20200521 - Image-18-05-20-at-1.17-PM

Parti Kiri Jerman, Die Linke, menuntut pembekuan sewa rumah (iaitu tidak menaikkan sewa) di seluruh negara Jerman sepanjang krisis pandemik COVID-19. Die Linke juga menyeru untuk menghentikan segala pengusiran sepanjang tempoh ini.

Aktivis-aktivis daripada Die Linke mengadakan protes di luar ibupejabat Kesatuan Demokratik Kritian (CDU) di Berlin pada 15 Mei 2020, untuk menyatakan bantahan mereka terhadap pendekatan pro-pemilik hartanah yang diambil oleh CDU merupakan halangan kepada usaha kerajaan campuran untuk melaksanakan pembekuan sewa rumah di negara itu. CDU merupakan parti komponen utama dalam kerajaan campuran di peringkat Persekutuan Jerman, dengan Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) merupakan satu lagi komponen dalam kerajaan campuran.

Die Linke berpandangan bahawa pembekuan sewa dapat mengatasi masalah sewa tinggi yang membebankan penduduk bandar. Namun, CDU yang menjadi parti utama dalam kerajaan campuran Persekutuan yang dipimpin oleh Angela Merkel, tidak menyokong pembekuan sewa di seluruh negara Jerman. Malah, CDU bersama dengan Kesatuan Sosial Kristian (CSU) dan Parti Demokratik Bebas (FDP) memfailkan kes di mahkamah untuk mencabar keputusan kerajaan negeri Berlin yang hendak melaksanakan pembekuan sewa rumah. Parlimen negeri Berlin, iaitu ibu negara dan bandar terbesar di Jerman, yang dikuasai oleh kerajaan campuran yang terdiri daripada SPD, Die Linke dan Parti Hijau (yang dikenali sebagai Pakatan Merah-Merah-Hijau) telah meluluskan satu rang undang-undang pembekuan sewa pada 30 Januari 2020 dan mula berkuatkuasa pada 23 Februari 2020. Rang undang-undang tersebut membekukan sewa rumah di bandar tersebut pada kadar sekarang sehingga tahun 2025. Tindakan ini telah menggugat kepentingan pemilik hartanah besar dan melancarkan serangan ke atas dasar yang pro-rakyat ini melalui proksi mereka seperi CDU dan FDP. Politikus CDU menuduh kerajaan campuran di bandar Berlin “telah menimbulkan kekacuan yang tidak pernah berlaku sebelumnya kepada pasaran perumahan di bandar ini”.

CDU lebih mengutamakan keuntungan syarikat hartanah berbanding rakyat biasa yang terpaksa menyewa rumah dengan kadar sewa yang tinggi. Oleh yang demikian, Die Linke mengadakan protes di hadapan ibupejabat CDU di Berlin, untuk menyatakan bantahan mereka terhadap dasar pro-pasaran hartanah CDU.

Caren Lay, ahli parlimen Die Linke, berkata dalam Parlimen Persekutuan Jerman pada 14 Mei 2020, “Ramai penyewa tidak tahu bagaimana mereka mampu untuk membayar sewa mereka. 74% orang takut kehilangan unit pangsapuri mereka. Ini sebabnya kenapa rancangan krisis koronavirus perlu diaplikasi sekarang juga: Semua pengusiran perumahan adalah dilarang. Elaun perumahan harus dilanjutkan, perlindungan sewa dipermudahkan dan sewa tidak harus dinaikkan.”

Seruan untuk mengawal kadar sewa bukannya sesuatu yang baru, tetapi telah diperjuangkan oleh rakyat Jerman sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerana kenaikan sewa rumah yang mendadak telah membebankan ramai orang. Sewa rumah di bandar Berlin telah berlipat ganda untuk dua dekad yang lalu, manakala bandar-bandar lain di Jerman juga mengalami peningkatan sewa yang mendadak. Sewa yang tinggi ini hanya menguntungkan syarikat hartanah yang besar. Daripada lebih kurang 2 juta unit pangsapuri yang disewa di Berlin, 111,500 unit (lebih kurang 6.8%) dimiliki oleh Deutsche Wohnen, syarikat swasta terbesar yang menjadi tuan tanah di Berlin, sementara Vonovia memiliki 44,000 unit rumah sewa.

Pernah tercetusnya protes besar-besaran pada bulan April 2019, dengan rakyat Jerman turun ke jalanan di bandar-bandar seperti Berlin, Cologne, Frankfurt dan Munich, untuk membantah kenaikan sewa rumah dan menuntut supaya kerajaan mengambilalih hartanah tuan tanah besar yang memiliki lebih 3,000 unit rumah. Wujudnya sokongan besar untuk menukarkan hartanah yang dimiliki oleh tuan tanah swasta kepada perumahan sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *