Kenyataan bersama Hari Pekerja 2022 oleh Organisasi-organisasi Kiri Asia Tenggara

Berjuang untuk sebuah dunia yang lebih baik dengan alternatif sosialis

Ketika dunia kita terjerumus dalam pandemik COVID-19 untuk selama lebih dua tahun, krisis iklim terus bertambah buruk, sehingga mengancam kelangsungan hidup umat manusia di atas planet ini, dengan pekerja-pekerja seluruh dunia, termasuk pekerja-pekerja di Asia Tenggara, menjadi mangsa yang paling utama kepada kegagalan sistem kapitalis global dalam melindungi rezeki dan kesejahteraan rakyat.

Kemelesetan ekonomi yang teruk di seluruh dunia telah menolak sejumlah besar orang ke dalam kancah kemiskinan, pengangguran dan ketidakjaminan sosial. Malah mereka yang mempunyai pekerjaan pun menderita kerana ketidaktentuan dan pengurangan pendapatan.

Keadaan rakyat pekerja dan golongan miskin yang terus terus merosot apabila negara-negara imperialis dan kuasa-kuasa serantau mengejar kepentingan geopolitik mereka sendiri dengan dorongan perang yang berterusan yang mengorbankan nyawa massa rakyat biasa yang berhadapan dengan krisis makanan dan kesusahan yang lain.

Kapitalisme telah gagal dalam menjamin sebuah planet dan masa hadapan yang sesuai didiami untuk umat manusia. Elit pemerintah kapitalis yang mengutamakan keuntungan berbanding rakyat sedang membawa dunia kita ke ambang malapetaka iklim, lebih banyak lagi peperangan dan ketidaksamarataan global yang semakin teruk. Adalah penting bagi kita terus membina gerakan rakyat dari bawah untuk menolak dan mencabar pemerintahan kapitalis, supaya menggantikan sistem yang menindas dan berpandukan keuntungan dengan alternatif sosialis yang berasaskan demokrari popular, solidariti dan kemakmuran bersama, sementara dapat hidup secara lestari dan harmoni dengan alam sekitar.

Kita menyambut Hari Pekerja untuk mengingatkan kita tentang kepentingan membina solidariti, organisasi dan mobilisasi kelas pekerja dari bawah dalam meneruskan perjuangan kita menentang sistem kapitalis yang eksploitatif dan ekstratif, dan demi perubahan sosial yang bersifat pembebasan.

Atas semangat Hari Pekerja, kami, organisasi-organisasi yang menandatangani kenyataan bersama ini, menyeru untuk perkara-perkara yang berikut:

1. Jaminan kerja dan perlindungan sosial untuk semua. Kerajaan-kerajaan harus memainkan peranan dalam mencampurtangan dan melabur dalam sektor produktif seperti pembinaan dan penyelenggaraan instrastruktur masyarakat yang rendah-karbon, pertanian lestari dan pengeluaran makanan, penjanaan tenaga boleh diperbaharui, penyediaan perumahan sosial, serta perkhidmatan penting seperti kerja penjagaan, supaya menjana dan menjamin pekerjaan dengan pendapatan sesuai untuk rakyat hidup secara bermaruah. Perlu adanya peruntukan perlindungan sosial yang komprehensif, termasuk insurans pengangguran dan pencen sejagat, untuk memastikan bahawa individu-individu yang tiada pekerjaan juga dapat hidup secara bermaruah.

2. Memperkukuhkan perkhidmatan awam. Kerajaan-kerajaan harus menyediakan perkhidmatan kesihatan sejagat yang percuma, pemvaksinan percuma, perumahan sosial yang sesuai didiami, air bersih, penjagaan kanak-kanak komuniti, penjagaan warga tua, pengangkutan awam dan kemudahan sosial yang lain, yang boleh diakses semua, melalui percukaian progresif terhadap syarikat-syarikat korporat yang besar dan golongan mahakaya, di samping mentransformasi kerjasama ekonomi serantau (seperti ASEAN) dengan menolak struktur-struktur neoliberal.

3. Meningkatkan jaminan makanan. Kerajaan-kerajaan harus membangunkan sebuah rancangan yang komprehensif untuk memastikan dan meningkatkan jaminan makanan, supaya dapat menangani krisis makanan dan melindungi rezeki petani-petani kecil.

4.  Tindakan segera untuk menangani krisis iklim dan alam sekitar dengan melaksanakan peralihan yang adil keluar daripada bahan api fosil dan menuju tenaga boleh diperbaharui 100%; mewujudkan program-program pemulihan ekologi bagai tanah, hutan, air dan lautan, program untuk membina daya tahan komuniti supaya memperkasakan rakyat untuk menguruskan kesan dan berpulih dengan cepat, dan program perindustrian semula yang berasaskan pengeluaran mampan secara ekologi di bawah kawalan demokratik rakyat.

5. Meningkatkan kesamarataan gender dengan menyokong kesamarataan di sisi undang-undang yang sepenuhnya dan pembebasan sebenar untuk wanita, di samping juga menghapuskan segala diskriminasi terhadap komuniti LGBTQI+, serta mempertahankan hak rakyat untuk mendentukan identiti dan ekspresi gender mereka.

6. Menamatkan pemerintahan kediktatoran tentera dan pemerintahan yang didominasi tentera di Asia Tenggara. Bebaskan semua tahanan politik, hentikan penindasan terhadap penentang politik, kesatuan sekerja dan organisasi rakyat. Kita harus melindungi dan menjamin hak asasi manusia dengan menegakkan ruang demokratik untuk rakyat pekerja berorganisasi dan menyuarakan tuntutan mereka untuk keadaan hidup yang lebih baik.

7. Hentikan perluasan ketenteraan di rantau Asia Pasifik untuk mengurangkan konflik geopolitik yang melibatkan kuasa-kuasa imperialis dan kuasa-kuasa serantau. Semua negara harus terlibat dalam dialog yang berasaskan cara saling hormat-menghormati untuk menyelesaikan pertikaian geopolitik. Jadikan kawasan perairan Asia Tenggara sebuah zon penyahtenteraan. Tutup semua pangkalan tentera Amerika Syarikat di Asia Tenggara.

Marilah kita meneruskan usaha kita untuk membina dan memperkukuhkan solidariti kelas perja dalam perjuangan kita demi sebuah dunia yang lebih baik.

Ditandatangani oleh,

  1. Parti Sosialis Malaysia (PSM), Malaysia
  2. Partai Rakyat Pekerja (PRP), Indonesia
  3. Partido Lakas ng Masa (PLM), Filipina
  4. Socialist Workers Thailand (SWT), Thailand
  5. Konfederasi Pergerakan Rakyat Indonesia (KPRI), Indonesia
  6. Serikat Perjuangan Rakyat Indonesia (SPRI), Indonesia
  7. Lembaga Informasi Perburuhan Sedane (LIPS), Indonesia
  8. Black Farm Municipal, Indonesia
  9. Asosiasi Mahasiswa Pegunungan Tengah Papua Se-Indonesia (AMPTPI), Indonesia
  10. Gabungan Marhaen, Malaysia
  11. North South Initiative, Malaysia
  12. People Like Us Support Ourselves (PLUsos), Malaysia
  13. Sanlakas, Filipina
  14. Solidarity of Filipino Workers (BMP), Filipina

Disokong oleh (organisasi di luar Asia Tenggara)

  1. Socialist Alliance, Australia
  2. Europe solidaire sans frontières (ESSF), Perancis
  3. Communist Party of India (Marxist-Leninist), India
  4. Potere al Popolo!, Itali
  5. Haqooq Khalq Party, Pakistan

Versi bahasa lain: Bahasa Inggeris, Bahasa Indonesia, Bahasa Thai, Bahasa Tionghua, Bahasa Tamil

4 thoughts on “Berjuang untuk sebuah dunia yang lebih baik dengan alternatif sosialis (Kenyataan bersama Hari Pekerja 2022 oleh Organisasi Kiri Asia Tenggara)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *