Pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam yang mengadakan aksi protes dan bersedia untuk berkampung di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 29 Mac 2022 akhirnya mendapat bayaran gaji mereka yang sudah tertunggak selama 4 bulan.

Sebanyak 53 orang pekerja pembersihan di 19 buah sekolah di sekitar kawasan Sabak Bernam mengalami masalah tidak dibayar gaji sejak bulan November 2021. Mereka mengadakan aksi protes di Pejabat Perdana Menteri untuk menggesa campurtangan pihak kerajaan untuk menjelaskan semua tunggakan gaji mereka selama 4 bulan itu dan menyenaraihitamkan syarikat kontraktor yang gagal membayar gaji pekerja tepat pada masanya setiap bulan itu.

Pekerja-pekerja yang berprotes di Putrajaya pada 29 Mac 2022 pada awalnya bersedia untuk berkampung dan bermalam di situ sehingga gaji mereka dibayar. Namun, selepas bertemu dengan wakil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan mendapat pengesahan bertulis bahawa semua tunggakan gaji akan dibayar selewat-lewatnya pada 1 April 2022, maka mereka pun pulang selepas itu.

Jaringan Pekerja Kontrak kerajaan (JPKK) telah memantau janji yang diberikan itu dan mengesahkan bahawa tiga buah syarikat kontraktor yang berkenaan telah menyelesaikan bayaran tunggakan gaji sejak bulan November 2021 ini. Penyelesaian tunggakan gaji 4 bulan ini merupakan tuntutan pokok pekerja-pekerja pembersihan sekolah yang berprotes. Ini merupakan satu kejayaan besar kepada pekerja-pekerja pembersihan sekolah yang berani memperjuangkan hak mereka sehingga turun berkampung di Putrajaya.

Walau bagaimanapun, JPKK mendapati adanya aduan daripada pekerja tentang potongan gaji yang tidak sah. Oleh itu, JPKK akan meneruskan tuntutan terhadap potongan gaji yang tidak berasas ini di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) nanti. JPKK juga akan terus meneliti aduan daripada pekerja tentang tunggakan caruman KWSP, PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang masih belum diselesaikan oleh syarikat-syarikat berkenaan.

Selain itu, JPKK dan pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam akan terus mendesak agar syarikat-syarikat kontrak yang bermasalah itu digantikan dengan syarikat-syarikat kontraktor yang lebih layak dan mampu menjaga kebajikan pekerja. JPKK juga bertekad untuk memperjuangkan supaya sistem kontrak yang memangsakan pekerja ini dihapuskan pada masa hadapan.

JPKK juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak memberikan sokongan, dorongan, bantuan dan solidariti kepada pekerja-pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam dalam usaha mereka memperjuangkan hak mereka.

2 thoughts on “Pekerja pembersihan sekolah Sabak Bernam dibayar gaji tertunggak 4 bulan selepas beraksi di Putrajaya

Leave a Reply

Your email address will not be published.