oleh Arveent Kathirtchelvan

Pemuda Sosialis menyokong kenyataan Pemuda DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan yang menggesa kerajaan untuk mengembalikan pilihanraya di peringkat wilayah dan kerajaan tempatan di Kuala Lumpur. Akan tetapi, Pemuda Sosialis khuatir atas fokusnya pada Kuala Lumpur sahaja, malah ingin menggesa pilihanraya tempatan dikembalikan untuk seluruh Malaysia.

Yang aneh ialah DAP sendiri tidak memandang serius hal ini di dalam negeri yang ditadbirnya, Pulau Pinang. Pada tahun 2018, PSM Pulau Pinang berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yew, dan mengetengahkan keperluan untuk mengembalikan pilihanraya tempatan. Walaupun Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 dibawa dan diluluskan, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan memberi komitmen untuk melaksanakan pilihanraya. Walau bagaimanapun, perubahan di peringkat Persekutuan selepas PRU-14 pada masa itu menampakkan peluang yang cerah untuk mengembalikan pilihanraya tempatan. Impian ini tidak terhasil akibat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak cekap. PSM Pulau Pinang juga menekankan pemilihan demokratik untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung.

Malah, pada tahun yang sama, Perdana Menteri PH Mahathir pada masa itu pula menyatakan bahawa pilihanraya tempatan mungkin akan membawa kepada konflik perkauman dalam negara. Saudara Choo Chon Kai daripada Jawatankuasa Pusat PSM mengkritik kenyataan ini dan mengetengahkan cara-cara mengatasi isu perkauman. Menurut Chon Kai, pengenalan sistem perwakilan berkadar dalam pilihanraya tempatan, dapat membantu dalam menghasilkan keputusan yang mencerminkan pilihan pengundi yang sebenar.

Saudara Chon Kai juga memperkenalkan sistem Kawasan Pilihanraya dengan Perwakilan secara Berkumpulan, walaupun sistem ini mempunyai banyak kekurangan. Dalam satu kawasan pilihanraya yang mempunyai beberapa orang wakil rakyat, boleh diwujudkan syarat bahawa setiap senarai atau pasukan calon perlu mempunyai sekurang-kurangnya suatu bilangan tertentu calon wanita (untuk memastikan keseimbangan gender) atau suatu bilangan tertentu calon yang mengikut kumpulan etnik (untuk memastikan kesimbangan perwakilan mengikut kumpulan etnik).

Pada tahun 2020, saudara Nik Aziz Afiq, Ketua Pemuda Sosialis ketika itu, menekankan bahawa pilihanraya tempatan dapat meningkatkan kecekapan ahli majlis yang kini bekerja sambil lewa sebab dilantik atas alasan politik. Sebagai contoh, isu-isu tempatan seperti isu longkang tersumbat, isu pungutan sampah yang tidak mengikut jadual, isu lesen penjaja kecil bagi gerai tepi jalan dan banyak lagi perkara yang boleh diselesaikan dengan peranan Ahli Majlis tanpa perlu meletakkannya di bahu wakil rakyat DUN atau Parlimen. Tambahan lagi, rancangan pembangunan setempat, belanjawan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pelbagai lagi perkara akan mendapat semak-dan-imbang daripada Ahli Majlis yang dipilih melalui pilihanraya PBT ini.

Perkara pokoknya ialah semua poin yang dibawa oleh aktivis PSM tidak mengekangkan pilihanraya tempatan kepada mana-mana lokaliti. Kami sebagai pejuang isu ini tidak patut memberi apa-apa peluang kepada musuh rakyat yang ingin mengkerdilkan kuasa rakyat untuk melaksanakan sesuatu perubahan sistem yang tidak mencukupi. Mungkin juga selepas melaksanakan pilihanraya tempatan di Kuala Lumpur, kerajaan BN dan PN menggunakannya sebagai alasan untuk menangguhnya di tempat lain.

Juga patut ditekankan bahawa fokus pada Kuala Lumpur menganaktirikan tempat lain, sepertimana yang berlaku hari ini dari segi ekonomi dan pembangunan. Tidak patut kami sebagai pejuang isu pilihanraya tempatan teruskan diskriminasi ini. Pilihanraya tempatan harus dilaksanakan di seluruh Malaysia serta-merta!

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *