Negara India menyaksikan aksi mogok yang boleh dikatakan terbesar dalam sejarah pada 26 November 2020, dengan lebih 250 juta orang pekerja dan petani, bersama-sama dengan golongan pelajar dan masyarakat sivil, mengambil bahagian dalam mogok yang diadakan di seluruh negara itu.

Aksi mogok nasional ini diadakan bersempena Hari Perlembagaan India, yang jatuh pada 26 November setiap tahun untuk memperingati ratifikasi Perlembagaan India pada tahun 1949. Walaupun menghadapi penindasan daripada pihak polis dan ancaman pandemik COVID-19, pekerja-pekerja dan petani-petani di seluruh negara India telah menyertai aksi mogok yang hebat ini untuk menyatakan pendirian mereka yang melawan “pembaharuan” neoliberal yang dibawa oleh kerajaan pusat berhaluan kanan di bawah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Pada ketika negara India sedang mengalami ancaman penularan wabak COVID-19 yang amat serius, dengan jumlah kes jangkitan terkumpul melebihi 9 juta (berada di tangga kedua angka tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat) dan angka kematian melebihi 130,000, kerajaan Modi langsung tidak memperlahankan serangannya terhadap hak pekerja dan rezeki petani, malah sedang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan lebih banyak dasar neoliberal yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan negara india terjerumus dalam kemelesetan ekonomi yang sangat teruk, memburukkan lagi ketidaksamarataan dan ketidakadilan masyarakat yang sedia wujud. Keluaran dalam negara kasar (KDNK) India telah menjunam sebanyak 23.9%, sementara kadar pengangguran mencecah 27%, menjadikannya satu keadaan serius yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Walaupun menghadapi krisis yang begitu serius dan rakyat jelata sedang merana, kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) di bawah pimpinan Modi masih berdegil untuk membawa pindaan kepada undang-undang buruh dan memperkenalkan undang-undang pertanian yang menghakis teruk hak pekerja dan perlindungan petani yang dicapai hasil daripada perjuangan rakyat sebelum ini.

Aksi mogok nasional ini dianjurkan oleh satu gabungan gerakan pekerja dan petani, termasuk 10 gabungan kesatuan sekerja yang utama (INTUC, AITUC, HMS, CITU, AIUTUC, TUCC, SEWA, AICCTU, LPF dan UTUC), dan Jawatankuasa Penyelarasan Perjuangan Petani India (All India Kisan Sangarsh Coordination Committee, AIKSCC) yang terdiri daripada lebih 200 kumpulan petani di seluruh India. Kumpulan-kumpulan hak wanita, kesatuan-kesatuan sekerja dan banyak lagi organisasi masyarakat sivil turut mengambil bahagian dalam aksi mogok ini. Aksi mogok ini juga mendapat sokongan daripada parti-parti berhaluan kiri dan beberapa buah kumpulan pembangkang.

Pihak penganjur aksi mogok nasional ini telah mengemukakan 12 tuntutan utama, iaitu:

  1. Melaksanakan langkah-langkah segera untuk mengawal kenaikan harga barangan melalui pensejagatan sistem pengagihan awam dan mengharamkan perdagangan spekulatif dalam pasaran komoditi.
  2. Membendung pengangguran melalui langkah-langkah konkrit untuk penjanaan pekerjaan.
  3. Penguatkuasaan yang tegas untuk semua undang-undang buruh asas tanpa pengecualian, dan mengenakan secara tegas hukuman terhadap pelanggaran undang-undang buruh.
  4. Perlindungan keselamatan sosial sejagat untuk semua pekerja.
  5. Gaji minimum sekurang-kurangnya INR 15,000 sebulan (lebih kurang RM825) dengan peruntukan pengindeksan (iaitu menyelaras mengikut kadar inflasi).
  6. Menghentikan penyahlaburan dalam syarikat milik kerajaan (PSU) di peringkat Pusat dan Negeri.
  7. Menghentikan pengkontrakan kerja tetap, dan membayar gaji yang dan faedah kepada pekerja-pekerja kontrak yang sama dengan pekerja tetap untuk kerja yang serupa.
  8. Menghapuskan semua siling pembayaran dan kelayakan bonus serta dana simpanan pekerja; meningkatkan jumlah ganjaran.
  9. Pendaftaran wajib untuk kesatuan sekerja dalam tempoh 45 hari dari tarikh penyerahan permohonan; ratifikasi serta-merta Konvensyen ILO C87 (Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan Hak untuk Berorganisasi) dan C98 (Hak untuk Berorganisasi dan Rundingan Kolektif).
  10. Hentikan pindaan Undang-undang Buruh yang pro-majikan.
  11. Hentikan pelaburan asing (FDI) dalam sektor landasan keretapi, insurans dan pertahanan.
  12. Tarik balik pindaan rang undang-undang ordinan Pengambilan Tanah.

Tuntutan ini mensasar pada tindakan kerajaan Modi yang meluluskan beberapa undang-undang baru-baru ini yang menjejaskan hak pekerja dan perlindungan petani. Gerakan masyarakat di India mendesak kerajaan untuk memperluaskan dasar kebajikan bukannya mengecutkannya lagi, untuk membantu massa rakyat yang terkesan kerana kemelesetan ekonomi akibat daripada pandemik COVID-19.

Petani-petani di negeri-negeri sekitar Delhi telah memecahkan sekatan demi sekatan untuk berarak menuju ke bandar Delhi. Pihak polis menggunakan meriam air berulang kali terhadap mereka yang berprotes tetapi gagal mematahkan semangat perjuangan mereka. Di dalam bandaraya Delhi pula, polis Delhi cuba menggunakan kekerasan untuk menghalang protes di situ, tetapi juga gagal menyekatnya. Aksi mogok yang diadakan oleh pekerja-pekerja dan petani-petani juga melumpuhkan bandaraya besar yang lain seperti Kolkota dan Mumbai. Aksi duduk bantah diadakan di sepanjang laluan pengangkutan yang utama. Kawasan perindustrian dan perlombongan juga ditutup kerana aksi mogok. Ramai orang ditahan oleh polis.

Peserta-peserta aksi mogok ini telah menyatakan bahawa mogok ini merupakan aksi pemanas badan untuk lebih banyak perjuangan di negara India untuk melawan kerajaan Modi yang memusuhi golongan pekerja dan petani. Tapan Sen, Setiausaha Agung Pusat Kesatuan Sekerja India (CITU), berkata, “Pekerja-pekerja dan petani-petani tidak akan berehat daripada berjuang sehingga dasar-dasar kerajaan BJP yang membawa bencana dan menjejaskan rakyat itu diterbalikkan. Mogok hari ini hanyalah satu permulaan. Perjuangan yang jauh lebih hebat akan disusuli.”

Berikut ialah sepintas lalu keadaan aksi mogok di beberapa tempat di India pada 26 November 2020:

Anggota-anggota Kesatuan Pekerja Kesihatan bersama-sama dengan pekerja-pekerja dari Pelabuhan Jawaharlal Nehru, mengambil bahagian dalam aksi mogok di Mumbai.
Kolkata
Pemogok melakukan sekatan di landasan keretapi di Kolkata.
Polis di negeri Haryana menahan demonstran yang cuba bergerak menuju ke Delhi, ibu negara India. Kerajaan di Haryana dan Uttar Pradesh, dua buah negeri yang bersebelahan dengan Delhi, bekerjasama dengan polis Delhi untuk menghalang demonstran daripada memasuki Delhi.
Polis mendirikan sekatan di sempadan Haryana-Delhi untuk menyekat kemaraan demonstran.
Polis menggunakan meriam air untuk mematah demonstran yang berarak menuju ke Delhi.
Aksi protes di Noida, bandar satelit Delhi.
Aksi protes di negeri Telangana.
Pekerja tekstil berprotes di bandar Coimbatore, negeri Tamil Nadu.
Protes di negeri Himachal Pradesh.
Protes turut diadakan di wilayah Jammu dan Kashmir, yang berada di bawah kawalan keselamatan yang ketat sejak darurat yang dikenakan di situ setahun yang lalu.

4 thoughts on “India: 250 juta orang mogok lawan dasar neoliberal Modi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *