Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Bagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dapat bantu kita dalam perancangan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan selepasnya? Terdapat sesetengah pengulas berpendapat bahawa kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka yang baru diadakan itu adalah kerana keputusannya menerima beberapa “katak” politik sebagai calon PH. Yang lain pula mengaitkan kemelut pilihanraya PH dengan memorandum persefahaman yang ditandatangani antara PH dengan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada bulan September 2021. Saya mohon untuk tidak bersetuju dengan kedua-dua pandangan ini. PRN Melaka memberi pengajaran penting kepada kita semua. Namun, kita perlu melihatnya melalui penilaian rasional berasaskan fakta dan elak daripada menunjukkan perselisihan pendapat kita dengan kepimpinan PH dalam isu-isu tertentu sebagai punca kepada pretasi PH yang hambar. 

Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah undi popular yang diperoleh Pakatan Harapan di negeri Melaka telah merosot daripada 50.8% pada bulan Mei 2018 kepada 35% dalam pilihan raya yang terbaru. Lebih kurang satu pertiga daripada pengundi yang mengundi untuk PH pada tahun 2018, tidak memberikan sokongan mereka pada tahun 2021. Ini satu angka yang signifikan! Yang menariknya, kebanyakan pengundi yang “tukar pendirian” ini tidak beralih kepada Barisan Nasional (BN), kerana undi popular yang diperoleh BN hanya meningkat sedikit sahaja daripada 37.5% pada tahun 2018 kepada 38% pada tahun 2021. Kebanyakan daripada 16% pengundi yang meninggalkan PH sebaliknya mengundi untuk BERSATU, dan undi popular Perikatan Nasional (PN) adalah 24%, meningkat daripada 11.6% yang diperoleh PAS pada tahun 2018 (BERSATU merupakan sebahagian daripada PH pada tahun 2018).

Penurunan sokongan undi untuk calon PH pada tahun 2021 berbanding tahun 2018 paling ketara di kerusi dengan peratusan pengundi Melayu yang besar, menunjukkan bahawa pengaliran keluar undi daripada PH kebanyakannya terdiri daripada pengundi Melayu. Jadual 1 di bawah memberi sedikit gambaran tentang fenomena ini.  

Jadual 1: Keputusan pilihan raya pada tahun 2018 dan 2021 di beberapa kawasan yang terpilih

1 = calon BERSATU; 2 = MCA; 3 = calon GERAKAN

Keputusan untuk N20 dan N22, kerusi kawasan bandar dengan majoriti bukan Melayu yang besar, menunjukkan bahawa sokongan untuk PH dalam kalangan pengundi Cina dan India masih kekal pada paras yang lebih kurang sama seperti pada tahun 2018, iaitu lebih kurang 90% (lihat nota a). Jadi, hujah bahawa PH berprestasi teruk dalam PRN Melaka kerana kekecewaan dalam kalangan pengundi bukan Melayu tidak disokong oleh statistik pilihan raya. Ini bukannya bermakna bahawa penyokong-penyokong di N20 dan N22 tidak kecewa dengan beberapa keputusan PH, tetapi jika mereka kecewa pun, mereka masih undi untuk DAP.

Angka-angka yang berkaitan dengan N2, N3 dan N11 dalam jadual di atas menimbulkan dua persoalan yang penting. Yang pertama, apakah yang menyebabkan penghijrahan sokongan pengundi Melayu yang begitu besar daripada PH antara tahun 2018 dan 2021? Yang kedua, kenapa mereka pilih untuk mengundi BERSATU bukannya UMNO walaupun pada hakikatnya UMNO mempunyai jentera peringkat akar umbi yang lebih baik, dan lebih banyak wang untuk dibuang?

Saya pernah membincangkan persoalan pertama dengan panjang lebar dalam beberapa analisis di mana saya telah berhujah bahawa secara dasarnya, oleh sebab persepsi bahawa Pakatan Harapan terlalu dipengaruhi oleh DAP, ia dianggap tidak boleh dipercayai untuk menjaga kesejahteraan ekonomi masyarakat Melayu. Sesetengah langkah yang diambil semasa PH berkuasa untuk selama 22 bulan di peringkat Persekutuan nampaknya membuktikan persepsi sedemikian.

Persoalan yang kedua adalah lebih menarik. Di N2, calon BERSATU, seorang Timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan dapat mengurangkan sokongan terhadap UMNO (yang diwakili oleh Pengerusi Negeri UMNO dalam PRN Melaka 2021) dengan agak ketara – dari 58% menurun ke 49%. Dan di N11, calon BERSATU menewaskan penyandang kerusi daripada UMNO – satu-satunya kerusi BN hilang pada tahun 2021 selepas ia menang pada tahun 2018. Ini nampaknya menunjukkan bahawa terdapat sejumlah besar pengundi Melayu di Melaka yang peduli tentang tahap nepotisme dan korupsi dalam UMNO, maka bersedia untuk mengundi BERSATU. Tan Sri Muhyiddin Yassin, menurutnya, telah mengambil pendirian tegas terhadap ahli-ahli politik UMNO yang menghadapi pendakwaan korupsi – dan beliau lebih tegas dalam mempertahankan ini berbanding dengan sesetengah pemimpin PH.

Penyokong tegar PH yang selama ini menggambarkan BERSATU sebagai sekumpulan oportunis yang membelot tidak akan suka pada apa yang saya katakan ini, tetapi nampaknya agak jelas, mereka yang mengundi BERSATU – golongan Melayu yang agak kritikal terhadap tahap korupsi, elitisme dan nepotisme dalam UMNO – tidak mempunyai persepsi negatif yang serupa terhadap BERSATU. Jika mereka berpandangan demikian, mereka tidak akan mengundi dalam jumlah begitu besar untuk calon BERSATU.

Angka daripada PRN Melaka mendedahkan bahawa pada masa ini, BERSATU merupakan pesaing pilihan raya yang lebih berbahaya untuk UMNO dalam kerusi majoriti Melayu berbanding PKR atau AMANAH (lihat nota b), menarik antara 20% hingga 40% pengundi Melayu. Dan keadaan ini wujud di negeri di mana sekutu utama BERSATU, PAS, adalah lemah. Bayangkan betapa menggerunkan perikatan PAS-BERSATU akan jadi di negeri-negeri Utara Semenanjung di mana PAS mempunyai sokongan akar umbi yang lebih kuat. Sama seperti MCA dan MIC yang hilang sokongan daripada masyarakat Cina dan India kerana kerjasama rapat mereka dengan UMNO, PKR dan AMANAH nampaknya juga hilang sokongan daripada pengundi Melayu kerana persepsi bahawa DAP tidak bersimpati dengan “agenda Melayu” dan merupakan rakan kongsi yang mendominasi dalam gabungan PH. Jadual 2 mempersembahkan data yang mentakrif sejauh mana masalah ini.

Jadual 2: Sokongan Melayu untuk UMNO, PH dan BERSATU di kawasan pilihan raya dengan pengundi Melayu melebihi 75%

4) Anggaran sokongan pengundi Melayu untuk BERSATU seperti yang diberikan dalam lajur di kanan adalah berasaskan andaian bahawa peratusan keluar mengundi adalah sama untuk semua kumpulan etnik dan satu pertiga daripada pengundi bukan Melayu di dalam kawasan pilihan raya tersebut mengundi BERSATU (satu andaian yang berkecenderungan menganggar kurang sokongan Melayu untuk BERSATU).

Nampaknya ramai pengundi Melayu yang mengundi PH pada tahun 2018 tetapi menarik balik sokongan selepas itu, masih mengambil berat tentang tadbir urus negara yang sesuai. Namun mereka khuatir bahawa usaha untuk menangani kemunduran ekonomi sesetengah golongan masyarakat Melayu boleh terjejas. Jika ini benar, ia sudah tentu berita baik bagi mereka yang ingin melihat tadbir urus kewangan negara yang lebih baik. Namun ia juga mengetengahkan kepentingan untuk mengambil kira kebimbangan mereka tentang isu-isu ekonomi yang memberi kesan kepada masyarakat Bumiputera dan mengintegrasikannya ke dalam sebuah program yang adil untuk semua warga Malaysia.  

Adakah kita mempunyai masa untuk melakukan ini sebelum PRU-15? Masa adalah singkat, dan persepsi dalam kalangan pengundi Melayu adalah PH tidak boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan masyarakat Melayu. Dengan persepsi ini, ia adalah membunuh diri untuk BERSATU membentuk apa-apa gabungan pilihan raya dengan PH. PH juga akan mendapati agak susah untuk menyakinkan penyokongnya bahawa kerjasama pilihan raya dengan BERSATU adalah diperlukan untuk memperkuatkan kuasa anti-BN, selepas menyajikan kepada penyokongnya pandangan bahawa kerajaan PN adalah kerajaan yang memang tidak cekap dan tidak sah.

Sekiranya kita mempunyai negarawan dalam PH, mereka mungkin dapat memenuhi tarikh akhir PRU-15. Namun ia bukannya mudah, kerana ia memerlukan tiga langkah yang penting. Yang pertama, adalah mentafsir semula Langkah Sheraton untuk menggabungkan pandangan daripada pengundi-pengundi yang mengalihkan sokongan daripada PH kepada BERSATU. Yang kedua, adalah memulakan satu perbincangan yang jujur tentang bagaimana masalah prestasi rendah masyarakat Melayu dalam sesetengah sektor ekonomi boleh ditangani, dan dengan cara yang adil untuk semua kaum. Dan, yang terakhir, adalah memerlukan kempen publisiti besar-besaran tentang bagaimana tawaran baharu untuk warga Malaysia ini akan dilaksanakan oleh PH dan sekutunya jika mereka mengambil semula kuasa Kerajaan Persekutuan. Ini akan “mengeset semula” imbangan politik di dalam negara kita.

Malangnya, kita sedang kekurangan negarawan, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Barangkali “pengesetan semula” ini tidak boleh dicapai dengan cepat dari atas, tetapi perlu membina dari bawah secara sabar melalui aktivisme akar umbi yang menjangkaui batasan etnik untuk membina pendekatan yang lebih adil dan halus demi menghadapi cabaran yang dihadapi negara kita.

Nota:

a. Daripada statistik dalam Jadual 1, kita boleh meneka 87.2% pengundi di Bandar Hilir adalah bukan Melayu. Jika kita membuat andaian murah hati bahawa 1/3 daripada pengundi Melayu mengundi DAP, maka 76.9 (81.2 – 4.3) daripada setiap 87.2 pengundi bukan Melayu di Bandar Hilir mengundi DAP. Ini mendapat peratusan 88.2%.

b. Jika kita mengandaikan bahawa pengundi yang keluar mengundi adalah sama untuk semua kumpulan etnik dan 1/3 pengundi bukan Melayu mengundi PH di Tanjung Bidara, ia bermakna bahawa 4.75 daripada setiap 93.9 pengundi Melayu di Tanjung Bidara mengundi PH. Ini mendapat peratusan sokongan untuk PH daripada pengundi Melayu ialah 5.1% di Tanjung Bidara. Pengiraan berasaskan andaian yang sama akan menghasilkan anggaran bahawa sokongan Melayu untuk PH di Ayer Limau ialah 8.5%.  

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

2 thoughts on “Pengajaran daripada PRN Melaka 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *