oleh Arveent Karthirtchelvan

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan baru-baru ini menyatakan bahawa rakyat Malaysia perlu mengubah corak pemikiran mereka dan menerima apa-apa pekerjaan yang ada untuk mengatasi masalah kadar pengangguran yang semakin meningkat. Pemuda PSM menyangkal kenyataan yang tidak bertanggungjawab, berfikiran sempit serta berdasarkan idea kuno ini. Terdapat beberapa sebab Pemuda PSM mempertikaikan kenyataan ini.

1. Masalah kualiti hidup

Walaupun Pemuda PSM bersetuju dengan Menteri Saravanan bahawa pekerjaan 3D (Bahaya, Kotor dan Sukar) amat diperlukan dan tidak patut dipandang rendah, realitinya perkerjaan sebegini tidak dibayar gaji secara berpatutan. Umum diketahui bahawa pekerja-pekerja migran sering diambil untuk kerja sebegini sebab gaji yang dituntut oleh mereka jauh lebih rendah daripada pekerja tempatan. Disebabkan ini, rata-ratanya, kualiti hidup mereka amat teruk.

Kenyataan Menteri Sumber Manusia juga tidak sensitif terhadap realiti hidup pekerja di Malaysia dari segi ketidaksepadanan kerja. Golongan graduan, terutamanya anak muda, berdepan dengan kekurangan peluang pekerjaan dalam pasaran. Ramai daripada mereka terpaksa mengambil pekerjaan yang tidak menentu, seperti pemandu Grab dan rider Foodpanda. Malah, ramai yang mempunyai pekerjaan penuh juga menggalas tanggungjawab tambahan ini untuk menjana pendapatan yang mencukupi.

Jikalau nasihat Menteri Sumber Manusia diikuti, kualiti hidup rakyat Malaysia akan bertambah teruk. Golongan graduan akan terpaksa mengambil pekerjaan yang tidak sepadan dengan apa yang mereka belajar untuk gaji yang kurang. Malah lebih senang untuk golongan kapitalis mengambil peluang ini untuk merendahkan taraf syarat kerja (gaji, cuti tahunan, liputan perlindungan perubatan dan sebagainya) kerana bukan sahaja pekerja Malaysia disaran mengambil apa jua peluang yang ada, tiada pula pelan untuk meningkatkan peluang pekerjaan yang dapat memastikan kualiti hidup setiap pekerja yang dapat bersaing dengan peluang pekerjaan sedia ada.

2. Masalah pembangunan negara

Tanggungjawab kerajaan adalah untuk memaksimumkan kapasiti produktif negara untuk menjana keuntungan yang dapat disalurkan kepada rakyat melalui pelbagai jenis aktiviti pembangunan dan kebajikan. Ini patut dilakukan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang sepadan dengan kepentingan nasional serta keinginan individu. Sebagai contoh, jika terdapat kekurangan infrastruktur di Malaysia, produktiviti dalam kejuruteraan sivil patut ditingkatkan untuk mengatasinya.

Menteri kita kelihatan terlalu selesa menerima bahawa sesetengah rakyat Malaysia akan terus menganggur dan seluruh golongan pekerja Malaysia terus ditindas kapitalis. Golongan pekerja kini mendapat bahagian yang amat kecil daripada keuntungan yang dijana atas hasil kerja mereka, iaitu hanya 35.2% daripada KDNK. Ini jauh lebih kurang daripada beberapa negara maju dan sedang membangun seperti Korea Selatan dan Afrika Selatan yang melebihi 40%. Malangnya, hasil yang lebih besar disalur bukannya kepada golongan yang memerlukannya atau untuk mengukuhkan institusi kerajaan yang sepatutnya seperti hospital, tetapi terus ke dalam saku golongan kapitalis.

Mungkin sebab inilah Menteri Saravanan menyarankan rakyat Malaysia keluar bekerja di negara lain. Katanya, kita patut melupakan impian dan rancangan kita seketika untuk memastikan kelangsungan hidup. Amat ketara bahawa Kerajaan Malaysia, terutamanya Kementerian Sumber Manusia, ketandusan idea untuk menghidupkan balik ekonomi negara. Apakah rasionalnya jika kekurangan peluang pekerjaan di sesuatu negara diselesaikan dengan menggalakkan rakyat negara itu keluar mencari peluang pekerjaan di negara lain? Lebih-lebih lagi pada masa ini apabila krisis COVID-19 telah menghancurkan ekonomi seluruh dunia. Tidakkah jaminan kerja di negara lain juga terjejas?

Kemungkinan besar pekerjaan yang terbuka di negara lain juga bukan profesional dan bersifat tidak mahir, sekali gus menjadikan pekerja dari Malaysia sebagai pelarian ekonomi yang ditindas sama seperti pekerja migran di sini. Masalah-masalah sama seperti gaji yang kurang dan keadaan kerja yang teruk mungkin membelenggu pekerja sebegini. Bukan sahaja itu, hasil titik peluh pekerja Malaysia tidak digunakan untuk membangun negara dan menambah baik keadaan hidup di sini, memanjangkan keperitan hidup rakyat di sini.

Kita patut sedar bahawa cara mengatasi masalah-masalah di atas tidak lain dan tidak bukan adalah melalui perbelanjaan kerajaan untuk meningkatkan peluang pekerjaan. Dalam keadaan ekonomi yang tidak tentu, kerajaan patut menjajarkan syarikat-syartikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mengguna pakai idea-idea ekonomi progresif seperti Modern Monetary Theory (MMT) untuk menyifarkan kadar pengangguran. Sektor-sektor seperti pertanian dan penjanaan kuasa bersih boleh dibangunkan dengan kapasiti graduan dan pekerja di Malaysia. Wang yang dibelanja melalui aktiviti sebegini tidak pergi kepada golongan kapitalis tetapi membuah hasil dengan membangunkan negara dan memastikan kualiti hidup rakyat terjamin.

Untuk meningkatkan minat rakyat terhadap pekerjaan 3D, Menteri Sumber Manusia kita patut berusaha menambahbaikkan syarat kerja, terutamanya gaji dan aspek keselamatan, melalui undang-undang baharu dan pemantauan yang berkesan. Kerajaan juga patut berhenti melihat rakyat Malaysia sebagai komoditi untuk dijualbeli atau beban kepada kerajaan. Sebaliknya, merekalah penjana keuntungan yang patut diperkasakan untuk meningkat kualiti hidup mereka sendiri serta mewujudkan kekayaan yang dapat dibelanja melalui program kebajikan.

==========

Arveent Karthirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Sosialis Malaysia (Pemuda PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *