Mesej Hari Pekerja 2022 daripada Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)

oleh Siti Anis Zakiah Bt Muhammad Nor

1. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mengucapkan selamat Hari Buruh Sedunia kepada semua pekerja di seluruh Malaysia. Setelah dua tahun mengharungi pandemik COVID-19, kelas pekerja Malaysia masih merangkak dalam kesusahan. Walaupun ada langkah daripada pihak kerajaan untuk menangani keadaan ini daripada menjadi lebih teruk, namun masih tiada satu mekanisme yang dapat memberikan perlindungan yang efektif dan menyeluruh bagi warga pekerja seluruh Malaysia.

2. Masalah yang dihadapi pekerja sokongan kontrak di premis-premis kerajaan merupakan satu hal utama yang diperjuangkan oleh pihak JPKK. Mereka ialah pekerja-pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang berkhidmat sepenuh masa, tenaga, dan kudrat mereka sama ada di sekolah, hospital, mahkamah, dan lain-lain premis kerajaan.

3. Tema sambutan Hari Pekerja untuk tahun ini ialah “Jamin Perlindungan Sosial Pekerja”. Tuntutan jaminan perlindungan sosial pekerja menjadi perkara dan isu yang sangat mustahak kerana ia melindungi beratus ribu pekerja yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan secara kontrak di premis-premis kerajaan khususnya.

4. Perkhidmatan pekerja kontrak di premis kerajaan adalah sangat penting dalam tenaga kerja di

Malaysia. Mereka sudah dianggap sebagai pekerja di barisan hadapan bangunan kerajaan. Malangnya mereka tidak dijamin perlindungan sosial yang menyeluruh seperti perlindungan KWSP, SIP dan PERKESO. Faedah pekerjaan seperti cuti tahunan bergaji, cuti sakit bergaji, mahupun gaji bulanan yang tetap juga tidak terjamin.

5. Kami menyambut baik tindakan kerajaan untuk mewartakan kenaikan kadar gaji minimum baharu kepada RM1,500. Ini adalah peningkatan yang drastik jika dibandingkan dengan peningkatan sebelum ini. Namun, kami harus mengingatkan bahawa ramai ahli JPKK masih bergelut dengan gaji pokok yang tidak dibayar mengikut ketetapan. Dalam tahun ini sahaja, kami mengendalikan aduan pekerja tidak bergaji berbulan lamanya, termasuk kumpulan pekerja keselamatan dan pembersihan sekolah daripada Sabak Bernam, Tanjung Karang, dan Port Dickson.

6. Sistem pengiraan gaji yang diamalkan oleh para majikan telah memangsakan pekerja-pekerja ini. JPKK telah menerima banyak aduan daripada pekerja pembersihan, dan pengawal keselamatan. Rata-rata pekerja pembersihan sekolah luar bandar mengadu bahawa gaji pokok yang diterima masih di tahap RM1,100.

7. Untuk pekerja keselamatan sekolah, ramai antara mereka bekerja 7 hari seminggu dan 30 hari sebulan tanpa cuti. Banyak salah laku yang terjadi daripada pihak majikan, tetapi tiada tindakan terhadap majikan dan pemantauan yang efektif, menyebabkan masalah terus berleluasa. Sebagai contoh, penolakan gaji untuk unifotm kerja oleh pihak syarikat, dan gaji pekerja dipotong tanpa sebab yang munasabah.

Hari Buruh merupakan sebuah hari perlawanan bagi kita semua atas ketidakadilan dan penindasan di tempat kerja. Ungkapan “KITA SEMUA ADALAH BURUH” dan “BURUH BERSATU TIDAK BISA DIKALAHKAN” perlu disematkan dalam fikiran kelas pekerja supaya mereka bersatu hati untuk tidak mudah dibuli.

==========

Siti Anis Zakiah Bt Muhammad Nor ialah Pembantu Tadbir Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

Leave a Reply

Your email address will not be published.