mayday-malaysia.jpg

(Rencana khas Hari Pekerja Sedunia 2019)

1 Mei setiap tahun ialah Hari Pekerja Antarabangsa. Di negara kita, Hari Pekerja merupakan hari kelepasan am ataupun cuti umum untuk semua pekerja. Namun, sambutan Hari Pekerja ini bukannya semata-mata satu hari untuk cuti umum ataupun sekadar “menghargai” sumbangan dan pengorbanan pekerja kepada pembangunan negara, malah Hari Pekerja merupakan hari untuk memperingati perjuangan gerakan pekerja di seluruh dunia selama ini yang telah memenangkan hak pekerja yang dinikmati semua pada hari ini, di samping menyuntik semangat baru kepada pekerja untuk meneruskan perjuangan mempertahankan hak asasi pekerja dan merealisasikan cita-cita pembebasan diri golongan pekerja daripada segala bentuk penindasan.

MayDay 3.jpg

Sambutan Hari Pekerja berasal daripada gerakan menuntut pengurangan jam kerja

Asal usul sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei setiap tahun, boleh dijejak kembali kepada gerakan pekerja pada abad ke-19 yang berjuang untuk menuntut pengurangan jam kerja tanpa mengurangkan gaji sebenar. “Kerja 8 jam sehari” ataupun “kerja 40 jam seminggu”, merupakan tuntutan utama pekerja-pekerja pada zaman Revolusi Industri.

Apabila ekonomi di negara Eropah dan Amerika Syarikat melangkah masuk ke zaman Revolusi Industri pada abad ke-19 dengan semakin ramai orang terlibat sebagai tenaga kerja, pekerja-pekerja yang menjual tenaga buruh mereka terpaksa bekerja dengan jam kerja yang panjang setiap hari tetapi hanya menerima gaji yang rendah. Kebanyakan pekerja dipaksa untuk bekerja 14 sehingga 16 jam sehari. Di samping itu, fenomena penggunaan buruh kanak-kanak di kilang-kilang di Eropah ketika Revolusi Industri juga amat berleluasa.

MayDay85964607-2628-4caa-8c63-e9286bf18a71_1.0762f9068323110af1836304bc102694.jpeg
Robert Owen (1771-1858)

Robert Owen, seorang tokoh sosialis utopia dari Britain, paling awal mengajukan idea untuk mengurangkan jam kerja. Owen mencadangkan “kerja 10 jam sehari”, dan mula melaksanakan sistem jam kerja yang lebih pendek di kilang tekstil kepunyaannya di New Lanark, Scotland. Owen kemudiannya mengemukakan cadangan “kerja 8 jam sehari”. Slogan yang dikemukakan oleh Owen, “8 jam kerja, 8 jam riadah, 8 jam rehat” telah menjadi popular dalam gerakan pekerja menuntut kerja 8 jam sehari.

Pekerja-pekerja di Perancis berjaya memperjuangkan penetapan kerja 12 jam sehari selepas Revolusi Februari di negara itu pada tahun 1848. Gerakan Piagam Rakyat di Britain turut mengemukakan tuntutan untuk masa kerja harian yang lebih pendek dan penambahbaikan keadaan kerja.

Pekerja-pekerja di Australia paling awal berjaya mendapatkan kerja 8 jam sehari hasil daripada perjuangan mereka. Pada 21 April 1856, tukang-tukang batu dan pekerja-pekerja pembinaan di Melbourne mengadakan mogok. Mereka berarak ke Bangunan Parlimen Victoria dan mengadakan perhimpunan di situ, bagi tujuan menyampaikan tuntutan mereka untuk kerja 8 jam sehari. Aksi massa tersebut telah membolehkan pekerja-pekerja di Melbourne menikmati perlindungan kerja 8 jam sehari tanpa pengurangan gaji. Aksi mogok yang pada asalnya dirancang untuk sekali sahaja, telah merangsang pekerja-pekerja di Australia untuk mengadakan mogok sehari demi meraikan tradisi perjuangan pekerja yang hebat ini.

Di Amerika Syarikat, pekerja-pekerja di Philadelphia mengadakan mogok seluruh bandar yang pertama di Amerika Utara pada tahun 1835, dengan tuntutan meningkatkan gaji dan “kerja 10 jam sehari”. Slogan pekerja-pekerja yang bermogok ini berbunyi “dari 6 pagi hingga 6 petang, 10 jam kerja dan 2 jam untuk makan”. Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1836, gerakan pekerja di Amerika Syarikat mula mengemukakan tuntutan “kerja 8 jam sehari”. Pada tahun 1864, “kerja 8 jam sehari” menjadi tuntutan utama gerakan pekerja di Chicago. Dewan Perundangan Illinois meluluskan satu undang-undang pada tahun 1867 yang membolehkan pelaksanaan kerja 8 jam sehari tetapi mempunyai banyak kelemahan yang menjadikannya langsung tiada kesan kepada pekerja. Pekerja-pekerja di Chicago mengadakan mogok pada 1 Mei 1867 dan melumpuhkan ekonomi bandar itu untuk seminggu.

MayDay2018-07-09-1877-strike-01.jpg

Program tindakan bersama untuk kelas pekerja sedunia

Organisasi buruh yang pertama di Amerika Syarikat, “Kesatuan Buruh Kebangsaan” (National Labor Union), meluluskan satu usul dalam kongres pertamanya pada tahun 1866 yang tertulis, “perkara yang paling utama dan perlu dilakukan untuk membebaskan buruh negara ini daripada penghambaan kapitalis, adalah meluluskan undang-undang yang menetapkan bahawa hari kerja normal seharusnya 8 jam di semua negeri dalam Kesatuan Amerika. Kita memutuskan untuk mengembleng segala kekuatan kita sehingga hasil yang mulia ini tercapai.”

Pada bulan September 1866, “Persatuan Pekerja Antarabangsa” (juga dikenali sebagai Internasional Pertama) yang ditubuhkan oleh tokoh kiri seperti Karl Marx, telah mengadakan Kongres pertamanya di Geneva. Dalam Kongres tersebut, Internasional Pertama telah menyahut tuntutan pekerja-pekerja Amerika Syarikat, dengan mengemukakan dalam dokumen bertajuk “Menghadkan Masa Kerja”, “Menghadkan hari kerja dari sisi undang-undang, adalah satu prasyarat di mana tanpanya segala cubaan untuk memperbaiki keadaan kelas pekerja dan membolehkan kelas pekerja mendapat pembebasan pastinya akan tidak berhasil… Kongres perwakilan mencadangkan supaya menetapkan 8 jam sebagai had untuk hari kerja yang sah. Menetapkan had sedemikian adalah tuntutan umum pekerja-pekerja di Amerika Syarikat, dan kongres perwakilan menjadikan tuntutan ini sebagai program tindakan bersama kelas pekerja seluruh dunia.”

Karl Marx menulis dalam karya terkenalnya Das Kapital (diterbitkan pada tahun 1867), “Dengan memanjangkan hari bekerja, maka pengeluaran kapitalis… bukan sahaja menghasilkan kemerosotan tenaga buruh manusia dengan merompak keadaan moral dan fizikal untuk pembangunan dan aktiviti, tetapi juga menghasilkan keletihan dan kematian awal tenaga buruh itu sendiri.”

MayDay-1_international_1864
Mesyuarat golongan kiri Eropah di London pada tahun 1864 memutuskan penubuhan International Pertama.

Walaupun Kongres Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang kerja 8 jam sehari untuk kakitangan-kakitangan kerajaan persekutuan pada tahun 1868. tetapi banyak jabatan kerajaan mengurangkan juga gaji apabila mengurangkan jam kerja, dan juga tidak mematuhi arahan Presiden yang tidak membenarkan pengurangan gaji. Ini menyebabkan matlamat mengurangkan masa kerja sebenar tidak dapat tercapai.

maydaythe-haymarket-riot-1886-granger.jpg

Dari Peristiwa Haymarket ke aksi antarabangsa

Pada bulan Oktober 1884, dalam persidangan Persekutuan Kesatuan Sekerja dan Buruh Tersusun Amerika Syarikat dan Kanada (Federation of Organized Trades and Labor Unions, kemudiannya dikenali sebagai American Federation of Labor mulai tahun 1886) yang diadakan di Chicago, telah diluluskan secara sebulat suara resolusi yang menetapkan 1 Mei 1886 untuk pelaksanaan standard kerja 8 jam sehari.

Pada 1 Mei 1886, ratusan ribu pekerja di seluruh Amerika Syarikat mengadakan mogok dan berdemonstrasi di jalanan, dengan seruan tuntutan “kerja 8 jam sehari tanpa potongan gaji”, “8 jam kerja, 8 jam rehat, 8 jam untuk diri sendiri”. Lebih kurang 10,000 orang pekerja berdemonstrasi di bandar New York, 11,000 di Detroit, dan 10,000 lagi di Milwaukee. Di Chicago, dianggarkan seramai 30,000 hingga 40,000 orang pekerja bermogok, dan jumlah yang berdemonstrasi di jalanan pula jauh lebih besar.

Pada 3 Mei 1886, polis di Chicago menggunakan keganasan untuk menyuraikan pekerja-pekerja yang berdemonstrasi. 2 orang pekerja ditembak mati, dan mencetuskan gelombang protes yang lebih besar. Pada 4 Mei 1886, berlakunya “Peristiwa Haymarket” di Chicago. Ketika polis sedang menyuraikan demonstran secara keras, sebutir bom dilontarkan ke arah polis oleh orang yang tidak dikenali identitinya, dan menyebabkan 7 orang polis terbunuh. Polis pula melepaskan tembakan ke arah demonstran, membunuh sekurang-kurangnya 4 orang pekerja dan mencederakan lebih seratus orang. Selepas Peristiwa Haymarket, pihak kerajaan bersekongkol dengan kapitalis untuk meningkatkan penindasan terhadap kesatuan sekerja, dengan ratusan pekerja ditangkap. 8 orang aktivis pekerja dijatuhkan hukuman tanpa bukti kukuh, di mana 7 orang dihukum mati (2 orang kemudiannya dikurangkan hukuman, seorang membunuh diri dalam penjara) dan seorang lagi dipenjara selama 15 tahun. Pada 5 Mei 1886, militia kerajaan di Milwaukee, Wisconsin, melepaskan tembakan ke atas pekerja yang bermogok dan membunuh 7 orang termasuk seorang budak sekolah.

Pada bulan Julai 1889, Internasional Kedua, sebuah organisasi antarabangsa parti-parti sosialis dan pekerja, mengadakan kongres pertamanya di Paris, Perancis. Kongres tersebut meluluskan resolusi yang dicadangkan oleh Raymond Lavigne untuk mengadakan demonstrasi serentak di peringkat antarabangsa pada 1 Mei 1890, demi memperingati perjuangan menuntut kerja 8 jam sehari oleh pekerja-pekerja Chicago.  Kesatuan-kesatuan buruh dan parti-parti pekerja di banyak negara telah menyahut seruan ini dengan mengadakan aksi mogok dan mobilisasi massa pada 1 Mei 1890. Pekerja-pekerja yang bermogok mengemukakan tuntutan pelaksanaan kerja 8 jam sehari, penambahbaikan keadaan kerja dan sebagainya.

Pada 1 Mei 1894, rusuhan pekerja berlaku di Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat, disebabkan oleh masalah pengangguran akibat daripada kemelesetan ekonomi. Pada bulan Ogos 1904, Kongres Keenam Internasional Kedua yang diadakan di Amsterdam mengemukakan seruan pada semua organisasi parti demokratik sosial dan kesatuan sekerja di semua negara untuk berdemonstrasi dengan penuh bersemangat pada 1 Mei untuk pelaksanaan secara sah kerja 8 jam sehari, untuk tuntutan-tuntutan kelas proletariat, dan untuk keamanan sejagat. Kongres tersebut juga “mewajibkan organisasi-organisasi pekerja di semua negara untuk menghentikan kerja pada 1 Mei, seboleh mungkin tanpa mendatangkan cedera kepada pekerja.”

Tarikh 1 Mei setiap tahun telah menjadi hari keramat untuk pekerja di seluruh dunia. Aksi mogok dan demonstrasi massa telah dianjurkan setiap tahun untuk menyambut hari yang amat bermakna ini.

Di rantau Asia, aksi sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei diadakan pertama kali di negara China pada tahun 1920. Sambutan 1 Mei yang pertama di India berlangsung di Madras (Chennai hari ini) pada tahun 1923. Di negara kita, sambutan Hari Buruh yang pertama di Tanah Melayu berlangsung pada tahun 1921 di Ipoh, di mana perhimpunan tersebut diadakan oleh golongan anarkis.

Mayday30004236.jpg

Perjuangan pekerja membuahkan hasil yang menyenangkan pekerja

Walaupun perjuangan pekerja untuk pelaksanaan kerja 8 jam sehari menghadapi pelbagai rintangan dan penindasan, tetapi kesungguhan, kegigihan dan keberanian yang ditonjolkan oleh gerakan pekerja dalam perjuangan ini, akhirnya menjadikan kerja 8 jam sehari sebagai perlindungan hak pekerja yang paling asas di seluruh dunia pada hari ini.  Apabila Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dibentuk pada tahun 1919, perjanjian yang pertama diluluskannya ialah Konvensyen Jam Kerja (Industri) 1919 (mula berkuatkuasa 13 Jun 1921), yang mengamalkan prinsip kerja 8 jam sehari atau 48 jam seminggu.  Sebanyak 52 negara telah meratifikasi Konvensyen ini, tetapi negara Malaysia masih tidak meratifikasinya (walaupun Akta Kerja 1955 menyatakan bahawa pekerja tidak boleh diarahkan bekerja lebih 8 jam sehari atau lebih 48 jam seminggu, dengan kerja lebih masa dibenarkan secara bersyarat).

Hari Pekerja yang disambut pada setiap 1 Mei, mempunyai makna yang penting kepada perjuangan pekerja. Jika bukannya gerakan perjuangan pekerja yang berkisar pada aksi sambutan 1 Mei dan melibatkan pengorbanan pejuang-pejuang pekerja yang berani, pekerja tidak mungkin menikmati perlindungan hak kerja 8 jam sehari pada hari ini.

Di samping kerja 8 jam sehari, perjuangan pekerja di serata dunia untuk satu abad yang lalu, telah berjaya merealisasikan hak pekerja seperti perlindungan gaji minimum, kebebasan pekerja untuk menubuhkan dan menyertai kesatuan sekerja, pelaksanaan sistem pencen, tabung bantuan pengangguran dan sebagainya. Perjuangan pekerjalah yang mendatangkan segala pencapaian sosial yang kita nikmati pada hari ini.

MayDayIMG_6248 - Copy

Pengiktirafan Hari 1 Mei di Malaysia

Pada zaman Perang Dingin, di negara-negara yang diperintah oleh parti komunis yang bersifat birokratik Stalinis, seperti Kesatuan Soviet, sambutan Hari Pekerja setiap 1 Mei hanya menjadi upacara perbarisan ketenteraan secara rasmi oleh kerajaan dan kehilangan semangat perjuangan gerakan pekerja dari bawah. Sementara itu, di negara-negara yang di bawah pengaruh kuasa imperialis Barat, aktiviti sambutan Hari 1 Mei diharamkan pula, termasuklah Persekutuan Tanah Melayu yang masih di bawah penjajahan British. Gerakan pekerja tetap mengadakan perhimpunan dan perarakan untuk menyambut Hari Buruh pada 1 Mei setiap tahun walaupun menghadapi pelbagai halangan daripada pihak berkuasa.

Pada tahun 1947, Persekutuan Kesatuan Sekerja Pan-Malaya (PMFTU), iaitu badan induk gabungan kesatuan-kesatuan sekerja di seluruh Tanah Melayu, telah mengemukakan kepada kerajaan penjajah British pada masa itu tuntutan untuk cuti umum pada Hari Pekerja 1 Mei. Seramai 50,000 orang pekerja berdemonstrasi di Singapura pada 1 Mei 1947 untuk menyokong tuntutan PMFTU itu.

Apabila kerajaan penjajah British mengumumkan darurat pada tahun 1948, gerakan pekerja yang radikal di Tanah Melayu telah ditindas dengan kejamnya oleh kerajaan penjajah. Selepas mencapai kemerdekaan, ramai pemimpin gerakan buruh dan aktivis politik berhaluan kiri ditahan kerana menganjurkan aktiviti sambutan Hari Buruh 1 Mei dan berjuang menuntut hak pekerja. Ramai aktivis pekerja ditahan tanpa bicara di bawah undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kesatuan-kesatuan sekerja yang radikal diharamkan dan digantikan dengan kesatuan yang lebih bersifat moderat atau kesatuan “kuning” yang pro-majikan dan berfahaman konservatif.

Selepas kemerdekaan Malaya, pada tahun 1959, Kongres Kesatuan Sekerja Malaya (MTUC) telah menyuarakan sokongannya untuk 1 Mei diterima sebagai Hari Pekerja. Pada tahun 1960, V. David, selaku Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Am dan Kilang (NUFGW) yang juga merupakan Ahli Parlimen Barisan Sosialis untuk kawasan Bangsar pada masa itu, telah mengemukakan usul di Dewan Rakyat supaya Hari Buruh 1 Mei setiap tahun ditetapkan sebagai hari kelepasan am, namun usul ini telah ditolak oleh parti pemerintah, Parti Perikatan.

Parti Buruh Malaya kemudiannya mengemukakan pada tahun 1962 bahawa Hari Pekerja 1 Mei setiap tahun dijadikan hari cuti bergaji untuk semua pekerja di bawah kerajaan tempatan yang ditadbir oleh Parti Buruh. MTUC pula menganjurkan himpunan Hari Pekerja pada 1 Mei setiap tahun dari tahun 1963 hingga 1972 untuk menuntut pada kerajaan supaya mengiktiraf 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan hari kelepasan am di seluruh Malaysia.

Akhirnya pada 20 Mei 1972, Tun Dr. Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, telah mengumumkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan dijadikan hari kelepasan am. Namun, pada awalnya pihak swasta enggan menerima Hari Pekerja sebagai hari kelepasan am, dan mengambil lagi tempoh masa lebih 7 tahun lagi untuk Kerajaan meminda Akta Kerja untuk menjadikan Hari Pekerja sebagai hari kelepasan am wajib di seluruh negara.

Kita dapat menyambut Hari Pekerja sebagai cuti umum di Malaysia, bukannya kerana ihsan golongan kapitalis, tetapi adalah hasil daripada perjuangan pekerja yang terdahulu.

Walaupun Hari Pekerja sudah diiktiraf dan dijadikan hari cuti umum, tetapi kerajaan negara kita masih amat menyebelahi kepentingan golongan kapitalis dalam banyak perkara. Golongan pemerintah juga sentiasa tidak mahu rakyat memahami makna sebenar sambutan Hari Pekerja 1 Mei. Mereka mahu rakyat biasa ingat Hari 1 Mei hanyalah sekadar satu cuti umum, dengan penganjuran aktiviti beriadah seperti Hari Keluarga, jamuan makan ataupun perhimpunan rasmi yang mengagung-agungkan pemimpin politik, demi menyembunyikan kontradiksi masyarakat kelas yang sentiasa wujud dan makna sebenar sambutan Hari Pekerja yang berasal daripada perjuangan pekerja yang hebat.

MayDay-13082638_10154122621554493_9204216110591132024_n.jpg

Sambutan Hari Pekerja di Malaysia sejak tahun 1994

Dari tahun 1970-an hingga awal 1990-an, hampir tidak wujudnya aksi jalanan untuk menyambut Hari Pekerja. Pada tahun 1994, beberapa kumpulan masyarakat akar umbi telah bergabung untuk menubuhkan “Jawatankuasa Mei Satu” dan mengadakan aksi sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei di jalanan untuk pertama kalinya selepas 20 tahun. Sejak itu, Jawatankuasa Mei Satu yang terdiri daripada pelbagai organisasi dan individu yang progresif akan menganjurkan sambutan Hari Pekerja dan mengemukakan Deklarasi 1 Mei yang mengandungi tuntutan-tuntutan rakyat.

Aktivis-aktivis yang terlibat dalam pembentukan Jawatankuasa Mei Satu pada tahun 1994, kemudiannya menubuhkan Parti Sosialis Malaysia (PSM), sebuah parti politik yang mengangkat perjuangan kelas pekerja sebagai tunjang utama program politiknya.

maydayIMG_6414.JPG

Tema sambutan Hari Pekerja anjuran Jawatankuasa Mei Satu

1994: Hak Peneroka Bandar dan Pekerja Ladang (perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur)

1995: Sertakan Masyarakat Ladang Dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar (perhimpunan di depan Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur)

1996: Gaji Bulanan Untuk Pekerja Ladang (perhimpunan di Ladang Bukit Raja, Selangor)

1997: Rakyat Menuntut Keadilan: Gaji, Rumah, Tanah, Harga Barang (perhimpunan di Kampung Chubadak)

1998: Krisis Ekonomi: Majikan Dibela, Pekerja Ditindas (perhimpunan di Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor, Kuala Lumpur)

1999: Pekerja Bersatu Menuntut Perubahan Tulen (perhimpunan di Kampung Sungai Nipah, Selangor)

2000: Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima (perhimpunan di Ladang Stratasila, Perak)

2001: Pembangunan Saksama Untuk Semua (perhimpunan di depan KLCC, Kuala Lumpur)

2002: Kembalikan Hak Pekerja: Kerja, Gaji, Kesatuan (perarakan dari Chow Kit ke KLCC, tetapi dihalang polis)

2003: Perang Kapitalis, Pekerja Merana (perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur)

2004: Pekerja Menuntut Demokrasi Sejati (perhimpunan di Padang Kota Lama, Pulau Pinang)

2005: Globalisasi Menghakis Hak Pekerja. Hentikan Penswataan Air dan Hospital (perhimpunan anjuran bersama MTUC di Dataran Merdeka)

2006: Pekerja Menentang Penswastaan Air dan Hospital (perarakan dari Dataran Merdeka ke KLCC)

2007: 50 Tahun Merdeka: Pekerja Masih Dijajah (perhimpunan di Johor Bahru)

2008: Pekerja Kuasa Perubahan:Laksanakan Janji Pilihanraya (perhimpunan di Kuala Lumpur)

2009: Krisis Ekonomi: Selamatkan Pekerja Bukan Kroni (Perhimpunan di Seremban, Negeri Sembilan)

2010: Rakyat Bantah GST: Cukai yang Memiskinkan Rakyat (perhimpunan di Kuala Lumpur)

2011: Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi? – Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima (perhimpunan di Maju Junction, Kuala Lumpur)

2012: Pekerja Kuasa Perubahan, Utamakan Hak Pekerja (perhimpunan di depan Menara Maybank, Kuala Lumpur)

2013: (Tiada aksi nasional kerana PRU-13)

2014: Bantah GST Sampai Tumbang (perarakan dari KLCC ke Dataran Merdeka)

2015: Batal GST (perarakan dari Central Market ke KLCC)

2016: Utamakan Pekerja, Selamatkan Malaysia (perarakan dari Maju Junction ke Medan Pasar)

2017: Hilang Kerja, Pekerja Merana – Tabung Henti Kerja Sekarang (perarakan dari Masjid Negara ke Bukit Bintang)

2018: (Tiada aksi nasional kerana PRU-14)

mayday-1038928364.jpg

1 Mei dan pembebasan pekerja

Perjuangan gerakan pekerja untuk mengurangkan masa kerja, antara tujuannya adalah membolehkan golongan pekerja mempunyai lebih banyak masa lapang untuk berehat dan melakukan aktiviti kesukaan mereka demi memperkembangkan potensi mereka. Lebih banyak masa lapang untuk pekerja, merupakan prasyarat yang penting untuk merealisasikan pembebasan pekerja bawahan. Sekiranya seorang pekerja terpaksa menjual tenaga kerjanya dengan bekerja untuk masa yang panjang setiap hari, melakukan kerja-kerja yang tiada makna untuk dirinya sendiri, bukan sahaja memudaratkan pekerja dari segi fizikal dan mental, malah menyebabkan mereka ketiadaan masa untuk berpakat dan berorganisasi bersama dengan pekerja yang lain. Pekerja-pekerja hanya dapat mencari jalan keluar untuk pembebasan diri mereka dengan berorganisasi dari bawah.

Hak asasi dan kebajikan yang dinikmati pekerja di merata tempat pada hari ini bukannya sesuatu yang jatuh dari langit ataupun ihsan golongan kapitalis yang tiba-tiba sedar tentang tanggungjawab mereka untuk menjaga kesejahteraan pekerja, tetapi adalah hasil daripada perjuangan pekerja untuk generasi demi generasi, dengan ada yang mengorbankan kebebasan dan nyawa mereka demi memperjuangkan kepentingan pekerja. Perlindungan hak pekerja dan kebebasan pekerja untuk berorganisasi, dapat mewujudkan syarat yang lebih baik untuk membolehkan golongan pekerja membebaskan diri daripada segala bentuk pemerasan dan penindasan.

Mayday18222658_723406147829212_2156424932485372291_n.jpg

6 thoughts on “Hari Pekerja Sedunia 1 Mei: Bukan sekadar hari cuti umum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *