KUALA LUMPUR – 18 APRIL 2023: Hari Pekerja Sedunia pada tahun ini akan disambut di Malaysia dengan satu perarakan di ibu negara pada 1 Mei 2023 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei 2023. Pengumuman tentang aksi sambutan Hari Pekerja ini diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan pada hari ini.
Jawatankuasa 1 Mei 2023 menyeru kepada semua rakyat supaya turun beramai-ramai untuk menyambut Hari Pekerja Sedunia yang amat bermakna kepada perjuangan pekerja ini. Sambutan Hari Pekerja di Kuala Lumpur akan bermula dengan perhimpunan di Maju Junction pada 10 pagi, diikuti dengan satu perarakan yang akan tamat di Medan Pasar dengan program seperti ucapan daripada wakil pelbagai sektor masyarakat.
Aksi sambutan Hari Pekerja 2023 di Kuala Lumpur akan datang ini ialah sambutan Hari Pekerja yang ke-29 anjuran Jawatankuasa 1 Mei. Jawatankuasa 1 Mei yang terdiri daripada pelbagai kumpulan masyarakat, kesatuan sekerja dan parti politik progresif telah menganjurkan sambutan Hari Pekerja setiap tahun sejak tahun 1994.
Sidang akhbar pengumuman Hari Pekerja 2023 ini dihadiri oleh Parameiswary Elumalai selaku Penyelaras Jawatankuasa 1 Mei 2023, Jernell Tan daripada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Huda Ramli daripada Sister In Islam (SIS), Adieka Amirul daripada Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Ahmad Yasin daripada Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF) dan S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Sambutan Hari Pekerja tahun ini anjuran Jawatankuasa 1 Mei 2023 akan membawa tema “Gaji Bermaruah, Jaminan Makanan”. Mengulas tentang sebab tema ini dipilih, Parameiswary Elumalai selaku Penyelaras Jawatankuasa 1 Mei 2023 berkata, “Sejak dilanda pandemik COVID-19, kita dapat melihat bahawa ramai pekerja yang merupakan golongan B40 menjadi lebih miskin lagi. Ini berlaku kerana kos sara hidup semakin meningkat, tetapi pendapatan gaji tidak meningkat mengikut kadar kenaikan kos sara hidup. Negara kita mengalami masalah peningkatan harga makanan dengan lebih banyak wang digunakan dalam pengimportan makanan, tetapi petani-petani kecil yang mengeluarkan makanan di dalam negara kita mengalami ancaman pengusiran paksa. Oleh itu, kami pilih tema ini sebagai gesaan kepada kerajaan untuk meneliti isu gaji bermaruah bagi golongan pekerja dan jaminan makanan untuk semua rakyat.”
Adieka Amirul daripada JPKK mengetengahkan beberapa tuntutan pekerja yang penting pada masa ini, termasuk:
- Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 secara menyeluruh tanpa sebarang penangguhan atau pengecualian kepada mana-mana syarikat;
- Pelaksanaan skim jaminan pendapatan asas RM1,000 bagi pekerja-pekerja sektor tidak formal, pekerja dalam perusahaan berskala kecil dan mikro yang kehilangan kerja buat sementara waktu ini;
- Pengiktirafan pekerja ekonomi gig (terutamanya pekerja e-hailing dan pekerja p-hailing) sebagai pekerja formal di bawah Akta Kerja 1955, dan pelaksanaan caruman wajib KWSP serta perlindungan sosial (seperti PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan);
- Penghapusan sistem kontrak untuk pekerjaan tetap di premis kerajaan dan swasta;
- Kerajaan harus menghentikan segala aktiviti penghancuran kuasa kesatuan sekerja (union busting) di dalam negara kita.
“Tanpa wanita yang bekerja, negara kita tidak mungkin akan dapat berfungsi,” begitu katanya Huda Ramli SIS semasa mengulas tentang masalah dan cabaran yang dihadapi oleh golongan pekerja wanita. “Wanita ialah tulang belakang kepada negara ini untuk memastikan negara kita dapat terus menjana semula tenaga kerja, dengan memberi jagaan kepada keluarga dan melakukan kerja-kerja domestik, tetapi kebanyakannya tidak dibayar atau dibayar dengan gaji yang kurang. Ini menjejaskan semua orang… Perempuan selalunya menjadi penampung keluarga dan penjaga keluarga, baik bujang ataupun sudah berkahwin. Jadi, realiti ini patut dimanifestasi dalam undang-undang dan dasar oleh kerajaan supaya negara kita tidak mendiskriminasi perempuan.”
“Hari Pekerja ialah satu hari yang cukup bersejarah,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM yang juga merupakan aktivis yang terlibat dalam aksi sambutan Hari Pekerja sejak tahun 1994. “Hari Pekerja telah dijadikan salah satu daripada lima hari cuti umum wajib di negara kita kerana hasil perjuangan pekerja yang cukup dahsyat pada zaman dahulu. Kita dapat satu hari cuti dan kerja 8 jam sehari pada hari ini, adalah kerana perjuangan gerakan pekerja sejak dahulu lagi.”
“Jawatankuasa 1 Mei telah menganjurkan perarakan sambutan Hari Pekerja untuk meraikan kehebatan perjuangan pekerja, kecuali dua tahun kebelakangan ini kerana pandemik. Jadi, kita akan teruskan tradisi perarakan menyambut Hari Pekerja ini,” ulas Arutchelvan. “Gaji bermaruah dan jaminan makanan yang dibawa dalam tema sambutan Hari Pekerja ini, ialah isu yang paling kritikal untuk diberi fokus pada tahun ini.”
“Walaupun gaji minimum RM1,500 telah diluluskan pada 1 Mei 2022, tetapi kerajaan masih tidak melaksanakannya untuk majikan yang mengupah kurang daripada 5 orang pekerja, sementara banyak pekerja kontrak yang bekerja di sekolah kerajaan masih belum dibayar mengikut gaji minimum,” tambah Arutchelvan. “Ini ialah isu yang asas, dan kami berharap Kerajaan Perpaduan dapat menangani isu ini dengan serius.”
“Kami menyeru kepada kaum pekerja sekalian supaya jangan kerja pada 1 Mei, kerana hari cuti pada 1 Mei ialah satu hasil perjuangan pekerja yang sangat besar,” kata M. Sivaranjani, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM. “Kami menyeru kepada semua pekerja supaya turun beramai-ramai untuk menyertai aksi sambutan Hari Pekerja dan menyuarakan hak pekerja secara bersama-sama!”
Baca kenyataan media daripada Jawatankuasa 1 Mei 2023 di sini.
Imbas kembali tema sambutan Hari Pekerja anjuran Jawatankuasa 1 Mei yang lalu:
Tahun | Lokasi | Tema |
1994 | Dataran Merdeka, Kuala Lumpur | Hak Peneroka Bandar dan Pekerja Ladang |
1995 | Kuala Lumpur | Sertakan Masyarakat Ladang dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar |
1996 | Ladang Bukit Raja, Selangor | Gaji Bulanan untuk Pekerja Ladang |
1997 | Kampung Chubadak, Kuala Lumpur | Rakyat Menuntut Keadilan : Gaji, Rumah, Tanah, Harga Barang |
1998 | Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur | Krisis Ekonomi: Majikan Dibela, Pekerja Ditindas |
1999 | Kampung Sungai Nipah, Selangor | Pekerja Bersatu Menuntut Perubahan Tulen |
2000 | Ladang Strathisla, Chemor, Perak | Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima |
2001 | KLCC, Kuala Lumpur | Pembangunan Saksama untuk Semua |
2002 | Perarakan dari Chow Kit ke KLCC, Kuala Lumpur | Kembalikan Hak Pekerja: Kerja, Gaji,Kesatuan |
2003 | Dataran Merdeka, Kuala Lumpur | Perang Kapitalis, Pekerja Merana |
2004 | Padang Kota Lama, Geoge Town, Pulau Pinang | Pekerja Menuntut Demokrasi Sejati |
2005 | Dataran Merdeka, Kuala Lumpur | Globalisasi Menghakis Hak Pekerja. Hentikan Penswastaan Air & Hospital |
2006 | Perarakan dari Dataran Merdeka ke KLCC, Kuala Lumpur | Pekerja Menentang Penswastaan Air & Hospital |
2007 | Johor Bahru, Johor | 50 Tahun Merdeka: Pekerja Masih Dijajah |
2008 | Perarakan dari Dataran Merdeka ke Sekolah Menengah Confucian, Kuala Lumpur | Pekerja Kuasa Perubahan: Laksanakan Janji Pilihan Raya! |
2009 | Seremban, Negeri Sembilan | Krisis Ekonomi: Selamatkan Pekerja Bukan Kroni |
2010 | Perarakan dari Bangunan Majlis Peguam Malaysia ke Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor, Kuala Lumpur | Rakyat Bantah GST: Cukai Yang Memiskinkan Rakyat |
2011 | Maju Junction, Kuala Lumpur | Rakyat Bantah GST: Cukai Yang Memiskinkan Rakyat |
2012 | Perarakan dari Pasar Seni ke Menara Maybank, Kuala Lumpur | Pekerja Kuasa Perubahan, Utamakan HakPekerja |
2014 | Perarakan dari KLCC ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur | Cukai GST: Cukai yang Miskinkan Rakyat |
2015 | Perarakan dari Pasar Seni ke KLCC, Kuala Lumpur | GST: Bantah Sampai Tumbang |
2016 | Perarakan dari Maju Junction ke Medan Pasar, Kuala Lumpur | Utamakan Pekerja, Selamat Malaysia |
2017 | Perarakan dari Masjid Negara ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur | Hilang Kerja, Pekerja Merana! Tabung Henti Kerja Sekarang |
2018 | Perhimpunan kecil di Persiaran Karpal Singh, Pulau Pinang (Tiada aksi sambutan nasional besar kerana PRU-14) | Utamakan Pekerja dan Laksanakan Janji-Janji Pilihan Raya |
2019 | Perarakan dari Maju Junction ke Medan Pasar, Kuala Lumpur | Tinggikan Gaji, Hentikan Diskriminasi |
2020 | Atas talian | COVID Menyerang, Pekerja Diancam |
2021 | Aksi serentak di Kuala Lumpur, Ipoh, George Town, Seremban dan Johor Bahru | Jaminan Kerja Vaksin Kehidupan |
2022 | Pasar Seni, Kuala Lumpur | Jamin Perlindungan Sosial Pekerja |
Laporan mengenai aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia di Kuala Lumpur pada 1 Mei 2023:
https://sosialis.net/2023/05/01/aksi-sambutan-hari-pekerja-2023-gaji-bermaruah-jaminan-makanan/