Walaupun gaji minimum RM1,500 mula berkuatkuasa pada 1 Mei 2022, tetapi syarikat kontraktor yang mengupah pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di premis kerajaan memberi pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan pembayaran gaji minimum RM1,500. Perkara ini didedahkan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dalam sidang akhbar atas talian yang diadakan pada hari ini (2 Jun 2022) untuk mengetengahkan masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi berkenaan pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

Menurut Danial Hakeem, Penyelaras JPKK, pihak JPKK telah menerima banyak aduan daripada pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sekolah yang menyatakan bahawa pihak kontraktor tidak akan melaksanakan gaji minimum RM1,500 yang sepatutnya berkuatkuasa mulai bulan Mei 2022. Pihak kontraktor telah memberikan pelbagai alasan, seperti kontrak perjanjian antara mereka dengan kerajaan masih berdasarkan kadar gaji minimum yang lama, dan hendak terus membayar gaji minimum pada kadar lama RM1,200 sehingga kontrak mereka tamat.

Kegagalan pihak kontraktor melaksanakan kadar gaji minimum baharu RM1,500 telah menyebabkan sesetengah pekerja pembersihan sekolah berhenti kerja dan mencari rezeki di tempat lain yang dapat membayar upah sekurang-kurangnya pada kadar gaji minimum baharu. Ini mewujudkan krisis kekurangan pekerja pembersihan di sekolah kerajaan.

“JPKK ingin menegaskan bahawa peranan kerajaan adalah sebagai penunjuk teladan kepada sektor swasta dalam isu penjagaan kebajikan pekerja,” kata Danial Hakeem. “Syarikat yang kewangan tidak kukuh tidak boleh terus dianugerahkan tender tanpa mengambil kira rekod perkhidmatan mereka. Terlalu banyak syarikat yang beroperasi di sekolah kerajaan melanggar undang-undang, seperti tidak membayar ikut kadar gaji minimum, tidak memberikan cuti tahunan dan cuti sakit, dan terus beroperasi tanpa dikenakan sebarang tindakan. Ada juga individu-individu yang terus mendapat tender berulang kali walaupun banyak rekod aduan pekerja dikemukakan.”

JPKK menggesa kerajaan untuk memastikan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 di bangunan kerajaan sekarang juga, dan memastikan kontraktor tidak memberikan alasan tiada wang untuk membayar gaji minimum. Selain itu, JPKK juga menggesa supaya kontraktor yang bermasalah dan enggan untuk membayar gaji minimum RM1,500 itu disenaraihitamkan daripada terus mendapat kontrak kerajaan.

Yunus, seorang pengawal keselamatan di sekolah, berkata bahawa rakyat sekarang ini sudah dibebankan dengan kenaikan harga barang tetapi peningkatan kadar gaji minimum yang dijanjikan oleh kerajaan masih belum dilaksanakan. “Syarikat memberi pelbagai alasan untuk tidak membayar ikut kadar gaji minimum RM1,500, seperti tiada lagi surat daripada Kementerian, tiada wang untuk pusingan modal dan sebagainya,” kata Yunus.

Menurut Sivaranjani Manickam, Penyelaras JPKK, pihak JPKK bukan sahaja menerima aduan daripada pekerja-pekerja kontrak yang bekerja di premis kerajaan melalui talian hotline Sistem Aduan Pekerja (SiAP), tetapi turut menerima aduan daripada banyak pekerja swasta di seluruh negara yang masih belum dibayar gaji pada kadar gaji minimum baharu RM1,500.

“Kami di sini ingin menekankan bahawa jika kontraktor kerajaan pun tidak boleh melaksanakan satu polisi atau undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri, bagaimana kerajaan boleh memastikan majikan-majikan di sektor swasta untuk melaksanakannya?” kata Sivaranjani. “Terdapat kontraktor yang tidak bayar gaji kepada pekerja berbulan-bulan, sekarang ini gaji minimum pun tidak mampu bayar, tetapi mereka terus dapat kontrak daripada kerajaan. Kenapa kerajaan begitu bertolak ansur pada kontraktor-kontraktor sebegini?”

Chong Yee Shan daripada Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) yang turut hadir dalam sidang akhbar atas talian berkata bahawa daripada tinjauan awal Kesatuan, didapati bahawa hanya pekerja-pekerja pembersihan hospital kerajaan di empat buah negeri sahaja yang menerima gaji pada kadar gaji minimum baharu RM1,500 pada bulan Mei 2022. “Kami mendapat maklumat bahawa syarikat kontraktor di beberapa buah negeri belum melaksanakan kadar gaji minimum baharu pada bulan Mei ini, dan alasan majikan adalah mereka belum terima surat daripada Kementerian Kesihatan,” kata Chong Yee Shan. “Ini ialah alasan yang sangat tidak munasabah dan tidak masuk akal. Mereka cuba menggunakan alasan ini untuk mengelirukan pekerja-pekerja di hospital kerajaan.”

“Semua kontraktor yang mendapat kontrak perkhidmatan pembersihan di hospital ialah syarikat yang besar. Antara 5 buah syarikat konsesi utama yang mendapat kontrak perkhidmatan pembersihan di hospital kerajaan, 4 buah syarikat ialah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Takkan GLC tidak boleh memainkan peranan dalam pematuhan pembayaran gaji minimum?” ulas Chong Yee Shan. “Jika GLC tidak dapat menjadi teladan yang baik kepada syarikat swasta yang lain dalam menjaga hak pekerja, ini satu masalah yang serius.”

Sebelum ini, JPKK telah membangkitkan pelbagai masalah berkaitan dengan penyumberan luar perkhidmatan sokongan di bangunan kerajaan kepada syarikat kontraktor swasta, seperti tiada jaminan kerja, tidak dibayar gaji berbulan-bulan, kelewatan pembayaran gaji, caruman KWSP tidak dibuat, tiada cuti dan sebagainya. JPKK menggesa untuk menghapuskan sistem kontrak bagi pekerjaan tetap di bangunan kerajaan, dan menyerap pekerja-pekerja kontrak di bangunan kerajaan ini (seperti pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun) sebagai pekerja tetap yang diupah secara langsung oleh kerajaan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s