(Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa 1 Mei 2023 pada 18 April 2023.)

oleh Parameiswary Elumalai

1 Mei ialah Hari Pekerja yang disambut dengan penuh erti oleh kaum pekerja di seluruh pelosok dunia bagi memperingati perjuangan dan jasa pekerja, di samping mengutarakan tuntutan mereka kepada kaum majikan serta pemerintah.

Di Malaysia, tahun ini merupakan sambutan Hari Pekerja yang ke-29 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei sejak tahun 1994. Hari pekerja ini ialah satu hari yang penting yang disambut oleh seluruh warga pekerja di serata dunia untuk mengingati kembali sejarah perjuangan pekerja yang dimulakan pada tahun 1886 untuk menuntut kerja 8 jam sehari dan cuti satu hari dalam seminggu. Perjuangan ini pada asalnya bermula di Amerika Syarikat dan tarikh signifikan bermulanya perjuangan ini adalah pada 1 Mei. Hasil daripada pejuangan yang berterusan ini, akhirnya pada tahun 1919, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah menerima waktu kerja 8 jam sehari sebagai piawaian sejagat dan tarikh 1 Mei diumumkan sebagai Hari Pekerja Sedunia.

Pada 1 Mei 2023, sempena dengan Hari pekerja Sedunia, Jawatankuasa 1 Mei yang dianggotai oleh sebanyak 13 buah kumpulan masyarakat dan NGO seperti Gabungan MARHAEN, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Malaysia Muda, Pemuda Sosialis, Sisters in Islam (SIS), Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Centre For Independent Journalism (CIJ), Gabungan E-hailing Malaysia (GEM) , Sahabat Alam Malaysia (SAM), Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, KL-Selangor Chinese Assembly Hall – Youth Wing, parti-parti politik seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti MUDA, dan juga kumpulan masyarakat dan individu prihatin, akan mengadakan satu sambutan aman di mana satu perarakan akan diadakan dari Maju Junction ke Medan Pasar di Kuala Lumpur.

Tema Sambutan Hari Pekerja pada tahun ini ialah “Gaji Bermaruah, Jaminan Makanan” dengan seruan mengatasi masalah kos sara hidup yang tinggi dan memberikan jaminan kepada pekebun kecil, petani dan penternak dengan tidak merampas tanah mereka. Ini secara langsung dapat memastikan jaminan makanan untuk rakyat setempat. Tema ini dipilih kerana negara dan rakyat terjejas akibat pandemik COVID-19. Pasca COVID-19, walaupun ekonomi negara sedang pulih, namun tidak dapat dinafikan bahawa kos sara hidup keluarga di Malaysia rata-rata terlalu tinggi. Pendapatan yang rendah masih tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat ini. Rakyat B40, terutamanya golongan pekerja, peniaga kecil, pelajar dan penganggur telah terjejas teruk akibat kos sara hidup yang sangat tinggi. Isi rumah merasai tekanan kenaikan kos sara hidup bukan sahaja apabila harga meningkat, tetapi juga apabila pendapatan tidak meningkat pada kadar yang sama.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi pada bulan Februari 2023 adalah 3.7%. Peningkatan ini didorong oleh kenaikan harga makanan dan minuman bukan alkohol (7%). Mengikut Laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, RM75.54 bilion import makanan dicatatkan tahun lalu berbanding RM63.59 bilion pada tahun 2021 dan RM55.4 bilion pada tahun 2020. Ini menunjukkan bahawa barangan makanan semakin banyak diimport dari luar negara tetapi pada masa yang sama di Malaysia golongan pekebun kecil, penternak dan petani diancam pengusiran.

Selain daripada tuntutan utama, kami juga mempunyai tuntutan-tuntutan yang lain, iaitu:

  • Laksanakan Perintah Gaji Minimum 2022 secara menyeluruh tanpa sebarang penangguhan atau pemberian pengecualian kepada mana-mana syarikat.
  • Wujudkan Akta Pekerja Gig untuk menjamin kebajikan pekerja industri gig atau iktiraf pekerja gig di bawah Akta Kerja 1955.
  • Pekerja migran harus diberikan hak yang saksama dan perlindungan yang mencukupi.
  • Iktiraf hak tanah adat orang asal di Malaysia
  • Hentikan diskriminasi berasaskan gender, jantina dan orientasi seksual.
  • Isytiharkan darurat iklim.
  • Mansuhkan Akta POCA, POTA, SOSMA dan Akta Hasutan 1948 serta segala undang-undang yang menindas rakyat dan menyekat kebebasan rakyat.

Jawatankuasa 1 Mei akan memaklumkan kepada pihak polis tentang sambutan 1 Mei selaras dengan undang-undang Akta Perhimpunan Aman. Selain itu, perhimpunan tahun ini juga dijangka akan dipantau pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam Malaysia.

Jawatankuasa 1 Mei menyeru dan menggembleng seluruh warganegara Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat, budaya, bangsa dan agama yang cintakan keadilan, kebenaran dan keamanan rakyat untuk turut serta menyertai sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2023.

==========

Parameiswary Elumalai ialah Penyelaras Jawatankuasa 1 Mei 2023.

One thought on “Perarakan Hari Pekerja ke-29: “Gaji Bermaruah, Jaminan Makanan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *