Sungai Yangtze atau Sungai Panjang di China, sungai terpanjang di benua Asia, mengalir melalui satu tempat yang sebegini di wilayah Hubei yang terletak di bahagian tengah Tanah Besar China:

Di tebing barat laut Sungai Yangtze, terdapat sebuah tempat bernama Hanyang, yang pernah menjadi pusat perindustrian yang penting di China, di mana kilang senjata Hanyang yang siap dibina pada tahun 1894 di sini merupakan salah sebuah kilang senjata moden yang tertua di negara China, terkenal dengan pengeluaran senapang “Hanyang 88” yang direka berasaskan senapang Gewehr 88 dari Jerman. Yang juga terletak di tebing barat laut Sungai Yangtze, sedikit ke utara dari Daedah Hanyang, ialah bandar Hankou, sebuah pusat perdagangan penting yang pernah digelar sebagai “Chicago Timur”, dengan kuasa besar seperti Britain, Rusia, Perancis, Jerman dan Jepun pernah mendirikan kawasan konsesi di sini. Pada tahun 1923, Hankou menjadi salah satu tempat tercetusnya aksi mogok pekerja keretapi yang hebat, tetapi dipatahkan secara kejam oleh kekuasaan panglima perang pada masa itu. Di seberang Sungai Yangtze, iaitu di tebing tenggara, terletak pula bandar Wuchang, yang merupakan sebuah pusat politik yang penting untuk China. Lebih seabad yang lalu, bandar Wuchang menjadi pusat tercetusnya gelombang Revolusi Xinhai yang menjatuhkan pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing dan mendirikan pemerintahan Republik China. Tiga buah bandar inilah yang membentuk bandaraya yang dikenali sebagai Wuhan hari ini.

Pada bulan November 1926, Tentera Ekspedisi Utara yang dipimpin oleh Kuomintang (KMT) menawan ketiga-tiga buah bandar yang bersebelahan ini, dan menggabungkan ketiga-tiganya menjadi satu pentadbiran bandar yang sama. Pada tahun 1927, “golongan kiri” dalam Kuomintang memindahkan pusat pentadbiran Kerajaan Nasionalis Republik China ke Wuhan, menjadikan bandar ini ibu negara Republik China untuk tempoh selama enam bulan, saling bertentangan dengan Kerajaan Nasionalis di Nanjing yang diketuai oleh Chiang Kai-shek. Pada tahun 1938, Pertempuran Wuhan yang berlarutan selama empat bulan setengah antara tentera Jepun dengan tentera China yang disokong oleh pasukan sukarelawan Tentera Udara Soviet, telah mengorbankan ratusan ribu nyawa. Pada tahun 1967, semasa kemuncak Revolusi Budaya, jalanan bandar Wuhan menjadi medan pertempuran yang sengit antara puak pemberontak “Ibupejabat Am Pekerja Wuhan” dengan puak “Sejuta Wira” yang cuba mengekalkan status quo…

20200519-wuhancity_1280pA

Bandaraya Wuhan yang pernah menjadi tumpuan kepada peristiwa pergolakan sejarah yang hebat seperti revolusi dan peperangan, sekali lagi menjadi tumpuan dunia pada tahun 2020, apabila wabak Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) mula menular dari bandaraya yang diduduki lebih 11 juta orang penduduk ini dan mencetuskan pandemik global.

“Revolusi Koronavirus” yang bermula dari bandaraya Wuhan, telah memberi impak yang amat besar kepada dunia kita. Negara yang merupakan kuasa besar di dunia juga tidak dapat dikecualikan daripada kesan teruk pandemik koronavirus pada tahun 2020 ini, termasuklah negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Itali dan sebagainya. Ramai orang dijangkiti koronavirus yang telah meragut ratusan ribu nyawa ini. Hampir seluruh dunia berada dalam keadaan darurat. Kuarantin, sekatan perjalanan, kawalan pergerakan, pengharaman perhimpunan, penjarakan sosial dan sebagainya, telah menjadi “normal baru” di merata tempat di dunia. Kehidupan rakyat di seluruh dunia mengalami perubahan yang mendadak, dan keadaan yang dihadapi oleh rakyat bawahan menjadi semakin teruk lagi. Dunia kita sedang berada di persimpangan jalan kerana pandemik koronavirus ini.

Penularan COVID-19 telah mengundang krisis yang lebih mendalam lagi di peringkat dunia, sama ada krisis yang sedia wujud menjadi lebih teruk ataupun krisis yang baru. Pandemik COVID-19 memang merupakan kecemasan kesihatan dunia yang mengancam nyawa rakyat sedunia, tetapi yang membawa malapetaka sebenar kepada dunia, ialah kapitalisme. Ataupun dalam erti kata yang lebih terus terang lagi, kapitalisme itu malapetaka.

Penularan wabak: Ancaman kapitalisme terhadap sistem ekologi alam semulajadi

20200520earth2

“Bahkan seluruh masyarakat, sebuah negara ataupun semua masyarakat yang wujud pada masa sama diambilkira sekali, bukannya pemilik bumi ini. Mereka hanya pemegangnya, penggunanya, dan seperti ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka perlu menyerahkannya kepada generasi akan datang dalam keadaan yang lebih baik.” – Karl Marx, Das Kapital Jilid III, 1894

Kapitalisme merupakan sebuah sistem ekonomi yang sentiasa mengancam kemampanan planet bumi, satu-satunya planet yang dihuni oleh umat manusia. Eksploitasi terhadap alam semulajadi merupakan asas kepada sistem keuntungan kapitalis, sama seperti eksploitasi terhadap golongan pekerja.

Penularan wabak penyakit berjangkit berkaitan rapat dengan “interaksi” antara manusia dengan alam semulajadi. Penyakit yang dihidapi oleh manusia, kebanyakannya merupakan produk interaksi manusia dengan alam sekitar, khususnya apabila aktiviti masyarakat manusia mengganggu keseimbangan ekologi alam semulajadi. Perkembangan pesat sistem ekonomi kapitalis di seluruh dunia untuk lebih dua abad yang lalu, memperhebatkan lagi gangguan aktiviti masyarakat manusia terhadap ekologi bumi.

Masyarakat manusia perlu menjalankan aktiviti ekonomi (iaitu pengeluaran barangan keperluan hidup daripada sumber alam dan pengagihan barangan yang dikeluarkan untuk kegunaan masyarakat) untuk memastikan kelangsungan hidup manusia dan mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat, supaya bukan sahaja boleh hidup lebih lama, tetapi hidup dengan lebih bahagia. Namun, aktiviti ekonomi manusia yang memerlukan pengekstrakan sumber alam boleh merosakkan keseimbangan ekologi alam semulajadi pada tahap yang berbeza, dan boleh menyebabkan pelbagai mikroorganisma yang merupakan patogen masuk ke dalam lingkungan kehidupan masyarakat manusia. Penebangan hutan dalam skala besar-besaran dan pengeluaran ekonomi yang mencemar alam sekitar (seperti pertanian bercorak kilang, perindustrian toksik dan sebagainya), mendedahkan masyarakat manusia kepada risiko jangkitan penyakit yang lebih besar.

Pembangunan teknologi yang semakin canggih dalam masyarakat memang boleh menangani masalah aktiviti manusia yang merosakkan keseimbangan ekologi. Dengan perkembangan teknologi, pelepasan bahan toksik boleh dikurangkan atau dihapuskan, ekologi yang dirosakkan boleh dipulihkan, tetapi adakah ia dapat menyaingi kadar kerosakan terhadap ekologi alam sekitar yang disebabkan oleh motif penjanaan keuntungan yang berterusan di bawah ekonomi kapitalis?

Ekonomi kapitalis yang berlandaskan logik pengumpulan modal, iaitu logik di mana modal yang dilaburkan oleh kapitalis perlu mendapatkan keuntungan semaksimum mungkin untuk dilaburkan semula lagi sebagai modal, telah memacu pengeluaran perindustrian moden yang bertujuan utama untuk menjana keuntungan korporat, bukannya untuk memenuhi keperluan masyarakat sebenar. Pengeluaran yang bermotifkan keuntungan sentiasa mewujudkan pembaziran sumber alam, malah ekologi alam semulajadi dirosakkan kerana cubaan kapitalis untuk mengekstrak sebanyak mungkin sumber alam dengan cara yang mengurangkan kos pengeluaran.

Sistem ekonomi kapitalis menghasilkan kekayaan yang hebat daripada eksploitasi ke atas tenaga buruh dan sumber alam. Walaupun kekayaan yang dicipta di bawah sistem ekonomi kapitalis jauh lebih banyak berbanding zaman sebelum ini, tetapi turut meninggalkan kesan buruk kepada generasi kita akan datang, yang bakal mewarisi bumi yang semakin tidak sesuai untuk diduduki kerana krisis alam sekitar yang diwujudkan oleh kapitalisme itu sendiri.

Pembangunan pesat teknologi dalam bidang pengangkutan, memudahkan manusia bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di muka bumi ini, sama ada melalui jalan darat, laut atau udara. Dengan rangkaian pengangkutan yang semakin canggih dan mudah diakses, pergerakan barangan dan manusia merentasi sempadan negara menjadi semakin kerap, sama ada dalam bentuk peredaran barangan melalui perdagangan antarabangsa, ataupun penghijrahan pekerja migran untuk mencari pekerjaan dengan pendapatan yang lebih baik yang mampu menampung kehidupan keluarga, ataupun pengembaraan pelancong yang semakin besar jumlahnya atas dorongan industri pelancongan serta kehidupan yang semakin bosan di tempat tinggalnya. Rangkaian pengangkutan yang semakin memudahkan pergerakan manusia ini, pada masa yang sama juga menjadi satu saluran kepada penularan wabak penyakit yang cepat, seperti yang dapat kita lihat daripada penularan wabak COVID-19.

20200330 - italy-doctors

Krisis kesihatan dunia: Diburukkan lagi oleh kesan serangan kapitalis neoliberal

Penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia membunyikan loceng amaran kepada kesihatan awam sedunia.

Di negara-negara maju yang kaya, oleh sebab dasar “penjimatan” (austerity) yang diamalkan oleh kerajaan yang dipengaruhi oleh fahaman neoliberal, iaitu fahaman ekonomi yang mengagung-agungkan pasaran bebas kapitalis, sistem kesihatan awam mereka menghadapi kekangan yang hebat dalam usaha menangkis ancaman pandemik COVID-19. Akibat daripada pengurangan belanjawan sosial, termasuk belanjawan untuk kesihatan awam, sektor perubatan menghadapi masalah kekurangan kakitangan, kelengkapan dan sumber perubatan untuk menangani ancaman wabak penyakit.

Di negara-negara yang sedang membangun atau kurang maju, cabaran mereka lebih hebat lagi. Kekurangan sumber dan kemudahan perubatan awam akibat daripada kekurangan dana yang disebabkan oleh hutang luar yang membebankan serta dasar neoliberal yang dipaksakan oleh institusi kewangan antarabangsa ke atas mereka, telah membantutkan sebarang usaha memerangi ancaman wabak penyakit.

Pada pertengahan bulan April 2020, 18 orang ketua kerajaan dari Afrika dan Eropah telah menggesa Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Pembangunan Afrika (AfDB), Bank Pembangunan Baru (NDB) dan institusi serantau yang lain untuk mengisytihar moratorium segera ke atas semua bayaran hutang bilateral dan multilateral sehingga pandemik ini tamat. Selain moratorium hutang, mereka juga meminta pakej rangsangan ekonomi sebanyak USD100 bilion untuk Afrika. Mereka menegaskan bahawa “hanya kemenangan global yang merangkumi Afrika boleh membawa pandemik ini ke penghujung”. Pada 15 April 2020, Kumpulan G20, iaitu gabungan 19 buah negara ekonomi terbesar di dunia dan Kesatuan Eropah, bersetuju untuk moratorium ke atas pembayaran hutang awam dan swasta sebanyak USD20 bilion, bermula dari 1 Mei 2020 hingga hujung tahun 2020. IMF juga meluluskan sebanyak USD500 juta untuk tujuan pelepasan hutang kepada 25 buah negara termiskin di dunia, antaranya 19 buah negara Afrika. Namun, “pelegaan” yang diberikan ini masih jauh kurang daripada apa yang diminta.

Abiy Ahmed, Perdana Menteri Ethiopia, dalam tulisannya pada 30 April 2020, menyatakan bahawa penangguhan pembayaran hutang adalah tidak mencukupi, kerana apa yang diperlukan oleh negara-negara miskin sekarang ini adalah pembatalan hutang. Pada tahun 2019, 64 buah negara di dunia (dengan separuhnya dari benua Afrika) membelanja lebih banyak wang untuk membayar hutang luar mereka berbanding perbelanjaan kesihatan. Kerajaan-kerajaan di 121 buah negara berpendapatan rendah dan sederhana secara puratanya membelanjakan 10.7% daripada pendapatan mereka dalam kesihatan awam, sementara 12.2% dihabiskan untuk pembayaran hutang luar. Di negara Ethiopia sahaja, kerajaan terpaksa membayar hutang luar dengan jumlah wang dua kali ganda berbanding perbelanjaan kesihatan, walaupun negara tersebut disenaraikan oleh IMF sebagai salah satu daripada lima buah negara dengan pertumbuhan ekonomi terpantas di dunia pada tahun 2019.

Hutang luar yang membebankan untuk negara-negara miskin ini merupakan sebahagian daripada kesan perluasan ekonomi kapitalis di bawah mantra “globalisasi” untuk beberapa dekad yang lalu ini. Negara-negara yang menerima pinjaman untuk membiayai pembangunan negara daripada institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF, terpaksa menjalankan program penyesuaian struktur yang mengandungi unsur dasar ekonomi neoliberal yang ketara, seperti penswastaan, pengurangan perbelanjaan sosial, penyahkawalseliaan terhadap modal dan sebagainya. Dasar ekonomi neoliberal inilah melemahkan lagi daya pengimuman sosial negara-negara ini terhadap pelbagai krisis, sama ada krisis ekonomi ataupun krisis kesihatan awam.

Di bawah dasar ekonomi neoliberal, atas alasan menggalakkan pelaburan dari dalam dan luar negara, kadar cukai ke atas golongan mahakaya dan korporat besar dikurangkan dengan hebatnya. Ini menyebabkan kerajaan kekurangan dana untuk perbelanjaan sosial dan menjejaskan kualiti perkhidmatan awam yang diterima oleh rakyat biasa, termasuk sistem kesihatan awam. Lebih teruk lagi adalah, penswastaan perkhidmatan awam yang digalakkan di bawah dasar ekonomi neoliberal menggadaikan hak asasi rakyat kepada sektor swasta yang hanya bermotifkan keuntungan.

Pandemik koronavirus telah menunjukkan bahawa betapa pentingnya sistem kesihatan awam kepada rakyat seluruh dunia. Hanya sistem kesihatan awam yang berasaskan solidariti, memberikan perkhidmatan kepada sesiapa yang memerlukannya tanpa mengira kaum, agama, gender, orientasi seksual, budaya, kewarganegaraan dan status pendapatan, barulah dapat menyelamatkan nyawa dan memastikan kesihatan masyarakat terjamin. Ini tidak dapat dilakukan oleh kesihatan swasta yang mengutamakan keuntungan.

Oleh itu, segala penswastaan ke atas sistem kesihatan perlu dihentikan, malah diterbalikkan jika perlu (iaitu kerajaan mengambil balik bahagian dalam sistem kesihatan yang diswastakan), untuk menjamin perkhidmatan kesihatan awam yang sempurna bagi semua.

Sistem kesihatan awam yang sempurna, bukan sahaja menyediakan perkhidmatan pengesanan penyakit, diagnosis, rawatan dan penjagaan kepada mereka yang sakit, tetapi juga termasuk pencegahan penyakit yang meliputi pendidikan kesihatan, pemeriksaan badan secara berkala, pemvaksinan, penjagaan kebersihan persekitaran, sistem pembentungan yang berkesan, pembekalan air minuman yang bersih dan selamat, jaminan pembekalan makanan yang berkhasiat dan sebagainya. Kita perlu mempertahankan sistem kesihatan awam yang sempurna dengan mencegahnya daripada dihakis oleh dasar ekonomi neoliberal.

20200318 - dmr_cuci-hospital_bernama-01

Dunia dalam krisis: Siapa lebih penting?

Pada ketika dunia dilanda pandemik, banyak negara telah mengambil pelbagai langkah untuk memutuskan rantaian penyebaran wabak. Antara langkah yang paling kerap digunakan dalam menangani pandemik COVID-19 ialah sekatan pergerakan. Di Malaysia, sekatan pergerakan dilakukan melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hampir semua aktiviti ekonomi tergendala kerana sekatan pergerakan, dan hanya perkhidmatan penting dibenarkan untuk terus beroperasi.

Dalam keadaan genting ini, mata kita terbuka kepada realiti bahawa golongan pekerja dalam sektor perkhidmatan pentinglah yang memastikan masyarakat kita dapat terus berfungsi. Pekerja-pekerja kesihatan di barisan hadapan yang melawan penularan wabak, dari doktor, jururawat sehinggalah pekerja-pekerja pembersihan di hospital, merekalah yang mempertaruhkan nyawa sendiri untuk memastikan nyawa rakyat tidak diancam oleh wabak yang membawa maut; pekerja-pekerja majlis perbandaran yang melakukan kerja-kerja penyahcemaran di tempat-tempat awam, pekerja-pekerja pengutipan sampah, merekalah yang memastikan persekitaran kita bersih dan selamat untuk semua orang supaya tidak dijangkiti virus; pekerja-pekerja dalam sektor pengangkutan, merekalah yang memastikan barangan keperluan asas dapat diangkut ke semua tempat; pekerja-pekerja dalam sektor pertanian dan pembekalan makanan, merekalah yang memastikan rakyat tidak kelaparan dalam keadaan pergerakan disekat… Tanpa golongan pekerja yang menaburkan titik peluh mereka untuk menghasilkan keperluan rakyat dan mempertaruhkan nyawa mereka dalam menjaga kesihatan rakyat, masyarakat kita pastinya akan jauh lebih sukar untuk mengharungi cabaran krisis pandemik. Dalam keadaan krisis inilah ditunjukkan bahawa masyarakat kita lebih memerlukan pekerja berbanding majikan.

Namun, pelik juga kenapa terdapat sektor yang bukannya perkhidmatan penting yang masih boleh beroperasi pada ketika pandemik, misalnya pasaran saham. Pasaran saham yang pada hari ini sudah menjadi kasino untuk golongan pemodal besar menjana keuntungan melalui aktiviti yang tidak menghasilkan apa-apa barangan berguna. Pergolakan dalam pasaran saham sering menjadi punca kepada krisis ekonomi kerana aktiviti spekulasi yang bertujuan untuk mengaut keuntungan yang lebih banyak. Pasaran saham tidak membekalkan apa-apa yang berguna kepada rakyat pada ketika pandemik, tetapi masih dibenarkan untuk terus beroperasi, menunjukkan bahawa sifat asas ekonomi kapitalis masih tidak berubah walaupun berdepan dengan krisis yang hebat. Pasaran saham memang merudum pada ketika pandemik COVID-19, dan indeks bursa saham yang merosot menimbulkan lebih banyak lagi kerisauan tentang kemelesetan ekonomi.

Screenshot_2020-05-20 https s3-ap-northeast-1 amazonaws com psh-ex-ftnikkei-3937bb4 images 5 3 8 8 26898835-6-eng-GB Croppe[...]

Krisis kegawatan ekonomi: Rezeki rakyat sedunia diancam

Selain pandemik koronavirus, dunia kita juga sedang dihantui oleh krisis ekonomi yang mendalam. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan kemungkinan besar akan berlakunya kemelesetan ekonomi dunia yang paling teruk sejak tahun 1930. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pula menyatakan kerisauan bahawa kemurungan ekonomi dunia yang melibatkan pengurangan hebat dalam jam kerja oleh sebab pandemik COVID-19 bermakna 1.6 bilion pekerja dalam sektor ekonomi tidak formal, iaitu hampir separuh daripada jumlah tenaga kerja sedunia, menghadapi risiko kehilangan rezeki.  

Program Makanan Sedunia (WFP), sebuah agensi kemanusiaan yang memberi bantuan makanan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), memberi amaran bahawa seramai 265 juta orang berisiko mengalami kebuluran dalam tahun 2020, satu angka yang berlipatganda berbanding 135 juta orang pada tahun 2019. Ini juga merupakan satu impak daripada pandemik koronavirus yang sedang mengancam nyawa rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan konflik, pelarian dan sebagainya.

Kebanyakan aktiviti ekonomi tergendala berikutan penularan pandemik COVID-19 dan langkah-langkah pengendalian pandemik yang diambil oleh kerajaan-kerajaan di banyak negara. Rantaian pengeluaran ekonomi dan pembekalan terjejas dengan hebatnya. Banyak syarikat penerbangan mula memberhentikan pekerja-pekerja kerana bilangan pelancong yang menggunakan perkhidmatan penerbangan telah merosot dengan hebat; sektor perhotelan dan pelancongan mengalami gelombang penutupan perniagaan; penutupan sementara dan pengurangan pengeluaran produk di kilang-kilang juga menyebabkan pendapatan pekerja merosot; malah pasaran saham yang menjadi tempat golongan kapitalis mengeksploitasi sesama sendiri pun mengalami suasana kemurungan yang teruk… 

Di negara-negara yang mula menunjukkan perkembangan yang positif dalam menangani penularan wabak COVID-19, termasuk Malaysia, kerajaan di negara berkenaan mula mengembalikan aktiviti ekonomi, dengan kebanyakannya mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga. Namun, selepas “pembukaan semula” ekonomi ini, untuk ekonomi pulih dalam jangka masa pendek kembali ke tahap sebelum tercetus pandemik, kebarangkaliannya nampak lebih rendah berbanding dengan berlaku lagi gelombang penularan wabak sebelum ditemui vaksinnya. 

Selepas tercetusnya gelombang penularan wabak COVID-19 di negara kita, selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan Malaysia juga mengemukakan satu siri “Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat”. Walaupun pakej rangsangan ekonomi ini dapat memberi sedikit kelegaan dan mengurangkan impak kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana semasa tempoh PKP, tetapi untuk jangka masa panjang, ia masih tidak mencukupi untuk menangkis impak kemelesetan ekonomi global kepada rakyat biasa di negara kita. 

icarus capitalism

Punca asas krisis ekonomi

Krisis ekonomi yang berlaku secara kitaran merupakan sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada kapitalisme global. Dalam erti kata lain, krisis ekonomi merupakan “keadaan normal” untuk ekonomi kapitalis. Walaupun jika tidak berlakunya pandemik koronavirus, krisis ekonomi yang baru selepas krisis kewangan sedunia tahun 2008-09 tetap akan berlaku, persoalannya hanyalah bila berlaku dan betapa besar skalanya. Pandemik koronavirus hanya mempercepatkan lagi proses berlakunya krisis ekonomi, dan melipatgandakan kesannya.

Dalam tempoh lebih seratus tahun kebelakangan ini, setiap kali berlakunya krisis ekonomi kapitalis global, bukan disebabkan oleh kekurangan kekayaan masyarakat, sebaliknya adalah kerana “lebihan”. Krisis ekonomi kapitalis moden sentiasa timbul kerana lebihan dalam pengeluaran komoditi (overproduction), dan juga pengumpulan modal yang terlampau besar.

Modal yang dilaburkan dalam pengeluaran komoditi (iaitu barangan yang dihasilkan untuk dijual), perlu dikumpulkan untuk dilaburkan semula, maka keuntungan pelaburan modal ini perlu dimaksimumkan sebanyak mungkin. Pemaksimuman keuntungan melibatkan cara-cara pengurangan kos seperti menekan gaji pekerja pada paras yang rendah, mengeluarkan komoditi (yang sama ada berguna atau tidak berguna) dalam skala besar-besaran supaya dijual dalam pasaran. Namun, golongan pengguna yang terdiri secara utamanya daripada golongan pekerja mempunyai kuasa pembelian yang rendah kerana gaji yang rendah, maka tidak mampu membeli lebih banyak lagi komoditi dalam pasaran, menyebabkan komoditi menjadi berlebihan. Modal yang dilaburkan dalam pengeluaran tidak dapat lagi menjana keuntungan kerana komoditi yang dikeluarkan itu tidak dapat dijual, maka terjerumus dalam kancah krisis ekonomi.

Perluasan pasaran kewangan pula menyediakan satu “jalan keluar” kepada modal yang tidak dapat menjana keuntungan daripada pengeluaran komoditi. Ia membolehkan modal yang berlebihan beralih daripada sektor ekonomi yang produktif atau menghasilkan barangan (sama ada berguna atau tidak berguna) kepada sektor kewangan yang tidak mengeluarkan apa-apa yang berguna, kecuali gelembung ekonomi. Kemunculan gelembung ekonomi kerana perluasan sektor kewangan pula menjadi tapak pembiakan krisis ekonomi yang lebih serius dan mendalam.

Pengumpulan modal yang berterusan, merupakan logik asas ekonomi kapitalis. Sama ada ekonomi kapitalis yang kurang maju atau ekonomi kapitalis perindustrian yang maju, ataupun “ekonomi platform” hari ini yang melibatkan urusan perniagaan melalui aplikasi telefon pintar, ataupun “Industri 4.0” di bawah monopoli ekonomi digital, semuanya tidak dapat dipisahkan daripada logik pengumpulan modal selagi berfungsi dalam kerangka ekonomi kapitalis. Pengumpulan modal merupakan “daya penggerak” kepada pembangunan dan perluasan ekonomi kapitalis yang pesat selama dua abad kebelakangan ini, tetapi pada masa yang sama juga menjadi punca utama yang membiak pelbagai masalah, termasuk ketidaksamarataan ekonomi, ketidakadilan sosial dan kemusnahan ekologi alam sekitar. Logik pengumpulan modal ini juga sentiasa mengundang krisis ekonomi yang berlaku secara kitaran, di mana kehidupan rakyat biasa akan dikorbankan setiap kali dalam krisis untuk menyelamatkan kekayaan golongan mahakaya dan korporat. 

20190903 - workers01

Kembali kepada normal? 

Pandemik koronavirus dan kemelesetan ekonomi yang berlaku pada masa yang sama, tidak akan meruntuhkan ekonomi kapitalis global secara automatik. Sistem ekonomi kapitalis global pastinya akan melakukan rombakan besar dalam krisis ini, satu rombakan besar yang menyusun semula kepentingan pelbagai pihak dalam kelas pemerintah kapitalis tetapi tidak mengubah sebenarnya struktur asas hubungan kelas dalam masyarakat kapitalis. Jika tiadanya penentangan dan perjuangan daripada kelas pekerja dan rakyat bawahan untuk mendesak golongan elit politik ekonomi yang berkuasa supaya melakukan perubahan dasar yang sebenar, rakyat bawahanlah yang akan dikorbankan dalam krisis ini.

Kemelesetan ekonomi global yang hebat, sememangnya akan menyebabkan kekayaan yang dikuasai oleh golongan mahakaya dan korporat besar itu mengecut, namun juga adanya contoh yang berkecuali, misalnya Jeff Bezos, orang terkaya di dunia hari ini yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi syarikat Amazon, dilaporkan kekayaannya bertambah sebanyak USD24 bilion dalam empat bulan pertama tahun 2020 ketika dunia dilanda pandemik koronavirus. Walau bagaimanapun, sama ada kekayaan golongan mahakaya ini bertambah lebih banyak atau mengecut kerana krisis ekonomi, yang menerima impak seperti pengangguran, beban hutang, kemiskinan malah kebuluran, masih adalah rakyat biasa yang dieksploitasi untuk menjana keuntungan kepada golongan mahakaya ini.

Selepas menerima impak daripada pandemik dan kemelesetan, ekonomi dunia tidak akan kembali kepada “keadaan normal” sebelum ini secara automatik. Jika kembali kepada “keadaan normal” pun, sekiranya masih berasaskan model ekonomi kapitalis yang sedia ada, maka ia hanyalah “keadaan normal” yang masih membiak kemiskinan dan ketidakadilan masyarakat. Oleh itu, kenapa kita perlu kembali kepada “keadaan normal” sebegini? Kenapa kita perlu membiarkan satu sistem ekonomi yang mengeksploitasi tenaga buruh dengan gaji rendah, menyusahkan rakyat dan membiak pelbagai krisis itu terus “berurusan seperti biasa”?

Pandemik koronavirus telah mengganggu ekonomi global, telah mempengauhi kehidupan harian orang ramai. Selepas pandemik ini, apabila kita beria-ia untuk memulihkan ekonomi, juga tepat pada masanya untuk kita merenung satu persoalan pokok yang jauh lebih penting: “Ekonomi” apa yang hendak kita pulihkan?

Bagaimana kita menilai sesuatu ekonomi itu sama ada bermanfaat kepada masyarakat kita atau tidak? Adakah kita menilai ekonomi itu hanya dengan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)? Atau hanya melihat pada kadar pertumbuhan KDNK? Adakah pertumbuhan atau pengecutan angka KDNK yang dikira dengan unit matawang itu dapat mewakili penambahbaikan atau kemerosotan kehidupan harian kita semua? Atau menggunakan prestasi pasaran saham sebagai kayu pengukur? Adakah peningkatan angka indeks pasaran saham mewakili peningkatan kekayaan semua orang? Ataupun mengukur berapa banyak pelaburan asing (FDI) yang datang ke negara kita? Apakah yang patut kita bersorak dengan peningkatan angka pelaburan asing dalam ekonomi tempatan?

Ekonomi sebagai kegiatan masyarakat manusia yang paling asas, mengeluarkan dan mengagihkan barangan keperluan kepada manusia untuk digunakan, maka mengekalkan kelangsungan, fungsi dan perkembangan seluruh masyarakat. Namun, apabila seluruh ekonomi masyarakat semakin didominasi oleh logik pengumpulan modal di bawah sistem kapitalis, apabila segala aktiviti ekonomi hanya berjalan untuk memaksimumkan keuntungan, apabila segala benda termasuk hak asasi manusia dijadikan komoditi untuk dijual beli dengan tujuan menjana keuntungan, maka ekonomi yang pada asalnya berkhidmat untuk keperluan manusia telah bertukar sifatnya, menjadikan semakin ramai rakyat pekerja dikorbankan untuk memastikan kelangsungan ekonomi yang berasaskan pengumpulan modal. Dengan modal semakin menumpu dan memusat dalam tangan segelintir kecil golongan mahakaya dan korporat besar, ekonomi masyarakat kita semakin bercanggahan dengan kesejahteraan rakyat biasa.

Kita perlu melangkaui pemikiran “ekonomi aliran utama”, tidak lagi menilai ekonomi kita dari aspek KDNK, indeks pasaran saham atau markah yang diberi oleh agensi penarafan kredit antarabangsa. Ekonomi yang benar-benar berfungsi untuk kesejahteraan rakyat, perlu dapat memastikan pengeluaran dan pembekalan barangan dan perkhidmatan yang mencukupi untuk masyarakat, seperti makanan, perumahan, pengangkutan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya; di samping memastikan pendapatan rakyat mampu untuk membiayai keperluan dan perkhidmatan ini, ataupun tidak perlu risau tentang akses kepada barangan dan perkhidmatan ini kerana pendapatan yang tidak mencukupi; pada masa yang sama juga perlu memastikan ekonomi yang memenuhi keperluan rakyat dan menambahbaikkan kualiti kehidupan ini tidak merosakkan ekologi bumi dan memburukkan lagi krisis iklim. Ini barulah ekonomi yang kita perlu “pulihkan”!

20200520 - sunrise-2

Campurtangan kerajaan diperlukan

Untuk memulihkan ekonomi yang benar-benar mengutamakan kesejahteraan rakyat jelata dan bukannya keuntungan korporat, kita tidak boleh bergantung lagi pada model ekonomi yang wujud sekarang, khususnya model ekonomi neoliberal yang telah mendominasi dunia dalam tempoh empat dekad yang lalu. Model ekonomi neoliberal yang berlandaskan motif memastikan pemaksimuman keuntungan korporat besar, telah menghakis kesejahteraan rakyat biasa di merata tempat di dunia melalui pelaksanaan dasar seperti liberalisasi perdagangan, penswastaan kemudahan awam, penyahkawalseliaan terhadap modal dan pengurangan perbelanjaan kebajikan sosial. Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah menjalankan rombakan yang sepenuh ke atas susunan ekonomi.

Ekonomi yang semakin merosot bersama dengan penularan pandemik koronavirus sekarang ini, tidak akan pulih secara automatik, sama ada kembali kepada tahap aktiviti di bawah model yang sedia ada, ataupun mewujudkan ekonomi yang benar-benar berfungsi untuk menjamin kesejahteraan rakyat jelata.

Pendukung dasar ekonomi neoliberal sudah akan pasti mencadangkan kepada kerajaan untuk memberikan lebih banyak “insentif” kepada golongan kapitalis (termasuk langkah-langkah mengurangkan cukai ke atas golongan mahakaya dan syarikat korporat besar) dengan tujuan “menggalakkan” mereka melabur semula dalam ekonomi yang merudum dan “menghidupkan semula” pasaran. Namun, dalam keadaan kemelesetan ekonomi teruk dan pengangguran besar-besaran yang berterusan, golongan mahakaya dan korporat besar yang menguasai modal yang besar tidak akan begitu mudah berminat melaburkan modal mereka dalam sektor yang tidak dapat menjana keuntungan lumayan kepada mereka dalam tempoh masa yang terdekat. Lebih-lebih lagi, dengan keperluan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan wabak di tempat kerja (seperti pengamalan penjarakan fizikal, membekalkan bahan pencuci tangan, pemeriksaan suhu badan dan sebagainya), dianggap akan meningkatkan kos operasi perniagaan untuk pemodal yang hanya mementingkan keuntungan. Sekiranya pemodal melabur dalam sektor yang mengeluarkan barangan, namun besar kemungkinan mereka akan menggunakan kesempatan kadar pengangguran yang tinggi untuk menekan gaji pekerja pada paras yang rendah, maka ini akan menyebabkan kuasa beli masyarakat terus kekal rendah dan menghalang pemulihan ekonomi.

Kelas kapitalis yang parasitik tidak akan mempedulikan betapa tingginya kadar pengangguran dalam masyarakat. Ini kerana walaupun kadar jenayah turut meningkat dengan kadar pengangguran yang tinggi, akhirnya yang paling terkesan dengan penularan kejadian jenayah pun merupakan golongan rakyat bawahan yang tiada wang untuk mengupah pengawal peribadi atau memasang alat penggera di rumah mereka.

Dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang semakin meruncing, kita perlukan campurtangan kerajaan yang berkesan untuk melindungi kesejahteraan rakyat daripada terus diancam. Campurtangan kerajaan ini boleh dilakukan seperti “Urusan Baru” (New Deal) yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat Franklin D. Roosevelt pada tahun 1930-an. “Urusan Baru” dilancarkan oleh Roosevelt sebagai usaha Kerajaan Amerika Syarikat untuk memulihkan ekonomi negara itu daripada kemelut Zaman Meleset (Great Depression) pada masa itu. Antara langkah-langkah yang diperkenalkan dalam “Urusan Baru” di bawah pentadbiran Roosevelt, termasuklah penjanaan peluang pekerjaan melalui projek pembinaan awam, perlindungan kepada kesatuan sekerja, penetapan masa kerja maksimum dan gaji minimum untuk kebanyakan pekerja, penggubalan Akta Keselamatan Sosial, bantuan kepada petani, bantuan kepada penganggur, bantuan kepada pekerja asing, dan sebagainya.

Walaupun “Urusan Baru” yang dibawa oleh Roosevelt pada tahun 1930-an bukannya sesuatu pembaharuan radikal yang menggulingkan sistem ekonomi kapitalis, tetapi ia sekurang-kurangnya dapat memastikan rezeki dan kehidupan rakyat biasa tidak dikorbankan begitu sahaja dalam krisis yang disebabkan oleh sistem kapitalis itu sendiri. Pembaharuan ekonomi sebegini merupakan pendekatan paling minimum yang patut diambil oleh mana-mana kerajaan yang mengutamakan rakyat.

Golongan yang mendukung ekonomi pasaran bebas kapitalis pastinya akan membantah campurtangan kerajaan dalam ekonomi. Namun, semua krisis ekonomi global yang pernah berlaku dan sedang berlaku ini, merupakan produk kegagalan sistem pasaran bebas kapitalis itu sendiri. Yang peliknya juga, terdapat pendukung ekonomi pasaran bebas kapitalis akan menyeru campurtangan kerajaan apabila pasaran bebas menimbulkan krisis yang mengancam keuntungan korporat. Kerajaan perlu mencampurtangan dalam menangani krisis ekonomi, tetapi bukannya mencampurtangan untuk menyelamatkan keuntungan korporat.

11-co-Worthy-Review-and-Buying-Guide-1024x524

Tindakan yang patut diambil oleh kerajaan

Campurtangan kerajaan untuk menangani kemelesetan ekonomi yang serius, perlu memfokus kepada memastikan kualiti hidup rakyat biasa tidak terjejas kerana pengurangan dalam pendapatan mereka. Tumpuan perlu diberikan dalam mewujudkan pekerjaan, tetapi pada masa yang sama memastikan ekonomi masyarakat dapat membekalkan barangan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan semua rakyat secara berterusan tanpa merosakkan ekologi alam sekitar.

Penciptaan pekerjaan merupakan fokus yang penting dalam memulihkan ekonomi, tetapi pendekatan ini tidak boleh dilaksanakan secara berkesan dengan hanya memberi “insentif” kepada korporat sektor swasta untuk melaburkan modal dalam mewujudkan peluang pekerjaan. Sebaliknya, kerajaan sendiri perlu mewujudkan peluang pekerjaan dengan membelanjakan lebih banyak dana kerajaan dalam sektor ekonomi dan perkhidmatan yang penting.

Antara langkah-langkah campurtangan dalam kegiatan ekonomi yang boleh diambil oleh Kerajaan Malaysia, termasuk melaburkan lebih banyak dana dalam sektor yang membekalkan keperluan dan perkhidmatan penting kepada rakyat jelata, misalnya:

  • Memperluaskan dan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, seperti tanaman bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya. Ini bukan sahaja dapat mengekalkan rezeki petani kecil dan mencipta lebih banyak pekerjaan dalam sektor pertanian, malah juga dapat meningkatkan jaminan bekalan makanan dalam negara ke tahap sara diri sepenuh, dan mengelakkan daripada ancaman krisis makanan.
  • Membina lebih banyak perumahan sosial yang mampu dibeli atau disewa oleh masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana. Ini akan menjamin hak perumahan untuk semua.
  • Memperluaskan dan meningkatkan rangkaian sistem pengangkutan awam yang mesra alam. Ini dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat pada pengangkutan persendirian.
  • Menanam semula hutan yang telah dibalak.
  • Memperluaskan penjanaan dan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui. Ini adalah penting sebagai langkah untuk menangani krisis iklim.
  • Mengupah lebih ramai pekerja untuk memberikan perkhidmatan penjagaan kepada golongan warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya, pesakit dan mereka yang memerlukan penjagaan masyarakat.

Selain itu, Kerajaan juga boleh melaksanakan skim “Pendapatan Asas Sejagat” (Universal Basic Income, UBI) yang diubahsuai, seperti yang dicadangkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM). Di bawah skim ini, isi rumah yang disenaraikan sebagai penerima Bantuan Prihatin Negara boleh mendapat RM1,000 sebulan, dan golongan bujang yang berumur 21 tahun ke atas juga boleh menerima RM300 sebulan. Bantuan dalam bentuk pembayaran tunai ini dapat membolehkan isi-isi rumah dan individu-individu berpendapatan rendah atau langsung tiada pendapatan kerana kehilangan kerja semasa krisis ekonomi untuk menampung kehidupan mereka sehingga mendapat kerja dengan pendapatan yang mampu sara hidup. Bantuan sebegini juga dapat mengekalkan kuasa beli masyarakat secara umum dan menghalang ekonomi daripada terus merosot.

Program-program yang melibatkan pembiayaan atau pelaburan langsung daripada kerajaan ini, akan menambahkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, maka meningkatkan pendapatan rakyat secara purata, dan meningkatkan permintaan kasar domestik. Peningkatan permintaan kasar domestik melalui peningkatan pendapatan rakyat akan merangsang pasaran dalam negara. Dengan ini, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada rakyat turut akan mendapat peluang perniagaan yang lebih banyak.

Selain itu, kerajaan juga boleh mengambilalih kilang-kilang yang ditutup kerana kemelesetan ekonomi, untuk memulihkan operasi kilang-kilang ini bagi tujuan mengeluarkan barangan-barangan keperluan masyarakat. Pendekatan ini bukan sahaja akan dapat mengekalkan atau menambahkan lebih banyak pekerjaan, malah juga dapat menggunakan sumber ekonomi secara optimum untuk membekalkan keperluan masyarakat. Sebagai contoh, kerajaan boleh mengambilalih kilang pembuatan baju yang sudah menggulung tikar, menukarkan kilang tersebut kepada kilang pengeluar kelengkapan perlindungan diri untuk petugas-petugas kesihatan, dan membekalkan kelengkapan tersebut kepada sektor kesihatan di dalam negara kita dan juga negara-negara jiran di rantau ini yang memerlukannya.

Memang terdapat kelemahan dan kebimbangan berkenaan dengan campurtangan kerajaan yang terlalu banyak dalam urusan ekonomi, khususnya sistem birokrasi kerajaan akan mengembang lebih besar. Namun, masalah ini dapat diatasi dengan memperluaskan penyertaan langsung rakyat dalam proses pengurusan ekonomi, menyahpusatkan kuasa ke peringkat tempatan atau komuniti yang membolehkan penglibatan rakyat yang lebih meluas dalam membuat keputusan, dan mewujudkan mekanisme semak-dan-imbang yang demokratik di semua peringkat pentadbiran kerajaan. Koperasi pekerja dengan penyertaan pekerja yang demokratik juga patut digalakkan, supaya pengeluar ekonomi yang sebenar (iaitu kelas pekerja) dapat benar-benar menguasai pengeluaran ekonomi. Proses memulihkan ekonomi yang berfungsi demi kesejahteraan rakyat, tidak dapat dipisahkan daripada proses pendemokrasian masyarakat.

Kita perlu berusaha untuk melibatkan lebih ramai rakyat dalam perbincangan dan proses membuat keputusan politik dan ekonomi. Kita perlu memperjuangkan perluasan ruang demokrasi dalam masyarakat. Kita perlu memperkasakan kesatuan sekerja, masyarakat sivil, organisasi massa, organisasi komuniti dan sebagainya, untuk membina sebuah masyarakat yang sedar dan celik politik. Hanya dengan masyarakat umum yang aktif melibatkan diri dalam proses politik dan ekonomi, barulah dapat kita menghalang pemusatan kuasa dalam tangan birokrasi negara dan segelintir kecil elit politik.

20200520 - on-Trees

Dari mana datangnya dana untuk program kerajaan?

Dalam tulisannya yang bertajuk “COVID-19: Cara untuk Malaysia maju ke hadapan”, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr. Jeyakumar Devaraj mengatakan bahawa kerajaan memerlukan perbelanjaan tambahan untuk melaksanakan langkah-langkah kawalan wabak yang berterusan dan membiayai program-program yang berkaitan dengan rangsangan ekonomi, namun kita harus “berfikir di luar kotak” untuk menangani masalah kewangan kerajaan ini. Dr. Jeyakumar menyarankan untuk mempertimbangkan dasar ekonomi yang heterodoks. Salah satu pendekatan ekonomi heterodoks yang menarik minat daripada golongan kiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini ialah “Teori Monetari Moden” (Modern Monetary Theory, MMT), satu kerangka makroekonomi yang membawa idea bahawa negara-negara yang berkedaulatan secara kewangan tidak perlu meningkatkan cukai atau meminjam wang daripada institusi kewangan untuk perbelanjaan kerajaan kerana kerajaan merupakan penerbit matawang yang monopoli dan boleh mencetak matawang yang diperlukan, maka cara ini dapat menyelesaikan masalah kekangan dana untuk perbelanjaan sosial. Idea ini telah mendapat perhatian dan dibincangkan secara hangat pada masa kini.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh Dr. Jeyakumar adalah memperkenalkan “Peringanan Kuantitatif” (Quantitative Easing, QE) untuk rakyat.

Amerika Syarikat, Britain dan negara-negara Zon Euro pernah menggunakan pendekatan QE untuk melepaskan diri daripada krisis kewangan tahun 2008. QE melibatkan pembelian bon dalam pasaran secara besar-besaran oleh bank pusat. Logik di sebalik QE adalah, apabila bank pusat membeli bon kerajaan yang dipegang oleh dana pelaburan swasta, dana pencen dan golongan mahakaya, ia akan membolehkan pelabur-pelabur yang memegang bon ini mempunyai wang tunai dalam tangan, maka pelabur-pelabur ini akan melaburkan lebih banyak modal dalam sektor yang baru untuk mencipta peluang pekerjaan. Namun, pendekatan sebegini masih hanya akan menguntungkan golongan kapitalis terlebih dahulu, dan rakyat biasa tidak semestinya akan mendapat manfaat. Menyuntik modal dalam bentuk wang tunai kepada korporat swasta melalui QE ini, kadang-kadang bukan sahaja tidak dapat merangsang ekonomi, malah boleh menggalakkan aktiviti spekulasi kewangan yang tidak menghasilkan apa-apa barangan yang berguna, misalnya spekulasi hartanah berterusan yang menyebabkan harga rumah melambung tinggi dan di luar kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, ataupun menjana gelembung kewangan yang menyediakan lebih banyak bahan api kepada letupan krisis ekonomi yang akan datang.

Namun, kita tidak semestinya melaksanakan QE hanya dengan membeli bon yang dipegang oleh pelabur dalam sektor swasta. Sebaliknya, melalui QE untuk rakyat yang alternatif, bank pusat boleh membeli bon kerajaan secara langsung dengan kadar faedah yang rendah. Ini akan membolehkan kerajaan mempunyai lebih banyak dana yang dapat digunakan untuk membiayai pelbagai program kebajikan masyarakat dan pelaburan dalam aktiviti ekonomi yang menjana pekerjaan untuk rakyat.

20200520 - 105912849-1557862472926trumpxi

Susunan dunia yang baru?

Ketika penularan pandemik koronavirus di seluruh dunia, seperti krisis ekonomi global, terdapat juga masalah lain yang wujud sebelum pandemik ini turut menjadi lebih teruk, antaranya ialah pertembungan antara kuasa besar di pentas dunia.

Amerika Syarikat dan China, dua buah negara yang merupakan ekonomi terbesar di dunia hari ini, sudahpun terjerumus dalam “perang perdagangan” sebelum berlakunya pandemik koronavirus. Percanggahan yang wujud antara Amerika Syarikat dan China, merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan hasil daripada kemerosotan pengaruh kuasa ekonomi Amerika Syarikat dan “kebangkitan” China sebagai pesaing ekonomi yang utama kepada Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kedua-dua ekonomi besar ini menerima impak yang hebat kerana pandemik koronavirus, tetapi cuba bangkit semula sebagai pemain utama dalam ekonomi kapitalis global pasca COVID-19.

Pertembungan antara Amerika Syarikat dan China semasa krisis pandemik koronavirus, ditunjukkan dalam polemik antara kepimpinan politik atau jurucakap kerajaan kedua-dua negara tersebut. Saling tuduh-menuduh, sehingga perang penyebaran informasi (termasuk berita palsu) dan perang propaganda, malah timbulnya pelbagai teori konspirasi, termasuk teori konspirasi berkaitan asal usul koronavirus SARS-CoV-2 yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan memburukkan nama antara satu sama lain. Pertelingkahan ini merupakan penampilan yang paling keji untuk proses persaingan antara dua buah kuasa besar dunia tersebut dalam usaha mereka menguasai pengaruh ekonomi kapitalis global hari ini. Suasana ketegangan di arena politik antarabangsa ini juga membolehkan golongan pemerintah di negara kuasa besar ini, sama ada Amerika Syarikat atau China, untuk mengalihkan perhatian rakyat mereka daripada masalah dalaman dan kepincangan pentadbiran kerajaan negara masing-masing.

Kemerosotan monopoli kuasa imperialis Amerika Syarikat dan penamatan susunan dunia unilateral pasca Perang Dingin dengan kemunculan kuasa besar baru seperti China dan Rusia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sudah menjadi sesuatu yang pasti. Malah, adanya komentar yang mengatakan bahawa dunia kita sedang melangkah masuk ke dalam “Perang Dingin Baru”. Pembangunan ekonomi dan teknologi yang pesat di China dalam tiga dekad kebelakangan ini, sehingga membolehkan negara China mengeksport teknologi dan melaburkan modal berlebihannya di negara-negara lain, seperti melalui Inisiatif Jalur dan Jalan, sedang menggugat dominasi kekuasaan Amerika Syarikat dalam pasaran dunia. Persaingan antara Amerika Syarikat dan China akan menjadi lebih sengit lagi selepas ini. Ini akan mendatangkan impak besar kepada pergolakan geopolitik, khususnya di rantau Asia Pasifik, dan menjadi penyumbang kepada faktor yang tidak menentu untuk ekonomi kapitalis global.

Walaupun pengaruh politik-ekonomi Amerika Syarikat semakin menunjukkan kemerosotan, tetapi masih tidak menghalangnya untuk menjadi pembuli terbesar di dunia. Pada ketika negara Amerika Syarikat sendiri dilanda krisis wabak koronavirus yang amat teruk, Kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Donald Trump masih tidak pernah melupakan niatnya untuk membuli negara yang tidak sehaluan dengan kepentingan kapitalis transnasional yang berhubung rapat dengan Amerika Syarikat. Kerajaan Amerika Syarikat masih meneruskan sekatan ekonomi ke atas negara Kuba, Venezuela, Iran dan sebagainya, menyebabkan negara-negara tersebut tidak dapat memperolehi ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan yang sepatutnya, sehingga menjejaskan usaha mereka dalam memerangi penularan wabak koronavirus. Malah, lebih keji lagi adalah, Kerajaan Amerika mengerahkan kapal perang ke Laut Caribbean sebagai ugutan untuk menyerang Venezuela, atas nama hendak membanteras penyeludupan dadah, tetapi pada masa yang sama terus menutup mata terhadap negara pengeluar dadah kokaine terbesar di dunia, Colombia yang merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat di Amerika Selatan. Puak pembangkang berhaluan kanan di Venezuela yang disokong oleh Kerajaan Amerika Syarikat, juga melancarkan satu operasi pencerobohan yang dilakukan oleh tentera upahan yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat, pada awal bulan Mei 2020, tetapi menemui kegagalan yang memalukan. Adalah amat jelas sekali, Kerajaan Amerika Syarikat dan sekutunya tidak pernah mengetepikan niat imperialisnya walaupun negara Amerika Syarikat sendiri sedang berada dalam krisis yang teruk.

Sekutu rapat Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah, Israel, juga masih meneruskan sekatannya ke atas wilayah Gaza yang diduduki oleh 2 juta orang Palestin, walaupun dalam keadaan penularan pandemik yang membimbangkan. Gaza bagaikan penjara yang terbesar di dunia kerana sekatan Israel. Pada ketika penularan wabak koronavirus, sekatan ke atas kawasan yang penuh dengan konflik membawa penderitaan yang lebih hebat kepada rakyat Palestin.

Amat berbeza dengan Amerika Syarikat yang bersikap pembuli di peringkat dunia, negara Kuba, sebuah negara yang mengalami sekatan ekonomi daripada Amerika Syarikat selama 60 tahun sehingga kini, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita hanya 40% berbanding KDNK per kapita Malaysia, masih dapat menghulurkan bantuan kepada negara lain semasa pandemik koronavirus dengan menghantar pasukan doktornya untuk berkhidmat di tempat yang memerlukannya. Ini merupakan contoh semangat solidariti sejati yang tidak akan difahami oleh kuasa imperialis.

Screenshot_2020-05-20 file-20200324-141843-1lx5iyo jpg (WEBP Image, 926 × 637 pixels)

Lawan pandemik dengan solidatiti, bukannya stigma

Penularan pandemik koronavirus juga memburukkan penyebaran fahaman pelampau kanan di banyak negara di dunia hari ini. Fahaman pelampau kanan yang berbentuk rasisme dan xenofobia, berkembang pesat di banyak tempat sebagai kesan dan reaksi kepada krisis ekonomi kapitalis. Golongan pelampau kanan mengapi-apikan sentimen nasionalisme sempit, patriotisme yang membuta tuli, rasisme dan xenofobia, untuk mengalihkan perhatian rakyat yang tidak puas hati pada keadaan yang disebabkan oleh krisis sistem kapitalis itu kepada kebencian terhadap golongan masyarakat terpinggir yang bukan “sejenis” dengan mereka. Golongan pelampau kanan menakut-takutkan warganegara dalam sesebuah negara dengan mengatakan bahawa ancaman terbesar kepada masyarakat bukannya kezaliman kerajaan yang melindungi kepentingan kelas pemerintah atau ketidaksamarataan sosio-ekonomi atau krisis perubahan iklim, tetapi adalah daripada “pendatang”. “Pendatang-pendatang” ini dibawa masuk secara besar-besaran untuk membangunkan ekonomi negara, tetapi apabila ekonomi menghadapi krisis kerana masalah sistem ekonomi dan kepincangan kelas pemerintah, “pendatang”lah yang dijadikan kambing hitam sehingga dilayan dengan pelbagai ancaman keganasan.

Layanan atau serangan xenofobik yang diterima oleh warga Asia di Amerika Syarikat dan Eropah, orang Afrika di negara China, ataupun orang Rohingya di Malaysia, merupakan manifestasi ancaman penularan fahaman sempit ini yang impaknya tidak kurang hebat berbanding wabak koronavirus.

Krisis pandemik koronavirus dan krisis ekonomi yang semakin serius, sudah pasti akan terus dipergunakan oleh golongan pelampau kanan untuk memperluaskan pengaruh politiknya dengan mempermainkan sentimen perkauman dan xenofobia, memangsakan komuniti yang terpinggir (seperti etnik minoriti, pekerja migran dan pelarian), serta mengecutkan ruang demokrasi. Golongan pelampau kanan akan terus mewujudkan stigma terhadap golongan tertentu dalam masyarakat, melalui penyebaran berita palsu, teori konspirasi dan pandangan yang prejudis dalam media sosial.

Namun begitu, masih wujudnya harapan untuk menangkis kemaraan kuasa pelampau kanan yang reaksioner ini. Kita dapat menyaksikan rakyat di seluruh dunia berganding bahu, tanpa mengira kaum, agama, kewarganegaraan dan latar belakang budaya, untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas kerana pandemik.

Perluasan fahaman pelampau kanan yang membawa sentimen perkauman dan xenofobia merupakan simptom penyakit krisis kapitalis; ubat penawar yang mujarab untuk penyakit ini ialah solidariti masyarakat yang merentasi batasan perkauman dan sempadan negara bangsa.

20200520earth

Kapitalisme mengancam umat manusia

Semasa menyampaikan ucapan di ibupejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada 8 Disember 2017, Jeremy Corbyn, Pemimpin Parti Buruh Britain pada masa itu, menggariskan empat ancaman yang paling hebat dan saling berkait yang dihadapi manusia sedunia pada zaman ini:

  1. Penumpuan kekayaan dan kuasa dalam tangan segelintir kecil elit korporat di bawah sistem ekonomi neoliberal. Keadaan ini telah meningkatkan ketidaksamarataan, peminggiran, ketidakjaminan dan kemarahan rakyat di seluruh dunia.
  2. Perubahan iklim yang mewujudkan ketidakstabilan, menimbulkan konflik di seluruh dunia dan mengancam masa hadapan umat manusia.
  3. Rakyat dalam jumlah yang besar terpaksa melarikan diri daripada konflik, penganiayaan, pencabulan hak asasi manusia, keruntuhan sosial dan bencana iklim. Skala fenomena pelarian ini merupakan sesuatu yang belum pernah terjadi sebelum ini.
  4. Penggunaan tindakan dan campurtangan ketenteraan secara unilateral, bukannya diplomasi dan perundingan, dalam menyelesaikan pertelingkahan dan menukar kerajaan.

Semua ancaman ini berpunca daripada sistem kapitalis global. “Rakyat terjebak dalam kemiskinan, sementara ahli-ahli politik menyalurkan dana awam ke tempat berlindung cukai, itulah korupsi!”

“Sistem ekonomi global yang dominan telah rosak,” Corbyn berkata, “ia sedang menghasilkan dunia di mana segelintir yang kaya menguasai 90% daripada sumber dunia.”

Pandemik global yang melanda pada tahun 2020 sudah pasti akan memburukkan kesan ancaman sistem kapitalis kepada umat manusia ini. 

20200331 - EUH00CyXkAMx9Gu

Jalan keluar yang melangkaui kapitalisme

Pandemik koronavirus dan krisis ekonomi teruk yang sedang melanda ini, sebenarnya juga memberi kesempatan kepada kita semua untuk merenung kembali dan berfikir dengan serius tentang halatuju masyarakat kita. Tiba masanya untuk kita membuang model ekonomi kapitalis yang hanya berfungsi untuk pengumpulan modal.

Untuk negara Malaysia, kita tidak boleh lagi mengekalkan “pertumbuhan ekonomi” (sebenarnya bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan korporat) dengan bergantung kepada pelaburan asing, pengeluaran industri yang berorientasikan eksport dan dasar gaji rendah. Selagi kesejahteraan hidup rakyat biasa tidak dapat dijamin, “pertumbuhan ekonomi” yang ditunjukkan dalam keuntungan syarikat korporat atau angka KDNK adalah tidak membawa apa-apa makna yang sebenar kepada masyarakat. Kita perlu memulihkan matlamat asal ekonomi masyarakat, iaitu ekonomi adalah untuk memenuhi keperluan sebenar rakyat dan meningkatkan kualiti hidup rakyat, bukannya untuk keuntungan korporat.

Untuk mentransformasikan ekonomi kita hari ini, kita perlu mencari jalan keluar dengan melangkaui kerangka ekonomi kapitalis. Menyekat kuasa ekonomi yang dimiliki oleh syarikat korporat, memperluaskan penyertaan masyarakat umum dalam proses membuat keputusan tentang pengurusan ekonomi, mengagihkan semula kekayaan masyarakat secara saksama melalui dasar kerajaan yang demokratik, merupakan kunci utama untuk kita melangkaui ekonomi kapitalis.

Pendekatan yang perlu kita ambil di peringkat antarabangsa, nasional dan tempatan untuk mengatasi pelbagai krisis yang timbul daripada sistem kapitalis hari ini (krisis kesihatan awam, krisis ekonomi, krisis iklim dan sebagainya), termasuk:

  • Memperuntukkan lebih banyak sumber dalam memperkasakan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor kesihatan awam, mengehadkan perkembangan sektor perubatan swasta, demi mencapai matlamat “kesihatan ialah hak asasi manusia” untuk semua, di samping meningkatkan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan pandemik pada masa akan datang.
  • Menutup semua tempat berlindung cukai, untuk memastikan golongan mahakaya dan korporat besar tidak menyorok kekayaan mereka. Memastikan pelaksanaan sistem percukaian progresif, termasuk mengenakan cukai kekayaan ke atas golongan mahakaya, meningkatkan cukai ke atas keuntungan korporat, meningkatkan cukai ke atas perkara yang tidak diperlukan oleh masyarakat (seperti persenjataan, spekulasi kewangan dan sebagainya), dan membanteras pengelakan cukai oleh golongan mahakaya dengan lebih berkesan. Ini akan membolehkan pengagihan semula kekayaan masyarakat secara saksama.
  • Kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana dalam sektor-sektor yang penting, termasuk pertanian dan pengeluaran makanan, tenaga boleh diperbaharui, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, perumahan sosial, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan penjagaan dan sebagainya. Ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat umum, malah dapat mencipta lebih banyak pekerjaan dan menyelesaikan masalah pengangguran. Memiliknegarakan semua perkhidmatan awam dan mendemokrasikan di bawah kawalan rakyat.
  • Melaksanakan pendapatan asas sejabat (UBI), khususnya membolehkan rakyat untuk memperolehi pendapatan yang mampu menampung segala keperluan asas hidup apabila menghadapi keadaan khusus seperti ancaman pandemik.
  • Hentikan sekatan ekonomi ke atas negara-negara seperti Kuba, Venezuela, Iran dan Gaza.
  • Membatalkan hutang negara-negara sedang membangun yang dipaksakan oleh institusi kewangan antarabangsa, supaya negara-negara ini mempunyai lebih banyak dana untuk meningkatkan perkhidmatan awam masing-masing.
  • Memperluaskan ruang demokrasi, menyahpusatkan kuasa kepada kesatuan-kesatuan sekerja, masyarakat sivil, pertubuhan-pertubuhan komuniti dan sebagainya, supaya masyarakat umum dapat melibatkan diri secara langsung dalam proses membuat keputusan politik, di samping mengelakkan pemusatan kuasa dalam tangan birokrasi dan elit politik.

Pandemik koronavirus merupakan darurat kesihatan awam sedunia, tetapi kapitalisme pula merupakan malapetaka yang sebenar. Kapitalisme itu malapetaka pandemik yang membiak ketidakadilan sosial dan kehancuran ekologi bumi. Untuk mengatasi dan mencegah ancaman pendemik kapitalis yang boleh berulang, untuk membebaskan masyarakat daripada belenggu krisis ekonomi, kita tidak boleh melakukannya dengan model sosio-ekonomi kapitalis sekarang ini. Kita tidak boleh membiarkan kapitalisme global “berurusan seperti biasa”. Kita juga tidak boleh menyerahkan nasib kita kepada birokrasi kerajaan dan elit politik yang berkhidmat untuk kepentingan kelas pemerintah dan korporat.

Pandemik penyakit yang menjangkiti tubuh badan manusia, boleh dirawat dengan ubat atau dicegah dengan vaksin, atau melalui langkah-langkah pencegahan seperti “penjarakan fizikal” dan pengasingan pembawa patogen. Pandemik kapitalisme yang mengancam masyarakat kita pula, perlukan “ubat penawar” yang melangkaui logik pengumpulan modal, dan mengekalkan “penjarakan sosial” dengan sistem ekonomi kapitalis neoliberal sekurang-kurangnya diameter sebuah bumi. Ubat penawar ini hanya dapat dihasilkan melalui gerakan perjuangan rakyat yang berorganisasi dan bermobilisasi dari bawah. Tiada jalan singkat, juga tiada pintu belakang untuk membina alternatif sebegini.

7 thoughts on “Koronavirus, kegawatan, krisis dan kapitalisme

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *