Gilets-jaunes-5.500-manifestants-a-Paris-158-interpellations.jpg

Satu gelombang protes besar-besaran telah melanda Perancis, dengan ratusan ribu demonstran turun ke jalanraya dan mendirikan sekatan jalan, untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan pimpinan Presiden Emmanuel Macron dan dasar-dasarnya yang anti-pekerja. Pertempuran hebat berlaku antara demonstran dengan polis di jalanan Paris, mencetuskan konflik jalanan yang paling ganas sejak peristiwa kebangkitan rakyat pada bulan Mei 1968, iaitu 50 tahun dahulu, apabila serangan polis terhadap demonstrasi pelajar mencetuskan mogok umum terbesar dalam sejarah Perancis.

Kebangkitan gerakan protes warga akarumbi Perancis besar-besaran terbaru ini digelar “gilets jaunes” (jaket kuning), kerana kebanyakan demonstran yang terlibat dalam aksi protes memakai jaket berwarna kuning pendarflour, sejenis jaket keselamatan yang perlu dibawa oleh semua orang yang memandu kereta mengikut undang-undang Perancis. Berbeza dengan gerakan protes di Perancis sebelum ini, gerakan “Jaket Kuning” ini muncul daripada petisyen yang disebarkan secara online dan aksi protes dilakukan oleh rakyat biasa tanpa apa-apa sokongan daripada pemimpin, parti politik atau kesatuan sekerja.

Protesters wearing yellow vests, a symbol of a French drivers' protest against higher fuel prices, face a water canon fired by police during clashes on the Champs-Elysees in Paris

Protes jalanan bertukar ganas

Pada 17 November 2018, lebih 300,000 orang berprotes di seluruh negara Perancis, dan secara spontannya gerakan “Jaket Kuning” bermula. Protes telah diteruskan setiap hari selepas itu, dengan demonstran mendirikan sekatan jalan dan menghalang stesen minyak. Protes besar-besaran pada setiap hari Sabtu menarik penyertaan daripada ramai rakyat yang tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan Perancis pimpinan Emmanuel Macron yang menekan rakyat biasa.

Protes “Jaket Kuning” ini tercetus kerana harga minyak bahan api yang meningkat dan “pembaharuan cukai” yang mengalihkan lebih beban kepada kelas pekerja dan kelas menengah. Mereka yang berprotes juga menuntut perletakan jawatan Emmanuel Macron sebagai Presiden.

Pada 1 Disember 2018, protes besar-besaran hari Sabtu yang ketiga, telah mencetuskan pertempuran ganas apabila polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan para demonstran. Walaupun ribuan rakyat berprotes dengan amannya, tetapi keganasan polis telah mencetuskan pertempuran jalanan, sehingga lebih 100 kereta dibakar, beberapa bangunan terkena bakar dan bank serta kedai di jalan yang termahal di Paris telah dirosakkan. Pertempuran dengan polis turut berlaku di Toulouse.

Dalam satu tinjauan pendapat oleh Harris Interactive yang dibuat selepas peristiwa keganasan pada 1 Disember 2018, didapati bahawa 72% daripada rakyat Perancis yang menjadi responden menyatakan bahawa mereka masih menyokong perjuangan Jaket Kuning, namun 85% menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan keganasan di Paris.

rassemblement-de-gilets-jaunes-1er-decembre-chartres-bnp_4107086

Gerakan protes tanpa pemimpin

Gerakan Jaket Kuning tidak berkaitan dengan mana-mana parti politik ataupun kesatuan sekerja yang merupakan penggerak utama protes jalanan sebelum ini. Gerakan ini tersebar dengan cepatnya dari bandar besar Paris ke bandar-bandar dan kawasan luar bandar di seluruh Perancis. Demontran telah menduduki banyak bangunan tol lebuhraya dan lapangan terbang. Protes dengan demonstran yang memakai jaket kuning turut muncul di Belgium dan Belanda.

Protes di Réunion, sebuah pulau yang merupakan wilayah Perancis di Lautan Hindi, telah bertukar menjadi rusuhan anti-kerajaan. Demonstran yang menyekat jalan-jalan di situ telah melumpuhkan pulau Perancis tersebut. Macron telah mengarahkan supaya tentera dikerahkan ke pulau itu untuk melenyapkan gelombang protes di situ.

814x360_heurts-eclate-champs-elysees-lors-manifestation-gilets-jaunes-1er-decembre

Krisis politik kerajaan Macron yang mendalam

Protes besar-besaran gerakan “Jaket Kuning” telah mencetuskan krisis politik yang mendalam kepada kerajaan pimpinan Macron dengan sokongan terhadapnya semakin merosot dan kemarahan rakyat semakin membara.

Emmanuel Macron menang dalam pilihanraya Presiden pada tahun 2017, dengan peroleh undi sebanyak 66.1% dalam pengundian pusingan kedua. Sokongan terhadap Macron mencecah 64% dalam tinjauan pendapat pada bulan Jun 2017, tetapi sekarang ini populariti Macron telah merosot serendah 23% pada akhir bulan November 2017, hasil daripada dasar kerajaannya yang berpihak pada golongan kaya sementara rakyat biasa terus ditekan dengan dasar “penjimatan” (austerity) dan pemindahan beban cukai ke atas bahu mereka melalui peningkatan cukai bahan api.

Demonstran yang terlibat dalam protes “Jaket Kuning” kebanyakannya datang dari pekan-pekan di pinggiran bandar, bandar-bandar dan kawasan-kawasan luar bandar di seluruh Perancis. Mereka juga termasuk ramai wanita dan ibu tunggal. Peserta aksi protes kebanyakannya mempunyai kerja tetapi dengan gaji rendah, menyebabkan mereka menghadapi kesusahan dalam menampung kehidupan mereka. Gerakan “Jaket Kuning” ini menentang sistem cukai yang tidak adil, menuntut kenaikan gaji minimum dan mendesak kerajaan Macron supaya membatalkan potongan cukai bagi golongan kaya. Dasar ekonomi Macro yang pro-bisnes memang memberi kesan teruk kepada kehidupan rakyat biasa. Ada juga demonstran mendesak untuk perletakan jawatan Macron sebagai Presiden.

Tindakan kerajaan Macron yang menyokong rang undang-undang untuk menyumberkan luar perkhidmatan paramedik kepada syarikat swasta turut mencetuskan protes di kalangan paramedik yang bakal berdepan dengan perubahan keadaan kerja yang menyusahkan mereka lagi. Paramedik menyekat laluan ke Parlimen pada 3 Disember 2018 dengan kenderaan ambulans.

17620105lpw-17620112-article-gilets-jaunes-societe-france-jpg_5759577_660x281

Perjuangan kelas memuncak dengan cabaran hebat menanti

Kebangkitan gelombang protes “Jaket Kuning” di Perancis menunjukkan perjuangan kelas semakin memuncak kerana kehidupan rakyat biasa semakin tertekan akibat daripada sistem kapitalis yang mengkayakan golongan mahakaya dengan memiskinkan rakyat miskin. Apa yang berlaku di Perancis bukannya sesuatu yang unik, tetapi manifestasi keadaan dunia hari ini.

Namun, cabaran yang hebat masih menanti dalam kemaraan perjuangan kelas. Di Perancis, kebangkitan “Jaket Kuning” yang tiada kaitan langsung dengan kesatuan sekerja dan gerakan kiri tradisional di negara itu, menunjukkan bahawa wujudnya ketidakpercayaan rakyat biasa terhadap organisasi yang menggerakkan perjuangan sebelum ini. Wujudnya bahaya dalam keadaan sebegini, kerana golongan berhaluan kanan lampau (yang meraih sokongan melalui pengapi-apian sentimen perkauman dan xenofobia) mungkin akan mempergunakan kemarahan rakyat untuk memperluaskan lagi pengaruh politik pelampau kanan mereka. Kerajaan Macron pro-kapitalis sedang mengharapkan gerakan “Jaket Kuning” akhirnya akan bertukar menjadi sekadar gangguan sementara kepada sistem kapitalis dan keadaan kembali seperti “biasa” selepas ini untuk meneruskan eksploitasi terhadap rakyat biasa.

Sememangnya peristiwa yang berlaku di Perancis ketika ini menandakan permulaan peringkat baru dalam perjuangan kelas antarabangsa. Cabaran untuk golongan kiri adalah menjadikan gerakan kebangkitan rakyat secara spontan seperti “Jaket Kuning” ini lebih tersusun secara demokratik supaya dapat tahan lebih lama, di samping bergabung dengan gerakan pekerja yang mempunyai halatuju perjuangan yang sama.

FRANCE-SOCIAL-POLITICS-DEMO-FUEL

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s