pegawai polis telah dikerahkan untuk menggeledah dan menyita sebuah meja di dalam ruang kecil yang kurang daripada 3.3 meter persegi, dan malah juga telah diletakkan sebuah tangga bergerak dan tilam. Semasa penggeledahan dan penyitaan dijalankan, polis memberitahu kawasan kejiranan melalui pembesar suara bahawa penggeledahan dan penyitaan sedang dilakukan ke atas KCTU kerana melanggar Akta Keselamatan Negara. Isu kandungan waran, yang sepatutnya tersekat kepada hanya boleh dibaca oleh pihak berkenaan dan peguam mereka, telah diedarkan melalui media, disebarkan dan diterbitkan semula tanpa asas.”
“Apakah tujuan operasi yang diheboh-hebohkan ini?” ulas Yang Kyeung-soo. “Ia adalah untuk menutupi bencana diplomatik Presiden semasa lawatannya ke luar negara. Ia adalah usaha terdesak NIS untuk melindungi mandat penyiasatan anti-komunis, yang akan dipindahkan kepada polis pada tahun depan. Ia adalah satu kekejaman untuk memastikan Akta Keselamatan Negara mendahului keputusan Mahkamah Perlembagaan pada penghujung perbicaraan awam tentang pemansuhannya. Ia adalah untuk mengaburi krisis kehidupan rakyat, dan krisis diplomasi yang disebabkan oleh ketidakcekapan dan ketidakbertanggungjawaban kerajaan serta perpecahan dalaman parti pemerintah. Ia adalah serangan untuk menutupi mulut KCTU, yang tidak berhenti menghebahkan kritikan pedas terhadap kerajaan.”
“KCTU akan berjuang secara kental untuk menghalang rejim Yoon Seok-yul daripada melarikan diri,” tegas kata Yang Kyeung-soo. “Kami akan bekerjasama dengan pekerja-pekerja dan rakyat biasa yang sedang bergelut dengan kenaikan harga dan kadar faedah. Wahai rakyat sekalian, sila Bersatu untuk melindungi demokrasi, keamanan, dan kehidupan pekerja-pekerja serta rakyat biasa. Kita adanya kuasa untuk menghalang rejim Yoon Seok-yul daripada melarikan diri. Janganlah kita bertoleransi dengan rejim yang anti-demokratik, anti-rakyat dan anti-buruh yang diketuai oleh pihak pendakwaan dan NIS. KCTU akan lawan di barisan hadapan.”