KUALA LUMPUR / IPOH / JOHOR BAHRU / BUTTERWORTH – 1 MEI 2022: Bersempena dengan Hari Pekerja Sedunia, aktivis-aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) menganjurkan aksi sambutan hari yang amat bermakna kepada golongan pekerja ini di beberapa tempat di seluruh negara pada hari ini.
Aksi perhimpunan menyambut Hari Pekerja telah diadakan di Ipoh dan Johor Bahru pada waktu pagi, manakala satu aksi sambutan diadakan di Butterworth pada waktu lewat petang. Di Kuala Lumpur, oleh sebab aksi perhimpunan sambutan Hari Pekerja anjuran Jawatankuasa Mei Satu telah diadakan lebih awal tahun ini pada 23 April 2022, maka PSM mengadakan satu sidang akhbar di ibu pejabatnya di Brickfields untuk mengetengahkan tuntutan pekerja mengenai jaminan perlindungan sosial.
Di Ipoh, perhimpunan sambutan Hari Pekerja anjuran PSM Perak telah diadakan di Padang Polo. Peserta-peserta memeriahkan aksi sambutan Hari Pekerja dengan membawa sepanduk-sepanduk berwarna-warni yang tertulis tuntutan-tuntutan rakyat marhaen, di samping melaungkan slogan-slogan tuntutan pekerja dengan penuh bersemangat. Wakil daripada pelbagai sektor, termasuk pekerja kontrak, pekerja ladang dan petani, menyampaikan ucapan solidariti dalam perhimpunan tersebut. Aksi perhimpunan ini juga dimeriahkan lagi dengan nyanyian lagu-lagu perjuangan.
Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, yang turut serta dalam perhimpunan sambutan Hari Pekerja di Ipoh, berkata, “Negara Malaysia bukannya negara miskin. Negara kita negara yang kaya. Kekayaan per kapita di negara kita telah meningkat sebanyak 9 kali ganda dalam tempoh masa 50 tahun yang lalu. Tapi masalahnya ialah, kebanyakan kekayaan itu telah pergi ke dalam poket segelintir kecil orang kaya di atas. Orang yang menghasilkan kekayaan itu, seperti pekerja, petani dan nelayan, pula terpaksa menanggung pelbagai beban hutang. Kerajaan sepatutnya membantu rakyat marhaen, tetapi dasarnya sekarang melindungi poket orang kaya.”
“Sekarang di Perak, terdapat banyak kawasan pertanian sedang menghadapi ancaman pengusiran di mana syarikat-syarkat yang kaya hendak menghalau keluar petani-petani kecil,” kata Dr. Jeyakumar. “Semua golongan marhaen, termasuk pekerja, petani, nelayan, pemuda, pelajar, penjaja, peniaga kecil dan sebagainya, harus bergabung untuk menyuarakan tuntutan kepada kerajaan supaya menggubal undang-undang yang melindungi rakyat marhaen. Kerajaan harus mencukai orang kaya dengan lebih supaya dapat mewujudkan satu skim pencen untuk semua warga emas. Ini ialah salah satu tuntutan kita. Kekayaan negara kita ini memang ada. Tugas kerajaan ialah menggunakan kekayaan itu untuk melindungi semua rakyat, bukannya menjaga orang yang kaya.”
Di Johor Bahru, PSM Johor bersama-sama dengan aktivis-aktivis masyarakat sivil di situ mengadakan sambutan Hari Pekerja di Dataran Bandaraya Johor Bahru. Arangkannal Rajoo, bekas calon PSM untuk kawasan DUN Kota Iskandar dalam Pilihanraya Negeri Johor pada bulan Mac lalu, turut hadir dalam aksi sambutan Hari Pekerja di Johor Bahru dan berkongsi tentang sejarah Hari Pekerja. “Kita hari ini terhutang budi kepada perjuangan pekerja yang lalu. Hari cuti dan had jam kerja yang kita nikmati pada hari ini, bukanlah datang secara bergolek secara sendiri, sebaliknya adalah datang daripada hasil perjuangan dan keberanian kaum pekerja. Hari Pekerja mengingatkan kita tentang sumbangan golongan pekerja yang menjadi tonggak kemajuan dan kejayaan sesebuah negara. Tanpa pekerja, tidak mungkin kita akan mencapai kemakmuran yang kita nikmati sekarang,” kata Arangkannal.
Dalam sidang akhbar khas yang diadakan di Kuala Lumpur, PSM mengemukakan 7 saranan kepada kerajaan untuk memberi keutamaan kepada perlindungan sosial bagi golongan pekerja. Antara saranan yang dikemukakan oleh PSM termasuk pemantauan ke atas pelaksanaan gaji minimum RM1,500, Jaminan Pendapatan Asas sebanyak RM1,000 sebulan per keluarga bagi mereka yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik COVID-19, perluasan skop perlindungan PERKESO, pengiktirafan pekerja dalam sektor ekonomi gig sebagai pekerja yang dilindungi Akta Kerja, pelaksanaan skim Pencen Warga Emas RM500 sebulan bagi semua pesara yang tidak menerima apa-apa pencen, penghapusan sistem kontrak untuk pekerjaan tetap di premis kerajaan, dan perlindungan hak yang saksama bagi pekerja migran.
Di Butterworth, Pulau Pinang, satu aksi himpunan flash mob diadakan oleh PSM Pulau Pinang di Padang Pemuda Merdeka, yang turut disertai oleh wakil daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Peserta-peserta dalam aksi sambutan Hari Pekerja ini telah melaungkan slogan tuntutan pekerja dan melafazkan Deklarasi 1 Mei 2022 yang membawa tuntutan untuk menegakkan perlindungan sosial bagi pekerja.
Tema sambutan Hari Pekerja anjuran Jawatankuasa Mei Satu tahun ini ialah “Jamin Perlindungan Sosial Pekerja”, dengan mengemukakan 26 tuntutan dalam Deklarasi 1 Mei 2022 yang disokong oleh 46 buah organisasi.
Sementara itu, PSM bersama-sama dengan organisasi-organisasi politik kiri di Asia Tenggara juga mengeluarkan satu kenyataan bersama yang bertajuk “Berjuang untuk Sebuah Dunia yang Lebih Baik dengan Alternatif Sosialis”. Kenyataan bersama tersebut mengemukakan 7 tuntutan utama, iaitu:
- Jaminan kerja dan perlindungan sosial untuk semua;
- Memperkukuhkan perkhidmatan awam;
- Meningkatkan jaminan makanan;
- Bertindak segera untuk menangani krisis iklim dan alam sekitar;
- Meningkatkan kesamarataan gender;
- Menamatkan pemerintahan kediktatoran tentera di rantau Asia Tenggara;
- Menghentikan perluasan ketenteraan di rantau Asia Pasifik.
Layarilah juga pameran poster atas talian bersempena Hari Pekerja Sedunia 2022 di sini.
2 thoughts on “Pekerja tuntut jaminan perlindungan sosial: Sepintas lalu aksi sambutan Hari Pekerja 2022 di Malaysia”