KUALA LUMPUR – 7 MEI 2022:  4 orang aktivis telah hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada hari ini untuk dirakam percakapan mereka berkenaan dengan siasatan polis terhadap aksi perhimpunan sambutan Hari Pekerja di Kuala Lumpur yang diadakan pada 23 April 2022.

Mereka yang dipanggil untuk diambil keterangan oleh polis ialah S. Arutchelvan yang merupakan Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), Kohila Yanasekaran daripada Jawatankuasa Mei Satu yang menganjurkan aksi perhimpunan tersebut, T. Mohan daripada PSM Cawangan Subang, dan Wong Yan Ke yang merupakan penyelaras Suara Rakyat Malaysia (SUARAM). Mereka disiasat oleh pihak polis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Turut hadir bersolidariti pada hari ini dengan aktivis yang disiasat polis ialah Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung PSM.

(Dari kiri ke kanan) Wong Yan Ke, Kohila Yanasekaran, S. Arutchelvan, T. Mohan dan A. Sivarajan berada di hadapan Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Menurut Arutchelvan, pegawai polis yang merakamkan percakapan dengannya telah bertanyakan 26 soalan, di mana dia berkata akan menjawab di mahkamah. Namun, apabila ditanya tentang ada apa-apa lagi yang hendak ditambah, Arutchelvan berkata bahawa beliau berpendapat bahawa polis mempunyai dua jenis kerja, iaitu kerja penting (essential work) yang termasuk membanteras jenayah dan kerja tidak penting (non-essential work) yang termasuk penyiasatan sebegini.

“Kami telah mengadakan perjumpaan dan rundingan dengan polis sebelum aktiviti perhimpunan ini. Pihak polis telah memantau seluruh proses perjalanan sambutan Hari Pekerja ini. Malah, pihak polis turut membantu dalam mengendalikan trafik pada hari itu. Namun, sekarang hendak pula menyiasat tentang perhimpunan ini. Ini memang membazirkan masa dan sumber polis serta dana awam. Kerja tidak penting sebegini adalah membebankan polis,” kata Arutchelvan selepas diambil keterangannya.

Arutchelvan juga menegaskan bahawa hak untuk rakyat Malaysia berhimpun adalah termaktub dan dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Lebih kurang 150 orang telah mengambil bahagian dalam aksi sambutan Hari Pekerja yang diadakan lebih awal pada tahun ini di Kuala Lumpur dengan tema “Jamin Perlindungan Sosial Pekerja”. Jawatankuasa Mei Satu yang menganjurkan aksi tersebut telah mengemukakan sebanyak 26 tuntutan dalam Deklarasi 1 Mei 2022, termasuk skim jaminan pendapatan asas RM1,000 sebulan bagi mereka yang kehilangan punca pendapatan, penghapusan sistem kontrak untuk semua kerja tetap, perlindungan hak pekerja bagi pekerja dalam sektor ekonomi gig, pencen sejagat RM500 sebulan, dan sebagainya. Aksi sambutan Hari Pekerja juga diadakan di beberapa tempat berlainan pada 1 Mei 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *