REMBAU, SEREMBAN – 10 NOVEMBER 2022: S. Tinagaran @ Cikgu Tina, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan Parlimen Rembau, menyatakan keazamannya untuk mendesak penghapusan sistem kontrak di premis-premis kerajaan yang memangsakan ratusan ribu pekerja berpendapatan rendah.

“Saya boleh memberi aku janji bahawa salah satu isu yang saya akan menekankan dan membawa ke dalam Parlimen jika saya diberi mandat sebagai wakil rakyat ialah saya akan cuba menghapuskan sistem kontrak untuk semua perkhidmatan sokongan (seperti pembersihan dan kawalan keselamatan) di premis kerajaan,” kata Cikgu Tina. “Sudah bertahun-tahun lamanya saya berjuang untuk menghapuskan sistem kontrak yang tidak adil bagi pekerja ini.”

Kenyataan ini dibuat oleh Cikgu Tina dalam satu sidang akhbar yang diadakan di hadapan Hospital Rembau pada hari ini. Turut hadir bersama dalam sidang akhbar ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, Koyilvani selaku wakil daripada Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan M. Sivaranjani selaku Ahli Jawatankuasa Pusat merangkap Ketua Biro Pekerja PSM.

“JPKK memang menerima banyak panggilan telefon daripada pekerja-pekerja kontrak seperti pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan yang bekerja di hospital atau sekolah, yang mengadu tentang masalah mereka,” kata Koyilvani. “Walaupun mereka bekerja di bangunan kerajaan, tetapi mereka diupah oleh kontraktor swasta di bawah sistem kontrak, malah ada yang disubkontrakkan.”

“Walaupun kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 di seluruh negara mulai bulan Mei tahun ini, tetapi sehingga kini masih ramai pekerja yang diupah di bawah sistem kontrak sebegini belum mendapat gaji ikut kadar gaji minimum,” Koyilvani mengulas tentang masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak. “Lebih-lebih lagi, pekerja-pekerja ini tidak mempunyai jaminan kerja. Walaupun mereka sudah lama kerja di bangunan kerajaan itu, tetapi mereka boleh dibuang kerja tanpa sebab apabila tempoh kontrak bagi kontraktor sudah habis.”

Bersempena PRU-15, JPPK menggesa parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya supaya menandatangani satu surat perjanjian yang menyatakan sama ada mereka menyokong atau tidak menyokong tuntutan-tuntutan JPKK. Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh JPKK untuk PRU-15 ialah:

  1. Hapuskan sistem kontrak di bangunan-bangunan kerajaan bagi perkhidmatan kawalan keselamatan dan pembersihan. Wujudkan jaminan pekerjaan bagi pekerja-pekerja kontrak yang merupakan golongan B40 dengan menyerap mereka sebagai pekerja tetap di bangunan-bangunan kerajaan.
  2. Iktiraf pekerja-pekerja kontrak seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sebagai pekerja barisan hadapan (frontliner) kerana mereka juga berdepan dengan risiko sewaktu pandemik, dan beri elaun khas kepada mereka seperti doktor, jururawat dan polis.
  3. Laksanakan gaji minimum RM1,500 serta-merta kepada semua pekerja kontrak yang sekarang ini dinafikan bayaran mengikut kadar gaji minimum dengan pelbagai alasan. Ini kerana walaupun kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 mulai bulan Mei 2022, tetapi majoriti syarikat kontraktor masih belum melaksanakan gaji minimum RM1,500 dengan alasan bahawa kerajaan belum meminda kadar bayaran dalam dokumen tender.
  4. Kerajaan harus menyenaraihitamkan syarikat-syarikat kontraktor yang mengeksploitasi pekerja dengan melanggar undang-undang pekerjaan. Proses tender harus direformasikan supaya syarikat-syarikat yang layak melaksanakan perkhidmatan tanpa eksploitasi pekerja sahaja yang akan menerima tender. Ini adalah satu penyelesaian jangkamasa pendek sebelum sistem kontrak dihapuskan sepenuhnya.

Cikgu Tina sendiri juga pernah mengendalikan banyak kes yang melibatkan pekerja-pekerja kontrak yang bekerja di bangunan-bangunan kerajaan, termasuk masalah gaji tidak dibayar. “Sistem kontrak ini sangat tidak adil bagi pekerja B40,” tegas kata Cikgu Tina. “Perkara ini tidak harus berlanjutan lagi. Kita perlu buat sesuatu untuk menghentikan pemangsaan pekerja ini.”

“Pekerja-pekerja kontrak hilang banyak hak mereka,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM. “Mereka tidak mendapat kenaikan gaji tahunan, tidak mendapat pencen apabila merreka bersara, tidak mendapat pinjaman perumahan dan sebagainya. Selain itu, banyak pula kontraktor yang tidak membayar gaji dengan betul, tidak membayar caruman KWSP dan sebagainya. Sebab itulah PSM menyokong sepenuhnya tuntutan menyerap semula semua pekerja kontrak di hospital dan sekolah sebagai kakitangan kerajaan.”

2 thoughts on “Cikgu Tina bertekad hapuskan sistem kontrak yang mangsakan pekerja B40

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *