PUTRAJAYA – 19 OKTOBER 2023: Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) mengadakan piket di hadapan ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia pada hari ini untuk menyeru kepada pihak kerajaan supaya menghentikan serta-merta amalan pengambilan pekerja melalui ejen di semua hospital kerajaan dan menghentikan penindasan terhadap pekerja-pekerja di hospital kerajaan.

Aksi piket yang disertai oleh pekerja-pekerja pembersihan hospital kerajaan ini merupakan respon terhadap tindakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memegang kontrak perkhidmatan sokongan di hospital kerajaan membawa masuk ejen-ejen untuk mengupah pekerja yang bekerja di bawahnya, di mana tindakan tersebut telah menjejaskan keharmonian perusahaan di tempat kerja dan memburukkan lagi keadaan ketidakjaminan pekerjaan bagi pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan.

NUWHSAS mengemukakan 4 tuntutan dalam memorandum yang ditujukan kepada Dr. Zaliha Mustafa selaku Menteri Kesihatan, iaitu:

  1. Hentikan pengambilan pekerja melalui ejen di semua hospital kerajaan dengan serta-merta;
  2. Hentikan segala penindasan terhadap pekerja-pekerja di hospital kerajaan;
  3. Utamakan pengambilan pekerja tempatan di hospital kerajaan;
  4. Hapuskan sistem kontrak dan serapkan semula pekerja di hospital kerajaan sebagai pekerja tetap yang diupah terus oleh kerajaan.

Syarikat Edgenta UEMS Sdn Bhd yang mengambil alih kontrak perkhidmatan pembersihan di hospital-hospital di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis sejak tahun 2020, telah memberi pengiktirafan kepada kesatuan NUWHSAS pada bulan April 2023 setelah ahli-ahli kesatuan berjuang dengan penuh kegigihan, keberanian dan kesungguhan selama 3 tahun. Namun demikian, selepas memberi pengiktirafan kepada kesatuan pekerja, pihak majika mula membawa masuk pekerja-pekerja baharu melalui ejen-ejen. Tindakan sebegini jelas merupakan satu taktik baharu untuk menikam dari belakang kesatuan pekerja dan melemahkan hak pekerja yang sedia ada yang sudah berkhidmat dengan lamanya.

Pihak kesatuan NUWHSAS menyatakan bantahannya terhadap tindakan majikan Edgenta UEMS itu dalam surat yang dihantar kepada pihak majikan pada 24 Julai 2023. NUWHSAS mendapati bahawa terdapat sekurang-kurangnya 12 buah syarikat bertindak sebagai ejen yang membawa masuk pekerja ke dalam hospital kerajaan.

“Perkhidmatan pembersihan di hospital kerajaan merupakan satu pekerjaan yang bersifat tetap dan berterusan selagi adanya hospital kerajaan di negara ini untuk berkhidmat demi kebajikan dan kesihatan orang awam,” begitu katanya memorandum daripada NUWHSAS yang ditujukan kepada Menteri Kesihatan. “Namun, tindakan membawa masuk ejen-ejen ke dalam hospital-hospital kerajaan telah mengancam jaminan pekerjaan bagi pekerja-pekerja yang sedang berkhidmat di situ dan menjejaskan jaminan kehidupan mereka.”

Syarikat Edgenta Mediserve Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kepada UEM Group Berhad yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad, telah ditawarkan kontrak untuk perkhidmatan sokongan di hospital-hospital di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis selama 15 tahun, dari tahun 2010 hingga 2025. Sebahagian daripada perkhidmatan sokongan dalam kontrak tersebut, iaitu kerja pembersihan, telah disubkontrakkan kepada syarikat lain dengan syarikat terbaru yang memegangnya ialah Edgenta UEMS, sebuah lagi anak syarikat di bawah UEM Group Berhad.  

“Mengapa kontrak yang diberikan kepada Edgenta UEMS SDN Bhd disalahgunakan dengan membawa masuk pekerja-pekerja melalui ejen-ejen?” NUWHSAS mempersoalkan tindakan Edgenta UEMS. “Pembawaan masuk pekerja-pekerja melalui ejen-ejen ke hospital-hospital kerajaan boleh menjejaskan jaminan kerja bagi pekerja-pekerja pembersihan yang sedia ada di semua hospital kerajaan di seluruh Malaysia!”

Selain itu, NUWHSAS juga menyenaraikan masalah penindasan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan, antaranya:

  • Tiada jaminan kerja;
  • Pekerja dipaksa untuk bekerja di 3 hingga 4 lokasi;
  • Pekerja yang berumur 60 tahun ke atas diberi janji untuk terus bekerja tetapi diberhentikan;
  • Pengambilan pekerja asing dalam jumlah yang besar;
  • Kakitangan kerajaan membili pekerja pembersihan dan berlagak seperti majikan;
  • Tidak dibekalkan pakaian seragam dan kasut yang sempurna oleh pihak majikan;
  • Tidak disediakan tempat makan;
  • Tidak dibenarkan untuk menggunakan bilik mesyuarat kerajaan;
  • Kenaikan gaji yang tidak meliputi semua pekerja;
  • Pekerja diugut, diseksa dan diperas sehingga menjejaskan keharmonian Perusahaan.

NUWHSAS juga mendapati bahawa pekerja-pekerja asing yang dibawa masuk oleh majikan untuk bekerja sebagai pekerja pembersihan di semua hospital kerajaan dengan jelas telah mengabaikan warga tempatan. NUWHSAS berpandangan bahawa tindakan majikan sedemikian tidak patut dibenarkan dan diteruskan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

NUWHSAS turut mempersoalkan sistem kontrak yang diamalkan dalam perkhidmatan sokongan di hospital kerajaan sekarang, di mana pekerjaan yang bersifat tetap telah dihiaskan sebagai pekerjaan kontrak bertempoh tetap. NUWHSAS berpendirian tegas bahawa kontrak bertempoh tetap yang diamalkan di hospital kerajaan sekarang ini bukan sahaja tidak ikhlas, sebaliknya bertentangan dengan undang-undang pekerjaan dan Perlembagaan Persekutuan. Kontrak bertempoh tetap hanya boleh digunakan dalam pekerjaan seperti kerja bermusim atau penggantian pekerja yang berhenti kerja sementara untuk cuti bersalin/sakit atau kerja dalam sektor pembinaan untuk penyempurnaan sebuah projek, bukannya untuk pekerjaaan yang perlu wujud sepanjang masa seperti perkhidmatan pembersihan di dalam hospital kerajaan.

NUWHSAS menyeru pada Menteri Kesihatan untuk memberi perhatian yang wajar dan segera terhadap isu-isu yang dibangkitkannya. NUWHSAS juga menuntut pada Kementerian Kesihatan supaya mengaturkan satu perbincangan dengan pihak kesatuan untuk mendengar dengan lebih teliti masalah-masalah yang melibatkan hak asasi pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan yang diabaikan selama ini.

One thought on “Hentikan pengambilan pekerja melalui ejen dan lindungi jaminan kerja bagi pekerja pembersihan hospital kerajaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *