20200131 - 84558904_3213869955292588_5496664077012828160_o
(Foto oleh Centrale Générale – FGTB)

Lebih kurang 20,000 orang pekerja Belgium berarak dan berprotes di bandaraya Brussels, ibu negara Belgium, pada 28 Januari 2020, bersempena dengan aksi mogok nasional yang dianjurkan kesatuan sekerja untuk mempertahankan perlindungan sosial. Aksi massa ini dianjurkan oleh Persekutuan Umum Buruh Belgium (ABVV/FGTB), sebuah gabungan kesatuan sekerja sosialis di Belgium.

Demonstran yang turun beraksi di jalanan Brussels menuntut pencen yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi dan perlindungan kesihatan yang lebih baik daripada kerajaan. Selain anggota kesatuan ABVV/FGTB, aksi protes ini turut disertai oleh anggota-anggota daripada Parti Pekerja Belgium (PTB/PVDA) dan Parti Komunis Belgium (PCB/CPB). Pekerja-pekerja Greece yang bersekutu dengan Parti Komunis Greece (KKE) dan satu delegasi daripada kesatuan sekerja Perancis, Konfederasi Umum Buruh (CGT) yang sedang giat mengadakan mogok di Perancis untuk menentang penghakisan pencen pekerja di Perancis, juga menyertai aksi protes sebagai tanda solidariti antarabangsa.

ABVV/FGTB yang dianggotai oleh hampir 1.2 juta orang pekerja menyatakan bahawa, antara tahun 2016 dan 2018 sahaja, oleh sebab dasar kerajaan yang pro-bisnes, sumbangan golongan majikan kepada perlindungan sosial telah dikurangkan dari 32.4% kepada 25%. Kesatuan sekerja Belgium menuntut pada kerajaan supaya menterbalikkan trend ini demi memulihkan dan menstabilkan pembiayaan kepada sistem perlindungan sosial di negara itu.

ABVV/FGTB menggesa untuk memperkenalkan pencen berkanun pada umur 65 tahun, dengan bayaran pencen pada kadar 75% gaji purata, bukannya 60% yang sedia ada, di samping melaksanakan pencen minimum €1,500 (≈ RM6,791) sebulan. ABVV/FGTB juga menuntut supaya bayaran pencen ditingkatkan secara automatik mengikut kenaikan harga barang.

Parti Pekerja Belgium (PTB/PVDA) yang turut menyatakan solidariti terhadap mogok pekerja dan menyertai aksi protes terbaru ini, telah giat berkempen untuk pencen minimum €1,500. Parti Pekerja Belgium melancarkan satu kempen sejak tahun lalu untuk mendesak penggubalan undang-undang yang menetapkan pencen minimum nasional di negara itu pada kadar €1,500.

Umur persaraan di Belgium sekarang ini ialah 65 tahun. Lebih kurang 30% rakyat Belgium berumur melebihi 65 tahun, lebih tinggi berbanding purata 28% di Eropah. Pencen purata di Belgium pada takat ini ialah €1,100 (≈ RM4980) untuk pekerja di sektor swasta, €2,600 (≈ RM11,772) untuk kakitangan kerajaan dan €900 (≈ RM4,075) untuk pekerja yang bekerja sendiri.

Pada takat ini, kerajaan tetap yang memerintah Belgium belum lagi terbentuk sejak pilihanraya umum di negara itu 8 bulan yang lalu, yang diadakan pada 26 Mei 2019, kerana tiada persetujuan daripada majoriti wakil rakyat dalam Parlimen Belgium. Kerajaan minoriti sementara ketika ini dipimpin oleh Sophie Wilmès sejak 27 Oktober 2019, masih belum mencapai apa-apa persetujuan untuk membentuk kerajaan yang mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen kerana senario politik yang agak berpecah-belah akibat daripada politik identiti yang dipermainkan oleh golongan berhaluan kanan. Dasar yang berpihak kepada golongan korporat masih diteruskan dan hak pekerja sentiasa dihakis.

Dengan aksi protes yang hebat di Brussels pada 28 Januari 2020, pekerja-pekerja Belgium telah menghantar satu mesej yang jelas kepada elit politik yang sedang sibuk berunding di belakang tabir untuk membentuk sebuah kerajaan yang “stabil” di Belgium, bahawa mereka tidak akan membenarkan sistem perlindungan sosial dihakis dengan lebih lanjut lagi. Sememangnya perlindungan sosial yang wujud di Belgium dan banyak negara lain di dunia hari ini adalah hasil daripada perjuangan pekerja yang berterusan, termasuk melalui aksi protes di jalanan. Oleh itu, hanya mobilisasi pekerja yang berterusan dan aksi di jalanan mampu menyelamatkan perlindungan sosial untuk semua pekerja.

20200131 - 83634232_3213870031959247_7589798946856239104_o
(Foto oleh Centrale Générale – FGTB)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *