7 FEBRUARI 2022: Hari ini memasuki hari ketiga kempen konvoi motosikal Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) yang membawa tuntutan untuk menghapuskan sistem kontrak dan menghentikan penindasan terhadap kesatuan pekerja kepada perhatian Kementerian Kesihatan.

Perjalanan hari ketiga untuk konvoi motosikal pekerja pembersihan hospital ini bermula dari Kampar dan berakhir di Sungai Buloh. Rombongan konvoi motosikal NUWHSAS telah bersinggah di Hospital Tapah, Hospital Slim River dan Hospital Sungai Buloh.

NUWHSAS mendapat maklumat bahawa penyelia syarikat Edgenta UEMS di Hospital Tapah telah memarahi pekerja-pekerja di situ yang menyambut kedatangan konvoi NUWHSAS, dan mengugut untuk memecat pekerja-pekerja berkenaan. Ini merupakan satu lagi intimidasi daripada pihak pengurusan syarikat kontraktor yang mencabuli hak kesatuan pekerja.

Tiga tuntutan utama yang dibawa dalam kempen konvoi motosikal NUWHSAS ini ialah:

  1. Hapuskan sistem kontrak dan serap kembali pekerja sebagai pekerja tetap yang diupah langsung oleh kerajaan;
  2. Bayar elaun COVID-19 kepada semua pekerja hospital kerajaan, termasuk pekerja pembersihan;
  3. Hentikan pemerasan terhadap kesatuan.

Rombongan konvoi NUWHSAS akan tiba di Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada hari esok, 8 Februari 2022. NUWHSAS menyeru pada Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan supaya berjumpa dengan wakil pekerja dan mendengar keluhan pekerja-pekerja pembersihan hospital yang dianiayai di bawah sistem kontrak yang memangsakan pekerja bawahan.

Berikut ialah koleksi gambar sepintas lalu hari ketiga kempen konvoi motosikal NUWHSAS:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *