BANDAR KINRARA, SELANGOR – 1 APRIL 2023: Puluhan penduduk di kawasan Bandar Kinrara mengadakan protes pada hari ini untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link). Mereka menggesa pada kerajaan supaya membatalkan projek yang hanya menguntungkan pihak pemaju dengan mengorbankan kelestarian kehidupan penduduk setempat tersebut.

Aksi protes ini turut disertai oleh penduduk-penduduk dari Petaling Jaya dan Damansara. Turut hadir bersolidariti pada hari ini bersama penduduk-penduduk yang terjejas oleh projek PJD Link ialah William Leong selaku Ahli Parlimen kawasan Selayang, Maria Chin Abdullah yang merupakan mantan Ahli Parlimen kawasan Petaling Jaya, Dhanaraj Arumugam selaku wakil penduduk Bandar Kinrara 1 hingga 7, David Yoong selaku Pengerusi kumpulan Pemegang Taruh dan Penduduk Menentang PJD Link (SCRAP Highway), Gandipan Nantha Gopalan selaku Setiausaha Pemuda Sosialis PSM dan Cheong Huei Ting selaku Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Projek PJD Link ialah satu rancangan membina lebuh raya bertingkat dan bertol sepanjang 34.3 km yang kononnya bertujuan untuk menyuraikan kesesakan trafik di kawasan Petaling Jaya dan Puchong. Projek pembinaan lebuh raya yang diumumkan pada tahun 2021 ini boleh dikatakan sebagai penjenamaan semula projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX) yang telah dibatalkan pada tahun 2015 selepas mendapat bantahan hebat daripada penduduk tempatan dan masyarakat sivil. Pada takat ini, projek ini berada pada peringkat penyediaan penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian impak lalu lintas (TIA) dan penilaian impak sosial (SIA).

Protes pada hari ini merupakan aksi bantahan jalanan yang ketiga, selepas protes di Seksyen 14 Petaling Jaya pada 2 Julai 2022 dan di Bandar Utama pada 23 Julai 2022.

Paveanthen Ramachandran, seorang penduduk generasi ketiga di kawasan Bandar Kinrara 1, mengatakan bahawa projek pembinaan lebuh raya PJD Link akan menjejaskan alam sekitar. “Kenapa kita perlukan satu lagi lebuh raya bertingkat jika kita hendak memperkasakan sistem pengangkutan awam?” ujar Paveanthen. “Kami tidak dapat melihat bagaimana PJD Link ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas. Jika kita lihat pada negara-negara maju, kesesakan lalu lintas hanya dapat diselesaikan dengan memantapkan sistem pengangkutan awam. Projek ini memang tidak relevan! Ia hanya untuk orang yang nak buat duit sahaja!”

“Kami berharap Perdana Menteri juga dapat mendengar bantahan kami,” begitu katanya Dhanaraj Arumugam, wakil penduduk Bandar Kinrara yang menganjurkan aksi protes hari ini.

“Kami pernah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor di Parlimen baru-baru ini. Apa yang diberitahu oleh Menteri Besar kepada kami adalah nampaknya penduduk di Kinrara menyokong projek PJD Link. Namun, protes pada hari ini bukan sahaja menunjukkan kepada Menteri Besar dan syarikat konsesi pembinaan lebuh raya tetapi kepada seluruh negara, bahawa penduduk-penduduk di Kinrara membantah PJD Link!” kata William Leong, Ahli Parlimen Selayang yang berada dalam parti yang sama dengan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. “Kami hendak merayu kepada Anwar Ibrahim bahawa konsep Malaysia MADANI menghendaki Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengkaji semula projek PJD Link!

“Penswastaan menyebabkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Ia mengakibatkan ketidaksamarataan sosial dan lebih kemiskinan,” tambah William Leong lagi. “Sekarang semua orang memandu kereta untuk pergi bekerja kerana pengangkutan awam tidak berfungsi dengan baik. Apa yang diperlukan ialah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bertindak secara bersama-sama untuk meningkatkan pengangkutan awam dan sambungan first mile last mile. Pada masa kini, badan-badan yang menguruskan sistem pengangkutan berfungsi secara berasingan dan tiada penyelarasan. Kita perlu ubah semua ini.  Kita telah ubah kerajaan, maka kami harap kerajaan akan ubah juga dasarnya!”

“Kita pernah singkirkan projek KIDEX, sekarang kita akan singkirkan juga projek PJD Link,” kata Maria Chin, mantan Ahli Parlimen Petaling Jaya. “Kita bukannya menentang pembangunan, tetapi kita mahukan pembangunan yang meningkatkan kualiti kehidupan kepada kita semua, bukannya pembangunan yang membawa stres, kehilangan harta dan kemusnahan komuniti kepada kita… Kita tidak perlukan lebuh raya bertingkat. Kita mahukan sistem pengangkutan awam yang lebih baik!”

“Tidak harus membina lebih banyak lebuh raya baharu lagi,” kata Cheong Huei Ting, Ahli Jawatankuasa PSM merangkap Penyelaras Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim (BASKI) PSM. “Lebuh raya hanya menyebabkan lebih banyak pencemaran alam dan meningkatkan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat biasa setiap hari. Berapa lama lagi kita akan berterusan dengan dasar berteraskan kereta ini yang hanya menguntungkan syarikat pemaju?”

Dapatkan maklumat selanjutnya mengenai usaha membantah projek lebuh raya PJD Link di sini.

One thought on “Rakyat bantah projek lebuh raya PJD Link!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *