Pihak pendakwaraya yang gagal membuktikan kes prima facie terhadap Karthiges dan Nathan, dua orang yang ditangkap pada tahun lalu semasa mempertahankan rumah penduduk miskin daripada pengusiran paksa di unit rumah PPR Padang Tembak, telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Sebutan kes untuk pendengaran rayuan kes ini telah ditetapkan pada 9 Januari 2020 yang akan datang, di hadapan Penolong Pendaftaran Kanan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Karthiges a/l Rajamanickam (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Ketua Biro Perumahan PSM) dan Nathan a/l Munusamy (rakan kepada salah seorang penduduk PPR yang diusir) telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan pada 13 September 2019 oleh Mahkamah Majistret Georgetown selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

20190913-71111551_386250842056398_4324088059030142976_n
(Gambar arkib) Karthiges (nombor 7 dari kanan) dan Nathan (nombor 5 dari kanan) di Mahkamah Majistret pada 13 September 2019.

Karthiges dan Nathan  ditangkap pada 5 Jun 2018 semasa mereka cuba membela penduduk PPR Padang Tembak yang menghadapi pengusiran paksa pada masa itu, kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu pertuduhan menghalang penjawat awam. Mereka menang dalam kes ini di Mahkamah Majistret selepas lebih setahun kes berjalan. Pihak pendakwaraya amat jelas telah gagal membuktikan apa-apa kes terhadap Karthiges dan Nathan sepanjang proses pendakwaan di Mahkamah Majistret Georgetown, tetapi kini masih berdegil untuk meneruskannya dengan membuat rayuan terhadap keputusan kes ini di mahkamah tinggi. Apakah motif di sebalik pembaziran masa dan sumber kehakiman ini? Adakah membazir masa selama lebih setahun dalam kes ini masih tidak cukup?

Sejak awal lagi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menyeru pada pihak pendakwaraya supaya menggugurkan pendakwaan terhadap Karthiges dan Nathan untuk mengelakkan pembaziran tenaga  pihak pendakwaraya dan sumber sistem kehakiman negara yang boleh digunakan untuk kes berkepentingan awam yang lebih penting lagi. Malah, PSM pernah menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Peguam Negara pada 28 Mei 2019 untuk menyatakan pandangan ini. Namun, pihak pendakwaraya telah menolak representasi tersebut tanpa memberikan sebab-sebab yang kukuh dan meneruskan pendakwaan, malah sekarang ini masih ghairah membuat rayuan walaupun kes telah dibuang di Mahkamah Majistret.

PSM Pulau Pinang menyeru pada pihak pendakwaraya supaya menarik balik rayuan kes terhadap Karthiges dan Nathan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Pihak pendakwaraya tidak patut membazir masa, tenaga dan sumber kehakiman dalam kes pendakwaan terhadap aktivis sosial yang telah diputuskan gagal membuktikan kesalahan.

One thought on “Bazir masa! Gagal buktikan kesalahan masih rayu di mahkamah tinggi!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *