20200405 - AP - 800
(foto oleh AP)

Walaupun negara Amerika Syarikat (AS) merupakan negara yang paling teruk dilanda wabak COVID-19, dengan jumlah kes positif jangkitan COVID-19 telah mencecah lebih 300 ribu orang, menjadikannya negara dengan paling banyak kes COVID-19 yang disahkan, tetapi kerajaan AS di bawah pimpinan Donald Trump masih meneruskan sikap pembulinya terhadap negara-negara yang tidak sehaluan dengan kepentingan imperialis AS.

Pada ketika dunia kita sedang bertungkus lumus untuk mengumpulkan segala sumber yang ada untuk melawan ancaman pandemik COVID-19, kerajaan AS pimpinan Donald Trump masih hendak sibuk meningkatkan tekanan dan ancamannya ke atas Republik Bolivar Venezuela, termasuk menghantar kapal perang ke Laut Caribbean.

Tindakan ancaman ketenteraan AS ke atas Venezuela terbaru ini dilakukan atas alasan “anti-dadah”. Kerajaan AS telah menuduh Presiden Venezuela Nicolás Maduro bersama dengan pemimpin kerajaan Venezuela yang lain terlibat dalam aktiviti “pemerdagangan dadah” dan “narko-keganasan” (narcoterrorism) tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh. Jabatan Negara AS telah menawarkan ganjaran sebanyak USD15 juta untuk maklumat yang dapat membawa Maduro “ke muka pengadilan”.

Venezuela bukannya negara utama yang mengeluarkan, menjalankan perdagangan atau menggunakan dadah. Ini sesuatu yang disahkan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Dadah dan Jenayah (UNODC), malah agensi kerajaan AS sendiri. Sebaliknya, Colombia, negara jiran Venezuela yang merupakan sekutu rapat AS di Amerika Selatan, ialah pengeluar kokaine tersebar di dunia. Daripada sejumlah 245,400 hektar tanah yang digunakan untuk penanaman pengeluaran kokaina pada tahun 2017, 69.68% daripadanya (iaitu 171,000 hektar) berada di dalam negara Colombia. Daripada sejumlah 1,970 ton kokaine tulen yang dihasilkan di dunia pada tahun 2017, sebanyak 1,379 ton adalah dikeluarkan di Colombia. Laporan Dadah Sedunia 2019 oleh UNODC juga menyatakan bahawa kebanyakan kokaina didagangkan secara haram ke AS melalui Pasifik dan Amerika Tengah. Namun demikian, kerajaan AS nampaknya tidak ada masalah dengan sekutunya yang terlibat dalam kegiatan pengeluaran dan perdagangan haram dadah ini.

20200405 - drug-smuggling-routes-featured
Peta yang dihasilkan Markas Selatan Amerika Syarikat (USSOUTHCOM) menunjukkan bahawa kebanyakan laluan penyeludupan dadah di Amerika Latin menghubungkan dengan Colombia dan Ecuador dengan Guatemala dan Mexico melalui Lautan Pasifik.

Jelasnya tindakan AS atas nama “anti-dadah” yang dikenakan ke atas Venezuela, hanya bertujuan untuk menyahstabilkan kerajaan Venezuela pimpinan Maduro, sebagai sebahagian daripada usaha yang dilakukan oleh imperialis AS ke atas Venezuela sejak 20 tahun lalu, apabila Revolusi Bolivar dilancarkan di Venezuela oleh Hugo Chávez. Mendiang Hugo Chávez cuba membina satu alternatif kepada susunan masyarakat yang didominasi oleh kepentingan imperialis dan dasar neoliberal, melalui proses Revolusi Bolivar yang memberi kuasa kepada rakyat bawahan dan menjalin kerjasama antarabangsa yang berlandaskan semangat solidariti. Namun, kuasa imperialis AS tidak penah senang dengan usaha rakyat berdaulat ini, dan sentiasa menyokong puak kanan di Venezuela untuk merampas kuasa melalui apa jua cara.

Kerajaan AS dan sekutunya di Amerika Latin enggan mengiktiraf Maduro sebagai Presiden Venezuela, sebaliknya mengiktiraf Juan Guaidó, seorang pemimpin pembangkang yang mengisytihar diri sebagai Presiden sejak bulan Januari 2019 tanpa melalui apa-apa proses demokratik. Namun, Guaidó dan penyokongnya gagal dalam merampas kuasa, termasuk melalui  cubaan kudeta tentera. Rakyat Venezuela telah memobilisasi untuk mempertahankan Revolusi Bolivar daripada dihancurkan oleh imperialis AS dan sekutunya.

Sekatan ekonomi yang dikenakan oleh AS ke atas Venezuela telah melemahkan perkhidmatan awam di Venezuela dan mengundang keadaan yang menyusahkan untuk rakyat Venezuela bertahun-tahun lamanya. Tujuan sekatan ekonomi ini adalah untuk memaksa rakyat Venezuela “memberontak”untuk menggulingkan kerajaan Bolivar. Namun, ramai rakyat Venezuela sedar bahawa puak kanan di Venezuela yang didukung oleh imperialis AS akan menghancurkan segala pencapaian sosial dalam proses Revolusi Bolivar. Oleh itu, Revolusi Bolivar masih bertahan sehingga hari ini, walaupun menghadapi cabaran dan kekangan yang begitu hebat.

Sekatan ekonomi yang berterusan ke atas Venezuela juga sedang menjejaskan usaha kerajaan Venezuela untuk menangani ancaman wabak COVID-19 yang juga sedang menular di negara itu. Nyawa rakyat Venezuela sedang diancam oleh sekatan ekonomi yang bersifat jenayah ini.

Kerajaan AS telah mengemukakan satu “rancangan peralihan”, mengemukakan pengunduran Maduro sebagai syarat untuk AS mencabut sekatan ekonomi. Ini jelas merupakan satu peras ugut terhadap sebuah negara yang bebas dan berdaulat. Kerajaan AS yang bersikap pembuli nampaknya mahu Venezuela tunduk sepenuhnya menjadi budak suruhannya.

Walau bagaimanapun, kerajaan Venezuela pimpinan Maduro dan rakyat Venezuela tetap akan mempertahankan kedaulatan Republik Bolivar, di samping meneruskan perjuangannya untuk kedamaian dan keadilan sosial.

Sekatan ekonomi AS ke atas Venezuela dan negara-negara lain seperti Kuba dan Venezuela, merupakan satu perbuatan jenayah yang tidak berperikemanusiaan. Lebih-lebih lagi pada ketika dunia sedang diancam pandemik COVID-19, seluruh masyarakat antarabangsa perlu memperhebatkan suara untuk mendesak AS supaya menghentikan sekatan ekonominya ke atas negara-negara seperti Venezuela, Kuba dan Iran.

Kerajaan AS juga patut lebih menumpukan usahanya dalam menangani krisis wabak COVID-19 di negaranya dan menjalin hubungan kerjasana antarabangsa yang ikhlas untuk mengatasi cabaran dunia yang hebat ini, bukannya berdegil untuk meneruskan agenda imperialisnya yang cuba menyahstabilkan mana-mana kerajaan yang dianggap bertentangan dengan fahaman atau kepentingan golongan elit AS.

One thought on “AS masih mahu ancam Venezuela pada ketika pandemik global

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *