oleh S. Arutchelvan

Saya telah berucap semalam (12 Julai 2022) bersama-sama dengan ahli panel Nadiah Quarantasei dan Josh Hong dalam forum yang bertajuk “The Malaysian Dilemma dan GE-15” bersempena dengan dengan pelancaran buku tulisan Dr Kua Kia Soong, “The Malaysian Dilemma: My Memoir & Manifesto”.  Moderator untuk forum ini ialah Azura Nasron daripada SUARAM.

Dr Nasir Hashim, mantan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut hadir untuk menyampaikan ucapan khas dan melancarkan buku tersebut.

Berikut ialah ringkasan hujah mengenai Dilema Malaysia sempena PRU-15 yang saya bentangkan dalam forum ini:

1. Ini adalah kali pertama, setahu saya, parti pembangkang yang selalunya mendesak untuk Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera itu meminta supaya PRU ditangguhkan, sementara parti pemerintah yang biasanya mahu kekal berkuasa pula mendesak untuk PRU diadakan lebih awal. Aspirasi songsang ini ialah dilema utama PRU ini.

2. Ketakutan parti pembangkang adalah bukan sahaja mereka akan kalah, tetapi kemungkinan kekalahan itu lebih teruk lagi sehingga parti pemerintah menang kerusi lebih 2/3. Ini akan memberi impak besar kerana parti pemerintah yang berhaluan kanan boleh membuat pindaan terhadap Perlembagaan sesuka hati mereka. Jadi, dalam suasana yang murung dan tiada umph ini, adakah kempen mendesak orang ramai keluar mengundi yang dilakukan untuk menghalang kemenangan besar puak kanan itu boleh mendapat sambutan? Ini ialah dilema kedua.

3. Mengapa PRU-15 dan PRU lain yang sebelumnya hanya berkisar pada isu memilih pemerintah yang kurang jahat (election of the lesser evil)? Mengapa rakyat terpaksa memilih antara Pepsi-Cola dan Coca-Cola? Ini mungkin merupakan sebab utama rakyat berasa bosan untuk mengundi. Dalam PRU yang lalu, Ahli-ahli Parlimen yang dipilih itu pula melompat parti sana sini sehingga menyebabkan kerajaan bertukar dan ini telah menghina proses demokrasi. Inilah dilema ketiga.

4. Ini ialah PRU pertama selepas pelaksanaan Undi 18, dan mungkin juga yang pertama selepas Undang-undang Anti-Lompat Parti yang bakal digubal. Ia juga merupakan PRU yang pertama selepas satu pandemik dan dua kali pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya. Mungkinkah ini akan membawa satu harapan baharu atau terus menjadi tanda soal?

5. Dalam sejarah PRU di negara kita, tidak pernah adanya sebuah parti politik tunggal boleh memenangi pilihan raya secara sendiri. Hanya gabungan parti politik sahaja boleh menang dalam PRU, misalnya Parti Perikatan, Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional. Kesemua ini ialah Gabungan Parti Politik. Namun, masalahnya adalah perlawanan hari ini hanyalah antara dua buah gabungan politik yang mendukung sistem yang sama, iaitu sistem kapitalis neoliberal. Kedua-dua gabungan ini mempermainkan politik perkauman untuk berkuasa, dan kedua-dua gabungan ini juga mempunyai pendukung yang merupakan kapitalis-kapitalis besar. Malah, kedua-dua gabungan ini mencampurtangan dan meletakkan orang-orang mereka sendiri dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Yang membezakan mereka ini adalah siapa antara mereka yang lebih jahat, lebih rasuah, lebih kuat salah guna kuasa dan sebagainya.

Ini berbeza dengan gabungan politik yang wujud pada awalnya di negara kita, di mana pada tahun 1947, perlawanannya adalah antara gabungan yang berhaluan kiri, PUTERA-AMCJA yang menuntut Perlembagaan Rakyat, menentang puak kanan yang membawa Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga sebelum 13 Mei 1969, adanya Barisan Sosialis yang menentang Parti Perikatan. Perlawanan politik sebelum 13 Mei adalah berwajah kelas, manakala perlawanan selepas itu tidak lagi berwajah kelas. Ia hanyalah dua gabungan berhaluan kanan yang berlawan untuk kuasa.

 6. 125 daripada 222 kerusi Parlimen ialah kerusi kawasan luar bandar atau kawasan pendalaman atau semi-pendalaman, di mana komposisi kaum adalah mono-etnik. Namun, hampir semua parti politik baharu seperti MUDA, WARISAN, Gerak Independent dan malah PSM juga, akan fokus di kawasan-kawasan bandar dan semi-bandar. Sekali lagi, mereka tidak dapat menembusi kawasan luar bandar yang didominasi oleh parti UMNO, PAS dan BERSATU; maka adalah sukar untuk memenangi kerusi malah pilihan raya itu sendiri.

Masa depan

Oleh itu, suka atau tidak, selagi dua gabungan parti yang utama itu tidak mempunyai perbezaan idelogi, maka hasil kemenangan tidak akan membawa perubahan yang ketara kepada lanskap politik tanah air.

Justeru, tindakan membina kuasa alternatif berdasarkan program rakyat bawahan, berlandaskan aspirasi perjuangan kelas dan menolak sistem kapitalis neoliberal, harus diusahakan untuk membina kuasa politik yang dapat membela rakyat dan menjaga kepentingan rakyat terbanyak.

Usaha-usaha untuk menggabungkan perjuangan kaum pekerja, kaum petani, masyarakat sivil yang progresif, perjuangan darurat iklim, anak muda dan perjuangan menuntut kesaksamaan dan kelas menengah, adalah diperlukan untuk membina kuasa alternatif baharu.

Semasa banjir dan pandemik, kita dapat melihat bagaimana rakyat marhaen dan masyarakat bawahan dapat menembusi politik kaum dan agama untuk bersatu dan menjadi kuasa yang penting semasa krisis. Oleh itu, satu kuasa politik baharu yang berlandaskan aspirasi sedemikian harus dijadikan prasyarat untuk membina gabungan politik baharu.

Ini mungkin mengambil masa, tetapi jika ia tidak dilakukan, rakyat akan terus berasa hampa dalam setiap PRU yang akan datang.

Perubahan struktur dan sistem mengambil masa tetapi bermanfaat. Perubahan parti politik tanpa perubahan sistem hanya sekadar mengitar semula masalah-masalah dan penyakit lama.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *