PUTRAJAYA – 27 NOVEMBER 2020: Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menyerahkan satu memorandum mengenai tuntutan untuk penghapusan sistem kontrak pada hari ini kepada Kementerian Pendidikan.
Memorandum yang mengemukakan tuntutan JPKK untuk menghapuskan sistem kontrak dalam pengupahan pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan (kawalan keselamatan, pembersihan dan pertukangan kebun) di sekolah kerajaan ini diterima oleh Mohammad Azziyadi bin Ismail selaku Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Kanan Pendidikan. Rombongan JPKK diketuai oleh M. Sivaranjani selaku Penyelaras JPKK. Turut hadir bersama ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Penyerahan memorandum yang ditujukan kepada Menteri Kanan Pendidikan Dr. Mohd Radzi Md Jidin ini merupakan sebahagian daripada aksi kempen “Hapus Sistem Kontrak – Jaminan Kerja untuk Semua” yang dilancarkan oleh JPKK pada 19 November 2020. Memorandum ini mengemukakan 3 tuntutan utama, iaitu:
- Menyerap pekerja kontrak di sekolah, seperti pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun, sebagai pekerja tetap yang diupah terus oleh kerajaan.
- Menghapuskan budaya kroni dan sistem orang tengah dalam pengupahan pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah kerajaan.
- Mengurangkan pembaziran dan mencekapkan pentadbiran melalui penghapusan sistem kontrak.
S. Arutchelvan berkata, “Penghapusan sistem kontrak dan menyerapkan pekerja kontrak sebagai pekerja tetap, selain dapat menjamin hak pekerjaan untuk pekerja bawahan B40, malah juga akan dapat membantu pihak kerajaan untuk menjimat sebanyak RM200 juta kerana tidak perlu membayar kepada orang tengah.”
Pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah dieksploitasi oleh sistem kontrak
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) ditubuhkan pada tahun 2016 untuk mempertahankan hak pekerja-pekerja kontrak di premis kerajaan. Pekerja-pekerja kontrak yang berkhidmat di sekolah kerajaan, seperti pengawal keselamatan, pekerja pembersihan dan tukang kebun, mengalami pelbagai masalah akibat sistem kontrak yang diamalkan oleh kerajaan sejak tahun 1990-an.
Sejak penubuhannya, JPKK telah menerima dan menyalurkan banyak aduan daripada pekerja kontrak mengenai eksploitasi oleh kontraktor yang mengupah mereka di sekolah, seperti tidak membayar gaji untuk beberapa bulan, lambat dalam pembayaran gaji, membuat pemotongan gaji yang tidak wajar, tidak mencarum KWSP, PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), dan sebagainya.
Menurut M. Sivaranjani, “Masalah yang paling besar adalah pekerja-pekerja hilang jaminan kerja akibat sistem kontrak ini. Apabila kontraktor bertukar sekali setiap tiga tahun, pekerja turut hilang tempoh perkhidmatan mereka dan menjadi pekerja baru, malah ada juga pekerja yang hilang kerja.”
Usaha bertemu dengan Menteri Pendidikan sebelum ini
JPKK pernah membawa masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak ini kepada perhatian Menteri Pendidikan sebelum ini, Dr. Maszlee Malik, pada 27 Mac 2019. Dalam mesyuarat dengan Dr. Maszlee, JPKK telah mengutarakan segala masalah pekerja B40 ini. Dr. Maszlee sendiri pun berprihatin pada isu ini pada masa itu, dan juga telah berjanji untuk mengambil tindakan segera terhadap isu ini seperti menyenaraihitamkan kontraktor yang menganiayai pekerja. Berikutan daripada mesyuarat itu, Dr. Maszlee turut membawa isu ini ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan kepada perhatian Perdana Menteri pada masa itu. Selepas itu, JPKK telah mengadakan beberapa mesyuarat susulan dengan Kementerian Pendidikan untuk membincangkan usaha memansuhkan sistem kontrak di dalam sekolah kerajaan. Akan tetapi, proses ini tidak lagi diteruskan selepas Dr. Maszlee Malik meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada bulan Januari 2020.
Sepanjang setahun yang lalu, JPKK telah mengambil pelbagai usaha untuk cuba berjumpa dengan Menteri Pendidikan yang menggantikan Dr. Maszlee Malik untuk meneruskan proses yang telah dimulakannya. Namun, JPKK belum berjaya lagi mendapatkan temujanji dengan Menteri Pendidikan sekarang. Pada masa yang sama, JPKK juga mengambil inisiatif untuk menjalankan satu kajian tentang sistem kontrak, di mana kajian tersebut membandingkan sistem kontrak yang diamalkan sekarang dengan keadaan semasa belum mengamalkan sistem kontrak. Kajian tersebut telah mendedahkan kelemahan yang wujud dalam sistem kontrak ini dan mengemukakan cadangan alternatif bagi menggantikan sistem kontrak ini.
JPKK telah mengirim satu surat kepada Menteri Kanan Pendidikan pada bulan September 2020 untuk mendapatkan temujanji supaya dapat membentangkan hasil kajian terhadap sistem kontrak ini kepada Menteri itu sendiri. Namun, JPKK tidak menerima sebarang maklum balas daripada Kementerian Pendidikan. Oleh itu, JPKK mengunjungi ibupejabat Kementerian Pendidikan pada hari ini untuk menyerahkan satu memorandum yang meminta temujanji dan menyertakan hasil kajian tersebut dalam memorandum yang diserahkan kepada pihak Kementerian Pendidikan.
JPKK menegaskan bahawa sistem kontrak yang memiskinkan pekerja harus dihapuskan dan semua pekerja kontrak (pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun) di sekolah diserapkan sebagai pekerja tetap yang diupah terus oleh kerajaan seperti yang pernah diamalkan sebelum tahun 1990-an. M. Sivaranjani, Penyelaras JPKK, berkata, “Menyerap pekerja kontrak ini sebagai pekerja kerajaan akan memberi jaminan pekerjaan kepada pekerja-pekerja ini, di samping memastikan mereka menikmati faedah-faedah seperti peningkatan gaji dan perlindungan kebajikan pekerja. Pada masa yang sama, sekolah yang mempunyai hubungan terus dengan pekerja tanpa melalui orang tengah, akan dapat membantu dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan pentadbiran berkaitan dengan perkhidmatan sokongan ini. Selain itu, kerajaan juga dapat menjimat banyak wang kerana tidak perlu membayar kepada orang tengah yang kerja mereka hanyalah sekadar memperoleh pendapatan bulanan tanpa usaha dan penglibatan dalam kerja-kerja perkhidmatan yang sebenar.”
“Ramai bekas guru, pengetua, pekerja pembersihan dan tukang kebun yang lama bekerja mengatakan bahawa pengalaman mereka adalah lebih baik dahulu semasa tidak wujudnya sistem kontrak seperti sekarang. Ini kerana pihak sekolah dan pekerja mempunyai hubungan secara langsung, dan pihak sekolah boleh melakukan penyeliaan secara langsung,” ulas Sivaranjani.
Adalah dianggarkan terdapat lebih kurang 150,000 orang pekerja yang bekerja di lebih kurang 10,800 buah sekolah kerajaan di seluruh negara.
Semua pekerja kontrak ini adalah digolongkan dalam kategori B40. Kehidupan mereka terancam akibat sistem kontrak ini. Jika Kerajaan benar-benar ingin menghapuskan kemiskinan dalam masyarakat kita, maka pemansuhan sistem kontrak adalah satu langkah yang amat bermakna dan mampu mengeluarkan pekerja-pekerja bawahan ini daripada kemiskinan.
“JPKK amat berharap pihak Kementerian Pendidikan akan membincangkan cadangan kami di peringkat Kabinet dan membawa perubahan dasar untuk menjadikan pekerja-pekerja ini sebagai pekerja tetap di sekolah,” begitu katanya Sivaranjani semasa menyerahkan memorandum JPKK kepada Kementerian Pendidikan.
5 thoughts on “JPKK gesa Kementerian Pendidikan serap pekerja kontrak sebagai pekerja tetap”