KUALA LUMPUR – 3 NOVEMBER 2022:  Walaupun telah dimaklumkan lebih awal tentang kunjungan daripada Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) untuk menyerahkan memorandum tuntutan pekerja kontrak kerajaan, tetapi tiada seorang wakil daripada Barisan Nasional (BN) yang mahu menerima memorandum yang mengandungi tuntutan pekerja-pekerja bawahan B40.

JPKK telah mengunjungi ibu pejabat 4 buah gabungan parti politik utama, iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA), pada hari ini, untuk menyerahkan satu memorandum yang mengandungi tuntutan-tuntutan daripada pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan (seperti pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun) yang bekerja di premis-premis kerajaan.

Memorandum daripada JPKK ini telah berjaya diserahkan kepada ibu pejabat PH, PN dan GTA. Namun, apabila rombongan wakil JPKK mengunjungi Menara Dato’ Onn di mana terletaknya ibu pejabat UMNO dan BN, tiada seorang wakil pun daripada UMNO-BN yang sudi keluar untuk menerima memorandum tersebut.

Walaupun tiada wakil yang merupakan pemimpin politik yang menerima memorandum bagi pihak PH, PN dan GTA, sekurang-kurangnya ada petugas atau kerani di ibu pejabat mereka yang sudi menerima memorandum daripada JPKK untuk dipanjangkan kepada kepimpinan gabungan parti politik tersebut. Di ibu pejabat UMNO-BN yang sudah pernah memerintah negara kita selama lebih enam dekad pula, tiada seorang kerani pun di situ sanggup menerima memorandum yang mewakili suara lebih kurang 400,000 orang pekerja kontrak kerajaan di seluruh negara.

“Kami bukannya datang secara tiba-tiba (ke ibu pejabat UMNO-BN). Kami sudah pun beritahu lebih awal dengan memaklumkan ibu pejabat ini pada 28 Oktober 2022 bahawa kami akan datang untuk menyerahkan tuntutan kami,” kata Sivaranjani, Penyelaras JPKK yang hadir untuk menyerahkan memorandum. “Namun, sangat mengecewakan kerana seorang petugas pun tidak disediakan untuk menerima memorandum daripada golongan pekerja miskin ini. Ini memberi satu petunjuk sama ada BN ini akan menjaga hak dan kebajikan rakyat miskin atau tidak.”

“Kami mahu seluruh rakyat tahu bagaimana pekerja-pekerja daripada golongan B40 ini dilayan di ibu pejabat BN ini,” tambah Sivaranjani. “Di sini juga kita boleh mengambil pendirian menjelang PRU-15, jika sebuah parti politik tidak melayan langsung rakyat B40 yang cuba mengemukakan tuntutan semasa pilihan raya, bolehkah kita mengharapkannya untuk mempertahankan hak dan kebajikan rakyat B40 selepas ia terus berkuasa?”

4 tuntutan utama yang dikemukakan oleh JPKK kepada semua parti politik yang bakal bertanding dalam PRU-15 ialah:

  1. Hapuskan sistem kontrak di bangunan-bangunan kerajaan bagi perkhidmatan kawalan keselamatan dan pembersihan. Wujudkan jaminan pekerjaan bagi pekerja-pekerja kontrak yang merupakan golongan B40 dengan menyerap mereka sebagai pekerja tetap di bangunan-bangunan kerajaan.
  2. Iktiraf pekerja-pekerja kontrak seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sebagai pekerja barisan hadapan (frontliner) kerana mereka juga berdepan dengan risiko sewaktu pandemik, dan beri elaun khas kepada mereka seperti doktor, jururawat dan polis.
  3. Laksanakan gaji minimum RM1,500 serta-merta kepada semua pekerja kontrak yang sekarang ini dinafikan bayaran mengikut kadar gaji minimum dengan pelbagai alasan. Ini kerana walaupun kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 mulai bulan Mei 2022, tetapi majoriti syarikat kontraktor masih belum melaksanakan gaji minimum RM1,500 dengan alasan bahawa kerajaan belum meminda kadar bayaran dalam dokumen tender.
  4. Kerajaan harus menyenaraihitamkan syarikat-syarikat kontraktor yang mengeksploitasi pekerja dengan melanggar undang-undang pekerjaan. Proses tender harus direformasikan supaya syarikat-syarikat yang layak melaksanakan perkhidmatan tanpa eksploitasi pekerja sahaja yang akan menerima tender. Ini adalah satu penyelesaian jangkamasa pendek sebelum sistem kontrak dihapuskan sepenuhnya.

JPKK juga meminta kepada semua gabungan parti politik utama untuk menandatangani satu surat perjanjian yang menyatakan sama ada mereka menyokong atau tidak menyokong tuntutan-tuntutan JPKK.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *