KANGKAR PULAI, JOHOR – 27 FEBRUARI 2022: Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk kerusi DUN N49 Kota Iskandar, Arangkannal Rajoo @ Ara, mengemukakan manifesto pilihanrayanya dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada hari ini.

Turut hadir dalam sidang akhbar pelancarkan Manifesto PSM untuk DUN N49 Kota Iskandar ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM dan Sivarajan Arumugam selaku Setiausaha Agung PSM.

Dr. Jeyakumar berkata, “PSM melibatkan diri dalam proses politik pilihanraya kerana kami percaya bahawa kami boleh menyumbang nilai tambah kepada politik di negara kita. Terdapat dua aspek kami boleh memberi sumbangan yang penting. Yang pertamanya, PSM ialah sebuah parti yang sentiasa bekerja bersama masyarakat akar umbi dan memahami isu-isu yang dihadapi oleh rakyat biasa, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar. PSM sudah wujud selama hampir 25 tahun, maka kami mempunyai banyak pengalaman dan banyak komuniti yang kami bekerja dengan. Yang satu lagi adalah, PSM dapat menawarkan analisis yang berbeza berbanding parti-parti lain. Kami mengajukan analisis yang lebih mendalam terhadap masalah masyarakat, maka kami membawa solusi yang juga berbeza.”

“PSM yakin bahawa jika kami dapat menghantar seorang wakil rakyat ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), kami akan menambah nilai kepada proses politik dengan membawa idea baharu dan solusi baharu,” kata Dr. Jeyakumar. “Walaupun kami tidak mempunyai angka wakil rakyat yang dapat menggubal undang-undang dalam DUN, tetapi kami boleh mempengaruhi idea untuk membawa pembaharuan. Ini jugalah sebabnya PSM mengambil bahagian dalam PRN Johor.”

Apa yang ditawarkan dalam Manifesto PSM untuk Kota Iskandar?

Manifesto PSM untuk kawasan DUN N49 Kota Iskandar menggariskan 3 teras utama dan 6 fokus utama mengenai isu-isu setempat. 3 teras utama berkenaan ialah:

  • Perumahan mampu milik, bukan mampu mimpi
  • Kurangkan kos hidup
  • Skim jana kerja

Calon PSM untuk kawasan DUN N49 Kota Iskandar, Ara, turut mengetengahkan 6 fokus utama mengenai isu-isu khusus tempatan di kawasan DUN Kota Iskandar, iaitu:

Perumahan

  • Penyelenggaraan flat kos rendah dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya;
  • Dana khas Kerajaan Negeri untuk baik pulih flat kos rendah yang uzur;
  • Perbanyakkan pembinaan rumah PPR Sewa bagi rakyat B40 yang tidak sanggup bayar kadar sewa di pasaran;
  • Perbanyakkan Skim Rumah Sewa/Beli.

Tangani pencemaran alam

  • Sisa industri, loji, dan domestik selain sampah sarap menyebabkan pencemaran tinggi di Sungai Melayu dan Sungai Perepat. Kerajaan harus melabur dalam sektor pemulihan dan pembersihan sungai;
  • Tambahkan penanaman pokok bakau demi memulihkan ekologi di persisiran pantai.

Pendidikan

  • Kepadatan sekolah di SK Kangkar Pulai (2) perlu diselesaikan dan sekolah baharu diperlukan untuk menampung peningkatan penduduk dan pelajar setiap tahun.

Atasi banjir kilat & naik taraf infrastruktur

  • Infrastruktur saliran air harus diselenggara dan dinaik taraf dengan lebih kerap;
  • Pembangunan kawasan oleh pemaju swasta juga harus melalui proses Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang terperinci agar kesan pembangunan terhadap alam sekitar diketahui dan ditanggung oleh pemaju tersebut.

Kesihatan

  • Pastikan perkhidmatan kecemasan dan ambulans 24 jam yang mencukupi di Klinik Kesihatan;
  • Tambah hospital kerajaan untuk menampung peningkatan penduduk;
  • Kerajaan Negeri harus memikul tanggungjawab sosial dalam perkhidmatan swasta yang diceburinya, dengan pastikan perkhidmatan hospital berkualiti pada kos yang munasabah untuk rakyat Johor.

Pengangkutan awam

  • Pengangkutan awam semakin merosot di Kota Iskandar. Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya harus sediakan perkhidmatan bas untuk memudahkan perjalanan rakyat dan bukan hanya pada laluan jalan utama untuk keuntungan.
  • Laluan bas mestilah fokus pada laluan yang diduduki rakyat pekerja, flat kos rendah dan kampung untuk kemudahan dan kecekapan.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

5 thoughts on “PSM lancar Manifesto Pilihan Raya untuk Kota Iskandar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *