Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jeffry Hassan bagi pihak Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Kampung Pos Lanai, bersempena hari pertama perbicaraan kes tuntutan hak tanah adat Orang Asli Pos Lanai di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang, pada 10 April 2023.

Kami daripada komuniti Orang Asli suku kaum Semai telah menduduki (hidup dan wujud) sejak turun temurun, iaitu dari generasi ke generasi dan sebagai komuniti yang berasingan dan dikenali, di kawasan Kampung Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur. Kami merupakan penduduk dari Kampung Perengkap, Kampung Tijah, Kampung Berenggan, Kampung Dabil dan lain-lain. Penempatan awal adalah sekitar Sungai Telom. Penempatan kami juga pernah didokumentasi oleh pihak British sejak sebelum merdeka lagi oleh para penyelidik dan tentera British. Kami terus mewarisi dan menduduki Kampung Pos Lanai sehingga ke hari ini, mengamalkan adat dan budaya tradisi kami.

Kampung Pos Lanai juga menjadi tumpuan dan direkodkan dengan baik kerana pembinaan sebuah markas hutan, “Jungle Fort” yang bernama Fort Dikson sekitar tahun 1950-an di Kampung Pos Lanai. Ramai Orang Asli telah membantu dalam pembinaan markas ini untuk memantau pergerakan komunis sebelum merdeka. Pada suatu ketika, dipercayai seramai 2,500 Orang Asli Semai menduduki Pos Lanai.

Kini, kami, penduduk Kampung Pos Lanai suku kaum Semai sedang diancam oleh pelbagai projek yang bertujuan untuk mengaut keuntungan, dan merampas tanah adat dan hutan kami yang menjadi punca utama kehidupan kami. Pada awal tahun 2011, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah mendesak kami untuk berpindah dari tanah kami di hutan ke sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Program Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil (PROSDET) Kampung Pantos yang berhampiran dengan pekan Sungai Koyan.

Sebenarnya pemindahan ini berkaitan dengan cadangan pihak Kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad untuk membina sebuah empangan, iaitu Empangan Telom yang akan menenggelamkan perkampungan asal kami. Maklumat ini hanya disampaikan kepada kami pada tahun 2013. Pembinaan Empangan Hidro-Elektrik ini dipercayai akan menenggelamkan 7,600 hektar hutan simpan, tetapi empangan ini hanya berkapasiti untuk menjana 132MW kuasa elektrik berbanding dengan Empangan Ulu Jelai yang mengambil keluasan hanya 130 hektar dan menghasilkan 372MW kuasa.

Setelah perjuangan berterusan kami di mahkamah dan beberapa aksi protes terhadap projek ini, akhirnya projek ini dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019. Walaupun projek Empangan Telom ini berjaya dihentikan, tetapi pencerobohan masih berterusan daripada konsesi balak yang mendakwa bahawa mereka mempunyai lesen pembalakan daripada Jabatan Perhutanan. Komuniti Pos Lanai terus memberanikan diri dan berjuang untuk mempertahankan tanah adat kami. Beberapa aduan telah dibuat kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan JAKOA mengenai pembalakan di tanah adat kami.

Pencerobohan yang terbaru ialah cadangan untuk membuka perlombongan unsur nadir bumi pada tahun 2021. Tanah seluas 660 hektar telah dikenal pasti di bahagian hulu Sungai Telom untuk memulakan aktiviti perlombongan nadir bumi selama 2 tahun. Perlombongan ini akan mencemari satu-satunya punca air kami, iaitu Sungai Telom. Penggunaan pelbagai bahan kimia untuk mengekstrak mineral nadir bumi ini akan mencemari air bawah tanah dan Sungai Telom. Kami lantang membantah projek ini, dan kini ianya ditangguhkan. Baca selanjutnya di sini.

Walau bagaimanapun, ada berita bahawa perlombongan haram masih sedang cuba dilakukan di kawasan ini.

Justeru, oleh kerana kami sentiasa dihantui oleh pencerobohan yang berterusan, maka kami membuat keputusan untuk bertindak mempertahankan tanah adat dengan memfaikan satu tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Temerloh Negeri Pahang pada tahun 2021. Seramai 147 orang ahli komuniti kami bertindak sebagai Plaintif dalam tindakan ini untuk mewakili keseluruhan penduduk Kampung Pos Lanai.

Kes mahkamah ini ditetapkan untuk perbicaraan penuh dari 10 April hingga 13 April 2023. Kami diwakili oleh peguam Harneshpal Singh Bhullar daripada Tetuan Lui & Bhullar.

Defendan-Defendan yang dinamakan dalam tindakan mahkamah ini ialah Kerajaan Negeri Pahang, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia dan Kerajaan Persekutuan.

Antara tuntutan yang diharapkan daripada Mahkamah yang mulia adalah seperti berikut:

  1. Satu Deklarasi bahawa Plaintif-plaintif (Orang Asli Semai Pos Lanai) ialah pemegang hak milik adat (“customary rights”) dan pemegang hak penggunaan tanah Kampung Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang;
  2. Satu Deklarasi bahawa Defendan-defendan tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memusnahkan hak Plaintif-plaintif terhadap tanah kawasan tersebut dengan menjalankan atau membenarkan apa jua aktviti yang menjejaskan tanah Orang Asli;
  3. Satu Deklarasi untuk Kerajaan Negeri Pahang mengambil langkah-langkah mewartakan tanah kawasan sebagai kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli di bawah Akta Orang Asli 1954.

Kami juga berterima kasih kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang telah bersama kami dan membantu kami dalam perjuangan kami sejak isu pembinaan Empangan Telom sehingga kini.

Terima kasih juga semua semua pihak lain yang membantu kami untuk menjayakan aksi ini.

2 thoughts on “Komuniti Orang Asli Pos Lanai tuntut hak tanah adat di Mahkamah Tinggi Temerloh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *