4 orang aktivis PSM yang ditahan semalaman dibebaskan serta-merta selepas Majistret Ipoh menolak permohonan polis untuk melanjutkan reman terhadap mereka.

IPOH, PERAK – 14 APRIL 2022: 8 orang yang ditahan polis semalam (13 April 2022) kerana membantah pengusiran oleh pemaju tanpa perintah mahkamah telah diarahkan untuk dibebaskan pada hari ini selepas Mahkamah Majistret Ipoh menolak permohonan polis untuk mereman mereka.

8 orang itu itu terdiri daripada 4 orang petani di kawasan Chepor Impian dan 4 orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bersolidariti dengan petani dalam usaha melawan pengusiran paksa. 2 orang aktivis PSM ditangkap pada waktu pagi 13 April 2022 apabila syarikat pemaju Eadepro Development Sdn Bhd memasuki tanah kebun petani di kawasan Chepor Impian untuk membersihkan tanah di situ. Pihak pemaju pada awalnya bersetuju untuk memberi tempoh satu hari kepada petani-petani untuk membincangkan penyelesaian yang ditawarkannya, tetapi tiba-tiba pihak polis memberi hanya setengah jam kepada petani-petani dan aktivis-aktivis PSM untuk beredar dari situ dan kemudiannya melakukan tangkapan. 4 orang petani dan 2 orang lagi aktivis PSM yang membuat aduan polis di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh selepas itu, turut ditahan.

4 orang aktivis PSM telah direman semalaman di lokap untuk siasatan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (berkaitan dengan “hukuman bagi pencerobohan jenayah”) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (berkaitan dengan “menggalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya”), sementara 4 orang petani di kawasan Chepor Impian ditahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan. Kelapan-lapan orang telah dibawa ke hadapan Majistret Ipoh untuk permohonan perlanjutan reman pada hari ini.

Pihak polis pada awalnya memohon reman selama 4 hari untuk kelapan-lapan orang yang ditahan itu. Namun, Majistret Ipoh telah menolak permohonan reman tersebut selepas mendengar hujah daripada peguam yang mewakili mereka yang ditahan. Majistret mengarahkan bahawa 4 orang petani yang ditahan itu harus dibebaskan selewat-lewatnya pada jam 5 petang hari ini, sementara 4 orang aktivis PSM dibebaskan serta-merta.

4 orang petani dibebaskan pada lewat petang 14 April 2022.

Penangkapan terhadap petani-petani dan aktivis-aktivis yang mempertahankan tanah kebun petani kecil daripada pengusiran paksa tanpa perintah mahkamah ini telah dikecam oleh pelbagai organisasi. Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) telah mengemukakan aduan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di Ibupejabat PDRM di Bukit Aman, dengan gesaan supaya siasatan dilakukan ke atas Ketua Polis Daerah Ipoh, Ketua Polis Balai Kuala Kuang dan pegawai-pegawai polis di bawah mereka berkenaan dengan salah guna kuasa dalam membantu syarikat pemaju swasta yang menceroboh tanah pertanian tanpa sebarang perintah mahkamah dan membuat tangkapan tidak sah. Ahli-ahli PSM di beberapa tempat juga membuat aduan polis terhadap pihak polis yang terlibat dalam pengusiran tanpa perintah mahkamah dan penangkapan tidak sah itu.

Nalini Elumalai daripada Sekretariat Gabungan Marhaen yang bersolidariti dengan perjuangan petani berkata dalam satu kenyataan media, “Isu petani Chepor Impian masih belum berakhir. Kami menggesa supaya syarikat pemaju Eadepro Development Sdn Bhd menghentikan segala taktik kotor dan tidak sah yang digunakan untuk mengusir petani-petani di kawasan Chepor Impian. Pihak pemaju harus memulakan perbincangan dengan petani-petani.”

Gabungan Marhaen juga menggesa supaya pihak polis bersikap neutral dalam isu yang melibatkan tanah pertanian ini. “Pihak polis tidak harus bersekongkol dengan pihak pemaju swasta dalam melakukan pengusiran paksa,” tegas kata Nalini.

“Aduan terhadap Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, dan semua pegawai polis daripada IPD Ipoh dan Kuala Kuang yang terlibat dalam membantu pengusiran paksa itu harus disiasat segera oleh JIPS Bukit Aman,” kata Nalini. “Pengusiran paksa adalah salah di bawah undang-undang hak asasi antarabangsa dan Konvesyen Mengenai Pengusiran Paksa 1991 yang turut ditandatangani Malaysia. Mana-mana pihak yang bersekongkol dalam pengusiran paksa adalah turut melakukan pencabulan hak asasi manusia. Mencabul hak untuk seorang menyara hidup juga adalah bercanggah dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Sebarang tindakan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan berhimpun untuk menghalang pengusiran paksa adalah juga mencabul hak asasi manusia seperti yang ditermaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.”

4 thoughts on “Bebas! – 8 orang yang ditangkap kerana pertahankan tanah pertanian dibebaskan selepas Majistret tolak permohonan reman polis

Leave a Reply

Your email address will not be published.