oleh A. Sivarajan

Program PEMERKASA yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac 2021, gagal memahami perubahan trend kerja semasa. Kini ramai orang yang kehilangan kerja telah melibatkan diri dalam kerja ekonomi gig dan bukan lagi dalam kerja formal. Begitu juga dengan para graduan yang baru memasuki alam kerja. Trend kerja berubah dengan cepat, daripada kerja tetap yang formal bermajikan jelas kepada kerja informal yang menggunakan pelbagai platform gig.

Namun kebanyakan program bantuan yang diumumkan dalam agenda PEMERKASA baru-baru ini, masih lagi disalurkan melalui majikan dan bukannya terus kepada pekerja. Perubahan alam kerja ini harus mendorong Kerajaan untuk beralih kepada fokus pemberian bantuan secara terus kepada pekerja. Kini, ramai yang bekerja bebas sebagai “freelance”, menawarkan khidmat mereka untuk memenuhi keperluan ekonomi gig.

Malangnya sekali, minda perancang Kerajaan masih lagi terperangkap dalam acuan lama, di mana majikan menjadi fokus penjana kerja dan pihak yang bertanggungjawab untuk menyalurkan bantuan dari Kerajaan kepada pekerja. Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa, Kerajaan memperuntukkan RM200 juta kepada majikan atau penyedia platform perkhidmatan yang menempatkan pekerja. Kenapa RM200 juta itu tidak diagihkan terus kepada pekerja yang berjaya melibatkan diri dalam mana-mana platform ekonomi gig ini?

Selain itu, program subsidi upah masih lagi disalurkan melalui majikan. Dilaporkan sehingga 5 Mac 2021, Kerajaan telah menyalurkan lebih daripada RM 14.4 bilion bagi membiayai program subsidi upah yang telah membantu 2.7 juta orang pekerja dan lebih daripada 330 ribu majikan. Adakah mungkin adanya mekanisme lain untuk menyalurkan jumlah wang yang begitu besar RM 14.4 billion terus kepada pekerja? Ini adalah memandangkan ramai juga yang memilih untuk menawarkan khidmat mereka secara freelance tanpa majikan tetap.

Menawarkan semua bantuan melalui majikan juga memperkuatkan posisi dominan majikan sebagai pengawal yang menuntut “pematuhan sepenuh” pekerja tanpa sebarang bantahan terhadap majikan. Majikan juga boleh menggunakan penyaluran bantuan ini untuk mendiskriminasi dan mensubordinasi pekerja yang aktif menuntut hak mereka di tempat kerja dengan menafikan atau “menyukarkan” penyaluran bantuan ini kepadanya.

Tambahanya pula, walapun Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah PERKESO itu berniat baik, tetapi baru-baru ini Ketua Bahagian Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri PERKESO, Azhar Md Nadzri, memberitahu bahawa hanya 2.7 peratus daripada 2.3 juta orang yang bekerja sendiri atau di sektor gig mencarum untuk skim ini. Maka adalah lebih baik untuk memperbaiki jaringan keselamatan sosial kepada pekerja ekonomi gig ini dengan memastikan mereka dilindungi secara automatik tanpa menunggu mereka mendaftar diri. Mana-mana pekerja yang dapat membuktikan penglibatannya dalam ekonomi gig, seperti rider Food Panda, pemandu Grab, penghantar barangan dan sebagainya, harus dilindungi dalam segala skim bantuan PERKESO termasuk Skim Insurans Pekerja (SIP).

Kementerian Sumber Manusia juga harus memperkemaskan dan membuat pindaan terhadap undang-undang buruh selaras dengan perubahan trend alam kerja ini, iaitu daripada kerja formal di bawah majikan tetap kepada pekerja pemberi khidmat yang bebas di bawah ekonomi gig. Majikan dan penyedia platform perkhidmatan ini tidak boleh terlepas daripada menyediakan segala kemudahan dan bertanggungjawab ke atas pekerja yang memberikan khidmat tersebut. Mereka masih ialah pekerja yang harus dilindungi oleh undang-undang pekerjaan dalam negara.

==========

A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Salurkan bantuan terus kepada pekerja ekonomi gig

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s