(foto: Prachatai)

14 tahun dahulu, pada 19 September 2006, pihak Tentera Thailand melakukan kudeta menjatuhkan kerajaan pimpinan Thaksin Shinawatra yang dipilih secara demokratik, menjadikannya rampasan kuasa politik oleh pihak tentera yang pertama dalam abad ke-21 di negara yang sering berlaku kudeta tentera sejak tahun 1932. 14 tahun kemudian, setelah satu lagi rampasan kuasa tentera pada tahun 2014 dan penggubalan Perlembagaan baru yang menghakis institusi demokrasi untuk memastikan Prayut Chan-o-cha terus berkuasa sebagai Perdana Menteri Thailand, rakyat Thailand telah bertekad untuk terus memperjuangkan demokrasi dengan mengadakan aksi demonstrasi yang terbesar di negara itu dalam dekad ini.

Pada 19 September 2020, puluhan ribu orang telah berhimpun di Bangkok untuk menyuarakan tuntutan demokratik dalam aksi massa yang terbesar sejak gelombang protes pro-demokrasi yang tercetus pada bulan Julai 2020. Demonstran telah berhimpun di kampus Tha Phra Chan Universiti Thammasat yang terletak di pusat bandar lama Bangkok. Demonstran dalam jumlah yang besar juga menduduki Sanam Luang, sebuah padang besar yang berdekatan dengan Istana Besar Raja Thailand. Jumlah peserta aksi perhimpunan pada 19 September 2020 ini telah melebihi jumlah yang mengambil bahagian dalam aksi protes pada 16 Ogos 2020.

(foto: Prachatai)

Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha cuba meredakan kemarahan rakyat Thailand dalam ucapannya yang disiarkan dalam televisyen pada 17 September 2020, dengan mengatakan bahawa dia sudah dengar apa yang hendak dikatakan rakyat tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap perlembagaan negara itu, tetapi kerajaan perlu memberi keutamaan kepada ekonomi yang dimusnahkan oleh pandemik COVID-19. Kerajaan Thailand telah mengumumkan beberapa langkah ekonomi baru-baru ini, termasuk peningkatan jumlah bantuan yang disalurkan kepada rakyat. Prayut juga berkata bahawa dia telah mengarahkan pihak berkuasa supaya melayan demonstran secara lembut, sebagai usaha untuk menyelamatkan kuasanya. Taktik kerajaan pimpinan Prayut ini nampaknya tidak begitu berhasil, kerana lebih ramai lagi rakyat turun berprotes pada 19 September 2020.

Lebih kurang 20,000 orang demonstran yang berhimpun di Bangkok telah menduduki tapak protes semalaman. Pada awal pagi 20 September 2020, peserta aksi memasang sebuah plak yang melambangkan aspirasi demokrasi rakyat Thailand di Sanam Luang, untuk mengisytihar kelahiran gerakan rakyat yang baru. Plak yang digelar sebagai “Plak Rakyat 2.0” ini dianggap sebagai pengganti kepada plak peringatan Revolusi Siam 1932 yang dipasang di Dataran Diraja Bangkok. Revolusi Siam 1932 merupakan peristiwa yang mempunyai kepentingan sejarah untuk Thailand kerana ia mewujudkan sistem raja berperlembagaan di negara itu, walaupun sistem raja berperlembagaan sering dihakis oleh kekuasaan tentera. Plak peringatan Revolusi Siam yang pertama itu pernah dialihkan semasa pemerintahan kediktatoran Sarit Thanarat, seorang jeneral yang berkuasa melalui rampasan kuasa tentera pada tahun 1957, tetapi dipasangkan semula selepas kejatuhan Sarit Thanarat, dan “dihilangkan” sekali lagi pada tahun 2017 semasa pemerintahan kuasa tentera di bawah Prayut dan digantikan dengan sebuah plak yang menonjolkan kepentingan monarki tanpa apa-apa rujukan tentang Revolusi 1932.

(foto: Prachatai)

Inskripsi di atas Plak Rakyat 2.0 itu tertulis “pada waktu subuh 20 September 2020” dan “rakyat harus tahu bahawa negara ini dimiliki oleh rakyat, bukannya raja seperti pembohongan mereka”. Simbol isyarat tangan tiga jari yang digunakan dalam protes pro-demokrasi juga kelihatan dalam plak ini.

Selepas pemasangan Plak Rakyat 2.0, demonstran berkumpul di sepanjang jalan di hadapan Mahkamah Agung yang bertentangan dengan Istana Besar Raja di Bangkok. Panusaya Sithijirawattanakul, pemimpin pelajar yang merupakan jurucakap kepada Kesatuan Pelajar Thailand, telah menyerahkan sepucuk surat yang mengandungi 10 tuntutan untuk pembaharuan sistem monarki yang dituju kepada Majlis Privi. Surat tuntutan tersebut telah diterima oleh Leftenan Jeneral Pakapong Pongpetra, pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan Bangkok.

Panusaya Sithijirawattanakul menyerahkan surat menuntut pembaharuan sistem monarki kepada wakil Majlis Privi. (foto: Prachatai)

Ini merupakan satu detik bersejarah untuk Thailand. Sebelum ini, kritikan umum terhadap institusi diraja Thailand merupakan sesuatu yang sukar dibayangkan, kerana pihak berkuasa sering menggunakan undang-undang lèse majesté untuk melenyapkan sebarang suara kritikan terhadap penguasa yang berselindung di sebalik sistem monarki. Namun, dalam dua bulan kebelakangan ini, gerakan pro-demokrasi yang diterajui oleh pelajar-pelajar generai muda telah semakin lantang bersuara untuk mengemukakan tuntutan supaya kuasa dan kekayaan raja Thailand itu dikawal.   

“Ini kemenangan besar rakyat yang pertama kerana rakyat biasa seperti kita ini dapat memberanikan diri untuk menyerahkan surat kepada raja,” kata Parit “Penguin” Chiwarak, salah seorang pemimpin aksi protes. Parit juga menyeru pada orang ramai supaya mengambil bahagian dalam mogok umum yang dirancang pada 14 Oktober 2020, bersempena dengan ulangtahun peristiwa kebangkitan pelajar tahun 1973.

Aktivis-aktivis pro-demokrasi juga merancang untuk berhimpun semula pada 24 September 2020 di luar Parlimen. Ketika bersurai meninggalkan tapak protes, demonstran menjerit, “Kami tidak akan berhenti sehingga kuasa kegelapan itu hilang!”

(foto: Prachatai)

Thailand mempunyai sejarah protes rakyat yang berpanjangan. Gelombang protes rakyat yang terbaru ini tercetus pada bulan Februari 2020 selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand membubarkan Parti Maju Masa Depan, sebuah parti pembangkang yang lantang bersuara melawan kekuasaan pihak tentera. Aksi protes tergendala seketika kerana penularan wabak COVID-19. Penculikan aktivis pro-demokrasi Wanchalearm Satsaksit pada bulan Jun 2020 di Kemboja telah mencetuskan semula kemarahan rakyat Thailand, yang kemudiannya meledak pada bulan Julai 2020 dengan aksi protes yang berterusan di merata tempat. Para demonstran dalam aksi protes pro-demokrasi telah menggesa supaya membubarkan kerajaan pimpinan Prayut, menggubal perlembagaan baru dan menghentikan gangguan terhadap mereka yang mengkritik kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *