7 April setiap tahun ialah Hari Kesihatan Sedunia. Tarikh 7 April ini menandakan hari ulangtahun penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ditubuhkan secara rasminya pada 7 April 1948, apabila perlembagaan bagi agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu mula berkuatkuasa setelah ia diratifikasi oleh negara anggota yang ke-26 pada masa itu. Untuk memperingati penubuhan WHO, semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) yang pertama pada tahun 1948, delegasi-delegasi yang bersidang bersetuju untuk menetapkan 7 April setiap tahun, mulai tahun 1950, sebagai tarikh untuk menyambut Hari Kesihatan Sedunia.

Dunia kita telah mengalami krisis kesihatan awam yang paling serius pada zaman kita ini dengan pandemik COVID-19 yang menular ke seluruh dunia sejak awal tahun 2020 dan masih berterusan pada ketika kita menyambut Hari Kesihatan Sedunia 2021. Wabak penyakit yang disebabkan oleh virus SARS‑CoV‑2 dan mula-mula dikesan di bandaraya Wuhan, China, telah menjadi salah satu pandemik yang paling berbahaya dalam sejarah dunia. Setakat awal bulan April 2021, sudah lebih 130 juta orang di seluruh dunia disahkan terkena jangkitan wabak COVID-19, antaranya lebih 2.85 juta orang telah meninggal dunia. Wabak COVID-19 telah menular ke hampir semua negara di dunia, dengan negara Amerika Syarikat mengalami keadaan yang paling teruk (sejumlah hampir 31 juta kes jangkitan dan lebih 560,000 kematian setakat awal bulan April 2021), diikuti dengan Brazil (hampir 13 juta kes jangkitan dan lebih 330,000 kematian setakat awal bulan April 2021) dan India (lebih 12 juta kes jangkitan dan lebih 160,000 kematian setakat awal bulan April 2021). Negara Malaysia juga tidak dapat berkecuali daripada ancaman penularan wabak COVID-19, dengan jumlah jangkitan yang disahkan (setakat 6 April 2021) melebihi 352,000 dan kematian mencecah 1,300.

Krisis pandemik COVID-19 menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa betapa pentingnya untuk sebuah sistem kesihatan awam yang sempurna dalam melindungi nyawa dan kesejahteraan rakyat. Krisis ini juga membongkarkan hakikat bahawa sistem ekonomi kapitalis yang mendominasi dunia kita hari ini telah gagal sepenuhnya dalam mewujudkan sistem kesihatan awam yang mampu menyelamatkan rakyat dunia daripada ancaman kesihatan yang berterusan. Contoh yang paling nyata ialah negara Amerika Syarikat, selaku negara kapitalis yang “paling maju” dengan adanya teknologi perubatan yang paling canggih di dunia tetapi gagal sepenuhnya dalam menangani krisis pandemik COVID-19, malah muncul sebagai negara yang paling teruk dilanda wabak maut ini.

Daripada pengalaman melawan wabak COVID-19 yang sudah lebih setahun, kita dapat melihat dengan jelas bahawa ekonomi kapitalis pasaran bebas bukan sahaja gagal menangani krisis ancaman kesihatan awam, malah boleh memburukkan lagi krisis sekiranya dasar awam kerajaan masih dipengaruhi oleh kegiatan pasaran kapitalis yang semata-mata bermotifkan keuntungan korporat. Krisis pandemik menjadi lebih teruk lagi di negara-negara di mana kerajaan di situ terlalu terikut-ikut dengan kehendak golongan korporat yang mementingkan keuntungan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan wabak ataupun membuka semula ekonomi dengan lebih awal sebelum keadaan wabak dapat dikawal sepenuhnya. Negara-negara yang mempunyai sistem kesihatan awam yang lebih baik dengan pembiayaan wang yang lebih banyak daripada kerajaan, mampu menangani krisis pandemik dengan lebih berkesan berbanding negara-negara yang menggadaikan sistem kesihatan awam kepada penswastaan yang bermotifkan keuntungan swasta.

Koronavirus SARS‑CoV‑2 dan varian-variannya mengancam kesihatan rakyat sedunia, tetapi kewujudan sistem sosio-ekonomi yang tidak adil di bawah kapitalisme telah memburukkan lagi ancaman ini. Pada ketika kekayaan kebendaan dunia kita sedang berada di kemuncak dalam sejarah tamadun manusia, hanya sebahagian orang sahaja yang dapat hidup lebih sihat berbanding dengan yang lain kerana berkemampuan atau dapat mengakses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik. Ini adalah manifestasi ketidakadilan sosial kita pada hari ini, dan jelas ditunjukkan apabila dunia dilanda pandemik COVID-19. Ramai orang tidak dapat mengakses perkhidmatan kesihatan kerana mereka tidak mampu membayar ataupun tiadanya perlindungan kesihatan sejagat di negara mereka. Banyak negara tidak dapat mewujudkan sistem kesihatan awam yang komprehensif dan berkualiti kerana kemiskinan yang disebabkan oleh warisan penjajahan, hutang yang dipaksakan ke atas mereka oleh institusi-institusi kewangan antarabangsa yang berfahaman neoliberal dan juga dasar kerajaan yang terikat dengan logik pasaran kapitalis. Adanya negara yang pernah mempunyai sistem kesihatan awam yang baik tetapi dihakis teruk kerana pelaksanaan dasar ekonomi neoliberal yang mengurangkan perbelanjaan kebajikan sosial dan menswastakan perkhidmatan awam. Kemiskinan yang disebabkan oleh ketidaksamarataan dalam pengagihan kekayaan masyarakat, menjadikan kesihatan rakyat bawahan semakin tidak terjamin. Selain tidak dapat mengakses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, ramai rakyat miskin di merata tempat terpaksa hidup dalam keadaan berpendapatan rendah, kekurangan peluang pekerjaan yang dapat menyara hidup, ketiadaan jaminan pekerjaan, keadaan perumahan yang teruk, persekitaran hidup yang tidak sihat (seperti menghadapi ancaman pencemaran alam dan tiadanya bekalan air minuman yang bersih), ketiadaan jaminan bekalan makanan yang sihat, dan sebagainya. Keadaan hidup rakyat yang dirosakkan di bawah sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan logik pemaksimuman keuntungan korporat ini, membawa kepada penderitaan, penyakit dan malah kematian yang tidak patut berlaku langsung.

Walaupun vaksin untuk COVID-19 sudah pun dibangunkan dan dikeluarkan dalam skala besar-besaran, tetapi syarikat-syarikat farmaseutikal yang mementingkan keuntungan memberi keutamaan pengedaran vaksin kepada mereka yang bersedia untuk membayar. Oleh itu, 75% vaksin yang telah diagihkan setakat ini telah pergi kepada 30 buah negara yang terkaya, sementara 130 buah negara yang miskin di Selatan Global masih tidak dapat mengakses vaksin yang mampu menyelamatkan jutaan nyawa. Pada ketika ini, negara-negara kaya sedang memvaksinkan seorang setiap saat, tetapi rakyat di kebanyakan negara yang miskin masih belum menerima satu suntikan vaksin pun!

Ketidakadilan dalam pengagihan vaksin boleh diatasi dengan membuang sekatan undang-undang yang dikenakan oleh perjanjian perdagangan bebas yang hanya melindungi kepentingan korporat, seperti Perjanjian mengenai Aspek-aspek Harta Intelek yang berkaitan dengan Perdagangan (TRIPS), supaya membolehkan pengetahuan dan kaedah pembuatan vaksin dikongsikan kepada pengeluar-pengeluar ubat yang berkelayakan di seluruh dunia (dan bukannya kekal sebagai harta eksklusif untuk segelintir kecil syarikat farmaseutikal gergasi terus mengaut keuntungan lumayan). Sekiranya monopoli syarikat farmaseutikal gergasi terhadap pengeluaran vaksin dapat dipecahkan, lebih ramai rakyat akan dapat divaksinkan lebih awal dan lebih banyak lagi nyawa dapat diselamatkan, di samping negara-negara yang kurang membangun akan lebih cepat memulihkan ekonomi mereka.

Kita dapat membasmi dan mencegah ketidakadilan sosial daripada terus berlaku. Penyakit ketidakadilan sosial kita hari ini disebabkan oleh virus kapitalisme, sejenis virus susunan ekonomi masyarakat yang berasaskan logik pengumpulan modal berterusan dalam tangan golongan kapitalis (pemilik modal) melalui usaha pemaksimuman keuntungan yang melibatkan eksploitasi tenaga kerja dan pemusnahan alam sekitar. Vaksin kepada virus kapitalisme ialah usaha perjuangan rakyat dari bawah untuk membina sebuah masyarakat yang lebih samarata, adil, demokratik dan sejahtera.

WHO menyambut Hari Kesihatan Sedunia pada tahun 2021 dengan tema “Membina sebuah dunia yang lebih adil dan sihat” (Building a fairer, healthier world) adalah sesuatu yang tepat pada masanya. Namun, slogan yang cantik ini hanya tinggal sekadar slogan sekiranya kerajaan-kerajaan di dunia masih enggan mengambil tindakan konkrit untuk berputus sepenuhnya dengan sistem kapitalis yang membiak ketidakadilan sosial.

Untuk mewujudkan sebuah dunia yang lebih adil dan sihat supaya semua orang dapat hidup dalam kesejahteraan yang berkekalan, kita harus memperjuangkan sebuah alternatif yang mengatasi pengaruh ekonomi kapitalis. Antara langkah-langkah yang patut diambil pada peringkat nasional dan antarabangsa untuk menuju ke arah sebegini adalah:

  • Mewujudkan sistem kesihatan awam sejagat yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, melalui percukaian progresif yang memastikan golongan korporat membayar bahagian cukai yang sepatutnya dan membendung pengelakan cukai. Hentikan segala penswastaan sistem kesihatan, termasuk penswastaan terhadap perkhidmatan sokongan di hospital (seperti pembersihan dan pengurusan sisa-sisa buangan). Sistem kesihatan awam sejagat yang berkualiti dan percuma untuk semua orang yang memerlukannya, akan membolehkan kita menghadapi sebarang ancaman penularan wabak pada masa akan datang dengan lebih berkesan di samping menjamin kesejahteraan hidup rakyat.
  • Melaksanakan jaminan pendapatan asas yang sejagat, supaya semua orang tidak perlu lagi bimbang tentang kemampuan untuk terus hidup secara bermaruah, khususnya dalam keadaan krisis.
  • Menghapuskan hutang yang dipaksakan ke atas negara-negara miskin oleh negara-negara kaya dan institusi-institusi kewangan antarabangsa.
  • Membina semula ekonomi masyarakat berasaskan prinsip yang mengutamakan kesejahteraan rakyat bukannya keuntungan korporat, dengan pelaburan kerajaan dalam sektor-sektor pengeluaran dan pengeluaran semula yang mampan, seperti penghasilan dan pembekalan makanan yang berkhasiat, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar, perkhidmatan penjagaan masyarakat (bagi kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya, pesakit dan sebagainya) dan sebagainya. Ini bukan sahaja mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, malah menggalakkan penyahkomersialan kehidupan masyarakat dan meningkatkan perlindungan sosial kepada seluruh rakyat.
  • Melindungi alam sekitar dunia kita daripada ancaman aktiviti ekonomi yang mengektrak sumber alam secara terlampau dan mencemar alam.
  • Membentuk sebuah masyarakat yang benar-benar demokratik dengan rakyat jelata dapat menyertai secara langsung dalam segala proses membuat keputusan yang penting untuk menjamin kesejahteraan bersama seluruh masyarakat. Kesatuan-kesatuan pekerja, organisasi-organisasi masyarakat sivil dan gerakan-gerakan rakyat harus menikmati ruang kebebasan yang lebih besar untuk berorganisasi, beraktiviti dan mengambil bahagian dalam proses politik.
  • Mewujudkan kerjasama masyarakat dunia yang berasaskan keamanan, solidariti dan kesejahteraan bersama, supaya membebaskan susunan dunia daripada persaingan kuasa-kuasa besar untuk dominasi dan perlumbaan persenjataan yang mengundang ancaman perang.

Keadilan sosial yang merentasi batasan sempadan negara merupakan vaksin yang paling berkesan untuk melindungi kesejahteraan masyarakat seluruh dunia. Vaksin ini hanya dapat dibangunkan melalui organisasi dan mobilisasi kuasa rakyat dari bawah secara berterusan dan berlandaskan visi perjuangan yang bersifat pembebasan.

Kesihatan itu hak asasi manusia, bukannya komoditi untuk dijual beli!

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s