55546966_2683248895079700_6893578915609051136_n.jpgoleh Wan Zamzahidi Wan Zahid

Pada 27 Mac 2019, bermula jam 2.15 petang, telah diadakan satu pertemuan antara Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dengan Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia, yang berlangsung di Bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi di Presint 5, Putrajaya.

Antara lain, JPKK telah mengemukakan permasalahan yang melibatkan pekerja-pekerja kontrak kerajaan di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), iaitu pekerja pembersihan sekolah, tukang kebun dan juga pengawal keselamatan sekolah.

Permasalahan yang diutarakan adalah berkaitan hal umum di mana pengurangan perbelanjaan Kementerian Pendikan telah mengakibatkan kontraktor memperkecilkan operasi yang sekaligus menjadikan lebih 12,000 orang pekerja kontrak ini kehilangan kerja. Dan mana-mana yang masih bekerja pula telah mengalami kekurangan pendapatan dengan beberapa perubahan yang berlaku.

Masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak ini mempunyai dua puncanya. Yang pertama, sistem kontrak yang memiskinkan pekerja. Ini kerana tempoh perkhidmatan keseluruhan seseorang pekerja kontrak tidak diambilkira. Ini menyebabkan keadaan di mana gaji sentiasa pada tahap  permulaan; caruman KWSP dan PERKESO selalu berasaskan gaji minimum tanpa mengambilkira pekerja itu sudah kerja 20 tahun; cuti tahunan dan cuti sakit yang kurang. Juga tidak ada jaminan kerja di mana selepas 3 tahun, boleh hilang kerja.

Punca kedua adalah kontraktor yang langgar undang-undang kerja dan menindas pekerja seperti kegagalan kontraktor membayar gaji minimum, atau lewat membayar gaji, gagal melunaskan caruman KWSP walaupun gaji pekerja dipotong, kaedah pengiraan bayaran kerja lebih masa yang tidak betul dan beberapa lagi masalah yang memangsakan golongan pekerja. Keadaan ini menjadi lebih buruk sebab KPM tidak memainkan peranan apabila aduan dibuat. Sebaliknya menasihatkan pekerja buat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK), di mana ramai pekerja enggan berbuat demikian sebab takut dimangsakan. Adakala kontraktor tidak menghiraukan perintah mahkamah buruh. Perkara sebegini selalu berulag apabila kontraktor ditukar 3 tahun sekali.

55554557_2683249018413021_2782745698041331712_n

Dalam pertemuan dengan JPKK, Menteri Pendidikan telah menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap penganiayaan pekerja oleh kontraktor yang menindas pekerja dan meminta pihak JPKK untuk bertindak sebagai perantara antara golongan pekerja dengan KPM agar permasalahan ini dapat diselesaikan. Beliau juga memaklumkan untuk menyemak semula polisi-polisi berkaitan kontrak agar golongan pekerja tidak teraniaya.

Dr. Maszlee juga meminta JPKK menghantar senarai nama semua kontraktor yang langgar undang-undang pekerjaan supaya siasatan dijalankan dan jika didapati benar, maka syarikat dan kontraktor berkenaanakan disenaraihitamkan oleh KPM. Menteri juga meminta JPKK dan PSM untuk membantu dalam menubuhkan kesatuan sekerja yang membela pekerja kontrak di mana beliau bersimpati dengan nasib mereka.

JPKK juga mengusulkan beberapa syor jangkamasa pendek untuk memperbetulkan keadaan sekarang dan juga syor jangkamasa panjang agar sistem kontrak untuk tugas-tugas pembersihan, perkebunan dan kawalan keselamatan dihapuskan, dan semua pekerja diserap menjadi kakitangan awam sekaligus menjadikannya lebih efisyen.

Menteri juga berkata bahawa sistem kontraktor dulu berlandaskan kroni dan beliau akan memastikan amalan ini dihentikan serta merta. Beliau turut berjanji untuk memanjangkan syor-syor ini kepada kabinet dan Perdana Menteri serta Jabatan Perkhidmatan Awam.

=========

Wan Zamzahidi Wan Zahid ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

55752396_2683248745079715_6114078622383865856_n

 

**********

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 27 Mac 2019 selepas perjumpaan dengan JPKKK, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata bahawa beliau telah memberi jaminan akan akan membawa isu pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sekolah untuk perhatian pihak Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukan tambahan. Selain itu, KPM juga akan membawa segala cadangan daripada pihak JPKK untuk perhatian YAB Perdana Menteri dan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Di peringkat KPM pula, kita bercadang untuk meningkatkan tahap kemahiran pekerja-pekerja ini melalui program latihan di bawah kelolaan Kolej Komuniti dan skim latihan semasa di bawah Kementerian Sumber Manusia,” begitu katanya Dr. Maszlee dalam kenyataan tersebut.

“Bagi mengatasi isu kontraktor yang didakwa menindas pekerja, KPM akan meneliti semula dasar, prosedur dan tatacara kontrak bagi memastikan kontraktor yang berlaku tidak adil dan menganiaya golongan pekerja dikenakan tindakan tegas, termasuk disenaraihitamkan daripada mendapat sebarang kontrak berkaitan di bawah KPM.”

5 thoughts on “Menteri Pendidikan berjanji untuk hentikan penindasan terhadap pekerja kontrak sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *