KUALA LUMPUR – 3 NOVEMBER 2022:  Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menggesa semua parti politik yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 supaya memberi perhatian kepada kemelut yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak yang bergaji rendah di premis-premis kerajaan dan mengamalkan dasar-dasar yang mampu membela hak mereka, termasuk mengambil langkah-langkah untuk menghapuskan sistem kontrak dalam jangkamasa panjang, mempertahankan jaminan kerja bagi rakyat bawahan dan mereformasikan sistem tender dalam jangkamasa pendek.

JPKK mengemukakan memorandum tuntutan pilihan raya daripada pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan di premis-premis kerajaan, termasuk pekerja-pekerja pembersihan dan pengawal-pengawal keselamatan di sekolah-sekolah kerajaan, kepada gabungan-gabungan parti politik utama yang akan bertanding dalam PRU-15. Satu rombongan perwakilan JPKK telah mengunjungi ibu pejabat Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh JPKK kepada semua parti politik yang bertanding dalam PRU-15 ialah:

  1. Hapuskan sistem kontrak di bangunan-bangunan kerajaan bagi perkhidmatan kawalan keselamatan dan pembersihan. Wujudkan jaminan pekerjaan bagi pekerja-pekerja kontrak yang merupakan golongan B40 dengan menyerap mereka sebagai pekerja tetap di bangunan-bangunan kerajaan.
  2. Iktiraf pekerja-pekerja kontrak seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sebagai pekerja barisan hadapan (frontliner) kerana mereka juga berdepan dengan risiko sewaktu pandemik, dan beri elaun khas kepada mereka seperti doktor, jururawat dan polis.
  3. Laksanakan gaji minimum RM1,500 serta-merta kepada semua pekerja kontrak yang sekarang ini dinafikan bayaran mengikut kadar gaji minimum dengan pelbagai alasan. Ini kerana walaupun kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 mulai bulan Mei 2022, tetapi majoriti syarikat kontraktor masih belum melaksanakan gaji minimum RM1,500 dengan alasan bahawa kerajaan belum meminda kadar bayaran dalam dokumen tender.
  4. Kerajaan harus menyenaraihitamkan syarikat-syarikat kontraktor yang mengeksploitasi pekerja dengan melanggar undang-undang pekerjaan. Proses tender harus direformasikan supaya syarikat-syarikat yang layak melaksanakan perkhidmatan tanpa eksploitasi pekerja sahaja yang akan menerima tender. Ini adalah satu penyelesaian jangkamasa pendek sebelum sistem kontrak dihapuskan sepenuhnya.

Bersama dengan memorandum ini, JPKK juga menyerahkan satu surat perjanjian untuk ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti politik bagi menyatakan sama ada mereka menyokong atau tidak menyokong tuntutan-tuntutan JPKK.

“Kami berhasrat untuk menyerahkan tuntutan kami kepada parti-parti politik yang bertanding dalam PRU-15 ini untuk mendapatkan sokongan dan komitmen mereka supaya merealisasikan tuntutan-tuntutan kami,” kata M. Sivaranjani, Penyelaras JPKK, semasa menyerahkan memorandum kepada gabungan-gabungan parti politik utama pada hari ini. “Andai kata mereka menyokong tuntutan kami, maka kami juga akan memaklumkan kepada semua pekerja kontrak kerajaan dalam jaringan kami supaya para pekerja dapat membuat pilihan yang baik semasa pengundian pada 19 November 2022 nanti.”

“Tindakan JPKK mengemukakan tuntutan kepada parti-parti politik ini adalah untuk membawa kesedaran bahawa setiap undi itu bernilai. Untuk mendapatkan undi daripada golongan pekerja B40 ini, mana-mana gabungan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya harus memberikan komitmen untuk menyelesaikan masalah mereka,” ulas Sivaranjani.

Terdapat lebih kurang 400,000 orang pekerja di Malaysia yang bekerja sebagai pekerja perkhidmatan sokongan di bangunan-bangunan kerajaan, seperti pekerja pembersihan, pengawal dan tukang kebun. Semua pekerja ini ialah pekerja daripada golongan B40. Mereka telah menghadapi pelbagai masalah kerana sistem kontrak yang diamalkan oleh kerajaan sekarang.

Perkhidmatan sokongan seperti kawalan keselamatan dan pembersihan di bangunan-bangunan kerajaan telah disumberkan luar kepada syarikat-syarikat swasta sejak tahun 1984. Penyumberan luar ini menyebabkan semua pekerja yang dahulunya merupakan pekerja tetap di bangunan kerajaan sekarang ini menjadi pekerja kontrak di bawah syarikat swasta. Pekerja-pekerja ini kehilangan jaminan kerja mereka sejak sistem kontrak dilaksanakan. Ini kerana kerajaan akan menukar tender kepada syarikat lain setiap dua atau tiga tahun, dan setiap kali syarikat kontraktor swasta itu bertukar, pekerja-pekerja yang diupahnya sama ada hilang kerja ataupun diambil sebagai pekerja baharu di bawah syarikat baharu walaupun mereka sudah lama bekerja di premis kerajaan yang sama. Selain jaminan kerja, pekerja-pekerja ini juga kehilangan segala faedah tempoh perkhidmatan yang terkumpul di bawah majikan sebelum ini.

Syarikat-syarikat kontraktor yang menerima tender kerajaan pula memberi banyak masalah kepada pekerja-pekerja kontrak ini. Adanya syarikat kontrak swasta yang melanggar undang-undang pekerjaan seperti tidak membayar pekerja mengikut kadar gaji minimum, membuat potongan gaji yang tidak munasabah, tidak membayar upah kerja lebih masa (OT), tidak memberikan kontrak kerja bertulis kepada pekerja, tidak mencarum KWSP, tidak mencarum PERKESO dan tidak mencarum Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), di samping membuang pekerja sewenang-wenangnya. Pekerja-pekerja kontrak yang merupakan golongan miskin telah dimiskinkan lagi dan dimangsakan kerana syarikat-syarikat swasta yang diberi kontrak oleh kerajaan itu tidak mempedulikan kebajikan pekerja. Banyak aduan telah dibuat ke atas syarikat-syarikat yang tidak menjaga hak pekerja, tetapi masalah pengeksploitasian di bawah sistem kontrak ini masih berterusan.  

Oleh yang demikian, JPKK telah berkempen bersungguh-sungguh untuk menghapuskan sistem kontrak. Bersempena dengan PRU-15 yang akan berlangsung, JPKK mengambil usaha untuk mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak di premis kerajaan kepada perhatian semua parti politik yang hendak meraih undi.

JPKK ialah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk memperjuangkan hak pekerja golongan B40 yang tidak mempunyai jaminan kerja. PSM mengambil pendirian tegas bahawa kerajaan harus mewujudkan jaminan kerja kepada semua rakyat, lebih-lebih lagi pekerja-pekerja yang bekerja di premis-premis kerajaan. Jika pekerja-pekerja yang bekerja di premis-premis kerajaan sendiri pun tidak mendapat jaminan kerja dan perlindungan kebajikan yang sepatutnya, apatah lagi nasib pekerja-pekerja lain dalam sektor swasta?

4 thoughts on “JPKK gesa semua parti politik peduli pada masalah pekerja kontrak kerajaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *