Kenyataan media oleh Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim Parti Sosialis Malaysia (PSM) sempena Hari Bumi 2023.

(grafik: Nicole Ashley)

Sejak kebelakangan ini, perkataan “mampan” atau “lestari” (sustainable) sering muncul di hadapan orang ramai, di mana yang paling penting merupakan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) atau lebih dikenali sebagai SDGs, yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan diterima pakai oleh 193 buah negara pada tahun 2015, iaitu satu rancangan bersama global yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan tegar, mengurangkan ketidaksamarataan dan melindungi planet ini menjelang tahun 2030.

Namun, kita semakin jauh daripada matlamat yang disebut atas sejak tahun 2015. Planet kita sedang dalam trajektori yang menuju ke arah yang membimbangkan. Dunia kini sedang dilanda dengan pelbagai krisis yang mendalam akibat daripada kepincangan intrinsik sistem kapitalis global itu sendiri, termasuk kemelesetan ekonomi sedunia, krisis inflasi yang membawa kepada peningkatan kos sara hidup, peperangan yang berterusan di Ukraine akibat daripada persaingan geopolitik kuasa besar, kesan pandemik COVID-19 yang belum lagi ditangani sepenuhnya, krisis iklim sedunia yang membawa bencana alam yang semakin teruk, dan sebagainya.

Baru-baru ini, Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC) yang di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menganugerahkan “Reka Bentuk Bandar Karbon Rendah” kepada projek penambakan Penang South Island (PSI), meskipun projek ini sebenarnya memusnahkan ekologi tempatan, malah menjejaskan rezeki hampir 5,000 orang nelayan, sehingga mengancam bekalan makanan di kawasan tersebut. Pasir yang diperlukan untuk memenuhi penambakan tersebut berasal dari Perak. Oleh itu, projek ini selain membawa kesan terhadap bahagian selatan Pulau Pinang, aktiviti perlombongan pasir dipercayai juga akan menghakis kawasan pesisir Tanjung Piandang, Kuala Sepetang dan Kuala Kurau.

Walau bagaimanapun, projek ini masih dianggap sebagai “projek pembangunan mampan”. MGTC berkata projek itu direka untuk mengurangkan pelepasan karbon, terutamanya dari segi penggunaan tenaga dan mobiliti. Secara keseluruhannya, ia dijangka mengurangkan pelepasan sebanyak 45.47%.

Namun, MGTC terlupa mengambil kira pelepasan karbon daripada pengimportan makanan apabila tangkapan ikan tempatan tidak dapat menampung keperluan domestik. Mereka terlupa mengambil kira kos pemulihan pesisir pantai Perak yang terhakis. Mereka juga terlupa tentang pelepasan karbon daripada perlombongan pasir dan pembinaan bangunan. Adakah rumah yang dibina mampu dimiliki oleh golongan miskin, atau menjadikan orang ramai sebagai hamba berhutang kepada bank sepanjang kerjaya mereka, atau, yang paling membazir, menjadi alat bagi golongan kaya untuk mempamerkan kekayaan atau pelaburan mereka selepas sejumlah besar karbon dilepaskan.  

Selain itu, pelaburan dalam kenderaan elektrik telah menjadi agenda terpenting dalam Bajet 2023 yang diumum oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada bulan Februari dan lawatan beliau ke China pada bulan Mac. Kenderaan elektrik dilihat sebagai teknologi hijau yang dapat menangani masalah alam sekitar di samping mencipta peluang pekerjaan. 

Sekali lagi, PM Anwar terlupa tentang bagaimana pengekstrakan bahan mentah, pembuatan, pembinaan kemudahan sokongan, dan penggunaan bahan api fosil semasa pengecasan untuk EV juga akan mengeluarkan karbon. Tetapi apa yang paling mengecewakan ialah beliau dan golongan elit telah melupakan keperluan asas rakyat jelata.

Mungkin PM Anwar akan mempertahankan bahawa ini merupakan pilihan terbaik buat masa sekarang, tetapi sekurang-kurangnya beliau perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa ini bukanlah satu pilihan yang boleh membawa orang ramai keluar daripada krisis. Pada masa yang sama, beliau perlu mengambil inisiatif untuk berbincang dengan rakyat tentang pelan transformasi mampan. Kalau tidak, sama ada beliau berniat atau tidak, beliau sebenarnya mengelirukan rakyat jelata.

Sudah tentu, orang asli yang tinggal di hutan sering menjadi mangsa akibat pengekstrakan bahan mentah untuk teknologi hijau, seperti logam nadir bumi. Apabila orang asli dihalau keluar dari tanah yang didiami oleh mereka selama ini, mereka terpaksa melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti ekonomi seperti kelas pekerja kini dan kehilangan cara hidup mampan yang diturunkan oleh nenek moyang mereka dari generasi ke generasi.

Secara umumnya, orang asli dianggap tidak beradab hanya kerana mereka menyesuaikan diri dengan cara hidup yang benar-benar mampan dan diejek sebagai pemalas kerana tidak menyesuaikan diri dengan perburuhan pasaran bebas. 

PSM tidak menuntut kembali kepada cara hidup Zaman Batu, atau beranggapan bahawa perburuhan moden merupakan sesuatu yang buruk, tetapi kami menyeru untuk mempertimbang semula sistem ekonomi kita.

Ahli akademik Jepun, Kohei Saito, pernah menyatakan bahawa SDGs telah menjadi candu baharu orang ramai. Matlamat pembangunan mampan telah menutupi masalah sistemik dan mengaibkan segala-galanya dengan tanggungjawab individu, sambil menyembunyi tanggungjawab syarikat dan ahli politik. Perubahan iklim merupakan salah satu krisis yang ditimbulkan oleh sistem kapitalis. 10% terkaya menyumbang hampir separuh daripada jumlah pelepasan karbon manakala 50% terbawah hanya menyumbang 12%, tetapi terpaksa menanggung kesan negatif terbesar.

Tidak kira daripada pengeluaran hingga penggunaan, aktiviti ekonomi manusia melepaskan karbon. Sungguhpun, ekonomi mesti dilihat sebagai aktiviti kolektif yang memenuhi keperluan asas rakyat dan seterusnya membolehkan perkembangan bakat masing-masing untuk menjadi individu yang bermaruah. Sudah tentu, ekonomi tidak seharusnya menjadi alat untuk mengejar kekayaan persendirian dengan pengeluaran dan penggunaan tanpa henti, meninggalkan pencemaran dan sampah kepada rakyat, hanya kerana ingin mengekalkan kemegahan dan kekayaan kelas pemodal dan jurucakap mereka yang tidak terbatas. Justeru, kita mesti menolak sistem ekonomi sedemikian yang tidak sama rata, tidak adil dan tidak mampan.

Akhir sekali, bersempena dengan Hari Bumi tahun ini dengan tema “Melabur untuk Planet Kita”, PSM mencadangkan supaya “melabur” untuk planet kita dengan sembilan rancangan utama sosialisme sebagai permulaan transformasi melangkaui sistem kapitalis. Sememangnya kami faham bahawa rancangan ini masih mempunyai banyak kekurangan dan ketidaklengkapan, tetapi ini hanya permulaan. Kami akan terus mendalami rancangan sosialisme mampan seiring dengan pengaliran masa. Rancangan sosialisme mampan ialah satu gerakan dari bawah dan kami menyeru pada individu atau organisasi yang berfikiran sama untuk berjuang bersama kami!

Berikut merupakan 9 rancangan utama sosialisme mampan:

1. Mengisytiharkan darurat iklim

Isytihar darurat iklim untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan kerajaan bahawa kita harus beralih segera ke ekonomi yang lebih mampan dan sama rata. Sediakan dana untuk transformasi secepat mungkin.

Peningkatan cukai ke atas golongan terkaya dan syarikat swasta, pengenalan cukai karbon dan pengurangan ketirisan kewangan oleh agensi kerajaan untuk mendapatkan wang yang diperlukan.

2. Hentikan pembalakan

Hentikan serta-merta pembalakan dan perlombongan di Hutan Simpanan Kekal. Lancarkan program pemulihan hutan dengan kerjasama pihak NGO dan komuniti setempat.

Kepelbagaian spesies adalah salah satu ciri penting hutan. Ladang monokultur yang diusahakan atas nama pembangunan ekonomi tidak harus diklasifikasikan sebagai “hutan”.

Kerajaan harus bekerjasama dengan NGO dan ahli akademik, orang asli, wakil masyarakat dan parti politik untuk menentu semula keluasan hutan dan menyambung semula hutan yang terpecah supaya usaha pemulihan hutan dan spesies lebih berkesan. 

3. Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui

Tetapkan sasaran untuk menamatkan penggunaan arang batu sebagai bahan api penjanaan elektrik sebelum tahun 2028.

Mempercepatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui, termasuk panel suria, sisa kilang kelapa sawit dan loji pembentungan.

Peralihan kepada model pengurusan tenaga yang baru: pengurusan demokratik, yang menjadikannya koperasi atau harta awam yang dimiliki oleh komuniti pengguna.

4. Menggalakkan sistem pengangkutan awam

Kenakan bayaran permit ke atas pembelian kereta mewah. Hasil kutipan permit ini boleh digunakan untuk membiayai kos operasi bas elektrik/hidrogen dalam sistem pengangkutan awam Malaysia.

Pindahkan terus subsidi petrol bulanan kepada pengguna kenderaan B40.

Sediakan pengangkutan awam yang cekap, selesa dan percuma untuk menggalakkan orang ramai mengambil pengangkutan awam.

5. Mengurangkan ancaman bencana

Peruntukan untuk tingkatkan kemudahan dan kapasiti dalam kalangan masyarakat, terutama untuk komuniti terpinggir, agar bersedia menghadapi ancaman kesan krisis iklim seperti kenaikan paras laut, banjir, kemarau, gelombang haba dan lain-lain lagi.

Jangan mainkan isu agama dan perkauman, kukuhkan tali persaudaraan antara kumpulan etnik dalam masyarakat dan bersedia menghadapi bencana bersama-sama.

Kembalikan pilihan raya kerajaan tempatan dan berikan kuasa kepada wakil komuniti yang dipilih untuk memantau dan menguruskan peruntukan dengan lebih baik daripada jatuh ke dalam tangan kroni.

6. Jaminan keperluan asas dan keselamatan sosial

Lindungi semua pekerja, terutamanya golongan rentan, pekerja kontrak dan tidak formal.

Laksanakan gaji bermaruah dan skim pencen sejagat dengan segera. Kukuhkan jaringan keselamatan sosial untuk semua golongan.

Kurangkan jurang antara bandar dan luar bandar. Tangani kemiskinan bandar.

Wujudkan rumah mampu milik yang benar. Sediakan kemudahan perubatan, pendidikan, riadah, pengasuhan dan penjagaan yang percuma dan berkualiti.

7. Hentikan rampasan tanah

Hentikan rampasan tanah daripada petani kecil dan Orang Asli.

Beri pajakan tanah pertanian berjangka panjang kepada petani kecil supaya menggalakkan pertanian dan penternakan organik demi jaminan mutu dan keselamatan makanan.

Lindungi tanah adat orang asli supaya memelihara kebijaksanaan cara hidup mampan mereka dan bukan memaksa mereka terima budaya konsumerisme yang tidak mampan.

Rakyat tidak akan membantah kesusahan transformasi jika kita menyelesaikan masalah mereka berlandaskan prinsip kesamarataan dan keadilan.

8. Peralihan kepada model ekonomi yang tidak mengutamakan keuntungan

KDNK merupakan petunjuk penting pertumbuhan ekonomi.

Pertumbuhan ekonomi menyebabkan penggunaan sumber asli secara berlebihan. Namun bagi pelabur syarikat besar, ia mewakili keuntungan yang lebih tinggi.

Gantikan KDNK dengan petunjuk lain, seperti “kemakmuran kebangsaan” yang mengambil kira penggunaan sumber asli.

Contoh: Pengeluaran RM100 juta petroleum bermaksud peningkatan sebanyak RM100 juta dalam KDNK. Namun, memandangkan perbelanjaan tambahan diperlukan untuk membersihkan pelepasan karbon dan pencemaran, maka kemakmuran negara adalah kurang daripada RM100 juta malah mungkin menjadi negatif!

9. Kerjasama antarabangsa yang memanfaatkan bumi

Kekayaan di negara maju dikumpul melalui kolonialisme dan hubungan ekonomi yang tidak sama rata menyebabkan pelepasan karbon dan pencemaran yang banyak.

Malaysia mesti komited kepada usaha serantau untuk membawa transformasi global yang positif:

  • a.  menyatukan negara sedang membangun dan memberi tekanan kepada negara maju untuk mendapatkan bantuan kewangan dan pemindahan teknologi.
  • b.  mendukung kadar cukai korporat dan cukai kekayaan serantau yang sama untuk menamatkan persaingan berbahaya.
  • c.    membatalkan klausa perdagangan bebas yang memudaratkan alam sekitar.
  • d.  membatalkan sebahagian, kalau bukan semua, hutang negara sedang membangun, membenarkan pelaburan sepenuhnya dalam transformasi.
  • e.  berperanan aktif dalam anti-perang dan pelucutan senjata, mengalih belanjawan ketenteraan ke dalam transformasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *