oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Terdapat banyak keluhan daripada masyarakat kaum India tentang ketidakadilan yang kononnya wujud dalam Belanjawan Persekutuan 2021. Banyak komen dipapar dalam media sosial yang merungut tentang peruntukan sebanyak RM11.1 bilion untuk pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Bumiputera sedangkan hanya RM100 juta sahaja diberi kepada masyarakat India untuk tujuan yang sama. Ramai mengatakan Belanjawan ini berat sebelah dan berpaksikan perkauman. Ada lagi orang yang mengira peruntukan per kapita berdasarkan angka RM11.1 billion dan RM100 juta tersebut. Tentulah perbezaannya adalah besar dan nampaknya menyokong dakwaan bahawa “tiada apa-apa dalam Belanjawan ini untuk masyarakat India”.

Saya juga tidak berpuas hati terhadap beberapa aspek dalam Belanjawan 2021 ini. Namun, kita haruslah rasional dan kritikan kita haruslah munasabah. Pertama sekali, kita perlu kaji semula dakwaan bahawa “tiada apa-apa dalam Belanjawan 2021 untuk masyarakat India”. Sebenarnya, terdapat beberapa peruntukan dalam Belanjawan 2021 ini yang tidak melihat pada kaum. Contohnya, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang memberi bantuan wang kepada semua dalam kalangan B40 dan M40 tanpa mengira kaum; skim sokongan gaji untuk mengekalkan pekerjaan ternyata untuk menolong semua pekerja yang bergaji lebih rendah daripada sesuatu tahap; peruntukan RM31 billion untuk Kementerian Kesihatan dan peruntukan RM50.4 billion untuk pendidikan memanfaatkan rakyat Malaysia daripada semua kaum; beribu-ribu orang India menerima bantuan kebajikan; Skim Insurans Pekerjaan meliputi semua pekerja formal yang diberhentikan kerja, dan banyak lagi. Oleh itu, tidaklah benar bahawa belanjawan ini langsung tidak mempeduli masyarakat bukan Bumiputera. Namun, setelah berdekad-dekad lamanya indoktrinasi politik perkauman di Malaysia, tuduhan bahawa belanjawan ini hanya untuk orang Melayu sahaja adalah dianggap benar oleh terlalu ramai rakyat kita! Oleh yang demikian, wujudnya rungutan dan keluhan. Yang malangnya, harapan untuk membina masyarakat Malaysia yang harmoni semakin terpesong dan tersasar.

Satu lagi pekara yang terlepas pandang oleh pengkritik belanjawan ini adalah peruntukan untuk meningkatkan status sosio-ekonomi Bumiputera yang seperti ini sudah pun wujud sebelum ini dalam Belanjawan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) dan malah juga di bawah Pakatan Harapan (PH). Sebagai contohnya, pada bulan Oktober 2019, Menteri Kewangan pada masa itu, Lim Guan Eng, memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk MARA dan UiTM, RM1 bilion melalui SJPP dan Bank SME untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera, RM445 juta untuk Tekun, PUNB, PHB dan Teraju, dalam Belanjawan 2020. Tambahan pula, beliau berjanji bahawa Kerajaan Persekutuan akan membuat perolehan lebih kurang RM4.8 bilion daripada syarikat Bumiputera pada tahun 2020. Apabila ditambah semua, jumlahnya sebanyak RM12.8 billion. Secara perbandingan, hanya sejumlah RM100 juta yang diperuntukkan untuk MITRA dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh kerajaan PH. 

Anehnya, peruntukan dalam Belanjawan 2020 tidak menerima kritikan keras yang kita sedia nampak sekarang. Mengapa pula begini? Adakah ini sebab PH itu kerajaan “kami”, jadi tidak perlulah kita menyemak belanjawan ini dengan teliti? Dan kini, kerana kita marah dengan Perikatan Nasional (PN), patutkah kita kecam tanpa menyemak fakta? Kalau begitu, apa bezanya kita dengan UMNO dan PAS yang menghasut untuk mengapi-apikan kegelisahan kaum Melayu dalam isu ICERD? Wajarkah menjadi kelaziman di Malaysia untuk membesar-besarkan sesuatu isu kerana semata-mata kita tidak suka pada kerajaan yang memerintah pada sesuatu masa, walaupun kelakuan politik tersebut tidak berasaskan fakta sepenuhnya, memburukkan hubungan antara kaum, dan mewujudkan mentaliti “kami lawan mereka”?

Hakikatnya adalah prestasi masyarakat Bumiputera dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana memang tidak memuaskan. Dari segi bilangan, memanglah ada banyak perusahaan kecil dan sederhana Melayu, namun kebanyakannya perusahaan bersaiz mikro. Lebih kurang 40% harta dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana dimiliki oleh warga Malaysia beretnik Cina, dan 40% lagi dimiliki oleh orang asing. Kurang daripada 20% dimiliki oleh individu Bumiputera. Adalah menjadi dasar kerajaan di bawah BN dan juga PH sebelum ini untuk melaksanakan program yang membina keupayaan syarikat Bumiputera. Ini bukanlah dasar baru yang diperkenalkan oleh Tan Sri Muhyiddin atau PN.

Tidak boleh dinafikan bahawa sebahagian besar bantuan kewangan yang dikhususkan untuk membangunkan keusahawan Bumiputera telah disalahgunakan dan disamun oleh mereka yang berhubung rapat dengan golongan berkuasa. Jadi, peruntukan yang begitu besar ini sebenarnya tidak berjaya membina keupayaan keusahawanan dalam kalangan masyarakat Bumiputera. Tetapi adakah ini bermakna negara kita harus berputus asa sahaja dalam usaha meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana? Bukankah tumpuan kita harus diberikan kepada bagaimana menjayakan usaha ini, dan bagaimana dapat mengelakkan ketirisan teruk yang berlaku selama ini?

Saya amat sedar bahawa pendirian saya ini tidak akan diterima baik oleh golongan yang telah diindoktrinasikan untuk meneliti segala pekara dari sudut perkauman. Saya akan ditegur, begitu juga dengan PSM, kerana membangkitkan pandangan ini. Namun, rakyat Malaysia yang hendak membina sebuah masyarakat yang berketerangkuman dan harmoni tidak harus takut dan berdiam diri. Kita wajib bersuara dan membina jalan tengah. Kita harus menjadi pemangkin kepada perubahan untuk masa hadapan yang kita harapkan.

Adalah lebih mudah untuk merayu undi dengan masalah-masalah sebenar ataupun ditanggapi yang dihadapi oleh kaum sendiri. Lebih lantang suara mengadu dan lebih pelik tuntutan itu, maka lebih banyak lagi sokongan yang diperolehi daripada masyarakat kaum sendiri. Lebih-lebih lagi orang sebegini akan dianggap sebagai wira kaum sendiri yang sebenar. Ini memang apa yang sentiasa dilakukan oleh banyak ahli politik, dan ia dapat menang undi untuk mereka. Tabiat ini juga mewujudkan satu persaingan antara golongan ahli politik untuk menjadi wira tulen kepada kaum mereka sendiri. Namun, gaya politik sebegini telah memecah-belahkan kita semua dengan lebih lanjut lagi. Kelakuan sebegini juga menjadikan kita susah untuk mentadbir, sekiranya golongan kiri seperti kami berpeluang untuk memenangi kuasa pentadbiran di peringkat Persekutuan. Gaya permainan politik sebegini meningkatkan harapan kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza ke tahap yang tidak munasabah. Lihatlah bagaimana kerajaan PH terperangkap dalam situasi sedemikian.

Jika kita berhasrat untuk membina sebuah negara yang harmoni, kita harus menjangkaui jurang antara etnik. Kita perlukan ahli-ahli politik dan aktivis-aktivis sosial yang sanggup mengorbankan masa untuk memahami masalah-masalah yang dihadapi oleh anggota masyarakat kaum yang lain, dan bekerjasama dengan mereka untuk membina jaringan masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum untuk menangani masalah-masalah tersebut. Kita perlu membina kepercayaan sesama kita dan menghapuskan salah faham yang wujud akibat politik perkauman yang ditimbulkan di negara kita ini selama 60 tahun lalu.

Mengakui masalah sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh kumpulan etnik yang lain bukanlah bermakna kita “mengkhianati” kaum kita sendiri, sungguhpun inilah pandangan sesetengah orang yang sudah terlampau diindoktrinasi! Sebenarnya, kebanyakan masalah yang kita hadapi – seperti masalah mendapatkan perumahan yang mampu milik, pengangkutan awam yang teruk, hospital awam yang kekurangan dana dan terlalu sesak, rumah pangsa yang tidak diselenggara dengan baik, simpanan untuk warga emas yang tidak mencukupi – adalah masalah yang sering dihadapi secara bersama oleh semua kaum, dan adalah lebih senang masalah ini diselesaikan jika kita bergabung tenaga.

Ramai pengkritik menyeru untuk menolak Belanjawan 2021 dalam Parlimen. Saya hendak memberi amaran tentang ini. Pada masa kini, nampaknya tiada mana-mana pemimpin politik di Malaysia yang mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil sekiranya kerajaan PN tumbang. Wujud risiko bahawa penolakan belanjawan ini akan menyebabkan pengisytiharaan darurat, kerana pilihan yang satu lagi adalah mengadakan pilihanraya umum pada ketika pandemik COVID-19 semakin teruk. Pengistyiharaan darurat ini bakal menjadi satu langkah ke belakang yang besar untuk Malaysia. Semak dan imbang yang terhad yang terdapat dalam proses parlimen akan digantung. Golongan kleptokrat akan lebih senang mengambil kesempatan untuk mengumpul kekayaan. Kecenderungan autoritarian yang terpendam dalam beberapa Kementerian kita dan pasukan polis sekarang akan menunjukkan wajah sebenar mereka. Ini bukannya langkah yang baik untuk negara kita.

Oleh itu, wahai rakyat Malaysia, bolehkah kita bertenang sedikit? Marilah kita elakkan politik berunsur perkauman, tetapi terus memperjuangkan program kerajaan yang melindungi mereka yang paling terkesan – keluarga yang hilang rezeki, dan perusahaan yang mengalami masalah aliran tunai yang serius. Marilah kita merapatkan jurang perbezaan etnik dan mula memahami isu-isu yang sedang dihadapi oleh masyarakat kaum yang lain. Marilah kita berfikir sebagai warga Malaysia dan mula memperjuangkan solusi kepada masalah yang dihadapi oleh kumpulan etnik yang lain. Semoga pendekatan ini akan membolehkan kita membina gabungan politik yang berprinsip (yang menolak permainan politik perkauman) supaya dapat menyatukan masyarakat kita dan memajukan negara Malaysia.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).  Beliau juga ialah mantan Ahli Parlimen untuk kawasan Sungai Siput.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s