oleh S. Arutchelvan

Semalam (8 Februari 2022), Kesatuan Pekerja Pembersihan Hospital (NUWHSAS) yang yang menunggang motosikal sejauh 530 km dari Bukit Mertajam ke Putrajaya berjaya menghabiskan program dengan menyerahkan memorandum kepada Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan sendiri.

Saya anggap ini sesuatu yang bersejarah, tetapi ramai yang agak pesimis kerana mereka cakap ahli politik mesti berwayang sahaja. Namun demikian, apa yang berlaku ini adalah signifikan, kerana Menteri ini membuat sidang akhbar di lobi luar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di hadapan semua orang walaupun pada awalnya hanya 5 orang wakil pekerja sahaja dibenarkan masuk ke dalam. Selain itu, beliau dengan tegasnya berkata bahawa pekerja pembersihan juga harus dihormati dan mereka juga ialah frontliner. Beliau juga berkata bahawa walaupun majikan mereka ialah syarikat konsesi tetapi kerajaan tidak boleh cuci tangan dan dia akan panggil mereka untuk bermesyuarat. Saya anggap pandangan beliau senada dengan perjuangan pekerja pembersihan.

Sepanjang 4 hari kempen konvoi motosikal, hampir semua hospital menutup pintu depan dengan pengawal keselamatan tidak membenarkan konvoi masuk ke dalam. Pekerja-pekerja pembersihan yang lain disekat daripada keluar menyambut kesatuan sekerja mereka. Mereka dihina oleh majikan dan supervisor mereka kerana membuat kerja sia-sia ini, cuti sebahagian daripada mereka disekat. Namun, mereka tetap teruskan perjalanan. Apabila Menteri sendiri berjumpa dengan mereka, maka saya nak katakan kepada semua pihak yang menghalang: padan muka kau!

Pada masa yang sama, kita tidak boleh meremehkan perjuangan kesatuan sekerja yang disokong padu oleh parti politik berjiwa pekerja – PSM. Dulu perjuangan Ladang Asahan yang berarak dari Bukit Asahan, Melaka, ke Kuala Lumpur. Mereka berjalan kaki dan disokong sepenuhnya oleh Parti Rakyat. Hari ini, Kesatuan Pekerja Pembersihan bermotosikal dari Utara ke Putrajaya dan disokong sepenuhnya oleh PSM.

Slogan semasa perjuangan pekerja Ladang Asahan ialah “Berani Lawan, Berani Menang”. Hari ini, kita juga berkata benda yang sama. Berani lawan, Berani menang! Hanya kaum pekerja yang lawan sahaja boleh membawa ke depan nasib pekerja dan memartabatkan kaum pekerja.

Perjuangan segelintir kecil makcik cleaner hari ini yang berjalan jauh memberi kita satu semangat baharu bahawa perjuangan yang ikhlas tidak ada ruginya. Kaum sekerja sedunia kena bersatu kerana dunia ini adalah milik anda.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “Berani berjuang, berani menang! – Catatan Arul mengenai kempen konvoi pekerja pembersihan hospital

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *