oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Salam perjuangan dan selamat datang ke Kongres PSM ke-24. Sudah 2 tahun kita tidak dapat berkongres secara bersemuka. Perbincangan atas talian tidak menjana semangat yang wujud berbanding apabila kita dapat berjumpa, berjabat tangan, minum bersama dan bertukar fikiran face-to-face.

Kita sedang bermesyuarat dalam satu masa yang amat mencabar untuk rakyat biasa. Mereka masih belum pulih daripada wabak COVID-19, tetapi sekarang diancam pula oleh kekurangan bahan makanan dan kenaikan harga barangan asas. Saya harap kita akan adakan perbincangan dan debat yang bernas dalam dua hari yang akan datang supaya dapat menajamkan analisis dan pemahaman kita serta mengaturkan program-program yang mempertahankan kepentingan rakyat jelata dengan lebih berkesan.

Tolong izinkan saya berkongsi pandangan saya terhadap beberapa perkara penting di peringkat antarabangsa dan juga peringkat nasional.

Senario antarabangsa

Perang Ukraine yang bermula dengan serangan Rusia pada 24 Februari 2022 merupakan insiden yang paling signifikan di pentas antarabangsa sepanjang tahun ini. Selain daripada kehilangan nyawa (dijangka lebih daripada 8,000 sehingga kini) dan kemusnahan bangunan, kilang dan infrastruktur di beberapa kawasan di Ukraine, perang ini mempunyai risiko melibatkan lebih banyak negara, terutamanya negara yang menganggotai NATO, dan meningkatkan risiko malapetaka penggunaan senjata nuklear.

Di samping itu, Perang Ukraine telah mencetuskan krisis makanan di beberapa negara. Ukraine dan Rusia merupakan pembekal untuk lebih kurang 30% daripada jumlah gandum di pasaran antarabangsa dan 19% jumlah eksport jagung. Oleh kerana pengeluaran bijirin-bijirin ini terjejas oleh peperangan dan sekatan ekonomi (sanctions) terhadap Rusia, kekurangan dalam bekalan bijirin menyebabkan peningkatan harga bahan makanan secara mendadak di beberapa buah negara. Jumlah gandum yang diimport (dari Australia, Amerika Syarikat dan Kanada) ke Malaysia adalah 1.6 juta tan untuk tahun 2021, dan 3.8 juta tan jagung diimport setahun untuk makanan ternakan. Pengurangan dalam eksport gandum dan jagung dari Rusia dan Ukraine akan meningkatkan bukan sahaja harga kedua-dua bijirin tersebut tetapi juga harga beras. Besar kemungkinannya rakyat di merata tempat akan beralih dari gandum ke beras apabila harga gandum melambung naik.

Selain itu, Rusia juga mengeluarkan 11.5 juta tong minyak petroleum setiap hari, iaitu 12% daripada jumlah pengeluaran petroleum dunia. Pengecutan dalam eksport minyak dari Rusia akan meningkatkan harga minyak sekali gus menyebabkan kos pengangkutan dan kos baja meningkat secara serius. Perkara-perkara ini membawa kesan negatif kepada bekalan makanan asas rakyat, dan lapisan berpendapatan rendah (B40) di hampir semua negara akan mengalami kesusahan.

Sikap agresif Amerika Syarikat

Golongan korporat yang mencipta dan mengeluarkan senjata canggih dan moden sedang mempengaruhi dasar luar negara Amerika Syarikat (AS), terutamanya terhadap negara “musuh” seperti Rusia, China, Iran, Kuba dan Venezuela. Presiden Eisenhower pernah memberi amaran kepada rakyat AS dalam ucapan persaraannya pada tahun 1961, bahawa golongan pengeluar senjata yang digelarnya “industrial-military complex” semakin kuat dan berpengaruh.

“Setiap tahun kita membelanja dalam keselamatan ketenteraan lebih daripada pendapatan bersih semua syarikat korporat Amerika Syarikat. Penggabungan antara sebuah badan ketenteraan yang begitu besar dan sebuah industri persenjataan besar ini adalah baharu dalam pengalaman Amerika. … Pengaruh keseluruhannya – ekonomi, politik, malah kerohanian – adalah dirasai di setiap bandar, setiap Bangunan Kerajaan Negeri, setiap pejabat Kerajaan Persekutuan. Namun kita tidak harus gagal memahami implikasi besarnya. Tenaga buruh, sumber dan punca rezeki kita semuanya terlibat; begitu juga struktur masyarakat kita.

Dalam jabatan-jabatan kerajaan, kita harus berwaspada terhadap pemerolehan pengaruh yang tidak wajar, sama ada diingini atau tidak diingini, oleh kompleks industri ketenteraan ini. Potensi untuk kebangkitan membawa bencana daripada kuasa yang tidak wajar itu wujud dan akan berterusan.” – Dwight D. Eisenhower (17 Januari 1961)

(“We annually spend on military security more than the net income of all United States corporations. This conjunction of an immense military establishment and a large arms industry is new in the American experience. … The total influence — economic, political, even spiritual — is felt in every city, every State house, every office of the Federal government. Yet we must not fail to comprehend its grave implications. Our toil, resources and livelihood are all involved; so is the very structure of our society.

In the councils of government, we must guard against the acquisition of unwarranted influence, whether sought or unsought, by the military industrial complex. The potential for the disastrous rise of misplaced power exists and will persist.”)

Bahaya yang diramalkan oleh Presiden Eisenhower sudah menjadi realiti sekarang. Kompleks industri-ketenteraan atau industrial-military complex (IMC) ini memerlukan pasaran untuk senjata-senjata mereka. IMC mendapat keuntungan apabila adanya peperangan ataupun ketegangan antara negara-negara dunia. Perang Ukraine seolah-olah durian runtuh bagi IMC. Bukan sahaja senjata mereka dibeli oleh kerajaan AS dan Kesatuan Eropah (European Union) untuk dibekalkan kepada tentera Ukraine, malah ketegangan dan kerisauan yang menyelubungi rantau tersebut juga mendorong negara-negara lain dalam EU meningkatkan perolehan senjata mahal daripada IMC.

AS sudah menjadi sebuah negara yang suka mengunakan opsyen ketenteraan untuk menyelesaikan masalah luar negara. Inilah sebabnya AS mendesak NATO untuk mengembang langkah demi langkah menuju ke sempadan Rusia sejak tahun 1990-an walaupun Presiden AS, George H. W. Bush, telah memberi jaminan pada Mikhail Gorbachev pada tahun 1990, bahawa NATO tidak akan mengembang ke arah timur. Sikap AS yang mengutamakan opysen serangan ketenteraan menjadi penghalang kepada usaha pendamaian di Ukraine. Malangnya beribu-ribu rakyat Ukraine menjadi mangsa.

Pengepungan terhadap negara China

Suatu lagi perkara di pentas antarabangsa, ialah usaha-usaha Amerika Syarikat memberikan tekanan ekonomi dan ketenteraan untuk “mengepung” China. Negara China dianggap oleh AS sebagai pesaing (competitor) besar kerana bilangan populasi besar dan kepesatan pembangunan ekonomi China. Sekatan ekonomi (sanctions) yang dikenakan oleh Presiden Trump masih berterusan di bawah Presiden Biden. Kapal tentera AS masih berlayar sekitar perairan dekat China dan di Selat Taiwan. Pengwujudan pakatan tentera AUKUS (Australia-UK-US) pada 15 September 2021 merupakan satu lagi langkah yang memajukan strategi Amerika Syarikat untuk mengintimidasi China.

Justeru, kenyataan PSM pada 27 Februari 2022 mengenai konflik Rusia-Ukraine telah mengkritik Rusia, dan menuntutnya untuk menghentikan tindakan ketenteraan dan berundur dari Ukraine serta meneruskan proses perundingan. Kenyataan ini juga mengkritik pendekatan agresif Amerika Syarikat dan NATO yang sengaja mencetuskan peperangan ini.

Kegawatan ekonomi antarabangsa

Ada kemungkinan besar bahawa ekonomi global akan mengalami kegawatan yang teruk dalam beberapa bulan yang akan datang. Sebelum COVID-19 pun, ekonomi dunia menghadapi kelembapan dalam permintaan kasar. Oleh kerana pengagihan pendapatan yang berat sebelah, rakyat biasa tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membeli produk yang dipasarkan oleh kaum kapitalis. Inilah yang dimaksudkan dengan kejatuhan permintaan kasar (aggregate demand) dalam pasaran, akibat majoriti rakyat pekerja tidak mampu membeli barangan. Maka para kapitalis lebih berminat untuk melaburkan wang mereka dalam kegiatan kewangan (finance) dan bukannya dalam ekonomi produktif. Mereka lebih minat mengaut keuntungan segera melalui aktiviti spekulatif dan kenaikan harga hartanah.

Perintah kawalan pergerakan yang masih dikuatkuasakan di China, konflik perang Ukraine dan sekatan ekonomi terhadap Rusia, menyebabkan kekangan dalam bekalan barangan (supply chain bottlenecks). Maka ia menyebabkan banyak perniagaan mengurangkan atau menghentikan operasi mereka. Umpamanya, apabila harga dedak ayam meningkat, syarikat yang menternak ayam tersepit antara kos yang meningkat dan kawalan harga yang ditetapan oleh kerajaan. Oleh itu, beberapa syarikat penternakan ayam mengambil langkah mengurangkan bekalan ayam buat masa ini. Tindakan ini selain daripada menyebabkan peningkatan harga ayam di pasaran, ia juga mengurangkan peluang pekerjaan dalam industri pengeluaran ayam. Apabila proses yang sama berlaku di beberapa rantaian bekalan barangan, kegawatan akan berlaku.

Dunia sekarang menghadapi situasi “stagflation”, di mana ekonomi mula membeku dan tidak meningkat (stagnation) kerana purata permintaan kasar dan peluang kerja yang mengecut; pada masa sama inflasi (inflation) juga berlaku, meningkatkan harga barangan asas akibat kekangan dalam rantaian bekalan. Seperti biasa, rakyat marhaen, iaitu golongan masyarakat tanpa sumber kewangan stabil, akan menghadapi krisis “stagflation” paling dashyat sekali. Peningkatan pengangguran diiringi dengan bertambahnya inflasi.

Situasi dalam negara Malaysia

Krisis bekalan makanan sedang melanda Malaysia. Harga pelbagai bahan makanan sedang melambung naik – minyak masak, ayam, ikan, sayur-sayuran dan beberapa lagi – dan rakyat naik marah. Kerajaan sedang cuba mengendalikan situasi ini dengan menggunakan 3 pendekatan.

Pendekatan pertama ialah amalan penetapan harga siling bahan makanan tertentu seperti ayam dan telur ayam. Tetapi kaedah ini boleh mengurangkan keuntungan pengeluar ke takat mereka tidak berminat mengeluarkannya lagi kerana keuntungan yang berkurangan. Umpamanya ayam – jika harga sebenar mengeluarkan sekilogram ayam (termasuk untung 10% untuk kilang ayam, pemborong dan penjaja) ialah RM 10.00 manakala harga siling jualan ialah RM 8.90, sudah tentu mereka rugi dan rantaian bekalan ayam akan tergendala. Jika mereka menjual dengan harga melebihi harga siling, mereka boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, jadi lebih baik berundur sahaja daripada perniagaan ayam buat masa ini.

Untuk mengatasi masalah kenaikan harga dedak ayam, kos ubat bagi ayam dan sebagainya, kerajaan telah mengamalkan pendekatan kedua – iaitu bayaran subsidi kepada pembekal ayam untuk membantu mereka menampung kos menternak ayam. Kerajaan telah menawarkan subsidi sebanyak RM0.60 sekilogram ayam pada bulan Februari 2022. Tetapi ramai penternak ayam mengadu bahawa ini tidak mencukupi untuk mereka menampung segala kos menternak ayam.

Ada pihak yang mendesak kerajaan untuk meningkatkan lagi subsidi harga ayam. Tetapi ada juga pihak yang berhujah bahawa subsidi ini dinikmati sebenarnya oleh golongan kaya di mana mereka mungkin lebih mampu makan ayam dengan kerap berbanding dengan golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Pihak kedua ini mencadangkan supaya harga siling ayam dibenarkan untuk meningkat ke RM10.00 sekilogram dan subsidi ayam dikekalkan pada RM0.60 sekilogram. Tambahannya setiap keluarga yang sedang menerima Bantuan Keluarga Malaysia diberikan bantuan tambahan sebanyak RM200 sebulan untuk 6 bulan yang akan datang bagi menampung peningkatan kos makanan harian. Adalah terpulang kepada mereka jika mahu mengunakannya bantuan tersebut untuk membeli ayam mahal ataupun membeli bahan makanan yang lain.

Pendekatan ketiga ialah cadangan PSM yang disyorkan dalam memorandum PSM kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang kita serahkan pada 5 April 2022. Perkara lain yang dibangkitkan dalam memorandum tersebut ialah:

1. Pelan induk kebangsaan berkaitan penggunaan tanah negara. Pada takat ini, daripada jumlah keluasan 32.865 juta hektar tanah di Malaysia, 55% digazet sebagai tanah berhutan (walaupun dua pertiga daripada jumlah ini telahpun dibalak); 23% daripada tanah Malaysia, ataupun 7.6 juta hektar, sedang digunakan untuk pertanian; dan 22% yang baki digunakan untuk bandar, perumahan, jalan raya, loji air dan sebagainya. Daripada 7.6 juta hektar yang digunakan untuk pertanian, hanya 1.5 juta hektar sedang digunakan untuk menghasilkan makanan bagi rakyat kita – termasuk 0.7 juta hektar untuk penanaman padi. 5 juta hektar dikhaskan untuk kelapa sawit dan 1.1 juta hektar untuk pengeluaran getah.   

Nisbah penggunaan tanah pertanian harus dikaji semula memandangkan bekalan makanan untuk rakyat kita diancam bukan sahaja kerana berlakunya perang di Ukraine, tetapi juga oleh kerana perubahan iklim. Syor PSM adalah kawasan yang digazet sebagai hutan harus dikekalkan seperti sedia ada. Tetapi sebahagian tanah yang dikhaskan untuk kelapa sawit dan getah harus ditukarkan guna tanahnya kepada penanaman padi, jagung, kacang soya dan sumber makanan yang lain. Satu akta harus digubal untuk mewajibkan syarikat-syarikat perladangan menggunakan sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah tanah mereka untuk menanam padi, jagung, sayur dan bahan makanan yang lain. Jika mereka gagal buat begitu dalam satu tempoh masa tertentu. kerajaan harus mengambil sebahagian tanah ladang yang sesuai untuk tujuan penanaman bahan makanan dan memajaknya kepada petani. 

2. Masalah yang dihadapi oleh pengeluar makanan tempatan harus dikenal pasti dan diselesaikan.

Pesawah padi mengadu bahawa bantuan subsidi yang ditujukan kepada mereka telah dirampas oleh Bernas dan syarikat-syarikat pembekal baja.

Pengeluar sayur sedang ditekan dan diusir oleh kerajaan-kerajaan negeri yang mahu menjual tanah yang diusahakan oleh petani kepada pihak pemaju supaya mendapat keuntungan dengan cepat. Pada takat ini, PSM sedang membantu pekebun di 12 buah kawasan pertanian di Perak yang melibatkan lebih daripada 400 orang pekebun kecil dan 3000 ekar tanah persayuran. Di Perak, elit politik UMNO sedang menjual tanah kepada pemaju besar, dan, nampaknya sebahagian besar daripada harga jualan tidak masuk ke dalam dana kerajaan negeri!

Kaum nelayan di Pulau Pinang dan juga beberapa kawasan yang lain menghadapi ancaman pengorekan pasir laut (sand mining) dan pengwujudan pulau buatan. Usaha ini memusnahkan sumber perikanan dan menjejaskan bekalan makanan untuk rakyat kita.

Penternak lembu pula diancam oleh perkembangan bandar-bandar kita dan menghadapi masalah mencari padang ragut untuk lembu ternakan. Sime Darby sedang cuba menghalau penternak lembu keluar dari ladang-ladang mereka dengan alasan persijilan RSPO mereka terjejas oleh kerana kehadiran lembu.  

Langkah-langkah tegas harus diambil untuk memastikan semua kategori pengeluar makanan tempatan dapat meneruskan kegiatan mereka dalam menghasilkan bahan makanan untuk rakyat kita tanpa sebarang gangguan. Pengusiran paksa pengeluar makanan harus dihentikan sama sekali. Aktiviti “pembangunan” ekonomi yang ada kesan negatif terhadap pengeluaran makanan harus dikenal pasti dan dihentikan.

3. Memorandum ini juga mengesyorkan pada kerajaan untuk bekerjasama dengan NGO-NGO dan kumpulan-kumpulan agama dalam membuka dapur makanan yang menyediakan makanan masak (cooked meals) kepada sesiapa yang memerlukannya di setiap bandar di Malaysia. Kita mesti pastikan tiada sesiapa pun yang tidur dalam kelaparan di negara kita.     

Memorandum ini telah diendors oleh 37 buah kumpulan NGO dan persatuan. Empat daripada kumpulan NGO ini telah menemani PSM apabila kami mengunjungi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (yang merupakan Sekretariat bagi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara) pada 5 April 2022 untuk menyerahkan memorandum ini. Kami telah memohon tarikh berdialog dengan Jawatankuasa Kabinet ini dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Hubungan inter-etnik merosot

Gerakan reformasi yang dianjur oleh Pakatan Harapan (PH) ialah satu gerakan politik dengan ciri-ciri progresif kerana ia tidak berdasarkan agenda etnik, dengan misi untuk membina masyarakat yang adil, harmoni serta mencegah rasuah dan salah guna kuasa. Gerakan reformasi populis ini merupakan perkembangan yang positif dalam landasan politik Malaysia.

Selepas ditewaskan dalam PRU-14, UMNO melawan balik dengan memainkan politik perkauman, mencetuskan kerisauan dalam kalangan masyarakat Melayu bahawa kepentingan mereka akan/sedang diabaikan oleh PH. Beberapa kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan PH telah mengesahkan hujah UMNO-PAS, umpamanya keputusan membatalkan subsidi bagi nelayan dan pekebun kecil getah, mengurangkan subsidi bagi pesawah padi, serta menyekat bayaran BR1M kepada ibu tunggal dan peniaga kecil. Kehilangan sokongan masyarakat Melayu kepada PH adalah sebab utama Kerajaan PH tumbang 22 bulan selepas mengambil alih kuasa pada bulan Mei 2018.

Pemimpin PH sekarang sedar tentang kesilapan mereka memotong subsidi. Tetapi mereka masih belum sedar tentang percanggahan dalam pemahaman tentang watak (character) Malaysia sebagai sebuah negara yang memisahkan penyokong Melayu daripada PH. Untuk masyarakat bukan Melayu, cogan kata “Malaysian Malaysia” yang dilaungkan oleh DAP ialah satu laungan yang progresif. Bagi mereka, ia membawa konsep bahawa rakyat pelbagai etnik telah/sedang bekerjasama untuk membina Malaysia. Tetapi maksud tersembunyi dalam laungan tersebut membawa naratif bahawa “kita semua pendatang, kerana kamu (orang Melayu) datang dari Sumatera manakala saya datang dari India/China. Hanya Orang Asli sahajalah yang merupakan komuniti asal di Malaysia.”

Maksud tersirat “kita semua pendatang” sudah tentu tidak disenangi oleh orang Melayu kerana ia bercanggah dengan konsep bahawa rantau ini, dari Patani sehingga ke Timor Leste, merupakan Nusantara Melayu, dan Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa rasmi, Islam diisytihar sebagai Agama Persekutuan serta institusi diraja dikekalkan dalam perlembagaan Malaysia.

Justeru, isu pembatalan/pengurangan subsidi dan naratif yang bercanggah dengan konsep negara Malaysia menyebabkan hampir 70% daripada pengundi Melayu yang dulunya menyokong PH pada bulan Mei 2018 mula menarik balik sokongan mereka. Perkara ini jelas dilihat dalam Pilihanraya Negeri Melaka dan Johor.

Undi yang diterima oleh BN, PH dan PN dalam PRN Melaka 2021 berbanding PRU 2018

Undi yang diterima PH dalam PRN Melaka 2021 jatuh antara 17% sehingga 30% di kawasan-kawasan majoriti Melayu berbanding PRU 2018. Sebaliknya di kawasan bukan Melayu, undi PH hanya turun 1 hingga 2%. Ini memberikan bukti nyata yang menyokong hujah bahawa sokongan Melayu untuk PH telah merosot secara drastik selepas PRU-14.

PH, walaupun mempunyai beberapa ciri-ciri progresif, tumbang kerana tidak dapat mengendalikan isu-isu etnik dengan baik. Adalah penting untuk golongan kiri memahami perkara ini jika kita benar-benar ingin mengambil alih pentadbiran negara pada satu masa nanti.

Perpecahan masyarakat mengikut sentimen etnik yang mendalam sekarang bukanlah sesuatu yang wujud semula jadi dalam kalangan massa. Sebaliknya ianya berkembang apabila kuasa politik kelas yang dibawa oleh gerakan kiri dimusnahkan oleh kolonial British dan Kerajaan Malaya/Malaysia yang diterajui oleh parti mono-etnik selepas Merdeka. Pada tahun 1960-an, walaupun kerajaan ditubuhkan oleh parti-parti etnik (UMNO, MCA dan MIC), tetapi sentimen perkauman sentiasa berjaya dicabar oleh gabungan kiri Socialist Front (SF), iaitu sebuah gabungan yang terdiri daripada Parti Buruh dan Parti Rakyat. SF membawa analisis yang berasaskan kelas sosio-ekonomi, berjaya membawa arus politik anti-perkauman sebagai ubat penawar (antidote) kepada politik perkauman toksik yang diamalkan oleh Perikatan/BN.

Malangnya SF dihancurkan dengan tangkapan ISA sehingga naratif politik anti-perkauman dilenyapkan. Selepas itu, ruang pembangkang diambil alih oleh parti-parti seperti DAP dan PAS yang mencerminkan perjuangan politik satu kaum atau agama, seperti juga blok politik pemerintah. Sejak itu, rakyat Malaysia hanya terdedah kepada naratif chauvinis perkauman untuk lebih 50 tahun sehingga kini.

Perlunya PSM membina gerakan marhaen dalam kalangan masyarakat Bumiputera

Jika kita ingin menubuhkan sebuah gerakan progresif yang mampu mengambil alih kuasa di peringkat Persekutuan pada masa depan, kita perlu membina gerakan rakyat berbilang kaum. PSM tidak boleh tunggu untuk pihak lain membina gerakan marhaen dalam kalangan masyarakat Melayu. Nampaknya parti-parti pembangkang yang sedia ada tidak berminat ataupun tidak sanggup melakukan kerja ini.

Kondisi objektif untuk memobilisasi marhaen Bumiputera sudah wujud – perkembangan ekonomi negara telah menimbulkan kontradiksi kelas dalam kalangan masyarakat Melayu. Program yang dilancarkan untuk membantu golongan Melayu miskin telah dirampas oleh lapisan kontraktor Melayu yang mempunyai hubungan politik-bisnes yang rapat dengan wakil rakyat UMNO atau PAS.

Kontraktor-kontraktor yang ditugaskan untuk melaksanakan program membina rumah PPR, penanaman semula pokok getah, pembekalan baja subsidi pesawah padi, pengurusan skim-skim FELDA dan sebagainya tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan kerana motif keuntungan mendahului segalanya. 

Golongan kaya 5% dalam kaum Melayu, iaitu T5, juga memudaratkan golongan marhaen termasuk marhaen Melayu sendiri. Umpamanya, apabila pengambilan pekerja asing yang diberikan kepada syarikat kroni politik yang ada hubungan rapat dengan Menteri Dalam Negeri, syarikat-syarikat ini mendapat untung yang lumayan dengan membawa masuk pekerja migran, sehingga menyebabkan lambakan pekerja migran dalam pasaran pekerja (labour market). Adanya 5 juta orang pekerja migran di Malaysia – 2 juta orang dengan dokumen yang sah dan 3 juta orang yang sudah dijadikan “tidak sah”. Jumlah tenaga kerja yang berlebihan mengurangkan peluang kerja bagi rakyat B40 dan secara langsung menekankan gaji pekerja biasa ke peringkat yang rendah. 

Golongan Melayu kaya T5 juga menguasai hospital-hospital swasta melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Usaha mereka untuk mempromosi pelancongan kesihatan dan membina lebih banyak hospital swasta mempercepatkan penghijrahan doktor pakar dari hospital kerajaan ke sektor swasta. Kekurangan doktor pakar menjejaskan kesihatan rakyat B40 dan M40 yang banyak bergantung pada hospital kerajaan, tanpa mengira kaum.

Jadi, adanya banyak kesempatan untuk aktivis progresif memobilisasi rakyat marhaen Melayu untuk mempersoalkan polisi-polisi yang menyebelahi kaum korporat dan penyelewengan yang sedang berlaku. Aktivis PSM harus turun padang dan kenal pasti isu-isu yang dihadapi oleh rakyat biasa di kampung-kampung tradisi dan kawasan perumahan kos rendah di bandar.      

Untuk melaksanakan tugas ini secara berkesan, aktivis progresif harus menyedari bahawa hampir semua rakyat Malaysia, termasuk dalam kalangan progresif, telah dipengaruhi oleh analisis dan pemikiran perkauman ala DAP untuk 50 tahun yang lalu. Adalah amat perlu untuk kita mempertimbang semula persepsi kita berkaitan isu-isu etnik jika kita ingin bekerja merapati Melayu marhaen. Jika kita mendekati mereka dengan persepsi bahawa mereka bermentaliti subsidi, malas dan hanya tunggu bantuan Kerajaan, maka sudah tentu kita akan gagal dalam usaha mengatur mereka supaya menyertai perjuangan kelas yang dibawa oleh gerakan rakyat marhaen.

Aktivis PSM harus meningkatkan lawatan ke kampung, taman dan rumah pangsa untuk berjumpa dan berbincang dengan masyarakat Melayu B40. Kenal pasti masalah-masalah yang sedang dihadapi mereka. Menganalisis situasi mereka dengan menggunakan sistem analisis sosialis. Lepas itu berbincang dengan mereka dan membangunkan aksi untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi mereka. Orang di akar umbi hanya akan memahami siapa kawan dan siapa lawan apabila kita bergerak mengendalikan isu mereka.  

PRU-17

PSM telah berbincang tentang isu pilihanraya berulang kali. Pemahaman bersama yang telah dicapai adalah:

Deklarasi Trolak menetapkan sasaran 100 kerusi parlimen dan DUN dalam PRU-17. Untuk mencapai sasaran ini, PSM perlu menarik masuk ramai individu yang bersemangat dan sedia berjuang untuk kebajikan rakyat. Kita perlu menambahkan bilangan ahli aktif jika kita ingin berkembang ke seluruh negara dalam 10 tahun yang akan datang dengan mewujuidkan 50 hingga 100 cawangan PSM baharu.

Untuk menarik masuk ramai ahli yang idealistik dan berkaliber, kita perlu melakukan 4 perkara penting –

1. Menggunakan media massa dan media sosial untuk mempamerkan aktiviti dan analisis PSM kepada rakyat Malaysia. Tetapi kita tidak boleh bergantung pada ikonisme segelintir pemimpin yang fotogenik dan taktik-taktik pemasaran yang inovatif dan “cute”. Asas yang penting sekali dalam “perang media dan minda“ ialah kandungan (content). Dalam tahun yang lalu, beberapa aksi PSM telah menarik perhatian orang ramai dan menonjolkan imej PSM sebagai sebuah parti yang peka pada masalah rakyat biasa dan berani mengatur perjuangan untuk mempertahankan kepentingan rakyat, antaranya:

  • Kempen motosikal yang diadakan oleh kesatuan pekerja kontrak hospital;
  • Demonstrasi sokongan untuk seorang wanita yang dianiayai oleh bank CIMB yang dilakukan serentak di 5 buah bandar;
  • Aksi protes “sit-in oleh pekerja kontrak sekolah di hadapan Pejabat Perdana Menteri;
  • membebaskan petani dan aktivis PSM yang ditahan apabila mereka cuba menghalang pengusiran pekebun kecil.

Jentera untuk menyediakan dan menyebarkan bahan media adalah sangat penting. Tetapi yang paling penting ialah penglibatan dengan akar umbi lah yang akan menjana kandungan isu, analisis sosialis dan tuntutan perjuangan yang bernas untuk memenuhi kandungan media.

2. Lebih ramai ahli PSM harus turun ke padang. Kita hanya dapat kenal pasti masalah yang dihadapi oleh rakyat akar umbi apabila kita turun padang dan bergaul dengan mereka. Antara SOP PSM dalam mengendalikan isu rakyat ialah berbincang dengan mereka yang terjejas untuk mendapat tahu secara terpirinci tentang segala aspek masalah mereka dan cadangan mereka mengenai solusi pada isu yang dihadapi mereka. Selepas itu, aktivis PSM kena mendapatkan surat dan dokumen berkenaan, dan membincangkan isu ini dalam mesyuarat cawangan parti. Kemudiannya, aktivis akan berbincang dengan masyarakat yang terlibat dan memutuskan tindakan yang harus diambil.

Dalam penglibatan dengan rakyat biasa, kita harus mengutamakan penyelesaian masalah yang dialami oleh rakyat dan bukannya fokuskan hanya pada kerja mempromosi imej PSM dalam media massa. Ini akan berlaku secara “organik”. Ini kerana, biasanya perjuangan rakyat untuk keadilan akan, pada satu masa, memerlukan sidang akhbar. Ataupun pihak yang menindas akan mengambil satu tindakan yang keras. Pada ketika itu, penglibatan dan pendirian PSM akan keluar dalam media massa dan akan disebar kepada orang ramai. 

3. Kerja menganalisis isu-isu nasional dan menggubal polisi untuk menanganinya tidaklah berapa menarik seperti kerja di peringkat akar umbi. Tetapi penggubalan dasar dan kempen-kempen nasional PSM adalah penting untuk usaha kita menarik masuk orang baharu. Mereka yang tertarik (impressed) selepas menyaksi perjuangan PSM dengan akar umbi akan melayari internet untuk mengetahui lebih lanjut mengenai PSM – prinsip kita, aktiviti kita dan analisis kita. Jika mereka menemui analisis-analisis yang tepat dan jelas serta kempen dan polisi-polisi yang inovatif, persepsi mereka terhadap PSM akan meningkat, dan beberapa orang antara mereka akan menjadi ahli PSM.    

4. Kita mesti, secara yang sedar dan teratur, melibatkan ahli-ahli baharu dalam aktiviti PSM. Ahli baharu yang mengambil bahagian dalam aktiviti PSM akan belajar analisis sosialis dan berkembang sebagai seorang aktivis progresif dan mungkin akan menjadi calon PSM pada masa akan datang.

Saudara/i, kita tidak dapat bergerak dengan bebas untuk dua tahun yang lalu oleh kerana wabak COVID-19. Sekarang sekatan terhadap pergerakan dan mesyuarat telah dilonggarkan. Sudah tiba masanya untuk kita melaksanakan idea dan cadangan yang telah kita bincang di Trolak pada bulan Januari 2020. Seperti dikatakan oleh Marx, “kita adanya sebuah dunia untuk dimenangi” (we have a world to win). 

Saya harap kita akan mengadakan perbincangan yang bernas dalam dua hari yang akan datang supaya kita dapat menghalusi program PSM.

Selamat berkongres! Dan salam perjuangan!

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

3 thoughts on “Ucapan Dasar Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk Kongres Nasional ke-24

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *