Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (juga dikenali sebagai NUWHSAS) akan menganjurkan satu konvoi motosikal dari Pulau Pinang ke Putrajaya, untuk membawa masalah yang dihadapi pekerja-pekerja pembersihan hospital di bawah sistem pekerjaan kontrak tempoh terhad (fixed term contract) dan tuntutan pekerja kepada perhatian Kerajaan Persekutuan.

Konvoi motosikal ini akan diadakan selama 4 hari pada 5-8 Februari 2022, bermula dari Hospital Bukit Mertajam di Pulau Pinang, menjelajah ke selatan menuju ke Putrajaya, dan berakhir dengan penyerahan memorandum yang ditujukan kepada Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan.

Motosikal digunakan sebagai kenderaan utama untuk kempen konvoi pekerja pembersihan ini, kerana 80% pekerja pembersihan di hospital kerajaan pergi bekerja dengan menunggang motosikal. Disebabkan gaji pekerja pembersihan hospital amat rendah, iaitu hanya RM1,200 sebulan, tambahan pula dengan kontrak pekerjaan yang diperbaharui setiap 1-2 tahun, maka amat sukar untuk mereka mendapat pinjaman daripada bank untuk membeli kenderaan yang lain seperti kereta, atau membeli rumah. Menunggang motosikal adalah simbolik, menunjukkan betapa teruknya sistem kontrak telah mengeksploitasi kaum pekerja B40.

Dalam sidang akhbar yang mengumumkan kempen konvoi motosikal ini, Roziah, Pengerusi NUWHSAS, berkata bahawa pihak kesatuan pernah menyerahkan 5 memorandum kepada Kementerian Kesihatan dari tahun 2015 hingga 2021, tetapi tidak mendapat maklum balas daripada pihak Kementerian. Oleh itu, NUWHSAS berhasrat untuk menyampaikan memorandum yang mengandungi tuntutan-tuntutan pekerja pembersihan hospital kepada Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan terkini supaya pihak Kementerian Kesihatan dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan pekerja perkhidmatan sokongan yang penting di barisan hadapan sistem kesihatan awam ini.

Turut hadir dalam sidang akhbar ialah Rita, seorang yang telah menjadi pekerja pembersihan hospital selama 9 tahun tetapi diberhentikan kerja apabila tamat tempoh kontrak kerana dia aktif dalam kegiatan kesatuan sekerja yang memperjuangkan hak pekerja. Rita menyatakan sokongannya kepada kempen konvoi motosikal ini untuk bersama-sama menuntut hak bagi pekerja-pekerja pembersihan hospital, termasuk jaminan kerja dan kebebasan untuk menyertai kesatuan.

“Banyak kawan-kawan sekerja saya telah diugut bahawa mereka akan dibuang kerja jika masuk kesatuan,” kata Roziah, Pengerusi NUWHSAS. NUWHSAS menyeru kepada kerajaan untuk menghentikan segala penindasan terhadap kesatuan sekerja.

Kempen konvoi motosikal pekerja-pekerja pembersihan hospital ini mengetengahkan 3 tuntutan utama, iaitu:

  1. Hapuskan sistem kontrak dan serap kembali pekerja kontrak sebagai pekerja tetap yang diupah secara langsung oleh kerajaan;
  2. Bayar elaun COVID-19 kepada semua pekerja hospital kerajaan, termasuk pekerja pembersihan;
  3. Hentikan pemerasan terhadap kesatuan.

Pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital di empat buah negeri Utara Pantai Barat, telah menghadapi pelbagai ancaman terhadap hak kesatuan mereka selepas Edgenta UEMS mengambilalih kontrak perkhidmatan pembersihan di hospital-hospital berkenaan pada bulan Januari 2020. Pihak syarikat Edgenta UEMS enggan mengiktiraf hak kesatuan pekerja, malah menggunakan pelbagai taktik untuk mematikan kesatuan. NUWHSAS telah membawa isu-isu yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan hospital kepada perhatian Kementerian Kesihatan, tetapi masalah masih berterusan. NUWHSAS bercadang untuk mengetengah semula isu-isu ini melalui kempen konvoi motosikal yang menjelajah dari Pulau Pinang ke Putrajaya, dan menggesa pihak kerajaan untuk mengambil serius terhadap hak dan kebajikan pekerja pembersihan hospital kerajaan.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut menyatakan sokongan kepada konvoi motosikal pekerja pembersihan hospital ini dan menggesa pada Menteri Kesihatan untuk mencampurtangan dalam menghentikan segala tindakan menindas kesatuan sekerja yang dilakukan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Edgenta UEMS.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

2 thoughts on “Jelajah motosikal dari Pulau Pinang ke Putrajaya: Pekerja pembersihan hospital tuntut hak dan kebajikan pekerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *