20191101 - chile Susana Hildago - 73381342_10156651317586966_7083857739327209472_n

Tahun 2019 merupakan satu tahun yang penuh dengan perjuangan. Dari awal tahun hingga ke akhir tahun, dari benua Afrika ke Asia dan Amerika Latin, rakyat turun beramai-ramai ke jalanan untuk berprotes, ada yang berjaya menjatuhkan rejim bersifat kediktatoran, ada yang berjaya memaksa kerajaan yang memerintah membatalkan dasar anti-rakyat yang cuba dibawanya, ada yang masih bertahan di jalanan untuk menuntut perubahan yang lebih menyeluruh. Anak-anak muda di seluruh dunia juga bermobilisasi dalam jumlah yang besar di seluruh dunia untuk menuntut keadilan iklim.

Gelombang protes yang melanda seluruh dunia pada tahun 2019, memperbaharui memori kita tentang gelombang revolusioner yang pernah wujud dalam sejarah, termasuk gelombang Revolusi 1848, Revolusi 1917-1923, gelombang protes 1968, protes 1989 dan Kebangkitan Dunia Arab 2011. Sepanjang setahun yang lalu, sama ada di Algeria, Sudan, Lubnan, Iraq, Catalonia, Perancis, Hong Kong, Indonesia, India, Chile, Ecuador ataupun Haiti, walaupun setiap perjuangan massa ini mempunyai tujuan yang berlainan, tetapi aksi protes massa yang hebat ini mempengaruhi satu sama lain dari segi aspirasi perjuangan sehingga ke taktik protes. Secara umumnya, gelombang perjuangan massa yang hebat ini tercetus sebagai pemberontakan terhadap dasar ekonomi neoliberal yang menyusahkan rakyat dan juga desakan untuk lebih banyak ruang demokrasi.

Walaupun ancaman perluasan kuasa pelampau kanan masih hebat, dengan golongan berhaluan kanan terus memegang kuasa pemerintahan di negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Brazil dan India, tetapi mobilisasi di kalangan golongan progresif dan rakyat bawahan yang mencabar sistem kapitalis sedia ada memberi nafas baru kepada perjuangan rakyat untuk pembebasan.

Mari kita imbas kembali perjuangan rakyat yang hebat sepanjang tahun 2019: (Urutan nombor bukannya mengikut keutamaan, hanya huruf abjad pertama setiap negara/wilayah)

1. Global – Aksi mogok iklim sedunia

montreal02

Mendapat inspirasi daripada protes oleh Greta Thunberg, seorang pelajar berumur belasan tahun di Sweden yang mengadakan protes di hadapan bangunan parlimen Sweden sejak bulan Ogos 2018, aksi mogok pelajar untuk menuntut tindakan segera dalam menangani krisis iklim telah merebak ke seluruh dunia. Pada 15 Mac 2019, lebih 1 juta orang mengambil bahagian dalam aksi Mogok Iklim Sedunia yang diadakan secara serentak di 125 buah negara. Pada 24 Mei 2019, Mogok Iklim Sedunia yang kedua diadakan di 150 buah negara. Aksi Minggu Global untuk Masa Depan pada bulan September melibatkan siri 4,500 aksi di lebih 150 buah negara sepanjang minggu 20-27 September 2019, dengan lebih kurang 4 juta orang terlibat dalam mogok iklim pada 20 September 2019 (1.4 juta orang beraksi di Jerman) dan lebih kurang 2 juta orang lagi menyertai aksi pada 27 September 2019 (lebih 1 juta di Itali). Pada 29 November 2019, iaitu 3 hari sebelum diadakan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (COP25) di Madrid, lebih kurang 2 juta orang berdemonstrasi di 157 buah negara memprotes terhadap kegagalan kerajaan di banyak negara dalam menangani krisis iklim.

2. Algeria – Kebangkitan rakyat jatuhkan rejim Bouteflika tetapi perjuangan untuk perubahan sistem berterusan

20190409- Algeria

Selepas Abdelaziz Bouteflika mengumumkan pada awal bulan Februari 2019 bahawa dia akan bertanding dalam Pilihanraya Presiden Algeria penggal kelimanya, mula tercetusnya protes pada 16 Februari 2019 yang merebak cepat ke seluruh negara Algeria. Gelombang protes selama 7 minggu, akhirnya pada 2 April 2019, berjaya menjatuhkan Abdelaziz Bouteflika yang sudah berkuasa untuk 20 tahun di negara itu. Namun, pihak tentera yang mendesak perletakan jawatan Abdelaziz Bouteflika dan elit pemerintah dalam rejim lama enggan melakukan pembaharuan menyeluruh seperti yang dituntut oleh rakyat yang berprotes. Pilihanraya Presiden Algeria yang pertama sejak kejatuhan Abdelaziz Bouteflika telah diadakan pada 12 Disember 2019, tetapi peratusan keluar mengundi sangat rendah (39.88%) dan peratusan undi rosak sangat tinggi (12.7%) kerana pemboikotan oleh rakyat Algeria yang menuntut perubahan sistem.

3. Argentina – Protes terhadap krisis makanan

20191228 - argentina0bc80c5278f746e79bccb37f6b6cefbc_18.jpg

Rakyat Argentina bermobilisasi secara berterusan sejak awal tahun 2019 untuk memprotes terhadap masalah inflasi, pengangguran, kemiskinan, ketiadaan rumah dan ketidakjaminan makanan yang melanda negara itu. Mereka juga tidak berpuas hati dengan penurunan nilai matawang Argentina dan dasar eonomi neoliberal yang dibawa oleh kerajaan yang dipimpin oleh Presiden Mauricio Macri pada masa itu. Bermula dari 15 Ogos 2019, gerakan sosial Argentina telah mengadakan aksi massa beberapa minggu berturut-turut untuk menuntut penggubalan rang undang-undang Darurat Makanan bagi menangani situasi kelaparan di dalam negara itu. Hasil daripada mobilisasi massa yang hebat ini, Kongres Nasional Argentina meluluskan rang undang-undang Darurat Makanan untuk membolehkan peruntukan lebih banyak sumber kepada program sosial bagi menangani krisis ekonomi. Mauricio Macri kemudiannya gagal mempertahankan jawatan Presidennya apabila kalah dalam Pilihanraya Presiden pada 27 Oktober 2019 yang menyaksikan kemenangan Alberto Fernández daripada Frente de Todos.

4. Bolivia – Rakyat lawan kudeta golongan kanan

20191228 - boliviaim-126372.jpg

Golongan berhaluan kanan melancarkan demonstrasi dan rusuhan selepas Pilihanraya Umum di Bolivia pada 20 Oktober 2019. Evo Morales diisytihar menang dalam Pilihanraya Presiden tanpa perlu melalui pengundian pusingan kedua, dengan meraih 47.08% undi, 10.57 titik peratusan mendahului pesaing terdekatnya Carlos Mesa. Golongan berhaluan kanan yang terdesak untuk menjatuhkan Morales dan mengembalikan dasar ekonomi yang melindungi kepentingan oligarki dalam negara itu, telah menghasut dan melancarkan protes yang bersifat rasis serta menggunakan keganasan untuk mewujudkan kekecohan. Pada 10 November 2019, selepas pemerhati daripada Pertubuhan Negara-negara Amerika (OAS) yang didalangi kuasa imperialis Amerika Syarikat membentangkan laporan audit berkenaan dengan penyelewengan pilihanraya yang didakwanya, Morales telah memanggil untuk pilihanraya baru seperti yang dijanjikannya sebelum itu. Namun, golongan berhaluan kanan yang tiada niat untuk demokrasi telah meneruskan usaha rampasan kuasa mereka dengan mendapatkan sokongan pihak tentera untuk memaksa Morales meletak jawatan sebagai Presiden. Untuk mengelakkan pertumpahan darah, Morales meletak jawatannya sebagai Presiden Bolivia dan mendapatkan perlindungan di negara Mexico. Politikus berhaluan kanan Jeanine Áñez mengambilalih jawatan Presiden sementara. Penyokong Morales telah bermobilisasi untuk menentang kudeta oleh golongan berhaluan kanan. Kerajaan baru yang berkuasa melalui kudeta tentera menggunakan keganasan untuk cuba mematahkan protes, dan menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh.

5. Catalonia – Tsunami Demokratik tercetus selepas pemimpin pro-kemerdekaan dihukum

20191228 - catalan - 800px-26O_Llibertat_191026_60383_dc_2_(48979743792).jpg

Protes mula tercetus di wilayah Catalonia, Sepanyol, pada 14 Oktober 2019 sejurus selepas pengumuman hukuman berat yang dijatuhkan ke atas 9 orang pemimpin politik Catalonia yang terlibat dalam penganjuran referendum kemerdekaan pada dua tahun yang lepas. 9 orang pemimpin politik Catalonia tersebut dijatuhkan hukuman penjara selama 9 hingga 13 tahun. Pada 18 Oktober 2019, seluruh bandaraya Barcelona dilumpuhkan oleh aksi mogok dan protes jalanan. Perlawanan bola sepak antara FC Barcelona dan Real Madrid CF terpaksa ditangguhkan pada masa itu kerana mogok. Aksi demonstrasi masih berterusan.

6. Chile – Dari bantah kenaikan tambang metro ke pemberontakan melawan dasar ekonomi neoliberal

20191101 - chile AP Rodrigo Abd - 11643212-3x2-700x467

Bermula dengan aksi protes anak muda yang membantah kenaikan tambang pengangkutan metro di bandaraya Santiago, ibu negara Chile, demonstrasi jalanan dengan cepatnya berkembang menjadi kebangkitan rakyat menentang dasar neoliberal yang dibawa oleh kerajaan berhaluan kanan pimpinan Presiden Sebastián Piñera. Chile merupakan negara yang menjadi makmal dasar neoliberal selepas kudeta tentera yang membolehkan diktator Augusto Pinochet berkuasa pada tahun 1973-1990. Dasar neoliberal warisan Pinochet yang masih diamalkan oleh kerajaan Chile sekarang menyebabkan peningkatan kos sara hidup dan ketidaksamarataan sosial yang semakin teruk di negara itu. Sebastián Piñera pada awalnya mengisytihar darurat, tetapi gagal menghalang rakyat daripada terus berprotes. Pada 25 Oktober 2019, lebih 1 juta orang berprotes di Santiago dan menuntut perletakan jawatan Presiden Piñera. Ini boleh dikatakan aksi protes yang terbesar dalam sejarah Chile. Piñera mengumumkan pada 23 Oktober 2019 bahawa kerajaan Chile akan melakukan pembaharuan terhadap pendidikan, kesihatan dan sistem pencen, sebagai cubaan untuk meredakan keadaan. Kemudiannya pada 28 Oktober 2019, Piñera menukar 8 jawatan menteri dalam kabinetnya. Pada 15 November 2019, Kongres Nasional Chile bersetuju untuk mengadakan referendum pada 26 April 2020 berkenaan sama ada rakyat mahukan satu perlembagaan baru atau tidak. Sekurang-kurangnya 26 orang telah mati kerana protes dengan kebanyakannya akibat daripada tindakan ganas polis, sementara lebih 11,000 orang cedera, dan lebih 7,000 orang ditangkap oleh pihak berkuasa.

7. Colombia – Rakyat bangkit lawan neoliberalisme

National Strike In Colombia Against Ivan Duque

Rakyat Colombia mengadakan aksi mogok dan protes besar-besaran pada 21 November 2019, untuk menentang dasar neoliberal yang dibawa oleh kerajaan berhaluan kanan yang dipimpin oleh Presiden Iván Duque Márquez, dan menyatakan sokongan terhadap proses pendamaian Colombia. Sejak itu, gelombang protes telah berterusan. Iván Duque membawa dasar neoliberal seperti serangan terhadap undang-undang buruh, penswastaan syarikat awam, pengurangan pencen, dan pengurangan peruntukan untuk pendidikan. Jawatankuasa Mogok Nasional yang menghimpunkan kesatuan-kesatuan sekerja dan organisasi-organisasi masyarakat, telah mengemukakan piagam tuntutan yang merangkumi perkara seperti membatalkan program “pembaharuan” ekonomi yang bersifat neoliberal, pembubaran Skuadron Anti-Rusuhan Bergerak dan pembaharuan terhadap pasukan polis, penarikan balik rang undang-undang “pembaharuan cukai” yang berpihak pada golongan berkuasa, dan kerajaan Colombia harus menghormati perjanjian damai dengan Tentera Revolusioner Colombia (FARC).

8. Ecuador – Rakyat bangkit lawan dasar penjimatan

20191017 - ecuador-toque-de-queda

Gelombang protes tercetus pada 3 Oktober 2019, untuk menentang langkah-langkah “penjimatan” yang diumumkan oleh Presiden Lenín Moreno, termasuk pembatalan subsidi bahan api. Langkah-langkah penjimatan tersebut dibuat berdasarkan perjanjian Kerajaan pimpinan Presiden Moreno dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan bantuan dana daripada institusi kewangan antarabangsa tersebut. Presiden Moreno pada awalnya mengisytihar darurat tetapi gagal membendung aksi protes. Masyarakat orang asal Ecuador memainkan peranan penting dalam mobilisasi untuk protes, di samping pekerja-pekerja pengangkutan yang mendapat impak paling teruk akibat pembatalan subsidi bahan api. Protes menjadi begitu hebat sehingga Presiden Moreno terpaksa memindahkan kerajaannya pada 8 Oktober 2019 dari ibu negara, Quito, ke bandar Guayaquil. Pada 13 Oktober 2019, Kerajaan Ecuador mencapai persetujuan dengan Konfederasi Bangsa-Bangsa Orang Asal Ecuador (CONAIE), di mana subsidi bahan api dikembalikan. Walaupun tuntutan yang dibawa dalam protes rakyat telah dimenangi, Kerajaan Ecuador masih meneruskan penindasan terhadap golongan pembangkang yang menyokong bekas Presiden Rafael Correa.

9. Haiti – Rakyat tegas melawan dasar neoliberal IMF

Haiti Protests

Sejak bulan Julai 2018, rakyat Haiti yang marah dengan korupsi yang berleluasa di bawah pentadbiran Presiden Jovenel Moïse di samping semakin tertekan dengan masalah kekurangan bekalan bahan api, kekurangan air minuman selamat, kemusnahan alam sekitar dan kenaikan harga barangan, mengadakan aksi protes secara kerap untuk untuk membantah dasar kerajaan yang bersifat neoliberal yang dikenakan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Apabila masalah kekurangan bekalan bahan api semakin serius, gelombang protes memuncak pada bulan September hingga November 2019, dengan aksi protes harian di Port-au-Prince dan bandar-bandar lain di Haiti, telah mengganggu rangkaian pengangkutan dan menyebabkan penutupan perniagaan dan sekolah. Hampir seluruh negara di rantau Caribbean dengan penduduk sejumlah 11 juta ini dilumpuhkan kerana protes. Golongan pembangkang yang berprotes menuntut perletakan jawatan Presiden Jovenel Moïse, pembentukan kerajaan peralihan untuk melaksanakan program sosial dan menjalankan pendakwaan terhadap pegawai kerajaan yang korup. Sekurang-kurangnya 42 orang telah mati dalam protes sejak bulan September 2019.

10. Hong Kong – Dari aksi membantah rang undang-undang ekstradisi ke Lima Tuntutan, Kurang Satu Pun Tidak Boleh

20190813- hkt2fVRDgfh55nVSO3OjQuTYroC9s0suCNJrAM_CawDPw

Bermula dengan aksi protes membantah rang undang-undang ekstradisi anjuran Fron Hak Asasi Manusia Sivil (CHRF) pada 31 Mac 2019 yang disertai oleh 12,000 orang dan pada 28 April 2019 yang disertai oleh 130,000, gerakan menolak rang undang-undang ekstradisi memuncak pada 9 Jun 2019 dengan aksi protes yang disertai oleh 1 juta orang. Tindakan ganas polis pada 12 Jun 2019 mencetuskan protes yang lebih hebat, sama ada masih melakukan demonstrasi secara aman ataupun menggunakan taktik yang lebih agresif. Aksi protes pada 19 Jun 2019 dengan penyertaan lebih kurang 2 juta orang mencatat rekod aksi perarakan terbesar dalam sejarah Hong Kong. Walaupun kerajaan Hong Kong pimpinan Carrie Lam Cheng Yuet-ngor akhirnya menarik balik rang undang-undang ekstradisi melalui pengumuman pada 4 September 2019 (secara rasmi di Dewan Perundangan pada 23 Oktober 2019), tetapi gagal meredakan gelombang protes dengan tuntutan yang lebih daripada itu, termasuk pelaksanaan pengundian sejagat dalam pilihanraya untuk Ketua Eksekutif Hong Kong dan Dewan Perundangan Hong Kong. Demonstran yang berprotes juga melawan keganasan polis Hong Kong yang semakin di luar kawalan. Kerajaan Hong Kong memperkenalkan undang-undang anti-topeng pada 4 Oktober 2019 dengan menggunakan Ordinan Peraturan-peraturan Darurat yang digubal pada tahun 1922 semasa penjajahan British, dengan niat mematahkan protes tetapi kesannya adalah sebaliknya. Pilihanraya tempatan di Hong Kong pada 24 November 2019 menyaksikan kemenangan besar untuk calon-calon pro-demokrasi.

11. India – Rakyat bangkit melawan akta yang mendiskriminasi

20191220 - mumbai80415734_845899085853924_1964005213505323008_o

Pada awal tahun 2019, satu mogok besar-besaran tercetus di India pada 8-9 Januari 2019 dengan penyertaan 160 juta orang pekerja. Namun, aksi perjuangan yang paling kritikal sejak kerajaan berhaluan kanan pimpinan Narendra Modi berkuasa di India tercetus pada bulan Disember 2019 apabila kerajaan India memperkenalkan Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang memasukkan agama sebagai syarat untuk memohon kewarganegaraan India, dengan pelarian Muslim sengaja dikecualikan daripada layak untuk memohon kewarganegaraan India. Bermula di ngeri Assam, gelombang protes menentang akta yang mendiskriminasi ini merebak ke semua bandar utama di India. Serangan ganas polis terhadap pelajar yang berprotes di Jamia Millia Islamia dan Universiti Aligarh Muslim, mencetuskan gelombang protes pelajar di seluruh India. Parti-parti berhaluan kiri dan organisasi-organisasi masyarakat sivil telah bermobilisasi dalam aksi protes besar-besaran. Sekurang-kurangnya 25 orang telah terbunuh dalam protes akibat keganasan pihak berkuasa, sementara ribuan orang ditangkap polis.

12. Indonesia – Pelajar bangkit mempertahankan reformasi

20190930 - Antara Foto- Jojon image_kbn1wc17i

Pelajar-pelajar Indonesia bermobilisasi dan berprotes pada penghujung bulan September 2019, dengan slogan #ReformasiDikorupsi, untuk menyatakan bantahan mereka terhadap penggubalan beberapa rang undang-undang yang menyekat ruang demokrasi dan menghakis kesejahteraan rakyat Indonesia. Gelombang protes pada bulan September-Oktober 2019 boleh dikatakan gerakan pelajar Indonesia yang terbesar sejak tahun 1998. 5 orang telah mati kerana protes ini.

13. Iran – Protes rakyat dilayan keganasan teruk

20191228 - iranw1240-p16x9-iran-manif-m.jpg

Protes tercetus pada 15 November 2019 di bandar-bandar di seluruh Iran, pada awalnya membantah kenaikan harga bahan api sebanyak 50%-200%, kemudian berkembang menjadi pemberontakan menentang Kerajaan Iran dan pemimpin Agung Iran Ali Khamenei. Kerajaan Iran bertindak keras untuk mematahkan aksi protes, dengan memutuskan internet seluruh negara dan mengerahkan pasukan keselamatan yang menggunakan keganasan terhadap demonstran. Menurut Amnesty International, sekurang-kurangnya 304 orang terbunuh akibat daripada tindakan Kerajaan Iran untuk melenyapkan protes; sementara adanya sumber yang mengatakan bahawa lebih kurang 1,500 orang terbunuh.

14. Iraq– Intifada menuntut perubahan sistem

20191030 - Murtaja Lateef - EPAa27c22ecb5f74de386a7baeef35f2416_18

Gelombang protes tercetus di Iraq pada 1 Oktober 2019 untuk menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap masalah korupsi, pengangguran dan perkhidmatan awam yang teruk. Oleh sebab tekanan daripada protes rakyat, Kerajaan Iraq pimpinan Adil Abdul-Mahdi mengumumkan beberapa dasar pembaharuan, termasuk pencen untuk semua keluarga tanpa pendapatan, pengagihan plot kediaman kepada golongan miskin, pinjaman kepada orang muda, dan peruntukan 50% untuk anak muda tempatan dalam semua kontrak kerajaan pada masa depan. Namun, pengumuman pembaharuan ini masih tidak sepadan dengan hasrat rakyat Iraq yang inginkan perubahan yang menyeluruh. Selepas reda seketika selepas 8 Oktober 2019, aksi protes bersambung pada 24 Oktober 2019. Adil Abdul-Mahdi mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Iraq pada 29 November 2019. Demonstrasi masih berterusan dengan demonstran menuntut penghapusan sistem politik yang diwujudkan sejak pencerobohan tentera Amerika Syarikat di Iraq pada tahun 2003. Ini merupakan gelombang protes yang terbesar di Iraq sejak kejatuhan Saddan Hussein. Sekurang-kurangnya 500 orang telah terbunuh akibat daripada keganasan yang berkaitan dengan protes.

15. Itali – Gerakan Sardin halang kemaraan pelampau kanan

20191218 - sardine 08a5849176634e46915c877f377729ed_18

Bermula pada 14 November 2019 di Piazza Maggiore, Bologna, lahirnya satu gerakan massa baru di Itali yang digelar “Gerakan Sardin” (Movimento delle Sardine), sebagai respon kepada ancaman perluasan pengaruh politik pelampau kanan yang diwakili oleh Lega di bawah kepimpinan Matteo Salvini.

16. Lubnan – Kebangkitan rakyat melangkaui perpecahan sektarian

20191021 - AFRLebanon_16de718cdf2_medium

Gelombang protes tercetus di Lubnan pada 17 Oktober 2019, bermula daripada ketidakpuasan hati terhadap pengenalan cukai yang membebankan rakyat, termasuk cukai regresif terhadap panggilan protokol suara-melalui-internet (VoIP), kemudian berkembang menjadi kebangkitan rakyat menentang gejala korupsi, pengangguran, ekonomi yang merudum, dan kegagalan kerajaan dalam membekalkan perkhidmatan asas kepada rakyat. Walaupun Kerajaan Lubnan menarik balik cukai yang dicadangkan pada awalnya, tetapi protes masih berterusan dan berkembang menjadi gerakan massa bukan-sektarian yang menentang seluruh kelas elit politik pemerintah. Pengumuman “pembaharuan” oleh kerajaan, seperti pemotongan gaji untuk kebanyakan pegawai tinggi kerajaan dan ahli politik serta program kebajikan untuk golongan miskin dan penganggur, masih tidak dapat membendung penularan kemarahan rakyat. Pada 27 Oktober 2019, hampir 170,000 orang mengambil bahagian dalam aksi membentuk rantai manusia sepanjang 170km dari Tripoli di utara sehingga ke Tyre di selatan negara Lubnan. Perdana Menteri Lubnan Saad Hariri mengumumkan perletakan jawatannya pada 29 Oktober 2019, menandakan kemenangan penting untuk gerakan protes rakyat Lubnan. Walau bagaimanapun, protes jalanan masih berterusan di negara Lubnan menghadapi masa hadapan tidak menentu.

17. Malta – Protes yang terbesar dalam sejarah di negara pulau kecil

20191228 - malta6c6d391df41645d9b8ba8709b73c0eda_18.jpg

Berikutan penangkapan terhadap ahli perniagaan Yorgen Fenech pada 20 November 2019, yang berkaitan dengan pembunuhan Daphne Caruana Galizia, seorang wartawan dan blogger yang sering melaporkan penyelewengan dalam kerajaan Malta tetapi dibunuh dalam letupan bom kereta pada tahun 2017, protes besar-besaran tercetus di Malta dengan mensasarkan korupsi dalam kerajaan dan kegagalan kerajaan membendung pelaburan wang haram. Gelombang protes yang terbesar sejak kemerdekaan Malta pada tahun 1964 ini, telah memaksa Perdana Menteri Joseph Muscat mengumumkan pada 1 Disember 2019 bahawa dia akan meletak jawatan pada 12 Januari 2020, namun masih tidak dapat meredakan aksi protes.

18. Mesir – Protes rakyat dilayan penangkapan besar-besaran

20190924 - Mohamed Abd El Ghany - Reuters 7431bdc60584405eafdb3b144857fc1c_18

Ribuan rakyat Mesir berprotes di bandar-bandar utama di Mesir pada 20 September 2019 dengan seruan menjatuhkan rejim pemerintahan Presiden Abdel Fattah al-Sisi. Namun, Kerajaan Mesir telah menggunakan kekerasan untuk menghancurkan gelombang protes ini dan melancarkan penangkapan yang terbesar di Mesir sejak Abdel Fattah al-Sisi menjadi Presiden Mesir secara rasmi pada tahun 2014. Lebih 4,000 orang telah ditahan.

19. Papua Barat – Dari anti-rasisme ke penentuan nasib sendiri

20190905eight_col_monkey

Gelombang protes besar-besaran tercetus di Papua Barat pada bulan Ogos-September 2019 berikutan serangan polis terhadap asrama pelajar Papua di Surabaya dan layanan rasis yang diterima oleh pelajar dari Papua. Protes dan keganasan daripada penindasan pihak berkuasa Indonesia, telah menyebabkan lebih 30 orang mati dan ramai cedera. Bangunan-bangunan kerajaan di Wamena, Sorong dan Jayapura telah dimusnahkan dalam rusuhan. Seruan untuk “Papua Merdeka” dan “referendum” dilaungkan dalam protes rakyat Papua Barat. Kerajaan Indonesia telah mengenakan sekatan akses internet di Papua Barat. Kerajaan Indonesia juga menyekat ruang demokrasi untuk aktivisme yang menyokong perjuangan rakyat Papua untuk menentukan nasib sendiri, termasuk penahanan Jurucakap Fron Rakyat Indonesia untuk West Papua (FRI-West Papua), Surya Anta Ginting.

20. Perancis – Dari Jaket Kuning ke mogok pekerja

20191206 - gettyimages-1186559807

Gerakan Jaket Kuning (Gilets jaunes) yang tercetus pada 17 November 2018 untuk menentang kenaikan cukai bahan api telah berkembang menjadi satu gerakan protes yang beraksi setiap minggu. Walaupun momentum Jaket Kuning sudah berkurangan selepas setahun, tetapi Perancis dilanda dengan aksi protes yang lebih hebat lagi apabila kesatuan pekerja melancarkan mogok besar-besaran mulai 5 Disember 2019. Mogok yang terbesar sejak tahun 1995 ini bertujuan untuk membantah “pembaharuan” sistem pencen yang cuba dibawa oleh Kerajaan pimpinan Presiden Emmanuel Macron, yang bakal menghakis kebajikan pencen pekerja Perancis.

22. Puerto Rico – Kebangkitan rakyat jatuhkan Gabenor berskandal

20190724 - 263bc00c014844da6012faa4bbeb7f9b

Gelombang protes tercetus di Puerto Rico pada bulan Julai 2019 kerana skandal korupsi dan pembongkaran isi kandungan perbualan kumpulan pegawai tinggi kerajaan dalam aplikasi Telegram yang kontroversi yang melibatkan Ricardo Rosselló selaku Gabenor Puerto Rico pada masa itu. Rakyat Peurto Rico mula turun berprotes di jalanan pada 11 Julai 2019 untuk menuntut perletakan jawatan Gabenor Ricardo Rosselló. Lebih 500,000 orang berprotes di San Juan pada 17 Julai 2019; kemudiannya 750,000 orang berprotes di San Juan pada 22 Julai 2019 selepas Rosselló enggan berundur dari posisinya. Hasil daripada mobilisasi rakyat yang hebat, Rosselló akhirnya tunduk pada kuasa rakyat dengan mengumumkan perletakan jawatan sebagai Gabenor pada 24 Julai 2019. Pedro Pierluisi yang menggantikan Rosselló sebagai Gabenor Puerto Rico pada 2 Ogos 2019 hanya kekal dalam jawatannya untuk beberapa hari sahaja dan digantikan pula dengan Wanda Vázquez Garced.

22. Rojava – Revolusi diancam Turki dan dikhianati AS

Screenshot_2019-12-26 fjabw9vcihky8eotasak webp (WEBP Image, 800 × 450 pixels).png

Pada 23 Mac 2019, Pasukan Demokratik Syria yang diterjajui oleh Unit Perlindungan Rakyat (YPG) dan Unit Perlindungan Wanita (YPJ) mengumumkan kemenangannya dalam perang menewaskan kumpulan pengganas ISIS di Utara Syria, satu kemenangan yang signifikan untuk Revolusi Rojava. Namun, tentera Turki melancarkan serangan ke atas kawasan Rojava pada bulan Oktober 2019 selepas Kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Donald Trump untuk mengarahkan tenteranya berundur dari kawasan Utara Syria.

23. Rusia – Protes Moscow

20191228 - moscowhttp _com.ft.imagepublish.upp-prod-us.s3.amazonaws.com_d47dcb6c-bb83-11e9-9381-78bab8a70848.jpg

Gelombang protes tercetus di bandar Moscow berkaitan dengan penyelewengan yang berlaku dalam pilihanraya untuk Duma Bandar Moscow. Perhimpunan pada 20 Julai dan 10 Ogos 2019 yang disertai puluhan ribu orang, merupakan aksi perhimpunan politik yang terbesar di Rusia selepas protes 2011-2013. Seramai 1,373 orang ditahan dalam perhimpunan pada 27 Julai 2019, satu rekod yang tinggi. Pilihanraya Duma Bandar Moscow yang diadakan pada 8 September 2019, menyaksikan parti pemerintah Rusia Bersatu walaupun masih kekal sebagai parti terbesar dalam Duma Moscow dengan menguasai 25 daripada 45 kerusi Duma Moscow, tetapi telah merosot sebanyak 13 kerusi berbanding keputusan pilihanraya 2014. Parti Komunis Persekutuan Rusia menambahkan 8 kerusi menjadi 13 kerusi, dan peratusan undi popular yang diperolehnya (31.40%) lebih tinggi daripada Rusia Bersatu (31.15%).

24. Sudan – Revolusi rakyat jatuhkan diktator

20190412 - sudan 754241_img650x420_img650x420_crop

Gelombang protes yang tercetus pada 19 Disember 2018, memaksa pihak tentera melancarkan kudeta pada 11 April 2019 untuk menjatuhkan rejim pemerintahan Presiden Omar al-Bashir yang berkuasa untuk hampir 30 tahun. Majlis Tentera Peralihan (TMC) yang menggantikan Omar al-Bashir melakukan pembunuhan beramai-ramai pada 3 Jun 2019 di Khartoum terhadap demonstran pro-demokrasi yang berkhemah di jalanan. Di samping itu, pasukan keselamatan di bawah arahan TMC juga terlibat dalam beberapa peristiwa keganasan terhadap demonstran yang lain. Selepas rundingan yang berpanjangan, TMC mencapai persetujuan dengan “Deklarasi Kuasa Kebebasan dan Perubahan” (DFCF) yang mewakili gerakan protes yang menjatuhkan Omar al-Bashir, untuk memulakan proses peralihan berjangkamasa 39 bulan dengan tujuan mengembalikan demokrasi di Sudan. Namun, protes jalanan yang sporadik masih berterusan untuk menuntut keadilan dan kebertanggungjawaban.

25. Venezuela – Cubaan kudeta golongan kanan ditewaskan

20190812-1076522207

Cubaan golongan berhaluan kanan di Venezuela yang disokong oleh Kerajaan Amerika Syarikat untuk menjatuhkan Kerajaan Bolivar pimpinan Presiden Nicolás Maduro telah menemui kegagalan sepanjang tahun 2019. Juan Guaidó mengisytihar dirinya sebagai “Presiden Sementara” pada 23 Januari 2019 tidak lama selepas dia mengambilalih jawatan Presiden Perhimpunan Nasional yang dikuasai oleh parti pembangkang berhaluan kanan. Guaidó mendapat “pengiktirafan” daripada Kerajaan Amerika Syarikat dan sekutunya, di samping mengadakan beberapa pertunjukan media untuk mewujudkan keadaan krisis dengan niat menjatuhkan Kerajaan pimpinan Maduro. Venezuela kemudiannya menghadapi beberapa siri gangguan bekalan elektrik yang dipercayai terdapat unsur-unsur sabotaj untuk menimbulkan kesusahan pada rakyat Venezuela dengan tujuan membangkitkan kemarahan ramai terhadap kerajaan Maduro. Guaidó cuba melancarkan kudeta tentera pada 30 April 2019 tetapi menemui kegagalan, sementara rakyat Venezuela yang menyokong Revolusi Bolivar bermobilisasi untuk mempertahankan kerajaan. Seruan Guaidó untuk “perarakan terbesar dalam sejarah” pada 1 Mei 2019 juga gagal, dengan penyokong Revolusi Bolivar turut bermobilisasi dalam jumlah besar. Ratusan ribu rakyat Venezuela telah bermobilisasi untuk menghalang ancaman pembangkang berhaluan kanan dan menentang sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat yang membawa kesengsaraan hebat kepada rakyat Venezuela.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *